Friday, July 23, 2010

MAT JININ (1)



Jualannya hari ini dua kali lipat dari hari-hari yang sebelumnya. Itu yang menggalakkan MAT untuk menjual sayur-sayurnya di sebelah petang sebagai satu langkah untuk menambah hasil pendapatanya yang ada tanda-tanda boleh naik itu.

Pada mulanya MAT cuma main-main untuk menyamankan hati emaknya. Dia berjaja ke sekeliling kampung yang berhampiran dengan sebuah basikal lama peninggalan ayahnya yang telah meninggal dunia dua tahun lepas kerana diserang penyakit angin ahmar, ketika ayahnya keluar rumah hendak pergi ke masjid berjemaah solat Subuh.

MAT berkunjung dari sebuah rumah ke sebuah rumah, kerana baginya rezeki itu ada di mana-mana jika rajin berusaha, walau pun sayur-sayur seperti itu banyak berlonggokan dijual digerai-gerai tepi jalan. Itu rezeki mereka dan bagi MAT rezekinya ada pada rumah-rumah yang dikunjunginya itu.

Berumur kira-kira dua puluh dua tahun. Tinggal bersama emaknya yang sudah tua dan kurang sehat. Pada mulanya MAT merasa malu kerana berjualan seperti itu jarang ada lagi pada masa ini. Emaknya menasihatkan tidak perlu malu asalkan kerja itu halal dan bukannya meminta-minta.

MAT dan emaknya bukanlah diketagorikan dalam golongan orang-orang yang miskin, kerana setiap bulan emaknya menerima bayaran pencen tua yang cukup-cukup makan untuk mereka dua beranak jika pandai berjimat. Dua ratus lima puluh ringgit itu adalah lumayan untuk diterima oleh orang yang tidak berbuat apa-apa. Ini satu anugerah dari Allah melalui kepala negara yang bijaksana. Alhamdulillah…!

Bagi MAT bantuan itu membuatkan dia berfikir dan sekali gus satu cabaran baginya untuk berusaha, bantuan itu bila-bila masa saja akan berhenti jika emaknya sudah tidak ada nanti. Itu wajar bagi MAT yang mana emaknya juga pernah mengatakan perkara yang sama satu ketika dulu.

Dua puluh ikat. MAT hari itu mendapat tempahan sayur yang banyak dari salah seorang langganannya. Begitu banyak sedangkan biasanya dia cuma dapat menjual habis sebanyak dua puluh ikat sehari. Ini bererti rezekinya bertambah sekali lipat.

“Ari ani ku ambil empat puluh ikat…”

“Banyak jua kau ambil ari ani Mat…?”

“Ada orang kan mau…”

Hj Pudin taukeh sayur yang menjadi pembekal MAT itu agak hairan juga apabila MAT membeli sayur begitu banyak, biasanya cuma dua puluh ikat yang pada akhirnya Hj Pudin tidak mau menyusahkan dirinya untuk memikirkan semuanya itu, pokoknya hari itu sayurnya laris. Itulah otak bisnes.

Seperti yang dijanjikan petang itu MAT mengayuh basikalnya untuk menghantar sayur yang dipesan oleh pelanggannya lebih awal dari yang sepatutunya. Sampai saja di rumah itu MAT membunyikan loceng basikalnya. Tapi tidak ada sesiapa pun yang keluar dari rumah besar itu.

Rumah itu memang besar dan cantik bentuknya. Punya halaman yang luas ada landscape di kanan kiranya. Keliling rumah itu berpagar besi yang kukuh. Ada tiga buah kereta berjenama dalam gerej yang juga cantik, berkonis serta berkipas angin. Nampak rumah itu bukan rumah orang sebarangan. Tapi sayang suasananya sunyi dan sepi. MAT terfikir barangkali mereka pergi kerja dan anak-anak pergi ke sekolah. Maklum sekarang anak-anak berumur setahun enam bulan pun sudah ke bersekolah.

Dengan perasaan hampa MAT menaiki basikalnya meninggalkan rumah besar itu. Tiba-tiba dia terdengar suara orang memanggilnya. MAT berpaling dan terpegun apabila melihat seorang gadis cantik datang memberikan wang sebagai bayaran sayurnya itu. MAT belum pernah melihat gadis yang secantik itu. MAT mengambil wang itu lalu pergi.

Si gadis itu memang cantik. Umurnya kira-kira sebaya dengan MAT. Perawakannya lembut, bermata bulat agak sayu, mukanya sedikit cengkung, berkulit putih pucat tinggi sederhana tidak gemuk dan berambut panjang terurai mencecah paras lutut.

Sejak pertemuan MAT dengan gadis itu dia semakin rajin berjualan. Dia mula merasakan debaran jantungnya agak luar biasa apabila setiap kali dia bertemu dengan gadis itu. Degupan yang sekuat itu belum pernah dirasakannya sebelum ini.

Emaknya sudah terhidu gelagat dan perubahan tingkah laku MAT akhir-akhir ini. MAT sering bermenung panjang dan tidak banyak bercakap. Apa yang emaknya risaukan kalau-kalau MAT sudah terpengaruh oleh gejala-gejala yang kurang elok, apatah lagi emaknya menyedari MAT bukanlah orang yang bersekolah tinggi, sudah tentu senang dipujuk-pujuk dan mudah pula diperdayakan.

Itulah kebimbangan dan kerisauan seorang emak terhadap anaknya. Bagaimana pun emaknya tetap berdoa agar Allah menutupi pintu hati MAT untuk berbuat sesuatu perkara yang tidak diingini.

Bagi MAT pula merasakan dirinya sudah dewasa dan punya perasaan cinta terhadap kaum hawa. Tapi bagaimana dia harus memulakannya untuk mencurahkan segala perasaannya itu kepada gadis yang telah mengusek hatinya itu. Dia sedar dirinya siapa dan dari golongan yang bagaimana, kalau cuma penjual sayur jalanan seperti dia itu, tidak mungkin orang tua gadis itu akan menerimanya sebagai menantu.
‘Kau harus tau siapa diri kau Mat…’ Emaknya seolah kesal.

“Mat akan berusaha untuk merubah hidup kita mak, kita juga boleh jadi kaya seperti orang-orang kaya yang lain itu.” MAT yakin.

“Kalau nak berangan-angan pun biarlah yang masuk akal.” Pinta emaknya.

Itulah yang sering berdengung di telinga MAT. Peribahasa mengatakan kalau jodoh tidak akan kemana. Tapi jika tidak ada jodoh, bagaimana…?

“Kitani sudah lama bekanalan…tapi alum tau nama masing-masing.”

“Aku Milah…kita…?” Ikhlas.

“Mat Jinin…” MAT terhenti kerana Milah ketawa.

“Jangan marah aah…bukan ku menenawakan nama kita atu.”

“Inda apa…sebenarnya namaku ani Mat Jins bin Jinin.”

Itulah perbualan pertama dua remaja antara teruna dan dara buat pembuka lembaran baru tentunya dengan palbagai kisah dan peristiwa yang akan ditinta emas. Jika MAT seorang penyair, akan dicurahkannya segala isi hatinya itu memalui sebuah puisi yang diolah susun dengan palbagai lambangan kata yang indah (walau sedikit bombastik) untuk menyatakan hasratnya kepada gadis cantik yang bernama Milah itu.

MAT sedar dirinya serba kekurangan. Sedangkan Milah tentunya anak orang berada, rumahnya besar, cantik dan indah seperti rumah LALA dalam sinetron ‘BIDADARI’.

“Damam kau kah…?” Hj Pudin melihat MAT tidak bersemangat hari itu.

“Nda eh…!” Selamba saja jawapan MAT.

“Kalau damam jangan tah bejual dulu, rehat saja di rumah lagi bisai, melarat payah pulang karang.” Nasihat Hj Pudin.

MAT tidak mengindahkan nasihat itu. Lagi pun MAT bukan sakit cuma terganggu perasaan kerana jatuh cinta. MAT meneruskan tugasannya. Petang itu MAT menghantar sayur ke rumah Milah gadis idamannya yang berjaya mengguris kotak hatinya yang selama ini belum tercalar.

“Esok jangan tah dulu kita kamari.” Milah sugul.

“Mengapakan…? Nda sudi lagi…” MAT memandang tepat muka Milah.

“Bukan cam atu sayur kamarin pun balum abis.” Milah tunduk. Malu.

“Kalau ku kamari saja-saja…boleh kan…?” MAT cuba-cuba merayu.

“Jangan tah…esok ndaku dapat bejumpa kita.” Milah sedih.

Suara kecil dari dalam terdengar memanggil Milah. Tanpa berkata apa-apa Milah meninggalkan MAT yang masih banyak lagi hendak diungkapkan. MAT dengan perasaan hampa beredar meninggalkan rumah itu.

MAT berazam untuk meningkatkan lagi usahanya agar dapat mengumpulkan wang banyak-banyak dan kemudiannya nanti menyuruh emaknya meminang Milah untuk menjadi permaisuri hatinya. MAT senyum puas.

“Mulai hari ini abang akan berusaha untuk membuka ladang sayur. Kita akan eksport ke luar negeri.”

“Milah akan minta ayah untuk membantu kita bagi memudahkan kerja-kerja abang, agar hasilnya akan lebih baik dan lumayan.”

“Tidakkah Milah menyesal jadi isteri abang yang cuma menjual sayur ini…?”

“Milah menyintai abang bukan sayur abang…!”
MAT ketawa apabila dalam kepalanya ujud Milah yang sudah sah menjadi isterinya. MAT terkejut apabila suara emaknya memecah buyung imiginasinya.

“Jangan berangan-angan tinggi Mat…!”

“Mat bukan berangan-angan mak, Mat cintakan Milah. Mat akan mati jika tidak dapat kawin dengan Milah.”

MAT sudah nekad untuk mengambil Milah sebagai isterinya. Itu namanya cinta sejati, walau pada hakikatnya cinta itu seringkali diperkatakan buta. Apakah MAT akan berhasil memperolehi Milah gadis impiannya siang dan malam itu…?

Baru sehari semalam MAT tidak bertemu dengan Milah sudah terasa macam setahun lamanya. MAT tidak dapat melupakan Milah walau sesaat pun. Air yang ditelannya terasa berduri, apapun yang dipandanganya tidak lain hanyalah wajah manis Milah yang terpampang di bola mata hitamnya.

Apa kah begitu yang dikatakan gila bayang…?

“Kan kau antar ke mana sayur atu patang-patang ani Mat…?”

“Ke rumah Milah…!”

“Milah…?”

Hj Pudin menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Dia seakan teringat sesuatu apabila MAT menyebut nama Milah. Hj Pudin cuba mengingatinya tapi hilang kembali apabila ada pelanggan yang hendak membeli sayurnya. Hj Pudin benar-benar lupa.

Petang itu MAT mengayuh basikalnya dengan membawa beberapa ikat sayur untuk diberikannya kepada buah hatinya Milah. Oleh kerana dia merasa sedikit letih perjalanannya agak lambat.

Sampai di rumah Milah, MAT tidak nampak siapa-siapa apa lagi Milah. Baru beberapa saat keluar seorang perempuan pertengahan umur berjalan untuk menutup pintu pagar rumahnya yang belum bertutup itu.

“Ada Milah mak cik…?”

“Milah…?” Perempuan pertengahan umur itu terkejut.

“Saya hendak memberikan sayur ini padanya.”

“Bila kamu jumpa Milah…? Tanya perempuan separuh umur itu lagi.

“Dua hari lepas mak cik, saya selalu ke sini tapi mak cik tidak ada…”

“Milah anak mak cik tapi dia tidak ada…”

“Dia kemana mak cik…?”

“Dia sudah meninggal dua belas tahun dulu…”

“Apa…?” MAT jadi panik. Tubuh badannya terasa angat-angat dingin.

“Dia dilanggar kereta ketika hendak keluar dari simpang itu.”

Bulu roma MAT otomatik berdiri tegak sembilan puluh darjah. Dia memandang rumah dalam suasana yang beransur gelap itu bertambah seram. Sepantas cerkas MAT menghirit basikalnya dan berlari ketakutan meninggalkan rumah itu.

MAT dengan sekuat tenaganya mengayuh basikalnya sambil menoleh ke belakang. Takutnya lebih dari seratus kali ganda apabila rumah itu sudah hilang yang cuma nampak rumput rampai yang terbiar dan samar-samar dilihatnya terpacak beberapa batang batu nisan di kawasan itu.

Satu dentuman kedengaran setibanya MAT di simpang jalan besar itu. Basikal MAT melayang macam kertas. MAT jatuh tergolek lalu masuk ke dalam longkang kecil jalan itu yang airnya sudah bercampur dengan warna merah.

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online