Friday, July 23, 2010

BAGAI KUMBANG

Asyraf sudah tiga hari berada di hospital. Menurut doktor Asyraf mengelami gangguan urat saraf kerana tengkorak kepalanya sedikit retak akibat terkena hentakan objek yang keras seperti kayu ataupun logam, tapi tidak begitu membahayakan.

Pada tiga suku pagi itu Syarmila dikejutkan oleh kejadian buang anak yang telah membongkar nostalgia hidupnya selama ini dalam merasakan lemak merdunya lagu cinta dan pahit getirnya sebuah melodi penderitaan, setelah terjerut oleh yang dinamakan pengorbanan demi sebuah cinta yang tidak boleh dijual beli.

Esoknya surat kabar laris semacam goring pisang panas, walaupun sebahagian orang sudah tahu sebelum tercatat dalam kepingan kertas yang berharga itu. Dan tentunya cetakan pada hari itu akan bertambah dari hari-hari yang sebelumnya.

Kalau Syarmila hendak menurutkan kehendak hatinya yang sakit itu mahu saja anak yang baru dilahirkanya itu di masukkannya ke dalam pelastik tidak kira apa warnanya dan di masukkan ke dalam tong sampah atau pun diletakkan betul-betul di hadapan gerai tepi jalan.

Biar orang lalu lalang gempar…biar penduduk kampung itu riuh…biarkan orang kampung kecuh apabila terserampak dengan mayat seorang bayi yang baru lahir dikurumuni lalat yang laparkan daging manusia kecil itu. Yang pasti surat kabar pada esok harinya akan laris dengan adanya berita yang sensasi seperti itu. Itulah tambahan rezeki orang surat kabar.
Syarmila tujuh belas tahun lalu hampir saja hendak memasukkan anaknya yang baru lahir itu ke dalam pelastik maut kerana hendak menutup malu hasil dari perlakuan ikhlasnya setelah lelaki yang macam kumbang itu pergi menghilangkan diri setelah menyedut madu segar dalam kelopak kuntum mekar kebanggaan Syarmila.

Bagaimanapun menyesali atas apa-apa perbuatan yang terlanjur kemudian disusuli dengan taubat berazam tidak akan mengulanginya lagi untuk selamanya adalah satu perlakuan yang terpuji. Yang selebihnya terserah pada Allah sama ada taubat itu diterima atau sebaliknya.

Kekesalan sudah mulai timbul dalam diri Syarmila yang sangat tabah mengharungi lembah yang beronak dan berduri itu. Kalau Syarmila tahu apa akan terjadi selepas tujuh belas tahun seperti sekarang ini, pasti Syarmila juga akan berbuat seperti apa yang terpapar di dada surat kabar pagi itu agar tidak menanggung derita sebagaimana yang mula dirasakannya sekarang ini.

Syarmila masih menatap surat khabar sambil menunggu Asyraf yang masih tidur setelah diberikan suntikan satu jam lepas. Asyraf sesekali terkejut tapi tidak sedar, inilah yang membuatkan Syarmila belum habis-habisnya membaca peristiwa itu kerana banyak gangguan.

Mungkin di mata umum boleh ditutupi dengan segala macam perbuatan sama ada di buang ke sungai, ditanam hidup atau mati, atau di letakkan depan pintu rumah orang yang pastinya akan selamat apabila tuan rumah itu membuka pintu ketika hendak pergi ke masjid sembahyang fardhu Subuh.

Tapi Syarmila tidak mahu menambah dosa-dosa yang terdahulu dengan dosa baru yang tentunya bersifat lebih kejam dan zalim apabila terpaksa membunuh anak kandung sendiri. Kalau ada seorang ibu yang membenci anaknya sendiri itu wajar dan masuk akal kerana ada sebab-sebab yang tertentu. Tapi kalau ternyata seorang ibu yang sanggup membunuh anak kandungnya tidak lain si ibu itu nyata gilanya.

Anak yang lahir atas kerelaan hati masing-masing walau dalam noda dan dosa lantaran perbuatan yang terkutuk dan berdosa besar itu, adalah hasil dari benih cinta yang diagung-canangkan, jadi mengapa pula benih yang menjadi darah daging seorang manusia yang lengkap itu harus dihapuskan dari muka bumi ini…?

Syarmila membelai anaknya seperti ibu-ibu yang lain dengan penuh rasa kasih sayang bagaikan ‘menatang minyak yang penuh’ kata peribahasa, walaupun telah menjadi mangsa indahnya cinta yang bila-bila masa saja boleh berubah menjadi syurga ataupun neraka.

Syarmila sebagai seorang ibu tentunya mempunyai harapan besar dan tinggi untuk membentuk anaknya agar menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara, walau pun bapanya telah menjadi perosak dan sampah masyarakat.

Itu langkauan perjalanan tujuh belas tahun yang dilalui Syarmila bersama anak lelakinya yang semakin membesar seperti juga anak-anak lain yang sebaya dengannya. Syarmila seharusnya berbangga kerana berjaya membesarkan anaknya itu walau dalam lingkaran masyarakat yang tidak pernah merasakan bagaimana habuannya derita itu.

Anaknya yang berwajah tampan dan mempunyai aura yang mendebarkan jantung setiap
gadis-gadis yang memandangnya telah juga menyumbang kebencian Syarmila terhadap anaknya itu. Kerana wajah anaknya itu seraut wajah bapanya yang membuatkan hidup Syarmila menderita dan terhina.

Yang satu ini Syarmila tidak dapat bertolak ansur dengan perasannya yang sememangnya membenci wajah itu walaupun wajah anak kandungnya sendiri. Apa yang diharapkannya selama ini tidak seperti apa yang hadir di hadapanya sekarang. Allah itu Maha Adil dan Maha Perkasa, wajah anaknya menyerupai bapanya. Ini yang membuatkan Syarmila jika kurang-kurang iman akan benar-benar menjadi gila.

“Bagaimana aku hendak hidup dengannya jika wajahnya menyakitkan hatiku.” Syarmila kesal walaupun kekesalan itu sudah tidak dapat membentuk apalagi untuk merubah apa-apa.

“Tapi dia itu anakmu…darah dagingmu, aku tidak percaya jika seorang ibu itu membeci anaknya sendiri seperti ini.” Lasinda mengingati Syarmila.

“Aku memang sayang pada anakku, tapi aku benci pada wajahnya, kerana wajah itu belum dapat aku hilangkan betapa dia menzalimi aku…” Syarmila mengeluarkan geram dan rasa bencinya.

“Yang curang itu Zairi tapi ini anakmu.” Lasinda pula rasa nak marah.

“Aku tidak mau menerima kehadiran wajah itu dalam hidupku.” Syarmila.

“Walau pun itu lambang cinta antara kau dengan Zairi dulu?” Lasinda.

Ini yang tidak dapat di jawab oleh Syarmila. Jalama yang dibesarkannya dalam keperitan hidup bersama genangan air mata, serta hinaan mahupun cemuhan masyarakat atas perbuatannya yang memalukan keluarga dan sekali gus membuatkan dirinya sendiri terhina itu, memang anak kandungnya.

“Apakah pengorbanan mu selama ini akan kau biarkan sia-sia begitu saja?”

“Aku tidak mengharapkan jadinya seperti ini.”

“Tidak ada manusia yang dapat mencorakkan kehidupannya sebagaimana ketentuan Allah, kau kena redha menerima semuanya ini.” Lasinda marah.

Lasinda memang berhak marah kerana sebelum semua itu berlaku Lasinda pernah memberikan kata mutiara yang berharga kepada Syarmila. Tapi kerana hembusan nafsu yang ditiup lembut oleh iblis laknat Allah dengan ulitan bayu asmara yang menyegarkan, maka terjadilah pertembungan antara pisitif dan negatif.

“Tapi mengapa macam ini…?” Syarmila masih terumbang-ambing.

“Itu baru sedikit balasan Tuhan atas perbuatan kamu, kau harus bersyukur.”

Waktu begitu laju memamah usia dan meratah keadaan, Syarmila merasakan anaknya semakin menyakitkan dan rasa benci yang tidak seharusnya berlaku. Apakah semua ini balasan awal dari sebahagian pembalasan yang akan diterimanya di akhirat nanti…?

Baru beberapa detik Syarmila baring atas katilnya kerana terlalu lemah selepas bekerja, tiba-tiba Syarmila dikejutkan oleh bunyi pintu biliknya yang dibuka orang dari luar. Syarmila tergamam seketika, Syarmila tidak percaya apa yang sedang dilihatnya sekarang walaupun kejadian itu benar-benar ujud di mata kepalanya sendiri.

“Mengapa kau ke sini…? Kau keluar…!” Syarmila berteriak menghalau lembaga itu. Zairi hadir di hadapannya.

Orang yang membuatkan Syarmila menyanyi tak berlagu, menari tak bergendang dan menangis tak berairmata itu semakin mendekatinya. Zairi menjamah bahu kiri Syarmila yang seakan hendak melakukan sesuatu yang tidak elok.

Dengan nafas yang semakin sesak Syarmila hilang sabar lantas mencapai jam jangka yang terletak atas meja soleknya itu lalu menghayunkannya ke kepala Zairi. Jam jangka itu berbunyi serentak dengan suara orang yang sedang menahan kesakitan.

“Mak…!” Asyraf memanggilnya.

Syarmila terkejut dan surat khabar di tangannya jatuh ke atas pangkuannya. Syarmila cepat memegang tangan dan mengusap rambut anaknya yang masih berbalut itu dengan perasaan kesal atas apa yang dilakukannya terhadap anaknya yang pada sangkaannya Zairi ayah Asyraf itu.




0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online