Bunyi pukulan tangannya yang kuat itu sudah tidak tentu rentaknya, demikian juga tibarannya yang cantik seakan bulatan tibaran rambat Bongsu Laki tatkala merambat udang di Jalan Residensi itu sudah tidak nampak indahnya, tamparannya juga sudah tidak berirama lagi. Uniknya semua orang tidak menyedari bahawa irama dan lagu Abdul Faqar pada saat-saat akhir ini telah banyak berubah.
Hal itu terjadi adalah disebabkan Rahmat pekerja baru sebagai pelayan di Restoran Bawang Putih itu. Kehadiran Rahmat benar-benar mengganggu gugat keamanan dan keselisaan Abdul Faqar dalam melaksanakan tugas-tugasnya dan sekali gus prestasi kerjanya merondom, hatinya sudah tidak setenang sebelum munculnya Rahmat di Restoran Bawang Putih itu. Tapi Abdul Faqar tidak dapat berbuat apa-apa kerana Abdul Faqar juga seorang pekerja sebagai pembuat martabak.
Sebenarnya Abdul Faqar merasa cemburu disebabkan Rahmat begitu mesra dengan Narseah salah seorang pelayan wanita di Restoran Bawang Putih itu, maklum sajalah sama sebangsa dan setanah air datang dari seberang untuk mencari rezeki di tempat orang. Seperti juga dengan Abdul Faqar sendiri datang dari India tumpang senang di bumi bertuah Brunei Darussalam ini dan akan ada ketika pulangnya nanti setelah kantung mereka masing-masing penuh berisi.
“Aku udah bilang roti telur…kenapa bikinnya ruti kosong…? Pelanggan udah pada marah-marah tu…!” Narseah menjeling Abdul Faqar yang baru sebentar dimarahi oleh pelanggan kerana diminta lain dan datangnya lain pula.
Baru pertama kali Narseah melontarkan kata-kata seumpama itu kepada Abdul Faqar, semua ini juga kerana Rahmat, kedatangannya menjadikan Abdul Faqar seolahnya tidak diindahkan oleh Narseah. Narseah yang begitu lembut dan peramah, selama ini sedikit sebanyak telah menghiburkan Abdul Faqar tapi sekarang sudah banyak berubah.
Dua hari lepas pelanggan juga komplin martabak telur Abdul Faqar bercampur dengan kepingan kulit telur hingga lidah pelanggan terhiris. Dan semalam pula ada sehelai bulu lengan Abdul Faqar yang ikal itu terselit dalam lipatan martabak kosongnya. Barangkali itu masih baik…apa kata kalau batu cincin yang ada di dalam…?
Rahmat tidak mengetahui apa sebenarnya yang ada dalam hati perut insan yang bernama Abdul Faqar ini. Rahmat kian mesra dengan Narseah, bergelak ketawa…bergurau senda dan berjenaka tidak kira di hadapan pelanggan yang menjamu selera di Restoran Bawang Putih itu, hingga memaksakan pelanggan-pelanggan melihat mereka dengan pandangan yang begitu sinis.
Perlakuan dan keolahan mereka ini telah mengguris hati dan sekaligus jantung Abdul Faqar yang sudah terasa tercabar, apa lagi percakapan Narseah dengan Rahmat langsung tidak difahami oleh Abd Faqar. Abdul Faqar meraskan bulu dadanya yang tebal macam hutan belukar berpuluh tahun tidak ditebas itu hangus terbakar.
Tamparan Abdul Faqar semakin kucar kacir, beberapa biji telur yang menunggu giliran untuk disatukan yang nantinya mendapat gelaran martabak telur itu berlaga sesama sendiri dan akhirnya pecah tanpa disedari oleh Abdul Faqar, kerana dalam kepalanya martabak itulah tubuh badan Rahmat yang wajib dibelasah sekuat-kuatnya sebagai melepaskan geramnya.
Narseah semakin tidak mengindahkan Abdul Faqar walaupun selama ini, sebelum ujudnya Rahmat…Abdul Faqar telah banyak membantu Narseah dalam banyak hal, terutamanya urusan memperpanjang kebenaran tinggal di negara ini. Tapi Narseah menganggap semua itu cuma pertolongan biasa selaku pekerja yang sama-sama bekerja dalam satu majikan.
Bagi Abdul Faqar…penibar martabak ini pula, apa yang dibuatnya dan dirasakannya selama ini adalah lain, Narseah bukan orang asing dalam hidupnya, kerana Narseah memperlakukan dirinya juga lain tidak seperti kawan-kawannya, pokoknya Narseah bakal dibawanya pulang ke India bersama miliknya yang lain.
Restoran Bawang Putih di tepi jalan itu memang tidak pernah lengang oleh pelanggan kalau hendak dibanding-bandingkan dengan restoran lain yang letaknya betul-betul setentang cuma menyebarang jalan jaraknya. Tidak pasti mengapa Restoran Bawang Putih ini juga menjadi pilihan pelanggan untuk membasahi tekak dan sedikit mengisi perut yang setentunya sudah kosong.
Itu cuma berkemungkinan ada dua sebab, satu…masakannya yang nyaman dan enak atau dua…pelayannya yang gebu-gebu dan cantik-cantik serta bergaya, kerana itu pelanggan-pelanggan rasa terpanggil untuk datang walaupun yang dimakan itu tidak sesedap yang dinamakan ‘sedap’…!
Itu agaknya salah satu rempah ratus yang terkandung dalam strategi bisnes makan minum seumpama ini, mana ada orang mahu singgah jika pelayan-pelayan restoran itu bida-bida…mihir…memberi kambang liur. Kerana itulah wajah serta ketrampilan perlu ada bagi menggamit dan seterusnya melambai pelanggan-pelanggan agar datang untuk menjamu selera, sedap atau tidaknya itu belakang kira.
Belumpun habis geram Abdul Faqar terhadap Rahmat yang semakin naik bulu itu, (walaupun Rahmat tidak mempunyai bulu selebat punya Abdul Faqar) timbul pula isu baru. Narseah dengan perawakannya yang manja dan bersahaja itu dengan cepat meluru ke arah seorang lelaki berumur pertengahan lima puluhan selaku pelanggan berkala berkunjung ke Restoran Bawang Putih itu. Sebelum ini Abdul Faqar tidak pernah melihat lelaki pertengahan lima puluhan itu datang, tidak tahulah ketika dia pulang bercuti ke negerinya enam bulan lepas.
Lelaki pertengahan lima puluhan itu memanggil Narseah sebaik-baik sahaja dia keluar dari keretanya, walaupun Narseah sudah menghala tuju ke arahnya. Lelaki pertengahan lima puluhan itu terus duduk tanpa dipelawa, kerana ini ruang restoran dan bukannya ruang kem majlis perkahwinan yang mahu dipersila-silakan.
‘Kenapa Narseah juga yang dipanggil…? Sedangkan pelayan lain banyak…!’
Suara hati Abdul Faqar sambil meneruskan kerjanya menampar dan menibar martabak tidak berhenti-henti. Sekali tibar matanya akan melerek Narseah yang sedang melayan lelaki pertengahan lima puluhan itu. Lelaki pertengahan lima puluhan itu senyum sambil jari-jarinya yang nakal itu cuba mengusik jari-jari Narseah yang lembut dan nampak senghaja dimanjakan itu.
Lelaki itu bernama Molok, isterinya orang luar negeri dan terpaksa dihantar pulang ke negeri asalnya di Kalimantan tiga tahun lepas. Molok cuma dapat bertahan kurang dari setahun kerana tidak tahan dengan telatah bekas isterinya itu yang terus-terusan mahukan wangnya. Molok sedar bekas isterinya itu cuma cinta pada wangnya dan bukan pada batang tubuhnya.
(Walau sering dibilangin cintanya seratus persen).
Abdul Faqar tidak dapat mengawal perasaannya, peluh dinginnya walau berdepan dengan kuali panas sudah mengalir dan setitik dua jatuh ke riba martabak yang sebentar lagi akan menjadi santapan salah seorang pelanggan dalam Restoran Bawang Putih itu.
Martabak ditangan Abdul Faqar terlepas dan melayang seperti piring yang kena limpar di Belapan Padang lalu menampal di tepi dinding yang kemudiannya jatuh ke lantai, mujurlah tidak seorang pun yang nampak kejadian itu, jika nampak sudah pasti Restoran Bawang Putih itu akan jadi haru biru.
“Bapa mau minum apa…?” Sudah terakam dalam kepala Narseah sebagai pembuka kata, walaupun kata-katanya sudah lama terbuka.
“Teh tarik halia kurang manis…” Selamba pinta lelaki bernama Molok itu.
“Makannya…?” Sambung Narseah cepat, juga seperti sudah terakam.
“Martabak telur pelastar…!” Pinta lelaki bernama Molok itu sambil merenung tepat wajah Narseah menyebabkan dada Narseah yang sudah berombak itu semakin tinggi ombaknya.
Narseah tidak pernah merasakan pandangan lelaki seperti pandangan lelaki yang bernama Molok itu sebagaimana yang dirasakannya sekarang, baik pada Rahmat mahupun Abdul Faqar sendiri. Apatah lagi dari pandangan seorang lelaki yang sudah dimakan usia begitu. Narseah jadi malu-malu…walau tidak semalu kucing…!
“Minum apa tadi pa…? Narseah sudah lupa…macam terpukau. Kini Narseah pula yang memandang tajam wajah lelaki bernama Molok itu, walau sudah berusia tapi masih kacak dan bergaya.
(Barangkali macam itulah yang dikatakan, orang lelaki itu umpama besi, walau berkarat sekalipun tapi masih punya harga. Beruntungnya jika menjadi seorang lelaki…!)
“Teh tarik halia kurang manis sama martabak telur pelastar…!” Bersahaja nada ulang lelaki bernama Molok itu sambil menjilat pancaran mata Narseah yang hitam pekat berkilat itu.
Lelaki bernama Molok itu spontan teringatkan mata arwah isterinya yang pertama, orang local dan dari kerana mata itulah yang membawa mereka ke atas pelamin. Namun semua itu cuma tinggal kenangan yang tidak akan terlupakan walau sudah bersemadi lapan tahun dahulu.
Itu namanya permulaan cinta, dari mata yang kemudiannya turun ke hati. Tapi mata itu sekarang sudah tidak ada gantinya, kalau adapun besar kemungkinannya tidak akan sama. ‘Memang yang patah tidak akan pernah sama dengan yang tumbuh…’
“Maafkan saya pa…” Tanpa menunggu jawaban Narseah beredar, badannya terasa seram sejuk, darah gemuruhnya masih membungkusi badannya yang sliming itu.
Lelaki bernama Molok itu memerhatikan Narseah dari belakang, lenggang Narseah yang lembut…langkah Narseah yang teratur dan hayun tangan Narseah yang dijalin rapi itu semuanya diperhatikan oleh lelaki bernama Molok itu.
Narseah pula diam-diam senghaja mengusai dan membisaikan langkah serta jalannya yang seakan pragawati itu, biar indah dipandang dan merangsang kerana Narseah tahu lelaki bernama Molok itu asyik memandang dirinya. (Namanya wanita pasti akan merasa bangga jika dirinya diperhatikan oleh lelaki tidak kira muda ataupun tua…!)
Usia Narseah kini sudah mencapai tiga puluh lapan tahun, empat tahun dahulu Narseah bekerja sabagai amah, tapi terpaksa pulang serta merta kerana lakinya di sana sedang main kayu tiga dengan cewek-cewek yang lebih umph…!
Setelah menerima status janda, Narseah kembali ke Brunei dan sekarang adalah penggal kedua Narseah berkerja di Restoran Bawang Putih itu. Narseah merasakan bekarja sebagai pelayan restoran lebih ‘betah’ jika dibandingkan dengan pembantu rumah, walaupun pada awalnya dijanjikan dengan pekarjaan yang lebih baik dari pekerjaan sekarang.
Abdul Faqar lebih hati-hati melaksanakan tugas dan tanggung jawabnya agar tidak menerima akibat yang membuatkan dia sendiri kehilangan pekerjaan dan kehampaanya untuk mengumpul harta yang akan dibawanya pulang nanti turut berkecai.
Bukan itu saja, malah Abdul Faqar sekarang perlu bijak menangani yang mana pekerjaan dan mana perasaan. Abdul Faqar sedar bahawa dirinya seorang perantau di negeri orang untuk mengutip sedikit rezeki yang akan dibawanya pulang nanti.
Fikiran Narseah melayang-layang tidak seperti malam-malam sebelumnya. Wajah lelaki bernama Molok itu benar-benar menganggu fikiran dan perasaannya yang menghalang dia untuk memejamkan mata yang tentunya akan menikmati mimpi-mimpi yang indah.
Narseah juga hairan mengapa fikirannya sering membanding-bandingkan wajah Abdul Faqar dengan lelaki bernama Molok itu. Sebetulnya Abdul Faqar cuma dilihatnya sebagai rakan satu majikan yang harus tolong-menolong dalam segenap hal, apalagi mereka sama-sama di rantau orang.
Sudah tiga tahun Molok menduda (duda kali ke dua), Molok merasakan dirinya dalam kekosongan, dan Molok merasakan kekosongan itu perlu diisikan lagi. Tapi hingga saat ini Molok belum pasti siapa bakal memenuhi ruang kosong di hatinya itu…? Kerana Molok tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ oleh itu Molok harus lebih berhati-hati jika mahu mengisikan kekosongan jiwanya sekarang ini.
Rahmat pula sudah lebih lima hari tidak datang bekerja. Menurut Narseah Rahmat sudah berhenti dan bekerja di tempat lain. Abdul Faqar orang yang paling gembira mendengar berita itu, saingannya sudah tidak ada lagi di bibir matanya, kerana itu prestasi kerjanya mulai melambung naik. Irama dan lagu martabaknya yang sumbang beberapa ketika dahulu itu kini mulai bertenaga.
Tapi sayang semua itu cuma sebentar, petang itu bagaikan tiada hari esok bagi Abdul Faqar apabila melihat Narseah keluar dari restoran itu dengan menghirit sebuah beg pakaian. Mahu diterpanya Narseah ketika itu, tapi tangannya masih menebar martabak dan pada akhirnya Abdul Faqar membiarkan sahaja kerana tidak dapat berbuat apa-apa.
Selang beberapa minit kemudian tersadai sebuah kereta kijang model lama berwarna putih, sekali gus Narseah bergerak cepat menuju kereta kijang berwarna putih itu dan terus masuk tanpa menoleh kiri mahupun kanan.
Terbeliak mata Abdul Faqar yang merah macam buah saga itu, dan seakan terkeluar bola matanya apabila melihat Narseah duduk di sebelah Rahmat yang sudah menunggu di tempat duduk belakang kereta kijang berwarna putih itu. Abdul Faqar berhenti menibar martabak sebentar lalu memicit hidungnya untuk menahan air pekat hijau yang sudah julung-julung hendak keluar itu.
0 Comments:
Post a Comment