Lagi dua minggu genaplah tiga penggal Lastari bekerja di Brunei Darussalam. Lastari begitu senang berada di negeri yang aman damai seperti ini. Mulanya Lastari bekerja di tempat lain sebagai amah tapi tidak lama, Lastari cuma dapat bertahan kurang dari tiga bulan. Lastari terpaksa berhenti demi harga dirinya kerana dikatakan cuba menggoda majikannya. Itulah hidup di negeri orang umpama berada di atas duri.
Sebelum Lastari sempat pulang Sidah mengambilnya untuk berkerja bersamanya mengusahakan sebuah ladang sederhana luasnya peninggalan arwah suaminya. Suami Sidah meninggal dunia tujuh tahun dulu kerana dilanggar oleh seekor kerbau sasak yang inginkan kebebasan dari tuannya. Sejak itu Sidah dipanggil ibu tunggal.
Sebelum trajidi yang menimpa suami Sidah itu tuan kerbau sendiri juga pernah nyawa-nyawa ikan dihentam oleh kerbau sasak itu hingga meninggalkan kesan sebelas jahitan di peha dan di punggung, sampai sekarang parutnya jelas kelihatan seperti bulan sabit merah. Kerbau sasak itu mengamuk kerana tidak mahu ditambat terus-terusan. Tahu-tahulah kerbau jantan sesekali rindu juga pada kerbau betina.
Hari-hari terakhir ini Lastari nampak sungul. Apa yang dibuatnya ada-ada saja yang tidak betulnya. Di suruh ambil cangkul diambilnya iskup, disuruh ambil parang diambilnya sabit. Tapi itu sudah cukup bagus bagaimana kalau disuruh kupas kelapa dikupasnya pula kepala…? (…maaf ini tidak mungkin terjadi).
Perubahan Lastari yang mendadak itu amat mengejutkan Sidah. Biasanya setiap pagi sebelum terdengar bunyi kicauan burung atau kokok ayam jantan, walaupun kokoknya sudah tidak dihiraukan lagi di era IT ini, maka suara Lastarilah yang pertama membuka lambaran ceria pagi dengan alunan vokalnya yang cukup mantap seakan penyanyi Elvey Sukaesih dengan lagu Suria Paginya di zaman 60an dahulu.
Sidah pula tidak merasakan dirinya keseorangan dengan adanya Lastari berkerja bersamanya, begitu juga Lastari yang kadang-kadang terlupa bahawa dirinya itu adalah seorang pekerja asing yang makan gaji dan tinggal pula di tempat orang yang bila-bila masa saja boleh diperhembat pulang jika berbuat sesuatu yang tidak diingini.
Sebagaimana orang lain juga Lastari punya keluarga nun jauh di seberang sana. Lantaran sedikit tidak kepersefahaman dengan suaminya telah mengundang jodoh mereka habis setakat itu dan inilah juga yang menyebabkan Lastari berada di Brunei Darussalam walau terpaksa meninggalkan anak-anak demi untuk sebiji nasi.
Lastari yang berbadan tegap dan keras itu memang cun-cun bekerja di ladang. Waktu itu Lastari berumur tiga puluh tujuh tahun dan Sidah baru masuk empat puluh sembilan tahun. Mereka ini rajin dan tekun bekerja serta gigih berusaha hingga berjaya menuai hasilnya yang cukup lumayan.
“Saya yang terhutang segalanya pada ibu, bukan ibu yang berhutang pada saya.” Pengakuan ikhlas dari Lastari, benar atau tidak cuma Allah yang mengetahuinya.
“Mengapa kamu kata macam itu…?” Sidah sambil membersihkan cangkulnya.
“Kerana setiap tenaga yang saya curahkan ke atas ladang ibu ini adalah berbayar, saya pekerja dan ibu adalah majikan saya.” Itulah kata hati dari seorang yang tahu diri, tidak ramai pekerja yang punya kesedaran seperti Lastari.
“Janganlah kamu beranggapan semacam itu, aku tidak pernah merasakan kamu pekerja dan aku ini majikan, kita sama-sama bekerja untuk menyara hidup kita.”
“Ibu sungguh baik susah hendak bertemu dengan orang yang sebaik ibu.”
“Kalau kita bekerja dengan ikhlas dan jujur, Allah akan sentiasa memberikan kita rezeki yang tidak akan habis-habisnya.” Sidah bersyukur.
Lastari menari mengikut gelombang hidup di negeri orang seprti sekarang ini. Pahitnya hampedu…manisnya madu dan masamnya asambui sudah dirasakannya. Jatuh bangunnya untuk cuba membena kehidupan yang lebih baik dan sempurna yang tidak mungkin diperolehinya di negaranya sendiri. Kerana itu Lastari rela berjauhan dengan anak-anak yang tercinta untuk mengutip sedikit rezeki halal diperantauan.
Kedatangan surat anaknya itu memaksa Lastari mengimbau masa-masa lalu yang sudah dikuburkannya dan tidak ingin mengingatinya lagi. Anaknya mengajak Lastari pulang untuk melihat wajah terakhir ayahnya yang telah meninggal dunia. Bagi Lastari wajah itu sudah tidak punya erti apa-apa lagi untuk ditatap.
Selaku seorang yang juga pernah kehilangan suami walau berlainan cara, Sidah cuba menasihatkan Lastari agar pulang walau cuma sebentar bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas suaminya itu, bagaimanapun juga dia tetap ayah kepada anak-ananknya. Tapi bagi Lastari apa yang telah berlaku itu adalah batas sempadan yang tidak mengizinkan mereka berjumpa lagi.
Kekerasan hati Lastari tidak boleh dilentur dengan lembut lidah dan manisnya bahasa. Kerana yang luka akan tetap luka dan pasti ada parutnya, kekecewaan dan buraian airmata Lastari tidak dapat disukat dengan nafas terakhir bekas suaminya itu, kerana kekesalan itu cuma diperolehi suaminya di saat-saat rohnya hendak berpisah dari badan.
“Orang yang sudah mati memang tidak dapat berbuat apa-apa, tapi kita yang hidup ini harus berbuat sesuatu terhadap orang yang telah mati.” Lembut nada Sidah.
“Luka hati saya ini terlalu parah bu seolahnya tidak ada ruang kosong untuk memaafkannya.” Lastari tunduk sambil menahan sebak di hatinya..
“Tapi anak kamu terlalu mengharapkan kamu pulang, jangan sampai semua itu nanti akan menambah kekesalan kamu di hari mendatang.” Nasihat Sidah.
“Saya tidak bermaksud untuk tidak mendengar segala nasihat ibu, terima kasih untuk segalanya itu.” Lastari menyiruk lendir yang mahu keluar dari hidungnya.
“Kalau semua itu kamu rasakan elok…ibu tidak memaksanya.” Sidah.
Malam itu adalah malah terakhir bagi Lastari membuat keputusan sama ada mahu pulang atau tidak. Negara Brunei Darussalam yang selama ini dirasakannya terlalu banyak merubah corak hidupnya tidak begitu mudah untuk ditinggalkannya. Lastari merasakan Negara Brunei Darussalam adalah benar-benar sebuah negara aman damai yang dapat memberikan ketenangan dan ketenteraman.
Sebelum sang mentari memancarkan cahayanya ke bumi, Lastari terlebih dahulu menikmati suasana pagi itu dengan kesyukuran. Rupa-rupanya Tuhan telah memberikan Lastari satu hari lagi untuk bernafas dan menikamti keindahan maya juga kemakmuran Darussalam yang kaya raya ini. Titik peluhnya yang meresap di bumi Darussalam ini tidak sia-sia untuknya meneruskan hidup.
‘Terima kasih Brunei Darussalam…’ Bisik hati Lastari.
“Kamu sudah habis fikir untuk semuanya ini Tri…?” Peringatan terakhir dari Sidah sambil memandang tepat wajah Lastari. Lastari tunduk kerana tidak tahan memandang sinaran mata Sidah yang lembut itu.
“Kebetulan jika saya mati dan berkubur di sini, juga saya tidak akan kesal bu…”
Begitulah akhirnya kata hati seorang isteri yang pernah dilukakan. Lastari tidak sanggup untuk melihat wajah orang yang membuatkan dia menderita, walau pada satu ketika dahulu orang itu pernah bertakhta dalam hati dan jiwanya.
Dalam usia Lastari empat puluh lima tahun itu sudah lebih dari cukup untuk merasakan penderitaan itu sakit, kerana itu Lastari bertekad tidak akan mengulanginya lagi. Ketenangan yang dirasakannya sekarang ini adalah hasil dari jerih payah dan linangan air matanya saban hari. Lastari ingin hidup bebas sebebas burung terbang di angkasa.
Lastari masuk ke dalam kereta Sidah yang sedang menunggunya setelah selesai menghantar sedikit ongkos kepada anaknya untuk belanja pengkebumian janazah arwah bekas suaminya. Sidah diam kerana dia tahu Lastari sedang menahan kepedihan.
“Yaa…Tuhan…! Ampunkanlah dosa-dosa bekas suamiku…”
Lastari menangis sambil menutup mukanya dengan kedua belah tapak tangannya, sementara dalam benaknya terbayang wajah bekas suaminya yang pernah dicintainya dengan sepenuh jiwa dan raga itu, tapi sekarang sudah pergi buat selamanya bersama iringan sebuah doa dan airmata.
Kereta Sidah meluncur menuju destinasi bersama seorang perempuan sepertinya yang menahan kehibaan, sesekali Sidah menyapu matanya kerana sudah digenangi air.
0 Comments:
Post a Comment