MALAM JAM 11.37
Setiap malam Dolmat tidak dapat tidur dengan nyenyak, malah hendak tidur-tidur ayam pun susah, bukan Dolmat tidak percaya pada semua orang, tapi dalam keadaan seperti sekarang ini, tipu sana tipu sini perlu juga berawas-awas dan berhati-hati seterusnya berjaga-jaga.
Ada tipu yang sudah jelas menipu tapi masih juga tidak sedar bahawa itu adalah satu penipuan, misalannya melalui sms…emel dan seumpamanya dengan mengucapkan tahniah kerana berjaya memenangi hadiah wang tunai berjumlah $00,000.00…?
“Orang yang hendak hidup ni Piah macam-macam boleh jadi, asal dapat wang dengan senang…sudah.” Indah tak indah komen Dolmat.
Piah itu ialah isteri Dolmat…nama penuhnya Supiah, pada waktu muda-muda mereka bercinta dahulu Dolmat memanggil dengan nama romantik Su…tapi sekarang sudah berumur panggilan itu otomatik bertukar menjadi Piah.
“Kalau hendak hidup pun biarlah dengan usaha yang elok dan halal bang, supaya rezeki itu berkat dan berkekalan.” Sahut Piah indah tak indah juga macam suaminya.
Apa pun dalam diri yang terlibat itu wajib bertanya munasabah atau tidak jika berjaya memenangi sesuatu hadiah, apalagi dalam bentuk wang tunai yang begitu lumayan jumlahnya, sedangkan satu apapun tidak pernah dilakukan bagi tujuan semacam itu. Ini sudah jelas dan nyata pembohongannya dari pihak-pihak tertentu yang ingin cepat kaya dengan cara yang paling mudah.
“Kalaulah abang dapat hadiah yang sebanyak itu.” Bisik Dolmat di kuping telinga isterinya.
“Jangan fikirkan perkara yang sia-sia itu bang, tidur lagi baik.” Jawab isterinya antara dengar dengan tidak.
“Manalah tau nasib kita baik, kalau dapat abang akan bawa Piah melancong ke Mesir melihat piramid dari dekat, mumia Firaun dan macam-macam lagi.” Suara Dolmat agak kuat sikit, kemudian Dolmat senyum kerana dia cuma bercakap sendirian sedangkan isterinya sudah mulai berdengkur.
MALAM JAM 11.53
Sebenarnya Dolmat juga berusaha ingin berdengkur sama macam isterinya. Tapi semua itu agak susah kerana Dolmat tidak dapat tidur semudah isterinya tidur, letak saja kepala atas bantal, tidak lebih sembilan puluh sembilan saat pasti ada bunyi.
PAGI JAM 01.10
Suasana yang begitu tenang tidak berhasil memancing mata Dolmat untuk berehat, fikirannya masih melayang-layang entah sampai ke mana, bagaimana pun Dolmat cuba memajamkan matanya untung-untung akan dapat berlayar bersama-sama isterinya melancung ke Tanah Arab walau pun dalam sebuah mimpi.
“Jangan cepat lembut hati bang.” Piah memberi peringatan.
“Ini satu keuntungan yang besar…rugi kita nanti.” Dolmat berkeras.
“Rugi yang macamana…?” Tekan Piah.
“Apa susahnya kita masukkan wang ke dalam akaun mereka, kemudian mereka akan masukkan wang yang kita menangi itu ke dalam akaun kita balik.” Dolmat yakin.
“Menang apa ni bang…pertandingan apa yang abang menangi ini…?” Piah masih tidak percaya.
“Kita tak boleh lepaskan semua ini Piah, tanpa berbuat apa-apa kita sudah dapat tiga puluh ribu ringgit.” Dolmat cuba meyakinkan isterinya.
“Kalau abang tak mau dengar kata-kata Piah tak mengapa, tapi abang jangan menyesal nanti.” Piah sekali lagi memberi ingatan pada suaminya.
Dolmat begitu mudah terpedaya oleh pujuk rayu iblis dan syaitan, malam itu terlalu panjang dirasakan oleh Dolmat, fikirannya mengembara, di ruang matanya sudah terbayang warna-warni kepingan wang kertas yang akan diterimanya setelah semua urusan itu selesai nanti.
Esok pagi Dolmat akan pergi berurusan walau tanpa keizinan isterinya. Itu tekad Dolmat, bola matanya sudah dibungkus oleh kepingan wang kertas yang berjumlah puluhan ribu ringgit itu.
“Kembalikan cek itu bang…!” Keras suara Piah.
“Apa sudah jadi dengan kamu ini Piah…?” Dolmat memandang tepat ke wajah isterinya.
“Itu bukan wang kita bang, itu adalah wang haram tak boleh kita terima.” Piah membantah.
“Inilah kata orang menolak tuah, ini rezeki tau…!” Dolmat berkeras lagi.
“Rezeki yang haram itu walau berjuta banyaknya tidak akan ada berkatnya bang.” Piah mempertahankan apa yang diyakininya benar. Piah memang di pihak yang benar.
Dolmat tidak menghiraukan nasihat isterinya malah fikiranya melayang-layang jauh memikirkan ke mana wang yang sebanyak itu akan ditaburkannya. Dolmat terfikir juga hendak membesarkan rumah tapi rumahnya itu sudah cukup besar, ada dua tiga bilik lagi yang kosong tidak berpenghuni, kerana anak-anaknya sudah berumah tangga dan tinggal dirumah mereka masing-masing.
“Piah tak mau wang haram itu bang.” Piah tetap mempertahankan halal haram wang itu.
“Mana haramnya…abang tidak tikam ekor, jauh sekali main judi…!” Dolmat.
“Apapun bang wang itu tetap haram…!” Piah.
Kekerasan hati isterinya itu membuatkan Dolmat serba salah. Memang agak bodoh juga jika diberikan wang yang sebanyak itu tidak diterima, sedangkan wang itu bukan didapat dengan titik peluh sendiri, cuma masuk lima ribu keluar tiga puluh ribu. Apakah itu bukan satu keuntungan namanya, yang mungkin dinikmati cuma sekali seumur hidup.
Angka tiga puluh dengan diikuti oleh lima kosong selepas koma yang tertulis dalam cek itu telah berjaya memperkosa keimanan Dolmat, jati diri Dolmat sudah ternoda oleh manisnya angka-angka ringgit yang tercatat di atas sekeping cek itu walau cuma berupa sehelai kertas.
Dolmat terfikir juga kerana cek yang berharga tiga puluh ribu ringgit itu sudah banyak menganggu fikiranya dan keharmonian mereka suami isteri pula sudah tercelar tidak seperti sebelum ini. Piah tidak pernah membantah kata-katanya walau sepatah pun, tapi sekarang dengan adanya sekeping cek itu semua sudah lain jadinya, mulut Piah lebih kecoh dari murai. Apakah benar wang itu nanti tidak ada berkatnya…?
“Kalaulah begini kelakuan abang, Piah akan keluar dari rumah ini, Piah tidak mau berkongsi dosa dengan abang.” Piah dengan tegas dan berani.
Nasib baik jantung Dolmat masih kuat untuk menghadapi ugutan itu, apa tidaknya orang yang satu-satunya dicintai…dipeluk dan dicium dengan perasaan kasih sayang berdekad-dekad lamanya, kini pada saat-saat usia dalam lingkaran emas menawarkan diri untuk keluar rumah meninggalkan dirinya. Ini tidak mungkin berlaku, pasti tidak akan berlaku
“Sekarang abang nak buat bagaimana?” Dolmat macam mengalah.
“Kembalikan cek haram itu jika abang hendakkan Piah tinggal di rumah ini bersama abang.” Nampak urat-urat leher Piah timbul macam cacing kepanasan. Piah tidak main-main dan memang Piah tidak pernah main-main apalagi dipermain-mainkan.
Dolmat serba salah, matanya masih tertumpu kepada angka cantik yang tetulis dalam cek itu. Jumlah itu terlalu besar amat rugi jika tidak diterima, kalau hendak dibandingkan dengan simpanan lebihan gajinya sampai mati pun tidak akan mencampai jumalah yang sebanyak itu.
Pagi-pagi lagi Dolmat pergi ke bandar untuk berurusan dengan pihak berkenaan, isterinya masih tidur, Dolmat tidak mahu isterinya mengetahui kepergiannya itu. Dolmat yakin kalau isterinya melihat wang yang sebanyak itu nanti, tentu akan berubah fikiran dan ini adalah juga satu kejutan buat isterinya. Walaupun Dolmat tahu isterinya bukan mata duitan.
Dolmat memberikan cek itu kepada casher yang bertugas di kauntar itu dengan perasaan gembira, kerana sebentar lagi dia akan menerima dan mengira wang yang ditunggu-tunggunya itu. Casher itu memerhatikan cek berkenaan kemudiannya bangkit lalu masuk ke dalam bilik disebelah kanannya.
Tidak sampai tiga minit casher itu keluar bersama seorang wanita awal empat puluhan bertudung lengkap dan berkaca mata putih begitu sopan menuju kearah Dolmat sambil tersenyum, melihat keadaan itu Dolmat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Belum sempat Dolmat membuka mulut wanita bertudung lengkap berkaca mata putih itu memberi salam. Dolmat menjawab salam wanita bertudung lengkap berkaca mata putih itu, dalam hatinya sudah terasa sedikit debaran.
“Kami minta maaf kerana tuan telah menjadi mangsa penipuan.” Jelas wanita bertudung lengkap berkaca mata putih itu.
“Apa maksud puan…?” Fikiran Dolmat mula berkecamuk.
“Ini adalah cek palsu dan pemilik sebenarnya tidak ujud…!” Wanita bertudung lengkap berkaca mata putih itu memandang tepat ke wajah Dolmat yang sudah mulai berubah…gelisah.
Sejuk tubuh badan Dolmat bukan alang kepalang umpama baru keluar dari dalam kolam bernang setelah lama berendam. Ruang dalam bank yang terang benderang itu seakan gelap pada pandangannya. Dolmat tidak tahu perkataan apa yang hendak diungkapkannya, sekunyung-kunyung dia teringat akan wangnya yang telah dimasukkannya sepuluh hari yang lepas.
“Bagaimana dengan wang saya yang sudah terlepas itu…?” Dolmat seperti meminta simpati atas kejadian itu.
“Kami minta maaf sekali lagi kerana itu di luar dari tanggung jawab kami.” Wanita bertudung lengkap berkaca mata putih itu beredar masuk ke biliknya.
Casher yang tadinya diam itu memberikan kembali cek itu kepada Dolmat. Dolmat menerimanya dengan layu langsung mengoyak cek yang cuma punya nilai tidak lebih dari sekeping kertas biasa itu lalu membuangnya ke dalam tong sampah dengan perasaan geram yang teramat sangat.
PAGI JAM 04.40
Serentak dengan itu isyarat mesej telefon bimbitnya berbunyi. Dolmat tergamam seketika, cepat pancaran matanya memanah ke seluruh ruang bilik tidurnya yang samar-samar cuma diterangi oleh lampu tidur itu dan pada akhirnya berhenti di wajah isterinya yang masih tidur dengan nyenyaknya.
Cepat Dolmat menyambar telefon bimbitnya itu sesudah dia pasti bahawa dirinya tidak lagi berada di alam mimpi. Dolmat terkebil-kebil membaca satu-satu perkataan yang tertulis di skrin telefon bimbitnya itu. ‘TAHNIAH ANDA TELAH MEMENANGI HADIAH WANG TUNAI BERJUMLAH TIGA PULUH RIBU RINGGIT.’
Dolmat memandang wajah isterinya sekali lagi, jejarinya cepat mendelete ucapan yang tidak diundang itu, kerana Dolmat tidak mahu isterinya tahu tentang mesej yang baru diterimanya itu. Isterinya terus berdengkur…!
0 Comments:
Post a Comment