Setapak kaki-kaki Tompok melangkah adalah sebuah pencarian di mana Bubuk berada, setiap pancaran sinar mata Tompok cuma pada raut wajah Bubuk yang menceriakan hidupnya selama ini, tanpa Bubuk hidup Tompok bagaikan malam tidak berbulan dan berbintang, begitu bermaknanya hidup Bubuk dalam badan yang bernama Tompok.
Tompok sudah meredah ke setiap halaman dan kampung ‘orang’ untuk mencari Bubuk, namun Tompok belum juga bertemu dengan tangkai hatinya yang pasti sudah melahirkan anak-anaknya itu. Tompok tidak menghiraukan keselamatannya, apapun halangan atau rintangan Tompok tidak akan gentar, tak guna punya misai panjang menjungkat jika pengecut. Itu prinsip Tompok.
Sudah masuk lima bulan Bubuk hilang, kehilangan Bubuk cukup membuatkan Tompok hilang akal, kalau Tompok pergi ke kelinik pasti doktor akan mengatakan Tompok sudah tidak siuman lagi. Mungkin saja Tompok tidak siuman kerana rindukan Bubuk dan anak-anaknya yang pasti tidak akan mengenali Tompok bapa mereka setelah mereka lahir nanti.
Satu hari Tompok diperhembat ketika cuba hendak menyelusup masuk ke dalam rumah ‘orang’ semasa pintu terbuka kerana tuan rumah itu keluar sebentar hendak mengunci keretanya. Tompok marah lalu menerkam pada sangkaan Tompok tuan rumah itu akan takut padanya, tapi sebaliknya Tompok pula yang tungkal lari lintang pukang kerana hendak disiram dengan air.
Begitulah seksanya Tompok dalam pencarian untuk menemukan bininya yang tidak ada duanya itu. Tompok sudah mula tidak hiraukan makan dan minumnya, apa lagi untuk mandi walau pun banyak longgokan-longgokan pasir di sekitar benaan yang belum siap di kawasan itu. Tompok memandang semua itu bagaikan abu tambak yang berasap dan berapi di zaman nenek moyangnya dahulu.
Pokok-pokok besar dan rindang di kiri kanan jalan yang sudah berusia lebih 20 tahun itu sudah tidak ada lagi. Senario alam inilah juga sedikit sebanyak menganggu ingatan Tompok, namun deria misai Tompok yang panjang belum pernah digunting seumur hidup itu masih kuat merasakan di situlah. Di situlah tempat mereka berkejaran walaupun pokok-pokok di sepanjang jalan itu sudah ditebang ‘orang’ yang cuma tinggal tunggul menggigi tanah.
Ingatan Tompok juga masih kuat ketika dia menyebarang jalan itu nyaris di langgar oleh Liau Gadut dengan kereta kijang purplenya yang ketika itu tengah membaca mesej dari isterinya. Liau Gadut dengan keretanya sekali masuk longkang mujur tidak dalam, sementara Liau Gadut cuma terkejut tidak mengelami apa-apa kecederaan.
Tapi sebaliknya Tompok juga yang disalahkan. Tompok menyeberang tidak pandang kiri dan kanan, Liau Gadut pula membaca mesej sambil memandu. Tompok dan Liau Gadut dua kali lima sama. Tidak hati-hati apabila menyeberang jalan dan main sms ketika sedang memandu.
Hari beransur senja sebentar lagi siang akan bertukar malam, terang akan menjadi gelap. Tompok tidak larat untuk meneruskan pencariannya dan terpaksa juga tumpang berteduh di rumah ‘orang’ atau sekurang-kurang dalam kereta untuk memanaskan badannya, tapi Tompok harus hati-hati dan mesti bangun sebelum ayam jantan berkokok. (Kalau masih ada ayam jantan yang sudi berkokok).
Terkebil-kebil biji mata tompok apabila melihat beberapa ekor anak-anak kecil dan comel bermain-main dalam sebuah taman bunga yang indah. Berdebar jantung Tompok mereka itu pasti anak-anaknya dan tentu ibunya Bubuk juga ada di situ. Misai Tompok bergerak kiri dan kanan.
Lapang dada Tompok melihat keadaan seharmoni itu. Tompok maju ke depan ingin memestikan apakah betul mereka itu keluarganya atau bukan. Tompok membasuh mukanya yang comot itu agar cepat dikenali oleh Bubuk. Tidak sia-sialah Tompok berselimutkan embun dini hari dan berpanas terik di tengahari, semua itu kerana sayangnya terhadap Bubuk.
Bubuk muncul dari ruang dapur rumah itu menuju anak-anaknya sambil bergalut kegirangan. Tompok terusik kerana selama ini Bubuk dalam kegirangan sedangkan dia sendiri sentiasa berada dalam kemurungan kerana berjauhan dengan Bubuk. Tompok tunduk dan mencakar-cakar rumput halus di halaman rumah itu melepaskan tensyennya.
Bagaimanapun Tompok rela melupakan semua itu, apapun keadaan Bubuk yang penting Bubuk dan anak-anaknya selamat. Tompok merasa puas kerana selama ini pencariannya tidak sia-sia walaupun tidak seperti yang diharapkannya.
Tiba-tiba dari sudut lain muncul si jantan Bulu Jingga berekor panjang bergolong ke atas dan punya aura yang membuatkan Tompok merasa cemburu dan iri hati, apa lagi si Bulu Jingga itu tersengeh-sengeh menghampiri Bubuk bininya itu. Semantara Bubuk pula dengan ‘lanjinya’ menggisil-gisilkan ekornya yang bengkok pendek itu ke perut si Bulu Jingga dengan manja dan sungguh romantis.
Darah Tompok sudah mulai panas meresap keseluruh badanya yang kurus itu kerana melihat drama cinta secara langsung di depan matanya. Kalau Bubuk bahagia walau melupakan dirinya itu tidak mengapa, masih boleh diterimanya dengan sabar. Tapi sekarang perlakuan Bubuk terang-terangan mencabar kejantanannya yang seolah tidak dihargai lagi oleh Bubuk.
Si Bulu Jingga beraura cantik itu benar-benar mengundang rasa cemburu Tompok yang selama ini tidak pernah dirasakannya. Geramnya pada si Bulu Jingga itu semakin berkobar-kobar yang mendorong agar Tompok berbuat sesuatu demi untuk menghalang Bubuk dari dimiliki si Bulu Jingga itu dan membuatkan Tompok berputih mata.
Ini yang membuatkan airmata Tompok jatuh percuma. Dengan rasa marah yang seolahnya Tompok tidak mempunya harga diri, dengan pantas Tompok bertindak untuk menerkam si Bulu Jingga itu sampai mati dan bangkainya akan diratah Tompok bulat-bulat untuk melepaskan geramnya, walaupun selama ini Tompok belum pernah meratah bangkai sejenis dan sebangsa dengannya.
Satuuu…duaaa…tiiiga…gaa…! Tompok memasang kuda-kuda macam spring untuk menguatkan lagi lompatnya, kalau boleh biar mengalahkan lompat si katak lompat yang tinggi itu. Kikkk…kikkk…kikkk…! Kikkk…kikkk…kikkk…! Bunyi enjen kereta dihidupkan. Tompok memancut keluar dari dalam enjen kereta, Tompok bernasib baik tidak menjadi mangsa pusingan kipas kereta yang sudah berpusing ligat itu.
Tompok bersembunyi di sebelah bisin besi cucian tuan rumah itu dengan hati yang berdebar-debar. Jantungnya seolah-olah jatuh dan berkecai sebagaimana berkecainya mimpinya bersama Bubuk sepanjang malam itu. (Benarkah kucing pandai mimpi…?)
Tompok berada di alam nyata. Semua peristiwa itu cuma mimpi lantaran kerinduannya yang mendalam terhadap Bubuk. Lama Tompok bersembunyi di sebalik bisin itu tanpa pengetahuan tuan rumah itu. Debaran jantung Tompok sudah mulai reda tapi perasaannya masih dipengeruhi oleh mimpinya dalam enjen kereta itu. Misai Tompok bergerak seolah berfikir, apakah mimpinya itu satu bayangan realiti yang benar-benar akan terjadi ataupun sudah berlaku.
Tompok ingin bersantai seketika untuk mencari ketenangan, ajainya diletakkannya di atas tanganya setelah dia mencuci mukanya dengan airliurnya. Ruang kepalanya masih berligar bayangan kemesraan Bubuk bersama si Bulu Jingga itu yang masih mengekalkan cemburunya sampai saat dia santai itu walaupun dalam se buah mimpi.
Malang selalu menyebelahi Tompok, sekali lagi Tompok lari lintang pukang macam kereta bucur tayar dalam perlumbaan kerana terperanjat apabila mendengar jeritan isteri tuan rumah itu yang juga terkejut ketika mengambil bisin tempat Tompok bersembunyi. Nasib baik isteri tuan rumah yang cuma berkemban itu tidak terlungsur.
Dalam keadaan kucar-kacir dan kalang-kabut itu, Tompok tidak fokas jalan mana yang wajib dilaluinya agar terlepas dan terselamat seandainya dia dikejar ‘orang’ kerana melakukan beberapa kesalahan. Tompok lari dan terus berlari, lompat dan terus lompat macam orang sukan lompat kijang.
Sudah jatuh ditimpa tangga, Tompok akhirnya tersalah lompat cun-cun ke dalam bonet kereta yang ternganga cuma bertongkatkan batang penyapu. Akibat lompatan kuat Tompok itu menyebabkan tongkat itu terjatuh dan bonet kereta tertutup rapat.
Tompok tidak sempat melompat keluar untuk menyelamatkan dirinya kerana kaki-kakinya seperti tidak mempunya spring lagi. Tompok akhirnya terpaksa relix dalam bonet kereta itu dalam keadaan yang gelap gelita. Tompok berazam akan meneruskan pencariannya selagi dia boleh melihat bulan dan matahari.
0 Comments:
Post a Comment