Friday, July 23, 2010

TEE 'O' RUTI 0

“Aku minta teh ‘o’…bukan kopi ‘o’...!” Bulat mata Haji Diris memandang wajah pelayan wanita itu, pelayan itu beredar dengan lenggang lenggoknya yang relix macam tidak ada apa-apa.

Mungkin kerana keriuhan dalam restoran itu yang menyebabkan pelayan wanita itu memberikan lain dari yang diminta. Maklum saja restoran kampung tepi jalan seperti itu order bukan pakai tulis cuma cakap dan main ingat.

Haji Diris seorang kontraktor bumiputera berumur 59 tahun, lagi satu tahun dianugerahkan gelaran ‘orang tua’ kalau dipanjangkan umur. Haji Diris seorang yang berjaya dalam karyanya dan bersih mengendalikan kerja-kerjanya, tidak pernah memberi apalagi menerima rasuah. Kalau menerima cendera hati itu adalah…!

Haji Diris bersama kawannya Wasli adalah di antara pelanggan restoran itu, mereka berdua ini sedang menunggu seseorang. Wasli bekas seorang pegawai kerajaan baru tujuh bulan berpencen yang masih terbawa-bawa tidak mahu duduk diam di rumah baik waktu pagi mahupun sebelah petang.

“Jika orang-orang gelap boleh maju berbisnes di negara kita ini, mengapa pula kita tidak boleh melakukan perkara yang sama di tempat lain?” Haji Diris memulakan perbualannya, Wasli cuma angguk.

“Cuba perhatikan di tempat-tempat seperti kedai-kedai runcit, kedai buku, tukang gunting, restoran tempat kita minum sekarang ini, semua muka-muka gelap inilah yang menjadi nadi pendenyutnya.” Haji Diris melepaskan wapnya.

“Itu bukan salah mereka cuma kita sendiri yang tidak mahu mengisikan tempat-tempat seperti itu.” Wasli mengeluarkan pendapatnya yang pertama sambil menghirup kopinya yang belum habis itu.

“Martabak yang kita makan ini pun sudah naik harga.” Haji Diris menoktah percakapannya buat sementara, tapi mulutnya tetap aktif mengunyah benda yang dikatakannya naik harga itu.

“Keputusanmu bagaimana…?” Wasli membuka cerita selanjutnya, kalau sama-sama membisu macam patung pula nanti.

“Aku akan teruskan juga.” Keputusan Haji Diris.

“Tapi kau nak bisnas apa lagi dan di mana pula?” Wasli menghirup kopi tariknya yang juga sudah dingin itu tapi masih sedap.

“Aku nak buka bisnes di Arab Saudi…” Haji Diris pula menghabiskan teh ‘o’ kurang manisnya yang tinggal sedikit itu. Kemudian Haji Diris memanggil pelayan wanita restoran itu dan meminta teh ‘o’ kurang manis lagi satu.

“Aku dapat mengagak kau nak bisnes apa di sana…” Wasli saja-saja nak jadi nujum Pak Belalang.

“Cuba teka…!” Kembang kicup lobang hidung Haji Diris, nampak beberapa helai bulu hidungnya berwarna putih itu terjuntai ke luar. Begitulah sibuknya orang macam Haji Diris hinggakan bulu hidung sendiri pun tidak ada masa untuk memotongnya.

“Tanam kurma…” Wasli senghaja bergurau.

“Kau jangan pula nak menyindiri aku Wasli, jika aku ada tanah di Arab Saudi itu, sudah lama aku buat restoran ‘Brunei Siuk’ di tepi jalan antara Jedah dan Madinah itu.” Haji Diris mengorek lobang hidungnya yang gatal kerana samak dengan bulu itu.

“Kalau bukan tanam kurma nak bisnes apa lagi?” Wasli selamba.

“Aku nak menubuhkan ejen pelancungan haji dan umrah di sana…” Haji Diris.

“Satu cadangan yang mulia, tapi kau kena selidiki dulu semua itu.” Wasli serious sekarang.

“Aku ada rakan warga Indun yang menjadi egen di sana, jika sudah nampak kukuh nanti, aku akan usahakan bersendirian.” Haji Diris semakin bersemangat.

“Ini bukan satu usaha yang mudah ataupun sambilewa, silap-silap nanti menjerut batang leher sendiri.” Wasli dengan prasangka negatifnya.

“Aku yakin akan dapat melakukannya dengan baik.” Tekad Haji Diris.

“Tujuan apa sebenarnya kau susah-susah hendakkan semua ini.” Wasli.

“Aku ingin memberikan sedikit sumbangan kepada jemaah-jemaah yang hendak mengerjakan ibadat haji mahupun umrah.” Itu azam insan yang bernama Haji Diris.

“Sumbangan yang bagaimana?”

“Perbelanjaan untuk mengerjakan ibadat umrah saja setiap tahun semakin bertambah.” Sedikit rasa kekesalan pada nada suara Haji Diris walaupun rendah.

“Mungkin saja disebabkan perbelanjaan di sana kian meningkat.”

“Itu salah satu dari puncanya, banyak hotel-hotel lama sudah dirobohkan, kemudian hotel baru pula muncul.” Haji Diris berhenti dan melihat jam tangannya.

Itu cerita tentang Haji Diris dengan azam dan bisnesnya. Macamlah di negeri ini tidak ada ruang untuk semua itu hingga melarat ke negara padang pasir untuk berbisnes. Tapi itu sudah cukup bagus kerana itu juga boleh dikatakan bisnes merentas global.

Haji Diris resah gelisah menunggu orang yang belum juga ada tanda-tanda kemunculannya. Sudah banyak sms di hantar tapi tidak ada balasannya, Wasli juga sudah penat duduk di kerusi macam kerusi dalam kem orang kahwin itu.

“Betulkah ada orang yang nak jual syarikat.” Wasli antara percaya dengan tidak.

“Kalau tidak betul buat apa aku susah-susah nak jumpa kamu berdua untuk berbincang.” Beralun nada Haji Sidek sebaik-baik saja ponggongnya yang lebar itu mencecah kerusi pelastik yang sudah kabur warnanya itu.

“Cadangan kau itu memang baik dan murni, tapi kau kenalah hati-hati jangan sampai tertipu.” Haji Diris awal-awal memberikan peringatan.

“Aku yakin ini bukan satu penipuan.” Jelas Haji Sidek yang banyak pengelaman itu.

Haji Sidek punya rancangan untuk membawa kawan-kawannya itu dalam satu perkongsian bagi membeli sebuah syarikat pelancungan yang hendak dijual oleh kenalannya yang berbangsa China, bukan China import tapi China Lokal.

Dengan adanya syarikat itu nanti akan dapat juga menambah dan membantu syarikat-syarikat pelancungan tempatan dan akan dapat memberikan peluang bagi mereka memilih mana satu syarikat yang mereka inginkan.

“Jangan-jangan syarikat itu nak bankrap kerana banyak hutang…!” Celah Wasli ikut sedap mulutnya.

“Mulut kau tu jangan cabul, perkara yang kita bincangkan ini adalah satu kebajikan.” Nada Haji Sidek macam marah. Wasli diam cuma nampak senyuman yang dipaksa untuk menutup malu.

“Syarikat seperti itu sudah banyak, nanti modal tak balik rugi bukan kepalang.” Haji Diris pula menimbulkan keraguan tentang jual beli serupa itu.

“Dalam soal bisnes begini untung atau rugi jangan dipersoalkan, jika niat kita baik Allah akan memberkatinya.” Haji Sidek meyakinkan bakal rakan kongsinya itu.

“Kalau dia jual syarikat itu apa pula perniagaannya nanti.” Haji Diris.

“Katanya dia akan berniaga lain kerana sudah lebih dua puluh tahun dia mengendalikan syarikatnya itu.” Jelas Haji Sidek.

“Dalam bab bisnes begini susah aku nak percaya.” Wasli yang belum ada tanda-tanda bersetuju itu semakin bimbang.

“Awal bulan ini aku akan terima elaun dua ratus lima puluh ringgit, itu pun kau masih tak percayakan aku?” Secara tidak langsung Haji Sidek memberitahu umurnya sudah enam puluh tahun.

“Bukan soal tidak percaya tapi kita kena siasat dulu latar belakang syarikat itu, nanti semua bank dia ada hutang mampuslah kita!” Wasli memang terlalu hati-hati apalagi jika perkara itu melibatkan wang ringgit.

“Kita harus bergerak dari sekarang sebelum orang lain memonopolinya, jangan nanti jika itu terjadi, siapa juga yang kecoh macam murai.” Haji Sidek susah-susah berperibahasa.

“Kalau macam itu cadangan kita ini bertali arus, kita punya syarikat sendiri dan ada ejen sendiri pula di sana nanti.” Haji Diris nampak ceria.

“Hah…! Bagaimana pula dengan kau Wasli, sunyi sepi saja macam diserang jet pejuang?” Haji Sidek.

“Kamu pun tau aku ini bukan orang bisnes, yang aku ada cuma pengelaman.” Wasli mengakui bisnes itu bukan ahlinya.

“Baksis kau yang banyak itu jangan pula dibiarkan berkulat!” Saja-saja lidah Haji Sidek yang tidak bertulang itu berdendang sayang.

“Aku nak bawa isteri dan anak-anak aku menunaikan fardhu haji tahun depan…” Jawab Wasli sambil memandang Haji Sidek.

“Alhamdulillah…! Jika rancangan kita ini berjaya nanti tidaklah susah-susah nak ikut syarikat orang lain.” Haji Sidek tidak merasa dia sudah melukakan hati orang lain.
Keriuhan restoran kampung itu walaupun tidak ada kaling yang karam, sudah cukup untuk mengurangkan sedikit bunyi telefon bimbit Haji Sidek yang sudah beberapa kali menjerit itu, cepat Haji Sidek menyambarnya dan terus melekat di telinganya.

Haji Sidek angguk-angguk dan giling-giling, Hj Diris dan Wasli tidak mendengar apa yang diperkatakan Haji Sidek apatah lagi suara dalam telefon itu. Haji Sidek menyudahi perbualan mereka itu dengan perkataan okey…bye..!

“Kita tak payah berbincang lagi...” Nada Haji Sidek tidak lagi sekencang seperti diawal perbualan mereka tadi.

“Baguslah kalau dah selesai.” Haji Diris.

“Syarikat yang hendak kita beli itu sudah dibeli oleh orang lain...” Macam robot tangan Haji Sidek mencapai gelas kopi susunya terus menghirupnya dalam-dalam.

“Mengapa mereka sering merampas peluang-peluang begini dari orang-orang seperti kita?” Haji Diris kesal. Bagaimanapun dalam hati mereka masing-masing sudah tahu siapa pembelinya.



0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online