Friday, July 23, 2010

DI ANTARA SAFA DENGAN MARWAH

Suami Hjh Nisbah cuma ada dua puluh persen untuk hidup, itu menurut kata manusia yang bergelar sang doktor. Akan tetapi ajal dan maut tetap di tangan Tuhan. Tuhan yang menentukan seseorang itu akan tetap hidup atau akan mati dengan serta merta.

Hjh Nisbah tahu suaminya akan mati, suaminya cuma menunggu saat dan ketika untuk pergi menghadap Illahi disebabkan oleh penyakitnya yang keronik itu, sakit yang di hidapinya selama ini sudah mencapai ke tahap kritikal. Siapa tidak tahu akan kesudahannya jika diserang angin ahmar, kalau tidak mati pun pasti akan menderita cacat seumur hidup.

Jika Tuhan telah mentaqdirkan Hjh Nisbah akan menjadi janda mahupun balu, Hjh Nisbah tidak dapat menolak kerana itu ketentuan Illahi, jadinya Hjh Nisbah akan tetap redha menerimanya. Hjh Nisbah sedia maklum bahawa semua yang ada di dunia ini masing-masing ada lawannya, kaya lawannya miskin…senang lawannya susah…harum lawannya busuk…cantik lawannya hodoh dan hidup pasti lawannya mati. Itu kata cikgu ketika Hjh Nisbah masih di sekolah rendah dahulu. Bergenang lubuk mata Hjh Nisbah yang selama hidupnya tidak pernah dilorek dengan eyes shadow itu.

Hjh Nisbah bersama suaminya berhajat hendak menunaikan ibadah haji bagi kali ke dua sebelum suaminya jatuh sakit dan ditahan di hospital lapan bulan yang lalu. Kerana itu Hjh Nisbah ingin membawa suaminya ke Tanah Suci sebelum suaminya pergi walaupun cuma mengerjakan ibadah umrah.

Itu kehendak dan keinginan Hjh Nisbah, tapi apa yang ditentukan oleh Allah adalah lain sebaliknya. Allah serta-merta menjemput suaminya kembali ke tempat asalnya dengan meninggalkan semua yang dikasihinya, walaupun mereka itu tidak menginginkan perpisahan sedemikian.

Sebelum itu Hjh Nisbah sudah berusaha meminta kebenaran doktor agar suaminya dikeluarkan untuk berserah diri di Tanah Suci, tapi sang doktor berkebaratan untuk membenarkan suaminya pergi dengan alasan dikhuatiri akan menimbulkan masaalah pada pihak-pihak berkenaan jika itu dilakukan.

Apapun Hjh Nisbah terpaksa akur kerana tidak mahu menerima risiko yang negatif jika larangan sang doktor itu digagahi ataupun dikarasi, kerana itu adalah satu keputusan dan ketetapan sang doktor yang perlu dipatuhi, kerana sang doktor itu orang yang diamanatkan, lainlah jika sang doktor itu pepat diluar recung di dalam.

Sang doktor betul dan suami Hjh Nisbah meninggal. Inaalillahi wa Inaaillaihi Raji’un.

Hjh Nisbah ingin menyampaikan hajat arwah suaminya itu untuk mengerjakan ibadah umrah bagi pihak arwah suaminya. Jiwanya tidak akan merasa tenang selagi Hjh Nisbah belum menyempurnakan hajat arwah suaminya itu.

Kini Hjh Nisbah adalah salah seorang penumpang yang sedang berada di dalam perut pesawat RBA yang sedang meluncur laju membelah angkasa menuju Kota Mekah al Mukarramah yang padanya tersergam Rumah Allah…Ka’bah kiblat muslimin dan muslimat di seluruh dunia.

Dalam penerbangan yang memakan masa lebih sepuluh jam itu cukup untuk membuatkan penumpang-penumpang merasa rimas dan penat. Baru lebih sedikit satu perempat penerbangan penumpang-penumpang mulai silih berganti ikut giliran masing-masing bagi melepaskan hajat dalam kotak kecil yang terhad itu.

Ada juga orang didalam itu kotak kecil yang terhad itu semacam tidak tahu ada orang lain sedang menunggu diluar yang juga hendak melepaskan hajat yang sama seperti dirinya. Itulah tabiat sesetengah orang jika inda pernah ingaukan orang lain sampai terbawa-bawa ke dalam perut kapal terbang.

Hjh Nisbah sebagaimana yang dihajatkannya untuk mengerjakan ibadah umrah wajib segera dilakukan sebelum dirinya sendiri pergi menyusuli kepergian suaminya itu nanti. Siapa tahu kerana esok-esok tidak pernah menjanjikan ada umur untuk semuanya itu. Hjh Nisbah ditemani oleh dua orang anaknya seorang perempuan dan serorang lelaki sebagai muhrim.

Muhrim itu perlu atau dengan kata lain wajib, tidak seperti lebih sepuluh tahun dahulu boleh tumpang muhrim pada saudara mara atau kawan, walaupun itu sudah terang-terangan satu penipuan yang risikonya akan terletak di atas bahu sendiri.

Hukum hakam agama tidak boleh dipandang ringan atau sambil lewa, walaupun niat itu elok jika salurannya tidak betul akan tetap juga salah. Apatah lagi tujuan pergi ke Tanah Suci itu yang tidak lain hanyalah untuk beramal ibadat, mengharapkan ganjaran pahala dan keredhaan Allah.

Itulah tekad yang tersemat dalam hati sanubari setiap jemaah dalam pesawat itu yang digerakkan Allah hati-hati mereka untuk menjadi tetamu-Nya. Kerana bukan mudah dan senang orang-orang yang pergi ke sana selaku tetamu-Nya.

Harta banyak melimpah ruah pun jika tidak disertai dengan kesihatan yang cukup, juga tidak akan sampai ke sana. Bukan sedikit orang yang berkemampuan malah lebih dari mampu, tapi tidak juga tergerak hati mereka untuk pergi, akhirnya sampai mati tidak pernah menjadi tetamu Allah. Ini amat merugikan, bersyukurlah kepada orang-orang yang diperkenankan menjadi tetamu-Nya itu.

Hjh Nisbah tertidur sebentar di hujung penerbangan itu walau tidak lebih dari ‘tidur-tidur ayam’. Tahu-tahunya terdengar bunyi jeritan tayar dan goncangan kuat yang menyebabkan Hjh Nisbah terjaga. Hjh Nisbah bersyukur kerana telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.

Kota Madinah al Munawarrah sudah banyak berubah, baru tiga tahun jaraknya Hjh Nisbah meninggalkan Kota Madinah itu dalam rangka menunaikan ibadat haji, sekarang sudah banyak bangunan-bangunan lama yang sederet dengan tanah perkuburan Baqi itu sudahpun dirobohkan dan tapaknya digali untuk membuat sesuatu yang baru. Hjh Nisbah sangat kagum dengan perubahan yang secepat itu.

Itulah barangkali yang dikatakan pembangunan seiring zaman demi untuk keselesaan umat-umat yang berkunjung ke situ (Kota Madinah). Dengan adanya bangunan-banguna yang baru itu nanti akan menambah keselesaan dan jaminan keselamatan para jemaah. Sama ada sedar atau tidak akan pasti menambah ongkos yang lebih besar.

Semua itu tidak mustahil akan terjadi. Apatah lagi sekarang ini semua hendak naik, harga minyak kapal terbang naik macam air pasang mendadak, sewa hotel juga turut naik mengikut taraf-tarafnya hingga memeningkan kepala tuan-tuan punya agensi pelancongan yang nafas mereka juga ikut turun naik mengira berapa jumlah harga pakage yang harus ditawarkan.

Hjh Nisbah tidak menyedari saat dan waktunya untuk meninggalkan Kota Madinah yang cuma tiga hari dua malam itu. Untuk meninggalkan Kota Nabi itu Hjh Nisbah terpaksa membayar dengan linangan airmata kerana terlalu sedih dan terharu. Tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh Hjh Nisbah kerana itu adalah tempuh yang wajib dipatuhi. Kota Madinah al Munawarrah terpaksa ditinggalkan, semakin jauh…jauh dan hilang dari pandangan Hjh Nisbah.

Perjalanan dari Kota Madinah ke Mekah al Mukarramah cuma memakan masa lebih sedikit empat jam. Bas meluncur mengikuti jalur-jalur jalan raya yang di kanan kirinya cuma ada bukit bukau yang gondol, jelas ketulan dan kepingan batu-batu keras itu tersusun rapi seolahnya tidak pernah di sirami air.

Hjh Nisbah kini sudah menjadi penghuni sementara di Kota Mekah dan akan ada pula saatnya nanti untuk meninggalkannya seperti Kota Madinah. Cuma bezanya di Kota Mekah Hjh Nisbah akan berada selama enam hari dan lima malam.

Sebagaimana di Kota Madinah, Kota Mekah juga tidak terkecuali menerima perubahan. Bangunan-bangunan yang terpacak bagaikan cendawan kering bertentangan dengan pintu al Fath Masjidil Haram itu sudah ranap semuanya. Royal Mekah Hotel yang baru berusia belasan tahun juga tidak terkecuali, apa lagi bangunan lama yang menjangkau

usia lebih lima puluh tahun semuanya menyembah bumi bagaikan diserang geruda. Itu senario Kota Mekah sekarang.

Hjh Nisbah bersama dua orang anak-anaknya antara jemaah yang mengerjakan tawaf umrah, mengelilingi Ka’bah dengan impitan jemaah-jemaah dari palbagai negara lain yang mempunyai tujuan cuma satu, berserah diri kepada Allah. Apa yang perlu ada dalam mengerjakan tawaf itu adalah kesabaran, jika tidak maka segala kerja tidak akan sempurna. Tolak-menolak…tertolak…sipak-menyipak dan tersipak adalah perkara biasa, namun begitu perasaan marah masih juga mahu dikeluarkan.

Tidak sampai pun empat puluh minit Hjh Nisbah selesai mengerjakan tawaf umrah dengan sempurna. Hjh Nisbah bersama anak-anaknya beredar ke Safa dan Marwah untuk mengerjakan saie. Mereka bertiga terpaksa bertarung dengan arus deras dari jemaah yang belum selesai tawaf di garisan permulaan itu.

Safa dan Marwah juga tidak terkecuali menerima perubahan. Kerja-kerja pengubah suaian yang sebahagiannya terpaksa ditutup untuk mengelak dari perkara-perkara yang tidak diingini berlaku, kerana itulah menjadikan kawasan Safa dan Marwah itu sempit dan kurang selesa kerana berhabuk serta bunyi bising orang-orang yang sedang bekerja.

Bagaimanapun Hjh Nisbah tidak menghiraukan semua itu yang penting mereka mengerjakan saei dengan sempurna, yang mana semua itu adalah juga dikira termasuk dalam bentuk dugaan ataupun cubaan kepada mereka mahupun kepada jemaah-jemaah lainnya.

Keriuhan zikir bercampur baur dengan bunyi ledakan jarum besi memecah batu-bata bukit Safa yang cuma dihadang oleh kepingan playut bagi mengalang batu-bata itu bertempiaran yang nantinya mungkin saja akan mencederakan para jemaah. Itulah juga satu perubahan yang menjanjikan ruang keselesaan setelah ianya siap nanti.

Ketika Hjh Nisbah bersama anak-anaknya berada di kawasan lampu hijau yang memberikan isyarat kepada jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak mengikut perlakuan Siti Hajar itu, Hjh Nisbah seakan terlalai buat seketika, Hjh Nisbah nampak seorang lelaki salin tak tumpah seperti wajah arwah suaminya sedang berlari-lari anak bersama jemaah-jemaah lain tanpa menghiraukan dirinya.

“Bang Aji…!” Hjh Nisbah memanggil dengan suara lantang dan nyaring.

Tidak ada sesiapa yang mendengar panggilan Hjh Nisbah itu walaupun anaknya sendiri yang dekat dengannya. Barangkali Hjh Nisbah memanggilnya dengan hati, bukan dengan suara mahupun gerak geri, atau panggilan Hjh Nisbah itu tenggelam oleh bunyi bising dalam sepanjang ruang Safa dan Marwah yang sempit itu.

Lelaki itu meneruskan lariannya kerana lelaki itu tidak tahu apa-apa. Juita anak perempuan Hjh Nisbah cepat memegang ibunya yang hendak mengejar lelaki yang dipanggilnya bang aji itu.

“Itu ayah kamu…!” Sambil memunjungkan mulutnya ke arah lelaki itu.

“Itu orang lain mak…bukan ayah…!” Juita tidak nampak seperti apa yang dilihat oleh emaknya itu.

Hjh Nisbah menjadi lemah, Juita memapah emaknya perlahan-lahan membawa ke tepi dinding. Hjh Nisbah terduduk dan menyandar di dinding sambil beristighfar, Juita mengurut dada dan belakang emaknya sambil memandang jemaah yang sedang bersaie itu. Hjh Nisbah bersama anak-anaknya baru saja memulakan perjalanan yang ke tujuh dan akan berakhir di Bukit Marwah nanti.

Benar suaminya sudah meninggal dan tidak mungkin akan menjelma sebagaimana yang dilihatnya sebentar tadi. Hjh Nisbah akur, tapi semua itu tidak mustahil jika Allah yang menghendakinya. Hjh Nisbah menangis terisak-isak, Juita tidak dapat menahan sebak di dadanya yang juga sudahnya menangis sama.

Keriuhan di Safa dan Marwah itu berhasil menenggelamkan sedu sedan, isak tangis Hjh Nisbah bersama anaknya itu dari pandangan mahupun pendengaran jemaah lain yang sedang khusu’ mengerjakan tugas masing-masing ketika itu. Bagi Hjh Nisbah tidak merasakan dia itu bermimpi ataupun berkhayal, kerana itu matanya tertumpu kepada jemaah lelaki yang berlari-lari anak itu untuk memestikan yang dia tidak berkhayal.

Belum pun reda degupan jantung Hjh Nisbah atas kejadian sebentar tadi, kini jantungnya berdegup tiga kali lipat cepatnya, darahnya juga otomatik naik dan ini yang menyebabkan badannya menjadi semakin lemah. Seorang daripada jemaah lelaki yang berlari-lari anak itu menoleh dan memandang tepat ke wajahnya dengan melambai-lambaikan tangannya sambil tersenyum.

“Itu ayah kamu sudah mendahului kita…!” Cuma itu yang keluar dari mulut Hjh Nisbah.

Pilu hatinya bukan kepalang apabila melihat suaminya melambai-lambai dengan senyum, Hjh Nisbah juga nampak dengan jelas wajah suaminya itu bersih dan berseri-seri. Hjh Nisbah tidak dapat bangun untuk meneruskan saienya, badannya mulai sejuk dan menggelatar.

Dalam keadaan begitu tidak seorang pun yang tahu apa yang telah berlaku di antara Safa dengan Marwah itu kecuali Allah. ‘Sesungguhnya Allah yang mengetahui atas segala sesuatu’.


0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online