Monday, January 25, 2010

Melihat

Ingin melihat masa depan negara...lihat jenarasi masa ini

Demi Masa

Kesibukan dan kerakusan manusia, seolahnya isi dunia ini tidak mencukupi untuk memenuhi kehendak manusia itu sendiri.

Punya Orang


Itu rumah orang
itu ruang tamu orang
itu dapur orang
itu halaman orang
itu gelanggang orang
jangan anggap rumah sendiri
jangan rehat senang diri
jangan makan sebarang
jangan bermain sesuka hati
jangan tunjuk belang.
@
Rumah orang
ruang tamu orang
dapur orang
halaman orang
gelanggang orang
semua punya orang.
@
Rumah orang
orang punya
punya orang
sedarlah diri
orang…!




PERSINGGAHAN

LELAKI gempal berkulit hitam sederhana tinggi berumur empat puluh lima tahun itu menoleh lalu menjawab salam lelaki gemuk pendek berkaca mata putih, berkulit kemerahan macam kulit udang berebus yang berumur tiga puluh lapan tahun itu. Mereka bersalaman lelaki gemuk berkulit kemerahan itu tanpa disuruh duduk berdepan dengan lelaki gempal berkulit hitam sambil memandang keliling yang sedikit berkabus.

Tempat itu masih luas dan bersih kerana baru saja dibuka khusus untuk persinggahan bagi orang-orang yang baru saja berpindah sebelum meneruskan perjalanan ke suatu tempat yang kekal dan abadi apabila tiba musimnya nanti. Lelaki gemuk berkulit kemerahan itu mendongak ke atas, langit diselubungi warna jingga dan sedikit warna kelabu, menyebabkan lelaki gemuk berkulit kemerahan itu tidak tahan memandangnya.

“Nampaknya sayalah orang kedua menjadi penghuni tempat ini.”

“Bukan…!” Lelaki gempal berkulit hitam itu menyangkal.

“Tapi apa yang saya nampak sekarang cuma tuan seorang diri?”

“Benar seperti yang tuan lihat itu.”

“Di mana kawan tuan yang lagi satu itu?” Lelaki gemuk berkulit kemerahan ingin tahu.

“Dia keletihan baru saja saya tengking kerana berbuat bising.”

“Sekarang kita bertiga sudah menjadi keluarga, walaupun sebelum ini kita tidak pernah berjumpa.”

“Betul kerana kita tinggal di tempat yang berasingan, apalagi masa untuk berkenalan langsung tidak ada.”

“Memandangkan keadaan tuan begini mungkin tuan ini bukan orang local…?’

“Tuan silap…!” Sekali lagi lelaki gempal berkulit hitam menyangkal.

“Saya minta maaf.” Lelaki gemuk berkulit kemerahan tersipu-sipu.

“Saya local cetezen...” Jelas lelaki gempal berkulit hitam itu.

“Maafkan saya.” Ulang lelaki gemuk berkulit kemerahan itu, belum puas.

“Saya berketurunan India Muslim. Ibu saya orang Melayu jati, lebih tujuh puluh tahun dahulu ayah saya berkahwin dengan ibu saya. Ayah saya berniaga kain dari rumah ke rumah secara hutang.”

“Kalau ayah tuan seorang bisnes tentu tuan juga begitu?”

“Itu juga tidak betul…” Lelaki gempal berkulit hitam menyangkal lagi.

“Kenapa saya sering salah terka...!” Wajah lelaki gemuk berkulit kemerahan itu bertambah merah, terasa malu.

“Saya seorang peguam persendirian. Ibu saya kahwin dengan ayah saya kerana hendak menjelaskan hutang piutang nenek saya yang bertimbun-timbun tidak terbayar. Akhirnya saya lahir…”

“Itulah yang dikatakan kalau sudah jodoh tidak ke mana. Ikan di laut dan asam di darat. Sekarang bagaimana pula tuan menjadi penghuni tempat ini?”

“Sebenarnya saya lahir di kampung ini dan ibu saya juga lahir di sini. Tepat ceritanya datuk dan nenek sayalah yang membuka kampung ini.”

“Apa nama kampung ini?” Lelaki gemuk berkulit kemerahan itu belum habis dengan pertanyaan. Moga rasa malunya akan hilang.

“Kampong Berambang. Sejak dahulu lagi saya berhasrat jika saya mati nanti saya akan berkubur di sini…”

“Nah…! Sekarang hasrat tuan sudah terlaksana. Siapa nama tuan?”

“Nassarudin Syah Golam Khan. Saya mati dalam kemalangan jalan raya.”

“Mungkin tuan Golam menggunakan jalan raya ikut sesuka hati.”

“Saya cukup hormat pada peraturan jalanraya.”

“Tuan Golam kenal pemandu itu?” Lelaki gempal berkulit kemerahan itu asyik dengan pertanyaan demi pertanyaan. Sebatang tubuh mata-mata gelap.

“Tidak…” Pendek jawapan Nassarudin Syah Golam Khan yang sudah mula merasa bosan berbual dengan lelaki gemuk berkulit kemerahan itu.

“Tentu pemandu itu mabuk…” Tebak lelaki gemuk berkulit kemerahan itu lagi.

“Bagaimana tuan tahu pemandu itu mabuk.” Nassarudin Syah Gulam Khan pula bertanya.

“Mungkin akibat pengaruh dadah dan macam-macam lagi.”

“Sudah lama kita berbual tapi saya belum tahu siapa nama tuan?”

Belum sempat lelaki gemuk berkulit kemerahan itu menceritakan perihal dirinya, seorang wanita remaja berusia dua puluh tahun menjerit membuatkan lelaki gemuk berkulit kemerahan itu terkejut lalu memandang Nassarudin Syah Golam Khan dengan mulut yang ternganga.

“Lelaki tak guna…! Aku akan bunuh kau…aku bunuh kau…!”

“Pada mulanya saya kira tempat ini sunyi dan sepi.” Lelaki gemuk berkulit kemerahan itu menyatakan kekesalannya.

“Seperti yang saya katakan tadi, dia sedang berehat dan sekarang dia mula menjerit hingga ke subuh nanti.”

“Sebelum dia berada di sini bagaimana?”

“Sebelum dia tinggal di sini saya merasa aman dan damai, cuma yang kedengaran laungan azan. Tapi sekarang sudah kacau bilau.”

“Saya berketurunan China Muslim. Datuk nenek saya sudah memelok agama Islam kira-kira lebih seratus dua puluh tahun dahulu.”

“Kalau macam itu tuan ini tentu local cetezen juga...”

“Datuk saya dahulu bisnes ruti paun inti hitam. Dia berjalan kaki ke rumah-rumah seperti ayah tuan Golam juga, cuma bezanya ruti tidak boleh hutang…!”

“Sudah tentu tuan juga seorang bisnes siapa pula nama tuan?”

“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi…” Lelaki gemuk berkulit kemerahan itu merasa bangga sebangga-bangganya.

“Tidak sangka tuan pandai berperi bahasa.” Nassarudin Syah Golam Khan memberikan pujian. Sekadar penyaman bahasa.

“Rudy Iskandar Chong. Saya orang kaya raya tapi saya ditangkap dan dihukum gantung kerana mengedar dadah.”

“Tahukah tuan Rudy perbuatan itu berdosa besar.”

“Tahu tapi saya ingin hidup mewah. Saya akui saya berbuat khilaf tapi sudah terlambat akhirnya saya mati di tali gantung.”

“Tuan Rudy mati kojol kerana tidak sempat bertaubat.”

“Tuan Golam seorang peguam tentu boleh tolong saya, saya akan bayar tuan Golam dengan harga yang mahal.”

“Tidak ada tawar menawar di sini, sekarang kita berada di alam persinggahan sebelum pergi ke alam yang abadi.”

“Saya akan bagi tuan Golam cek kosong dan tuan Golam boleh tulis berapa saja angka yang tuan Golam suka.”

“Di sini kita tidak punya harta cuma yang ada selimut putih.”

Belum habis Rudy Iskandar Chong memujuk Nassarudin Syah Golam Khan, mereka dikejutkan dengan ketibaan seorang pemuda yang kurus, berkulit pucat dengan rambut panjang tidak terurus. Berwajah cekong berkaca mata hitam berjalan terhuyung hayang dengan berlumuran darah jatuh di atas pengkuan Rudy Iskandar Chong.

“Astaghfirullahhalazim…!” Nassarudin Syah Golam Khan memegang pemuda berkulit pucat berlumuran darah itu sambil menyandarkan di tepi dinding tidak jauh dari tempat mereka duduk dengan dibantu oleh Rudy Iskandar Chong.

“Apa yang berlaku dan mengapa sampai jadi begini?”

“Saya penagih dadah. Saya cuba lari dari tanggung jawab kerana menghamili kekasih saya, saya melanggar penghadang jalan dan inilah jadinya.”

Nassarudin Syah Golam Khan memandang Rudy Iskandar Chong. Demikian juga Rudy Iskandar Chong memandang Nassarudin Syah Golam Khan. Mereka berdua sama-sama memandang tepat wajah pemuda berkulit pucat yang berlumuran darah itu.

“Kamu berdua pandang saya macam itu mengapa? Tidakkah ada rasa simpati kamu hendak memberikan pertolongan pada saya…?”

“Siapa nama kamu?” Serentak Nassarudin Syah Golam Khan dan Rudy Iskandar Chong mengajukan pertanyaan yang sama. Pemuda berkulit pucat itu menahan kesakitan menampakkan wajahnya yang sudah hodoh itu semakin bida.

“Zulsyamsi Rezwan anak seorang korporat yang sentiasa sibuk mencari harta...”

“Sungguh kamu dalam kerugian kerana umur yang semuda ini kamu gunakan pada perkara yang terkutuk itu.”

“Saya diupah oleh pengedar dadah.” Spontan Rudy Iskandar Chong bergerak hendak meninggalkan mereka. Belum sempat Rudy Iskandar Chong beredar Zulsyamsi Rezwan bersuara.

“Oh…! Kau juga berada di sini, kerana kaulah aku jadi begini…!”

“Mengapa pula kau salahkan aku, aku beri kau upah untuk jual dadah, bukan suruh kau makan dadah. Itu bukan salah aku…!”

Zulsyamsi Rezwan cuba hendak bangun untuk membuat perhitungan terhadap Rudy Iskandar Chong, tapi belum sempat Zulsyamsi Rezwan berbuat sesuatu tiba-tiba wanita remaja itu menjerit lagi.

“Laki-laki tak bertanggung jawab…! Aku berdoa supaya kau cepat-cepat mampus…maaa…tiii…!” Wanita remaja itu kemudian ketawa menghilai-hilai macam cucu anak pontianak.

Zulsyamsi Rezwan terpaku lalu menoleh ke kiri dan ke kanan, memandang ke atas dan ke hadapan, namun wajah yang ampunya suara itu tidak kelihatan. Zulsyamsi Rezwan cukup kenal dengan suara itu.

“Aku kenal suara itu tapi mengapa dia di sini?”

“Dia wanita remaja mati kerana makan ubat berlebihan supaya anak dalam kandungannya cepat lahir. Dia sering menjerit-jerit agar lelaki yang menghamilinya itu lekas mati.”

“Aku berdosa kerana tidak bertanggung jawab.”

“Kamu kenal dia?” Nassarudin Syah Golam Khan pula bertanya.

“Bawa aku ke sana dia Sabariah Mansur kekasihku dan bakal isteri aku.”

Rudy Iskandar Chong dan Nassarudin Syah Golam Khan bangkit dan memapah Zulsyamsi Rezwan untuk berjumpa dengan Sabariah Mansur. Tiba-tiba mereka terhenti apabila terpacak Sabariah Mansur dengan perutnya yang buncit sambil memegang kapak penyancang tulang.

“Aku bunuh diri kerana kau lepas tangan, kau lihat puas-puas perut aku yang buncit ini sebelum kau mati buat kedua kalinya. Aku akan cencang tulang mu macam tulang kerbau…!”

“Sabar jangan bertindak begitu, di sana nanti kita akan menerima habuan masing-masing.” Nassarudin Syah Golam Khan cuba menyejukkan hati Sabariah Mansur yang bila-bila masa saja akan menghayunkan mata kapaknya ke muka Zulsyamsi Rezwan.

“Kalau uncle nak tahu dialah juga orang yang melanggar uncle menyebabkan uncle mati seperti sekarang ini.”

“Saya tahu tapi itu cuma penyebab kematian saya.”

“Tolong selamatkan saya dari mata kapak kekasih saya ini. Saya akan memberikan dadah percuma kepada uncle untuk seumur hidup uncle.”

“Astaghfirullahhalazim…! Dalam keadaan begini pun kamu nak bermain-main dengan najis dadah itu?”

“Jangan pedulikan dia uncle, aku belum puas selagi mata kapak ini belum landing di kepalanya itu. Saya minta uncle jangan campur tangan...”

Nassarudin Syah Golam Khan sudah habis fikir, dia tidak akan campur tangan dalam masaalah peribadi Zulsyamsi Rezwan dengan kekasihnya Sabariah Mansur itu. Sekarang Nassarudin Syah Golam Khan ingin mencari ke mana perginya Rudy Iskandar Chong yang menjadi penyebab semuanya ini. Rudi Iskandar Chong sudah menghilangkan diri entah kemana.

Baru saja Nassarudin Syah Golam Khan melangkah tiba-tiba Zulsyamsi Rezwan menjerit, mata kapak Sabariah Mansur melekat tepat di dahi Zulsyamsi Rezwan. Darah memercik ke muka Sabariah Mansur. Sabariah Mansur ketawa lagi, kali ini ketawanya macam cucu cicit anak pontianak.

“Subahanallah…!” Jerit Abdul Fatah. Pelita Brunei yang dipegangnya bersepah macam surat khabar Haji Bakhil dalam filem Labu dan Labi.

“Eh bang…membacakah atau tidur kita ani…?”

“Astaghfirullahhalazim…! Hilang tia aing sembahyangku… ”

“Mana tia santan ku suruh bali atu, inda karang sampat sungkai ni…”

“Ani nah pasal tajuk yang ku baca di Pelita Brunei ah…!”

Abdul Fatah menunjukkan tajuk yang terpapar di dalam akhbar Pelita Brunei itu kepada isterinya Siti Fatihah. Isterinya membaca tajuk yang dimaksudkan oleh suaminya itu. ‘…Jenazah warga India dikebumikan di tanah perkuburan berdaftar pertama…’

Bukit Bendera

BUBOK : sepetang di Bukit Bendera Kota Kinabalu - 13.01.2010

...inilah Radio Brunei.......

Tempat pertama setelah empat puluh dua tahun bergiat dalam penulisan skrip drama radio...terima kasih Radio Brunei nasional 92.3 FM.
Maya Brunei.

Sunday, January 24, 2010

Skrip Drama Pembangunan Radio

Pemenang Pertama Peraduan
MAYA BRUNEI
(23 Januari 2010)

Skrip Drama Radio

Pemenang-pemenang Peraduan Menulis Skrip Drama Pembangunan Radio 2009
anjuran Nasional FM

Bersopan Santun Berbudi Bahasa

TEMPAT : DALAM KERETA - (SEPANJANG PERJALANAN)
PELAKON : ABANG DAN ADIK.
ARAHAN
ADIK MELARANG ABANG MEMANDU LAJU DAN MEMOTONG DALAM KEADAAN MERBAHAYA.
ADIK
(TAKUT) Jangan luan laju bang eh…awal jua lakat ni.
ABANG
Awal tia karang…landing pukul berapa…!
ADIK
Mispun tah jua kan gagas…jangan luan inda batantu, ani potong memotong sebarangan.
ABANG
Taim macam ani jangan tah banyak pantang…asal ada lobang potong…bisdia atu pun tau jua tu…
ADIK
Tapi kana jua kitani hormat pada orang yang kitani potong atu, ani tarus potong inda besignil…inda lagi angkat tangan tu.
ABANG
Sama juanya tu, angkat tangan pun kalau bisdia kan marah…memanjang tia jua marahnya tu…
ADIK
Kitani ani bang di mana-mana pun bersofan santun atu penting, waima tah atas jalan raya macam ani.
ABANG
Munkan bersofan santun memanjang lambat tah datang tu eh…
ADIK
Iyatah yang adik maksudkan atu…bersofan santun dan berbudi bahasa, kalau kitani inda mendaului, siapa lagi…?
ABANG
Sama juanya tu…kitani inda laju karang…bisdia memancut.
ADIK
Kalau tah abang kana potong capi-capi atu marah kali ah…!
ABANG
Bukan lagi marah…sampai dapat abang potong tu.
ADIK
Nah…! Macam atu jua bisdia tu bang…
ABANG
Inda jua dapat diapa-apa semuakan mau cepat…
ADIK
Munkan memotong atu tantu-tantu pulang minta jalan.
ABANG
Atu stail lama cari adik atu eh…kalau diberi tau kan memotong…inda pulang bisdia membari tu.
ADIK
(TERKEJUT) Eehh…! Mengapa tia kereta ani bang…?
ABANG
(GELISAH) Pamcit tia barangkali…
(MEREKA KE TEPI DAN KELUAR DARI KERETA)
ADIK
Banar pamcit bang…ahir tah ni…!
ABANG
Cuba adik tahan kereta atu…spiar tayar lagi inda ada.
ADIK
(MALU-MALU) Orang kitani potong tadi ni bang…!
ABANG
Biarkan tia…karang minta maaf…!

- CUT TO -

WATAK-WATAK
1 ABANG
2 ADIK.

WAD O9

Sejuk hawa dingin dalam Wad 09 yang membungkus tubuh Siah itu cukup untuk menyucuk-nyucuk tulangnya. Kain selimut ditariknya kuat-kuat bagi mengambil sedikit rasa panas. Siah cuma membilang-bilang masa lampau bersama ibunya. Malam beransur tua dan wajah ibunya kian jelas.

Kokok ayam kedengaran beberapa kali. Suasana alam semula jadi ciptaan Allah Yang Maha Kaya itu menjadikan satu dorongan bagi Salamah untuk meneruskan pelayaran hidupnya yang silap-silap dayung akan menjadi sisa kenangan sepanjang hayatnya.

Di pagi yang hening itu dengan diikuti oleh bunyi birik-birik yang seolah-olah alunan muzik bagi mengiringi Salamah dengan sebuah basikal tua kepunyaan arwah suaminya untuk mengharungi kedinginan subuh itu bersama seorang anak perempuan kecil memboncing dibelakang basikal itu dengan mata yang pejam dan celik.

Di celah-celah dedaun pokok-pokok getah yang rindang itu ditembusi oleh sinar mega merah berarak garang, semacam memberikan kekuatan kepada Salamah. Dengan berbekalkan kecekalan dan semangat yang kental, Salamah dengan penuh tawakal menempuh masa depannya yang belum menjanjikan apa-apa.

Satu demi satu pokok-pokok getah ditoreh dengan penuh semangat serta keyakinan agar menemui sebuah kehidupan yang menjamin masa depannya bersama anak-anaknya. Cuma inilah yang ada dalam diri Salamah, ibu tunggal yang punya anak tiga. Dia tidak pernah mengeloh jauh sekali menyesali hidupnya walau tanpa suami. Suaminya meninggal di zaman perang dunia kedua dulu. Itulah yang ditinggalkan oleh sebuah peperangan.

Susu getah mengalir lembut selembut denyutan jantungnya ketika itu. Salamah begitu terharu melihat rezki di depan mata. Kepada Allah dia tidak lupa memanjatkan kesyukuran dan berdoa moga dia tidak akan tenggelam dalam kemanisan budi manusia kelilingnya. Salamah juga tidak lupa memohon agar roh suaminya dihimpunkan bersama dalam golongan orang-orang yang beriman.

Titik demi titik susu getah memenuhi tempurong piasau kering yang hampir sebaya dengan umurnya itu. Salamah berharap moga apa yang diperjuangkannya selama ini akan membuahkan hasil yang lumayan dimasa akan datang.

"Kau berhentilah menoreh getah itu Lamah." Abangnya melarang.

"Karim...jika aku tidak menoreh, apa yang hendak aku makan bersama anak-anakku. Itu saja yang dapat aku kerjakan."

"Sudah ku katakan aku akan menolong kamu, anak-anak mu itu adalah anak-anak aku juga."

"Aku hargai simpati mu itu Karim. Tapi sampai bila kau akan dapat memberi makan aku dan anak-anak ku..? Kau juga mempunyai isteri dan anak-anak".

"Aku tidak akan memaksa kau Lamah."

"Sempurnakanlah dulu tanggong jawab mu Karim. Selagi getah-getah itu mengeluarkan susu, Insya-Allah aku dan anak-anak ku tidak akan kelaparana."

“Kau memang degil..!” Suara Karim keras. Siah terjaga.

“Astaghfirullah al azim..!”

Siah terlelap seketika dia sempat meneroka ke masa-masa yang silam kira-kira lima puluh tahun berlalu. Dia juga tidak dapat melupakan saat-saat bersama ibunya ketika dia masih kecil dulu. Ketika itu Siah baru berusia enam tahun. Siah cepat menoleh kiri dan kanan dalam Wad 09 itu. Mujurlah tidak ada orang yang mendengarnya.

Tapi sekarang semua itu sudah menjadi lagenda. Tidak ada lagi kekecuhan biri-birik dikala subuh. Tidak ada lagi kokok ayam jantan menandakan siang. Juga tidak ada lagi perempuan yang mengayuh basikal sambil membonceng anaknya ketika sejuk subuh mengigit kulit untuk mendapatkan sesuap nasi.

Perempuan itu sekarang sudah berada didepan mata Siah. Ibunya terlantar menahan kesakitan yang entah bagaimana. Namun Siah tetap tabah menghadapinya. Kerana perempuan itulah satu-satunya orang yang berkorban sejak dia dilahirkan hingga sekarang. Siah meluruskan badannya di atas juli yang nipis itu, walau tidak seempok tilam dirumahnya, tapi dia bahagia berada di samping ibunya. Salamah.

Hospital itu seakan sudah menjadi tempat kediamannya. Wad 09 pula semacam bilik rehatnya selama berbulan-bulan menunggu ibunya yang terlantar itu. Inilah masa dan ketikanya untuk dia membalas jasa ibunya. Ibu yang memberikan segala-galanya, ibu yang tidak berbilang-bilang. Walau pun jasa seorang ibu itu tidak akan terbalas hingga ke liang lahat.

Baik malam atau siang. Siang mau pun malam bagi Siah sama saja. Yang penting dia bersama ibunya. Siah kagum dengan kecekalan ibunya dalam mengakhiri zaman muda dan kejelitaanya satu ketika dulu. Ibunya telah meletakkan ‘noktah’ dalam hidupnya untuk menerima kehadiran orang lain di antara dia dan anak-anaknya.

Sekujur tubuh di atas katil bergerak. Siah terkejut. Lapang dadanya apabila melihat ibunya bangun dan bersandar. Mau dipeluknya ibunya yang selama ini merintih kesakitan, tapi Siah tidak dapat berbuat apa-apa., seolah-olah ada satu kuasa yang menahannya dari berbuat sesuatu.

Serentak itu juga Siah nampak seorang lelaki berjubah putih mendekati ibunya. Lelaki itu tampan dan berpakaian kemas. Ibunya melerek kearahnya seolah-olah memberi tau sesuatu. Lelaki berjubah itu senyum melihat Siah.

“Aku hendak bawa ibu mu pindah.” Lelaki berjubah itu seolah-olah meminta izin kepada Siah.

“Jangan bawa ibu ku…dia sakit. Jangan..! Jangan..!” Teriak Siah. Jururawat yang bertugas pagi itu terperanjat lantas mengejutkan Siah.

“Assalamualaikum...! Sudah pagi Mak Siah…” Siah terjaga cepat dia melihat keliling Wad 09 itu kalau-kalau ada orang lain nampak apa yang berlaku tadi. Siah merasa lega kerana tidak seorang pun yang ambil perhatian.

Jururawat itu tersenyum simpul melihat Siah. Bagi Siah itu satu keuntungan, senyuman mereka itulah sedikit sebanyak menjadi teman dan penawar duka Siah selama berbulan-bulan dia menunggu ibunya.

Siah amat bangga terhadap layanan-layanan yang di berikan oleh Jururawat-Jururawat di Wad 09 itu kepada keluarga yang menunggu seperti dirinya, apa tah lagi terhadap pesakit itu sendiri yang sudah menjadi tugas dan tanggung jawab mereka sebagai jururawat yang terlatih dan berkemahiran.

Itulah Siah dengan masa lampaunya. Dia tidak dapat melupakan walau sedetik pun gerak geri ibunya di masa silam. Matanya merenong tajam ke wajah ibunya yang masih terlantar di atas katil dengan keadaan lesu dan sayu. Wajah itu sudah tidak seceria lima puluh tahun dulu.

Apalah daya seorang insan biasa bernama Siah untuk meringankan walau sedikit kesakitan yang ditanggung ibunya selama ini. Cuma dia dapat memohon kepada Tuhan agar meringankan kesakitan yang ditanggung ibunya.

Mimpi Siah sebentar tadi sering menganggu fikiranya. Berulang-ulang bagaikan VCD yang dimainkan apa bila saja dia terlelap. Siah mau melupakan mimpinya itu namun seakan sudah terpahat dalam memori kepalanya yang bila-bila masa saja akan berputar.

Siah menatap wajah ibunya puas-puas, seakan-akan itulah kali terakhir baginya melihat wajah seorang ibu yang berjasa kepada anak-anaknya. Dia tidak mau berpisah dengan ibunya. Itulah yang dikehendaki oleh seorang anak kepada seorang ibu. Tapi bagaimana pula dengan kehendak Allah kepada hamba-Nya..?

Siah tiba-tiba sebak dia tidak dapat menahan sayu dan pilu melihat wajah ibunya yang semakin pucat lesu itu. Dia mau meraung sepuas-puasnya tapi dia terasa malu, dalam Wad 09 itu bukan dia seorang saja. Siah cuma dapat membenamkan wajahnya ke tubuh longlai ibunya dengan tangisan yang kuat. Siah menangis sepuas-puas hatinya.

“Relakan ibu mu pergi..!” Lelaki berjubah itu datang lagi.

“Jangan bawa ibuku…biar aku menjaganya di sini..!” Siah berkeras.

“Biar ibu mu lepas dari kesakitan dan kesangsaraan, ibu mu akan bahagia..!”

Sekelip mata lelaki berjubah itu menghilangkan diri entah ke mana. Siah terjaga lagi. Dia dikejutkan oleh seorang Jururawat yang bertugas kerana sebentar lagi doktor akan memereksa semua pesakit.

Siah biasa dengan keadaan begitu. Setiap pagi para doktor akan sebok dengan tugas masing-masing. Siah beredar jauh sedikit dari katil ibunya. Tabir keliling pesakit ditutup rapat. Siah cukup faham apa yang dapat dibuat oleh se orang doktor ketika itu cuma merupakan rutin harian untuk para pesakit yang seperti ibunya.

Tidak lama selepas itu doktor keluar dan mendekatinya. Jantung Siah mula berdebar, darahnya terasa naik berlipat ganda. Siah sudah dapat mengagak apa yang hendak dikatakan doctor itu kepadanya. Siah cuma berserah kepada Allah.

“Dia baru saja pergi meninggalkan kita..!” Doktor beredar ke tempat lain untuk cerita yang lain pula.

Macam sebiji bola golf betul-betul menghempap kepala Siah ketika itu. Ruang Wad 09 itu menjadi gelap, kerdip-kerdip kecil bagaikan kulimpapat berlegar di ruang matanya. Dengan rela Siah melepaskan ibunya pergi. Siah tau setiap orang akan ada waktu-waktunya yang terpaksa meninggalkan dunia yang palsu ini bersama orang-orang yang paling disayangi dan segala isi didalamnya.

Siah sudah tidak ingat apa yang terjadi lepas itu. Kali terakhir dia berada dalam pelukan suaminya yang cuma satu-satunya tinggal tempat dia bergantung hidup.




Tuesday, January 5, 2010

Ada Noktahnya

Apabila hidup terlalu mewah
hilang rasa nikmat dan kelazatan
jika terlalu da’if…?
*
Hidup yang bagaimana dikehendaki
tentunya yang sederhana
beriman dan berbudi
disamping bersyukur
atas segala nikmat
yang diberi.
*
Jadilah insan yang tahu diri
bahawa hidup ini sekadar cebisan
daripada selingkar roda kehidupan
yang pasti
akan ada noktahnya.


BULAT


Matahari bulat
bulan bulat
itulah dalil
dunia ini bulat.
:
Bulat air
kerana pembentung
ke mana perginya mufakat
bagi membulatkan kata.




DI HUJUNG KENANGAN

Lagi dua minggu perayaan akan bermula. Atuknya sudah membooking Akbar untuk membawanya sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke 23 tahun. Atuknya ingin sama-sama bermandikan cahaya lampu neon yang beraneka rupa dan warna, kerana sudah lama dia tidak turun ke bandar disebabkan kesihatannya.

Akbar pada mulanya enggan juga untuk membawa atuknya. Maklum kalau membawa atuknya pergi ke mana-mana, dia terpaksa membawa kerusi roda untuk keselesaan atuknya itu. Tapi apabila dia mengingatkan ada nanti yang dihulurkan oleh atuknya, maka semangatnya jadi kuat dan berkobar-kobar. (Ikhlas dari atuknya).

Atuknya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menyaksikan perayaan yang amat bersejarah itu. Bersejarah bagi negaranya yang sudah merdeka dan berdaulat.. Bukan saja untuk dirinya seorang malah juga untuk seluruh rakyat maupun penduduk yang kini merasa bangga bernaung di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan aman makmur.

“Kata doktor atuk tak boleh berembun lama-lama kita pergi sekejap sajalah.”

Akbar bimbang juga dengan kesihatan atuknya, maklumlah atuknya kini sudah menjangkau usia lapan puluh tiga tahun dan sering pula sakit-sakitan Atuknya tidak membantah cuma angguk-angguk kepala tanda bersetuju.

Malam pertama perayaan bermula Bandar Seri Begawan selain bermandikan cahaya cucul yang berkedipan, juga seolahnya tidak mempunyai ruang kosong untuk menyelitkan badan. Semua golongan tua muda apa lagi kanak-kanak nampak sangat ceria pada malam itu.

Gerai-gerai jualan juga tidak ketinggalan untuk mempamirkan beraneka rupa jualan masing-masing. Walau pun rasanya belum tau bagaimana. Para peniaga memang disirami rezeki pada malam itu.

Atuknya cuma ingin bersantai di taman tengah ibu kota itu untuk menikmati keindahan panorama malam itu. Atuknya duduk atas kerusi roda dengan menghala pandangan antara Masjid dengan Yayasan yang tersergam indah. Akbar memerhatikan pandangan atuknya yang amat tajam kepada dua objek ini.

“Kenapa atuk pandang macam tu?” Akbar sedikit hairan.

“Atuk teringat dan terbayangkan Kampong Sultan Lama.”

“Semua itu kan sudah berlalu tuk…!” Akbar seperti tidak ambil kisah.

“Tapi sekarang kampung itu sudah ranap dijilat api, tidak ada apa-apa kesan untuk ristaan jenarasi yang akan datang.” Atuknya dengan nada kesal.

“Sekarang sudah ada penggantinya tuk…!”

“Atuk tau…tapi kejadian itu masih hidup dalam ingatan atuk”.

“Itulah namanya pembangunan tuk, tidak semestinya yang lama itu dikekalkan, jika perlu dia akan diubah suai mengikut keadaan semasa.” Akbar mengeluarkan secebis buah fikirannya.

Atuknya diam. Dalam fikiran atuknya berputar ligat setiap inci peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan hidupnya hingga ke hari ini. Dalam usianya yang selanjut itu terlalu banyak pahit maung yang dirasainya. Ketika dia berada di tengah-tengah ibu kota itu, dia seakan tidak percaya bahawa itulah Bandar Brunei yang sekarang bergelar Bandar Seri Begawan.

Atuknya juga amat bersyukur kerana Allah telah meminjamkan usia yang selanjut itu untuk menikmati keindahan dan keamanan sejak atuknya berusia dua puluh tiga tahun lagi setelah tamatnya perang dunia kedua.

“Akbar ingat umur Akbar berapa sekarang?” Atuknya memecah kesunyian.

“Dua puluh tiga tahun tuk.” Selamba saja jawapan Akbar.

“Hari ini juga usia negara kita merdeka selama dua puluh tiga tahun.”
Atuknya mengingatkan Akbar walaupun Akbar sudah ingat. Akbar tidak akan lupa kerana pada setiap tahun dia juga ikut serta mengambil bahagian dalam apapun persembahan.

“Akbar beruntung kerana lahir pada saat negara mencapai kemerdekaan.”

“Apa keistimewaannya tuk…?” Akbar sengaja bertanya.

“Itu yang dikatakan anak merdeka…Akbar bertuah…”

Atuknya diam. Akbar juga diam. Orang ramai asyik ke hulu ke hilir mengejar anak-anak kecil mereka yang berkejaran dan bermain bola di taman itu. Atuknya teringat taman yang tempat dia duduk sekarang ini dulunya kecil.

“Akbar tahukah tempat kita berada sekarang ini dulu apa namanya?”

“Kata ayah dulu dia pernah bermain bola sepak di sini, ketika menentang pasukan Selangor, tapi Akbar lupa apa namanya.” Akbar membiut-biutkan muka dan mulutnya untuk mengingati sesuatu.

“Inilah Padang Besar sebelum di tukar namanya seperti sekarang…”

Akbar mengangguk-anggukkan kepalanya bahawa nama itulah yang hendak disebutnya sebentar tadi. Atuknya diam lagi yang seakan menggumpul kembali semua ingatannya pada masa-masa yang lalu.

Kini negara pesat membangun. Di sana sini nampak perubahan yang amat ketara. Semua ini adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang bernaung di bawah panji-panji Brunei Darussalam. Tidak memadai kalau cuma bersyukur jika tidak disertai dengan usaha-usaha yang berkebajikan.

“Akbar jika sudah bekerja nanti, curahkan jasa dan bakti dengan jujur dan ikhlas. Bekerja kerana Allah nescaya akan memperolehi keberkatannya.” Atuknya memberi nasihat. Akbar angguk kepala lagi. Atuknya puas kerana cucunya mendengar kata-katanya.

Akbar merasa letih. Atuknya tau Akbar sudah nampak lain macam. Atuknya mengeluarkan wang pelastik berwarna merah, secepat helang Akbar menyambar dan meluru ketempat orang yang berjualan di situ. Atuknya tinggal keseorangan sambil meratah kenangan lamanya.

Api semakin marak menghilai. Kepolan asap yang pekat itu begitu tajam masuk ke dalam lobang hidungnya. Hj Halim terbangun dari tidur dan terkejut apa bila api sudah marak menjilat lebih separuh rumahnya.

Hj Halim tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda dalam kejadian itu. Tambahan lagi isterinya sudah pengsan kerana terhidu asap api yang pekat itu. Hj Halim sedaya upaya menyelamatkan isterinya kerana api begitu cepat merebak.

Dengan pertolongan orang ramai isteri Hj Halim berjaya diselamatkan dan dibawa ke Rumah Sakit. Tapi malangnya Allah lebih menyayangi isterinya, isteri Hj Halim meninggal dunia setelah tiga hari berada di Rumah Sakit.

“Tuk…!” Akbar memanggil atuknya.

Atuknya terjaga dari lamunan sambil memandang kiri dan kanan. Rupa-rupanya atuknya sedang dibuai kenangan lama ketika rumahnya ranap dijilat api ketika kebakaran besar berlaku di Kampong Sultan Lama satu ketika dulu. Tapi sekarang sudah musnah dan tidak nampak apa-apa yang cuma tinggal kenangan yang menyayukan.

“Kita balik tuk…?” Akbar bertanya dan sekali gus mengajak pulang.

“Akbar masih berudhu?” Akbar hairan tapi mengangguk.

“Atuk nak berikan barang ini untuk Akbar…”

Cepat bola mata Akbar melihat bungkusan yang dipegang oleh atuknya itu.

“Untuk apa tuk…?” Sengaja Akbar memancing.

“Ulang tahun Akbar yang ke dua puluh tiga tahun hari ini, juga sempena dengan kemerdekaan negara kita yang ke dua puluh tiga.” Atuknya mengesat matanya walau tidak berair.

Atuknya menghulurkan bungkusan itu dan Akbar menyambutnya dengan penuh misteri. Akbar memandang rasut wajah atuknya yang sudah cekong itu dengan pandangan yang sayu dan hiba. Akbar memang sayang pada atuknya, tapi bukan kerana dia sering mendapat laba dari atuknya itu.

Akbar begitu kagum dan bersyukur kerana dalam usia atuknya yang selanjut itu sempat menikmati rempah ratus kemajuan yang dicapai selama seratus tahun seperti sekarang ini. Atuknya sempat melihat dan merasakan palbagai rentak dan irama pembangunan yang semakin mencabar ketika ini.

Akbar tidak sabar lagi untuk mengetahui apa isi bungkusan itu. Dengan palbagai andaian dan hati yang berdebar-debar Akbar membukanya. Akbar merasakan sedetik keheningan dalam kesebukan manusia yang riuh rendah itu apabila melihat apa isi bungkusan itu.

Sebuah kitab suci al Quran. Akbar mengucup dan menjunjung al Quran itu.

Akbar mengucapkan terima kasih sambil mencium tangan atuknya. Tiba-tiba badan Akbar terasa seram sejuk. Dia betul-betul tidak tau apa yang hendak dilakukannya ketika itu. Pada saat-saat akhirnya Akbar meraung di tengah-tengah orang ramai itu sambil memeluk atuknya yang sudah tidak bernafas lagi.








AFIQAH SYAKIRAH

Siapa pun akan pasti mengharapkan perjumpaan dari sebuah perpisahan yang agak lama itu, akan dapat memberikan sedikit sumbangan sebagai tenaga baru dalam proses untuk melanjutkan upacara perjalanan hidup hingga ke hujung penentuan yang sudah ditentukan oleh takdir.

Yang bernama kesibukan itu iya atau tidak sedikit sebanyak akan menyumbang kealpaan manusia untuk mengingati teman atau kawan walaupun sebelum ini begitu akrab umpama belangkas yang seolahnya tidak akan terpisah hingga ke hujung nyawa.

Lebih empat tahun mereka berpisah belum pernah berjumpa hingga saat dia menerima sms pagi itu, walaupun masa terkini yang banyak kemudahan-kemudahan tercanggih. Cuma sekali-sekala di awal perpisahan mereka berbual dalam telefon pada waktu-waktu yang tertentu, maklum sajalah pada peringkat pertama perpisahan.

Awal pagi lagi sebelum takbir raya bergema Afiqah Nazirah menerima mesej pertama dari kawan lamanya Syakirah Bariyah yang menawarkan rumah terbuka dua puluh empat jam bermula dari jam sepuluh pagi.

Afiqah Nazirah dan Syakirah Bariyah macam tangan kanan dan tangan kiri, walaupun mereka bertugas berlainan pejabat tapi mereka sering bersama-sama. Minum pagi mahupun petang misalannya. Umum tahu hidup itu memerlukan kawan mahupun teman, tapi kenalah memilih kawan yang benar-benar boleh menolong apabila berada di dalam palbagai situasi yang tidak mengizinkan.
Sejak Syakirah Bariyah bertukar ke daerah lain mereka sudah macam tidak ada apa-apa hubungan lagi. Tambahan pula dibebani dengan tugas-tugas dan tanggung jawab harian yang wajib dilaksanakan mengikut ganjaran yang diperolehi.

Itulah namanya kewajiban insan yang sering dibaluti dengan palbagai tugasan secara langsung terikat dan diikat dengan tanggung jawab yang sudah diletakkan di atas bahu masing-masing memaksakan untuk melupakan pada apa yang cuma digelar kawan.

Tahun pertama mereka berpisah Afiqah Nazirah berkunjung ke tempat tinggal Syakirah Bariyah, tapi malangnya Syakirah Bariyah sudah berpindah hinggalah pada hari raya pertama itu baru Afiqah Nazirah mengetahui di mana alamat Syakirah Bariyah seperti dalam sms yang diberikannya itu.

Pagi itu Afiqah Nazirah sudah mengatur rancangan hedak pergi ke rumah Syakirah Bariyah sebagaimana yang diterimanya melalui sms semalam. Tapi rancangan Afiqah Nazirah gagal kerana ramai kawan-kawannya menghantar sms untuk bertandang ke rumahnya. Dan pada saat akhirnya Afiqah Nazirah mengambil keputusan untuk pergi disebelah malam.

Dialoq pertama nanti yang akan diperkatakan Afiqah Nazirah kepada Syakirah Bariyah ialah tentang kecurangan kekasihnya yang lari bersama perempuan lain dan berazam akan memberikan pengajaran kepada perempuan itu seandainya Afiqah Nazirah tahu siapa perempuan itu. Kerana itu hingga sekarang Afiqah Naziran masih berseorangan walau sudah mencecah usia tiga puluh dua tahun.

Afiqah Nazirah sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mengeluarkan segala isi perutnya kepada Syakirah Bariyah yang selama ini masih terbuku dalam lipatan hatinya. Afiqah Nazirah tahu bukan semua rahsia diri itu boleh ditabur-taburkan pada sebarang kawan.

Dengan bantuan lampu depan keretanya Afiqah Nazirah ternampak nombor simpang sebagaimana yang diberikan Syakirah Bariyah, simpang 468. Tanpa membuang masa Afiqah Nazirah masuk ke jalan kecil itu dan perlahan-lahan keretanya merangkak terhinggut-hinggut kerana jalan kecil itu berlobang-lobang.

Tidak sampai satu kilometer Afiqah Nazirah ternampak sebuah rumah sederhana besarnya, ada tiga buah kereta dalam garej tapi tidak ada cucul yang dinyalakan untuk menambah seri rumah itu. Rumah itu kelihatan malap.

“Kenapalah kau tinggal di tempat yang begini Syakirah…?” Bisik hati kecil Afiqah Nazirah.

Afiqah Nazirah berhenti betul-betul depan pintu rumah itu. Tidak ada seorang pun yang keluar, cepat Afiqah Nazirah melihat jam tangannya baru jam lapan lima belas minit. Kemudian Afiqah Nazirah melihat jam keretanya juga sama.

Di halaman rumah yang luas itu tidak ada satu makhluk pun yang berkeliaran. Afiqah Nazirah cuba hendak membunyikan horn keretanya tapi itu bukan kebiasaannya, Afiqah Nazirah memang tidak suka membunyikan horn di mana-mana saja apa lagi di halaman rumah orang lain.

“Jangan-jangan sudah menjadi rumah tertutup, tapi katanya dua puluh empat jam. Atau aku yang salah rumah…!” Afiqah Nazirah cuba menelefon tapi malangnya Afiqah Nazirah lupa mensave mesej itu.

Afiqah Nazirah merasa letih dan meluruskan badannya sambil menguap. Nyaman. Tiba-tiba pintu rumah itu di buka orang dari dalam. Afiqah Nazirah nampak seorang lelaki berketayap putih berumur lima puluhan memandang tepat ke arahnya.
Afiqah Nazirah keluar dari kereta dan menghampiri lelaki berketayap putih itu sambil memberi salam. Lelaki berketayap putih itu menjawab dan mempelawa Afiqah Nazirah masuk.

“Ini rumah Syakirah Bariyah…?” Lelaki berketayap putih itu menganggok. Afiqah Nazirah masuk dan duduk sambil memerhati keliling ruang tamu itu. Lelaki berketayap putih itu kemudiannya beredar masuk ke dalam bilik.

“Mungkinkah orang tua itu suami Syakirah…?” Afiqah Nazirah senyum. Apa salahnya bersuamikan orang tua asalkan hidup bahagia.

Belum pun habis senyumannya terukir seorang wanita bertelekung sebaya dengan umur lelaki berketayap putih itu datang dengan membawa se gelas air putih kekeruhan. Air bali yang menjadi kegemaran Afiqah Nazirah. Afiqah Nazirah senyum lagi kerana kawannya ini masih ingat dengan minuman kegemarannya itu.

“Jemput minum…!” Pelawa wanita bertelekung itu.

“Mana Syakirah…?” Afiqah Nazilah macam tak sabar. Memang tidak sabar.

Wanita bertelekung itu tidak menjawab malah terus masuk ke dalam bilik di mana lelaki berketayap putih itu tadi masuk. Afiqah Nazirah faham lelaki berketayap putih itu bukan suami Syakirah Bariyah, mungkin saja saudara maranya yang tinggal turut berhari raya di rumahnya.

“Fiqah…!” Lembut dan sayu suara itu. Afiqah Nazirah tergamam.

“Syakirah…!” Syakirah Bariyah memelok erat Afiqah Nazirah. Mereka berdua bertangisan, tidak ada sepatah perkataan pun yang dapat diungkapan yang cuma isakan memenuhi ruang tamu itu yang seolahnya ada kematian.

“Maafkan aku Fiqah kerana selama ini aku mengkhianati mu.”

“Apa yang kau katakan ini…?”
“Aku kahwin dengan Firdaus kekasih mu.”

“Kau jangan membuat cerita karut seperti ini Syakirah…!”

“Benar Fiqah…aku juga minta maaf.” Firdaus muncul tiba-tiba.

“Aku juga isteri Firdaus.” Sampuk wanita bertelekung itu. Macam menonton wayang suspens dirasakan Afiqah Nazirah. Tapi dia masih belum percaya semua itu kerana lelaki berketayap putih itu bukan wajah Firdaus yang dia kenal.

“Firdaus kawin lagi dan aku cemburu, aku menyiram mukanya dengan asid dan cuba membunuh wanita perampas itu.”

“Kau telah mengkhianati aku Syakirah…!”

Tanpa sedar dengan dibaluti perasaan geram dan marah, Afiqah Nazirah menampar Syakirah Bariyah. Afiqah Nazirah terkejut kerana tangannya terkena horn keretanya. Afiqah Nazirah terlalu letih dan badannya terasa penat. Afiqah Nazirah melihat jam keretanya sudah pukul dua belas tengah malam.

Afiqah Nazirah tidak berfikiran negatif, semua itu dianggapnya cuma mimpi kerana terlalu keletihan. Dengan perasaan hampa untuk berjumpa kawan lamanya itu Afiqah Nazirah mengambil keputusan untuk pulang saja kerana malam sudah larut dan mungkin Syakirah Bariyah juga penat lalu tertidur.

Pagi esoknya kebetulan hari ahad. Afiqah Nazirah sekali lagi pergi ke rumah Syakirah Bariyah. Kali ini dengan mudah Afiqah Nazirah mendapatkan rumah Syakirah Bariyah apalagi di waktu siang dengan cuaca yang amat mengizinkan. Tahu-tahu kereta Afiqah Nazirah sudah tersadai di halaman rumah Syakirah Bariyah.

Afiqah Nazirah merasa hairan dengan suasana dan keadaan rumah itu sama seperti waktu dia datang semalam, cuma yang membezakan malam dengan siang. Dalam garej juga ada tiga buah kereta, rumah itu sunyi sepi.

Afiqah Nazirah memberanikan diri keluar dari keretanya dan menekan punat bell rumah itu. Belum sempat jarinya mencecah bell tiba-tiba pintu dibuka orang dari dalam dan keluar seorang wanita bertelekung juga seakan wanita yang ujud dalam mimpinya malam tadi.

“Ini rumah Syakirah Bariyah…?”

“Iyah…tapi dia sudah tidak ada.”

“Dia kemana…?”

“Syakirah dan suaminya sudah meninggal dunia dalam satu kemalangan.”

“Meninggal…?”

“Mereka meninggal dalam perjalanan ke rumah sakit ketika membawa isterinya yang hendak bersalin.”

“Siapa nama suaminya…?”

“Firdaus…”

Afiqah Nazirah merasakan dirinya benar-benar berada seperti di dalam mimpinya semalam. Bagaimana dia harus menerima semua kenyataan ini. Rumah dan sekitarnya lengkap seperti dalam mimpinya. Apa kah semua ini cuma khayalannya atau benar-benar ujud di alam nyata…?

“Kalau macam itu kamu ini siapa…?”

“Saya adalah isteri keduanya.” Afiqah Nazirah merasakan dirinya hendak pengsan.

“Tolong katakan pada ketika ini saya sedang bermimpi mahupun berkhayal.”

“Kamu tidak berkhayal apa lagi bermimpi Afiqah Nazirah…!” Beribu malah berjuta kunang-kunang berkerdipan di ruang mata Afiqah Nazirah bagaikan kilauan ketulan manik-manik dipancar oleh sinaran matahari.

“Saya harap kamu tidak mempermain-mainkan saya.”

“Saya bercakap benar mereka meninggal setahun yang lalu.”

“Tapi saya menerima mesej darinya semalam…!”

“Saya yang mengirim mesej itu sebagaimana pesanan Syakirah Bariyah.”

“Semalam saya datang ke sini tapi rumah ini kosong.”

“Saya baru pulang subuh tadi.”

“Tapi bagaimana kamu tahu nama saya...?”

“Itu gambar kamu…” Wanita bertelekung menghalakan telunjuknya ke sebuah almari kecil di sudut ruang tamu itu. Gambar Afiqah Nazirah bersama Syakirah Bariyah dua tahun sebelum mereka berpisah.

“Saya ada sesuatu untuk disampaikan kepada Afiqah dari Syakirah.” Wanita bertelekung itu memberikan sampul surat kepada Afiqah Nazirah. Dengan palbagai andaian Afiqah Nazirah membuka sampul surat itu lalu membacanya.

‘Maafkan aku kerana mengkhianati mu Fiqah…apa yang berlaku ini semuanya sudah ditakdirkan…!”

Afiqah Nazirah tidak berminat untuk meneruskan membaca surat kawannya yang terang-terangan berkhianat terhadapnya itu. Afiqah Nazirah mengoyak surat itu lalu melemparkannya ke pangkuan wanita bertelekung itu lalu berlari keluar meninggalkan rumah yang menyembunyikan kecurangan Syakirah Bariyah terhadapnya selama ini.






 

blogger templates 3 columns | Make Money Online