Itulah kerja yang boleh dilakukan oleh Liau Duraman. Pekerjaan menangkap ikan bukanlah kerja yang boleh dilakukan dengan sambiliwa, kalau sekarang ini berangkali mudah. Pasang pukat entah apa namanya tidak mustahak, jaur lautan tidak kira dalam atau tuhur, limpas sempadan atau tidak teruskan mengejar kemana ikan-ikan itu berenang tanpa mengira itu hak orang lain, waimapun membahayakan keselamatan diri sendiri. Kaut keuntungan biar lebih, undang-undang lupakan anggap laut itu tidak punya sempadan.
Tidak terlintas di fikiran Liau Duraman waktu itu apa akan berlaku seperti sekarang ini umpamanya. Cuma yang ada dalam fikiran Liau Duraman untuk menyara hidup isteri dan anak-anaknya. Perut mereka wajib diisi setiap hari agar mereka dapat hidup seperti orang lain.
Bayang-bayang bulan mengembang penuh jelas tergambar di permukaan air Sungai Brunei yang tenang itu, sesekali bayangan bulan itu pecah kerana alunan tungapan ikan-ikan kecil tengah melahap magsanya yang juga kecil terjatuh dan terapung di permukaan air itu.
Liau Duraman perlu hati-hati dalam keadaan waktu begitu, jika alpa atau berbuat bising apa lagi mengeluarkan bunyi cabukan air yang menciptakan riak walau kecil apa lagi besar, maka sudah tentu kerjanya akan menjadi sia-sia.
Di tebing kayu bakau pula sudah ada kocakan ikan-ikan yang memberikan harapan pada Liau Duraman bahawa hari itu akan ada rezeki masuk ke dalam bunuan balatnya. Liau Duraman makin bersemangat. Kedinginan yang dirasakannya ketika berendam di dalam air itu terasa akan berbalui.
Rumah Api di Tanjung Simasta yang terpacak dengan lampunya sentiasa kelap kelip itu terus berkhidmat hingga ke pagi sebagai panduan pengguna masuk ke Sungai Brunei yang tenang itu. Liau Duraman seperti biasa turun ke air untuk meneruskan kerja hariannya yang akan menentukan lumayan tidaknya pendapatannya pada esok pagi.
Berbagai-bagai bunyi yang seakan benda jatuh di dalam bakau itu juga sudah mulai kedengaran (kata orang tua-tua itu hantu labuk). Liau Duraman biasa dengan bunyi-bunyian seperti itu kerana semuanya sudah sebati dengan jiwanya, asal jangan cabul.
Perahu-perahu nelayan lain yang menangkap ikan di luar Sungai Brunei juga sudah mula keluar untuk mengutip rezeki masing-masing yang diberikan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang bakarih. Liau Duraman cuma nelayan di persisiran Sungai Brunei bermula dari tebing Kampong Pelambayan hingga ke Kampong Sungai Besar. Ada juga sesekali Liau Duraman menyeberang seperti di Sungai Bunga (sekarang Kampong Sungai Bunga) dan di lubuk kecil Kampong Pudak.
Kali ini Liau Duraman mengurak balatnya di Sipak Dua (sekarang Kampong Sungai Belukut). Air sudah mulai surut. Liau Duraman mula mencecahkan badannya yang tidak berbaju itu ke dalam air, sejuk mula menusuk ke tulang sum-sumnya. Tapi bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa.’
Liau Duraman mempunyai tiga orang anak, dua orang perempuan dan yang bongsu lelaki berumur sembilan tahun juga tidak bersekolah. Anak lelakinya inilah yang sering dibawa Liau Duraman jika isterinya tidak dapat bersama.
Setelah kerjanya selesai Liau Duraman naik ke perahunya dan mengambil kainnya yang agak lusuh untuk membungkus badannya yang sedang kedinginan itu. Kemudian Liau Duraman mencapai sebatang rokok cap tooch light lalu menghisapnya.
Sebenarnya Liau Duraman tidak pandai merokok, Liau Duraman cuma memanaskan badanya yang sedikit menggigil itu. Liau Duraman menghembuskan asap rokoknya keluar, sekali gus menghalau nyamuk yang cuba berbisik di telinga Liau Duraman.
Suasana dinihari itu sangat hening. Air Sungai Brunei surut begitu lembut amat menyayukan, sampah sarap terapung-apung tenang menumpang dalam arus air mengalir ke kuala dan akan kembali ke hulu apabila air bergerak pasang. Itulah nasib sang sampah akan terus dipermainkan oleh pasang surutnya air.
Matahari mula memancarkan sinarnya untuk santapan semua kejadian di dunia ini sama ada yang bernyawa atau tidak. Liau Duraman merasa gembira kerana dari kocakan ikan-ikan yang sudah masuk ke dalam bunuan balatnya itu, Liau Duraman yakin.pagi itu nanti senang-senang akan mendapat tidak kurang dari tiga puluh ringgit.
Air semakin surut hingga separas lutut Liau Duraman. Liau Duraman cuma menunggu beberapa minit saja lagi untuk menyiut ikan-ikan yang sudah berebut-rebut berenang kerana merasakan kekurangan air itu. Liau Duraman bersyukur kerana basah keringnya akan berbalui.
Tiba-tiba raut muka Liau Duraman menjadi pucat dan murung, ada sedikit kekesalan dalam hatinya. Harapan Liau Duraman untuk menghitung wang kertas merah ada gambar kerbau itu pasti akan berkecai. Liau Duraman meludah beberapa kali melepaskan geramnya terhadap sebuah objek yang menjadi melaikat maut dan akan membunuh harapannya sebentar lagi.
Sebuah kapal yang terkenal dengan ombaknya yang besar itu lalu tanpa melihat ada marhaen kecil tersisip di tebing sungai itu sedang menunggu rezekinya yang juga kecil. Sebentar lagi balat Liau Duraman akan rebah dipukul ombak kapal yang deras itu, sebentar juga nanti harapan Liau Duraman akan musnah dan segala usahanya akan menjadi sia-sia.
Ombak besar dan deras itu berjaya menumbangkan balat Liau Duraman menjadikan hamparan sebuah permaidani. Liau Duraman meraung dalam hati melihat khazanahnya hanyut ke tebing dibawa ombak yang ganas itu. Liau Duraman sempat melihat ikan-ikan yang hendak mati itu cepat-cepat berenang ke laut untuk menyelamatkan diri. Liau Duraman terduduk dalam perahunya yang juga hampir karam itu.
Nurulhikmah tidak memaksa Pak Cik Mail untuk meneruskan ceritanya. Mungkin Pak Cik Mail merasa letih dan mengumpul kenanganya untuk menyambung kembali ceritanya. Itu sangkaan Nurulhikmah kerana kisah itu sudah berlalu lebih enam puluh lima tahun ketika Pak Cik Mail berumur sembilan tahun lagi.
Cerita Pak Cik Mail terhenti disitu, jejari Nurulhikmah juga berhenti menari di atas komputer ribanya. Takadohong jejarinya berhenti dan kesempatan itu digunakan oleh Nurulhikmah untuk menggaru hidungnya yang gatal dengan kukunya yang panjang macam bulu landak itu, walau tidak dicerobohi oleh sebarang makhluk kecil.
Pak Cik Mail mengesat air matanya yang hendak melilih. Nurulhikmah terharu melihat kesedihan Pak Cik Mail itu. Tergerak hati Nurulhikmah untuk bertanya apakah kisahnya yang membuatkan orang tua di hadapannya yang sudah berusia tujuh puluh empat tahun itu menangis tentu ada sebabnya, tapi Nurulhikmah tidak mahu menambahkan lagi kesedihan yang dirasakan oleh Pak Cik Mail ketika itu.
“Maafkan Pak Cik nak kerana tidak dapat menahan kesedihan Pak Cik…”
“Saya sepatutnya yang minta maaf pada Pak Cik, kerana saya membuatkan Pak Cik bersedih.” Nurulhikmah.
“Tidak mengapa nak…Pak Cik bangga kerana ada orang muda seperti anak ini, ingin mengetahui perjalanan hidup orang-orang seperti Pak Cik ini.” Pak Cik Mail batuk-batuk kecil dan menyiruk air dalam hidungnya.
“Mengapa Pak Cik menangis tadi…?” Nurulhikmah memberanikan diri.
“Pak Cik sedih kerana terkenangkan pengorbanan ayah Pak Cik yang tidak sempat Pak Cik balas sampai sekarang.” Pak Cik Mail.
Nurulhikmah adalah seorang penuntut lepasan Universiti Brunei Darussalam yang baru saja menamatkan pengajiannya dalam bidang sestera.. Kerana itu Nurulhikmah ingin menghasilkan sebuah novel yang menceritakan tentang kehidupan orang-orang nelayan lebih setengah abad lalu.
“Apakah ayah Pak Cik juga seorang nelayan…?” Jejari Nurulhikmah terhenti.
“Memang ayah Pak Cik seorang nelayan hingga ke akhir hayatnya.” Jawab Pak Cik Mail sambil angguk.
“Pernahkan Pak Cik pergi bersama ayah Pak Cik itu…?”
“Pernah…” Pendek jawapan Pak Cik Mail.
“Siapa pula nama ayah Pak Cik itu dan bolehkan Pak Cik menceritakannya untuk bahan-bahan tambahan yang saya perlukan nanti...?” Pinta Nurulhikmah.
“Pak Cik sudah pun menceritakan semuanya.” Pak Cik Mail mengubah sedikit gaya duduknya yang sudah terasa sengal itu.
“Maksud Pak Cik…?” Nurulhikmah keliru, raut wajah Pak Cik Mail yang sudah banyak di ratah usia itu di renungnya dalam-dalam. Pak Cik Mail tunduk.
“Liau Duraman itulah ayah Pak Cik dan anak lelaki itu adalah Pak Cik sendiri…” Pak Cik Mail mengubah lagi duduknya yang belum selisa itu.
Azan Asar sudah kedengaran dari menara masjid yang tidak jauh dari rumah Pak Cik Mail itu. Nurulhikmah memohon diri untuk pulang, sebelum beredar Nurulhikmah menghulurkan sekeping sampul surat berwarna biru kepada Pak Cik Maik sambil mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh Pak Cik Mail.
“Pak Cik tidak menjual semua itu…” Pak Cik Mail menolaknya dengan hormat.
“Saya juga bukan membelinya Pak Cik, ini pemberian ikhlas dari saya dan anggaplah ini pemberian dari anak Pak Cik sendiri …”
Nurulhikmah tidak dapat menahan sebak dihatinya lalu beredar meninggalkan Pak Cik Mail sebaik-baik saja sampul surat itu berada dalam genggaman Pak Cik Mail. Tangan Pak Cik Mail diciumnya walau bukan mahramnya.
“Terima kasih nak…moga kamu selamat…” Bibir Pak Cik Mail bergerak-gerak mendoakan Nurulhikmah yang sudah berada di dalam perut keretanya itu.
Pak Cik Mail mengurak genggamannya dan membuka sampul surat itu. Sekeping wang pelastik dibelakangnya terpampang lakaran Pulau Cermin yang indah dan punya sejarah berdarah di zaman Brunei bersultan dua suatu ketika dahulu.
Air mata Pak Cik Mail jatuh ke atas wang pelastik itu, samar-samar Pulau Cermin itu terapung-apung tenang di bola mata Pak Cik Mail sekarang, pulau itu tidak banyak berubah. Pak Cik Mail merenung wang pelastik itu sambil hatinya menimbang-nimbang. Apakah wang sejumlah itu akan dapat membeli sebuah keikhlasan…!
0 Comments:
Post a Comment