Saturday, July 24, 2010

TERMINAL RINDU

GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PEMBUKAAN)…….
ANN: Bahagian……………. menghidangkan sebuah drama radio berjodol ‘Terminal Rindu’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam.
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…….
SPOT: BUNYI KAPAL LAUT DI TERMINAL DAN SUARA ORANG RAMAI RIUH RENDAH…BIARKAN…….
ROKIAH: (SEDIH) Abang Bakri…
BAKRI: (PERLAHAN DAN TERHARU) Rokiah…!
ROKIAH: (SAMBIL MENANGIS) Rokiah terpaksa pergi juga bang…Rokiah sudah tidak ada tempat di sini.
BAKRI: Jangan tinggalkan abang Rokiah…kita akan pergi bersama.
ROKIAH: (MASIH MENANGIS) Jangan bang…jangan…biarkan Rokiah saja yang pergi, Labuan tidak sejauh mana bang Bakri.
BAKRI: (AGAK KUAT) Rokiah…! Tunggu abang Rokiah…! Tunggu…!
SPOT: BUNYI KAPAL SEMAKIN JAUH KEDENGARAN…TIBA-TIBA TERDENGAR SATU LETUPAN…….
BAKRI: (MEMANGGIL DENGAN SUARA KERAS) Rokiaaahhh…!!!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (LEMBUT) Abang…mari pulang ke rumah bang, sudah dua hari abang tidak pulang.
BAKRI: (PERLAHAN) Jangan hiraukan abang…biar saja abang di sini.
DURA: Jangan macam ini bang…Dura takut tinggal sorang-sorang di rumah, kita pulang ya bang…
BAKRI: Jangan paksa abang Dura…ini tempat abang…abang menunggu seseorang, Dura pulang dulu…
DURA: Bawa mengucap bang…Rokiah sudah meninggal, kapal yang ditumpanginya hangus terbakar di tengah lautan.
BAKRI: Abang tau…tapi Rokiah tidak mati, abang akan tunggu dia di sini.
DURA: Kita pulang bang…esok kita ke sini lagi.
BAKRI: Abang tidak boleh pergi dari terminal ini, jika Rokiah datang siapa nak tolong dia nanti.
DURA: Jangan menurutkan rasa bang…kita orang beriman, bawa mengucap banyak-banyak.
BAKRI: Abang masih siuman Dura…abang belum lagi gila.
DURA: Di samping abang masih ada orang yang mengasihi abang, Dura isteri abang…(KUAT SIKIT) Bukan orang lain bang…!
BAKRI: Jangan ganggu abang, Dura…biarkan abang mencari ketenangan di sini.
DURA: Bukan di sini tempatnya bang…kita ada rumah tangga yang bahagia.
BAKRI: Abang merasakan ketenangan di sini, bersama hembusan angin laut…curahan sinaran bulan, dan berkerdipan bintang-bintang.
DURA: Kerana itu kita tidak boleh lama di sini…udaranya terlalu sejuk, nanti abang sakit.
BAKRI: Abang tidak boleh pergi dari sini…
DURA: (MENANGIS) Ya…Allah…! Apa yang telah aku lakukan…?
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
FLASH BACK
DURA: (PERLAHAN TAPI GERAM) Aku kira kau masih ingat padaku Rokiah…! Macam aku yang tidak akan melupakan kau…
ROKIAH: (SELAMBA) Mengapa pula aku harus lupa Dura…?
DURA: Aku Dura…yang tunangannya kau bawa lari puluhan tahun dulu.
ROKIAH: Ingatanmu masih kuat, Dura…
DURA: Apakah kedatanganmu kali untuk merampas hak milik aku lagi…?
ROKIAH: (HAIRAN) Apa yang kau cakap ni Dura…?
DURA: (GERAM) Kalau aku pontianak…aku akan ambil kembali hak milikku yang telah kau rampas, dan aku akan hirup darahmu hingga kau kempis.
ROKIAH: Bawa mengucap banyak-banyak Dura…
DURA: (MARAH) Jika selama ini aku tidak mengucap banyak-banyak, kaki kau itu tidak akan pernah memijak bumi Brunei ini seperti sekarang…!
ROKIAH: Rupa-rupanya selama ini kau berdendam padaku Dura…maafkan aku.
DURA: (KERAS) Sudah terlambat Rokiah…aku cuma mengharapkan supaya kau tidak akan membuat aku gila dan hilang perhitungan untuk membunuh kau.
ROKIAH: (PERLAHAN) Mengucap banyak-banyak Dura…mengucap…! Mengucap…!
DURA: (MENJERIT) Kau yang mengucap…! Bukan aku…bukan aku…!
GRAM: MUZIK SELINGAN SEBENTAR…….
DURA: (SEAKAN BERBISIK) Astaghfirullah alazim…! Mengapa aku masih mengingati peristiwa itu. Ya…Allah…! Jangan biarkan aku seperti ini, berikan aku jalan yang lurus…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SAID: (PERLAHAN) Sampai bila kau akan terpampang macam biawak punggur di terminal ini Bakri…?
BAKRI: (SELAMBA) Sampai bila-bilapun aku akan tetap di sini, Said…aku merasa tenteram melihat ombak-ombak yang berkejaran di laut sana.
SAID: (PERLAHAN) Bukankah ombak yang kau nampak itu telah berhasil menenggelamkan orang yang kau tunggu selama ini.
BAKRI: (SELAMBA) Tidak…ombak itu akan membawa Rokiah ke terminal ini, dan aku sedang menunggunya di sini.
SAID: Tapi laut itu tidak menjanjikan apa-apa padamu, sedangkan di daratan tersergam mahligai yang telah kau rasakan kenikmatannya.
BAKRI: Tapi mahligai itu sekarang telah bertukar menjadi neraka, Said…
SAID: (AGAK LKUAT) Kerana kau sendiri yang menukarnya…kau tidak dapat membezakan masa lalu dengan masa kini, kau berangan-angan dengan perasaan mudamu.
BAKRI: Aku tidak berangan-angan, Said…dan aku yakin penantianku ini tidak akan sia-sia. Laut…ombak dan angin sering membisikkan padaku bahawa Rokiah akan kembali padaku.
SAID: Kau terlalu banyak membuang masa pada apa yang belum pasti Bakri, semua ini tidak akan berlaku jika kau menerimanya sebagai takdir.
BAKRI: Jika Allah mentadkirkan aku dipertemukan dengan Rokiah, itu juga namanya takdir. Tidak salah jika kita menaruh harapan kan…?
SAID: (AGAK KUAT) Tapi Rokiah sudah tidak ada…! Dia mendapat musibah di tengah laut.
BAKRI: Aku tau…tapi Rokiah belum matikan…?
SAID: Semua mayat-mayat mereka belum di temui lagi.
BAKRI: (KUAT) Itu bererti Rokiah belum mati…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (PERLAHAN DAN SEDIH) Sudah tiga hari bang Bakri tidak pulang ke rumah…fikiranku bertambah kusut, Leha…
LEHA: Sudah kukatakan kau akan menangis lagi. Si Rokiah tu pemukun nombor satu, dia datang ke sini katanya nak meminta maaf…tapi itu alasanya saja.
DURA: Dia lari bersama tunangan aku dulu itu lain hal, tapi sekarang dia muncul lagi dengan tiba-tiba, hati siapa yang tidak akan sakit.
LEHA: (GERAM) Sekarang sudah setimpallah dia menerima hukuman.
DURA: Itu betul Leha…tapi aku terasa berdosa pula, aku terlalu menurutkan perasaan dendamku ketika itu.
LEHA: Dosa dan pahala bukan kita yang mengukur, Dura…
DURA: (PERLAHAN) Dia datang ke sini untuk minta ampun dan maaf padaku, tapi aku tidak memaafkannya…malah aku mengugut hendak membunuhnya. Dia merasa kecewa.
LEHA: (KUAT) Dulu kau yang kecewa dia tidak fikirkan…malah dia berpesta pula di atas kedukaanmu.
DURA: (MENGELUH) Tapi sekarang dia sudah tidak ada, Leha…
LEHA: (KUAT) Bagaimana pun atas kemunculannya itu juga telah menggoncang keharmonian rumah tanggamu. Kalau dia tidak ke sini semua perkara ini tidak akan berlaku.
DURA: Inilah kesilapanku yang sukar diterima oleh bang Bakri, aku tidak rela Rokiah meragut hak milik aku buat kedua kalinya.
LEHA: (KERAS) Laki kau itu pun satu juga…gatal tak sudah, dapat isteri baik macam kau ini pun masih ada hati dengan kekasih lama dia tu…!
DURA: (AGAK KUAT) Leha…!
LEHA: (KUAT) Apa…?
DURA: Bang Bakri itu laki aku tau…mengapa kau cakap macam itu…?
LEHA: (TERAGAK-AGAK) Oh…! Aaa…aku terlalu emosi…sorry yah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
FLASH BACK
ROKIAH: (PERLAHAN DAN LEMBUT) Biarkan Rokiah pergi bang Bakri…Dura tidak dapat memaafkan aku, dosa-dosaku terlalu besar terhadapnya dan juga pada bang Bakri.
BAKRI: (TERHARU) Jangan perkatakan soal dosa…abang tidak mau berpisah lagi dengan kau Rokiah, sekali tangan abang menggenggam…tidak akan abang lepaskan.
ROKIAH: (SEDIH) Lepaskan tangan Rokiah bang Bakri…tangan Rokiah ini berlumur noda dan dosa, tidak layak buat bang Bakri. Di seberang sana ada kebahagiaan sedang menanti Rokiah…
BAKRI: Jangan bohongi abang…hati kita sedang berbisik agar jangan berpisah, biarlah perpisahan itu cuma sekali dalam hidup kita.
ROKIAH: (MENANGIS) Ampunkan Rokiah dunia dan akhirat bang Bakri…mungkin kita tidak akan berjumpa lagi, siapa tau sebentar lagi Rokiah akan mati…!
BAKRI: Kita tidak akan berpisah lagi Rokiah…kecuali maut…!
GRAM: MUZIK SEBENTAR…….
DURA: (PERLAHAN) Abang…Dura tidak mau memaksakan kasih dan sayang abang terhadap Dura seperti dulu. Cuma Dura mengharapan abang akan dapat memaafkan Dura.
BAKRI: (AGAK KERAS) Dura selama ini terlalu ego…Dura tidak pernah menghormati abang selaku seorang suami, Dura sentiasa dibaluti dengan perasaan cemburu, padahal abang telah berkorban untuk Dura…!
DURA: (MENANGIS) Kiranya Rokiah hidup kembali…dan itu kehendak abang, Dura rela asalkan abang memaafkan Dura. Dura tidak punya siapa-siapa di dunia ini selain dari abang.
BAKRI: (PERLAHAN) Sudah terlambat Dura…semua itu kerana kekejamanmu, kau terlalu pentingkan diri sendiri tanpa mengira untuk rugi orang lain.
DURA: (MASIH MENANGIS) Allah yang menentukannya bang…Dura tidak mau kehilangan abang, Dura rela menjadi tebusan pengorbanan abang.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SAID: Jangan lakukan sesuatu yang nyatanya merugikan, Bakri…
BAKRI: Aku tidak punya apa-apa lagi untuk dikira untung mahupun ruginya.
SAID: Jangan sia-siakan hidup yang selama ini kita jalani dengan palbagai dugaan dan cabaran hingga kita sampai ke usia sekarang ini.
BAKRI: Tapi Dura tidak memahami apa yang aku inginkan.
SAID: Lalu…apa yang kau inginkan selama ini…? Berpuluh tahun kau berhujan berpanas, pahit manis meredah kehidupan bersamanya.
BAKRI: Orang lain tidak akan tau, Said…hatiku telah hancur…!
SAID: (KERAS) Kau sendiri yang menghancurkannya…semua itu berpunca cuma sedikit dari kemunculan Rokiah. Tapi sekarang dia sudah tidak ada, kau harus terima hakikat itu.
BAKRI: Aku akan terus menunggunya Said…aku yakin Rokiah akan ke sini lagi.
SAID: (MENGELUH) Okey…! Bermainlah kau dengan angin…ombak… pantai dan juga pokok-pokonya sekali, aku akan lihat hasilnya nanti.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (MENGELUH) Mengapa dunia menghukum aku begini…apakah aku yang bersalah dalam perkara ini.
LEHA: Tidak ada sesiapa yang boleh menghakimkan soal perasaan, Dura… kerana perasaan itu hak individu. Orang yang membunuh juga mengatakan haknya untuk membunuh.
DURA: Aku cuma menyemai cinta tanpa kasih dan sayang…aku alpa selama ini kerana asyik bermain dengan perasaanku sendiri, tanpa memikirkan perasaan orang lain.
LEHA: Itulah namanya manusia biasa yang serba kekurangan, kita tidak terdaya untuk menyelam lebih jauh ke dasar lubuk hati orang lain walaupun dia suami kita sendiri.
DURA: Aku tidak sedar selama ini…rupa-rupanya aku cuma teman hidup bang Bakri, tapi bukan teman hingga ke mati.
LEHA: Siapa sangka masa-masa berlalu akan kembali menghantui hidup kita masa ini. Seperti mukun yang sudah berkubur puluhan tahun itu…tiba-tiba bangkit kembali.
DURA: (LEMBUT) Aku tercari-cari di mana salah dan silap ku, sekarang aku cuma berserah pada Tuhan, kerana Dia yang mengetahui segala-galanya.
LEHA: Tidak boleh berserah bulat-bulat saja pada takdir, Dura…usahakan sesuatu jangan nanti kelopak matakau itu sentiasa basah dengan air.
DURA: Kalau sudah ditakdirkan macam itu…aku nak buat bagaimana. Kawan baik aku sendiripun berharap begitu, terima sajalah.
LEHA: Aku tak sangka orang tua macam kau ini jika merajukpun nampak manis juga…aku tu cuma bergurau tidaklah sampai sekejam itu.
DURA: Aku sedar siapalah aku ini dalam hati dan perasaan bang Bakri, yang cuma tersangkut kerana tertangkap basah.
LEHA: Tak ada gunanya diungkit-ungkit perkara macam itu…itukan jodoh namanya, Dura…
DURA: Aku kesal selama ini kerana tidak tahu menilai hati dan perasaan suamiku sendiri, aku sepertinya lupa daratan. Aku tenggelam dengan perasaan dendamku.
LEHA: Setelah kau sedar sekarang…kau harus mengatur langkah, langkah yang menjanjikan rumah tangga kamu kembali aman seperti dulu.
DURA: (PERLAHAN) Aku akan cuba, Leha…aku pasrah jika aku menemui kegagalan…mungkin itu satu hukuman awal untukku.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SAID: (PERLAHAN) Hiduplah di alam realiti dan terima kenyataan ini, Bakri…baliklah ke rumah di sana ada orang yang menunggu kau.
BAKRI: Aku lebih selesa di sini…inilah mini dunia aku, aku terasa bersalah jika aku tidak berada di sini.
SAID: Beristighfar banyak-banyak…hadirkan diri dengan mengingati Allah, semua itu dorongan iblis dan syaitan.
BAKRI: Aku masih ingat pada Allah, Said…
SAID: Ingat saja tidak cukup jika iman tidak kuat, Bakri…kau harus melawan segala bisikan-bisikan syaitan itu.
BAKRI: (SEDIH) Masih terbayang wajah sayu Rokiah ketika tangannya terlepas dari genggamanku.
DAUD: Apapun kau adalah milik isterimu…sedangkan dia adalah orang lain dalam hidupmu.
BAKRI: (AGAK KUAT) Tapi dia pernah bertahta dalam hatiku ini…!
DAUD: Kalau dulu memang betul…tapi sekarang…?
BAKRI: Tidak ada bezanya dulu dan sekarang, Daud…semuanya sama…
DAUD: Nalurimu telah dihalang oleh nafsu dan perasaanmu, kerana itu kau tidak nampak apa-apa walaupun di dalam cahaya yang terang.
BAKRI: Aku masih menimbang antara syurga dan neraka.
DAUD: Aku harap kau akan memilih syurga…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (SEDIH) Dura sedar siapa Dura ini dalam diri abang…Dura cuma sebahagian dari serpihan hidup abang yang tidak punya makna apa-apa.
BAKRI: Sebesar manapun kekesalan itu tidak akan dapat menghidupkan orang yang telah mati Dura.
DURA: (PERLAHAN) Kalau Dura dapat melupakan bekas tunangan Dura lari bersama Rokiah, mengapa pula abang belum dapat melupakannya…?
BAKRI: Cinta sejati tidak akan ada tukar gantinya…
DURA: (AGAK KUAT) Dura ini adalah isteri abang yang sah…apakah abang tidak dapat melupakan kesalahan, Dura…?
BAKRI: Abang tidak menafikan kesetiaan Dura pada abang selama ini.
DURA: (MENENGIS) Katakan apa yang abang maukan untuk menebus semua kesalahan Dura itu…Dura akan lakukan kiranya semua itu dapat memuaskan hati abang.
BAKRI: Abang tidak menghendaki semua itu…sudah tidak ada ertinya.
DURA: Apakah Dura akan terjun ke laut untuk bersemadi dengan Rokiah…itukah yang abang inginkan…?
BAKRI: (AGAK KUAT) Jangan Dura…jangan lakukan itu…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SPOT: SUARA ORANG RAMAI RIUH RENDAH…BIARKAN…….
SAID: (SEDIH) Bakri…mayat Rokiah sudah ditemui…dia telah mendahului kita menghadap Allah.
BAKRI: Aku tidak percaya dia mati, Said…Rokiah masih hidup…!
SAID: Kau lihat sendiri Bakri…itu mayat Rokiah sedang diusung ke kereta, hadirlah sekarang di alam nyata, Bakri…
BAKRI: (SEDIH DAN PERLAHAN) Terlalu cepat kau pergi Rokiah…mengapa harus demikian kepergianmu…? Yaa…Allah…! Engkau ampunkanlah segala dosa-dosanya…
SAID: (TERHARU) Allah memberikan yang terbaik baginya, Bakri…walau tidak seindah seperti yang kita nampak.
BAKRI: (BERBISIK) Rokiah…aku akan merinduimu selamanya di sini, terminal ini menjadi saksi kerinduan kita.
DURA: (MENANGIS) Abang…relakan dia pergi bang…jangan tambahkan deritanya lagi.
BAKRI: Mengapa kau menangis, Dura…? Seharusnya kau gembira…
DURA: (TERHARU) Air mata orang perempuan…walau sedendam manapun, pasti akan mengalir juga dalam saat-saat seperti ini bang.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (PERLAHAN) Halalkan makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad Dura bang…
BAKRI: Hari ini ataupun esok…masih ada masa untuk menebus segala kesalahan…kita sudah lama mengenal kehidupan yang sebenarnya.
DURA: (SEDIH) Dura jahil dalam menilai erti kehidupan apa lagi pengorbanan, kerana itu Dura terasa ditipu oleh diri sendiri. Tidak ada lagi yang hendak dibanggakan.
BAKRI: (SELAMBA) Semua orang merasa tertipu dan ditipu…tapi manusia sering lupa, walau sejarah hitam pernah membungkusi diri mereka.
DURA: Kerana itu Dura tidak mau dibayangi oleh titik-titik hitam yang menjadi racun dalam diri abang…walaupun sebenarnya ia setitik penawar.
BAKRI: Antara racun dan penawar hampir serupa buat abang…abang bukan jauhari yang kenal ma’nikam.
DURA: Moga apa yang Dura lakukan ini...membuatkan hidup abang lebih bermakna, Dura akan menikmati sisa-sisa kebahagian kita bersama sampai ke liang lahat.
BAKRI: Kedewasaan mengajar kita berbuat sesuatu…kita punya hak masing-masing untuk menentukan hala tuju yang sebenar.
DURA: (MENANGIS) Izinkan Dura pergi bang…di sana mungkin ada rezeki ataupun maut sedang menanti Dura. Assalamualaikum…!
GRAM: MUZIK SEBENTAR…….
SPOT: BUNYI BEREK KERETA YANG DIIKUTI OLEH DENTUMAN KUAT DAN DIIRINGI DENGAN JERITAN .
DURA: (MENJERIT DENGAN KUAT) Abaanggg…!!!
BAKRI: (TERKEJUT) Ya…Allah…!
GRAM: MUZIK PENGENALAN (PENUTUP)…….

ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Terminal Rindu’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam…


==============================================================

PARA WATAK

1 BAKRI
2 ROKIAH
3 DURA
4 SAID
5 LEHA.






0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online