GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PEMBNUKAAN).......
ANN: Bahagian…………menghidangkan sebuah drama radio berjodol
‘Sudahnya Sebuah Cinta’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam…
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…….
SPOT: SUARA ORANG RAMAI DI RAUDHAH…BIARKAN…….
SITI: (KUAT) Ya…Allah…!
JASTINA: (CEMAS) Syukurlah kakak tidak apa-apa…
SITI: (TERCUNGAP-CUNGAP) Alhamdulillah…terima kasih kerana menolong saya, jika saya jatuh tadi…tidak dapat dibayangkan apa yang akan terjadi pada saya.
JASTINA: Itu cuma kebetulan…perempuan gemuk itu yang menolak kakak.
SITI: Begitulah kelakuan mereka…di Raudhahkah atau di mana saja, seolah-olah mereka itu tidak pernah melihat orang lain.
JASTINA: Baiklah…saya nak ke depan dulu, kalau-kalau ada ruang kosong…assalamualaikum…
SITI: Waalaikumussalam…!
GRAM: MUZIK SALINGAN…….
AYAH: (SEDIKIT KERAS) Ayah bincangkan sekarang tentang pelajaran…sekali gus masa depan Jastina sendiri…!
JASTINA: (SELAMBA) Ayah tidak mengerti apa yang saya inginkan…
AYAH: Maksud Jastina tentang pemuda Melayu itu…?
JASINA: Saya ingin berterus terang ayah…saya mencintai dia, saya percaya dia akan dapat membimbing saya ke jalan yang benar.
AYAH: Apakah selama ini kita berada di jalan yang salah…?
JASTINA: Saya tidak bermaksud unuk membicarakan apa-apa agama atau pegangan ayah, saya cuma memperkatakan dialah orangnya yang saya pilih menjadi teman hidup saya.
AYAH: Ayah juga tidak bersedia untuk memperkatakan apa-apa agama…ayah cuma menginginkan Jastina belajar untuk menjadi manusia yang berguna pada bangsa dan juga negara.
JASTINA: Apa lagi yang ayah inginkan…ayah adalah seorang peguam yang handal dan memperolehi banyak kejayaan.
AYAH: Itu ayah tau…kerana itulah ayah menginginkan Jastina juga menjadi seorang peguam yang berjaya seperti ayah.
JASTINA: Biarkan saya memilih apa yang saya inginkan ayah.
AYAH: Ayah tidak menghalangi apa yang Jastina inginkan asalkan Jastina menunaikan kehendak ayah…ini juga untuk masa depan Jastina…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: (PERLAHAN) Ayah kau betul Jas…masa depan itu amat penting, apa lagi dalam kita menjalani lorong-lorong dunia yang sudah tidak ketentuan ini.
JASTINA: Maksud Syam kita tidak punya masa depan yang baik…? Mengapa cepat mengalah, Syam…!
SYAM: Mengalah bukan bererti kita kalah, Jas…
JASTINA: (TERAGAK-AGAK) Jadi…Syam suka jika Jas pergi dan meninggalkan Syam begitu saja…?
SYAM: Ini bukan soal suka atau tidak, Jas…
JASTINA: Lalu…mana sudahnya cinta kita…selama ini Jas bersedia untuk menjadi milik Syam…walau kita berlainan pegangan.
SYAM: Cinta tidak boleh dicampur adukkan dengan agama, Jas…agama adalah kepercayaan yang tidak ada paksaan.
JASTINA: Apakah salah jika Jas menyintai agama Islam dan sekali gus menyintai Syam juga…?
SYAM: Jika cinta itu lahir dari hati yang ikhlas kerana Allah…Syam kira tidak ada salahnya. Setiap orang ada hak masing-masing untuk menentukan pegangan hidup mereka sendiri.
JASTINA: Lalu…apa lagi yang Syam fikirkan…?
SYAM: Kita cuma memandang masa depan kita yang dipengaruhi oleh rasa cinta, tanpa memperhitungkan jasa dan pengorbanan orang tua kita.
JASTINA: Syam…kita selaku anak-anak zaman sekarang ini mempunyai fikiran terbuka, kita bukan lagi berada di zaman makanan sumpah…!
SYAM: Tapi jika kita membantah kehendak ataupun kemahuan orang tua kita…pastinya hati mereka akan terluka.
JASTINA: Kalau macam itu bila lagi kita akan terlepas dari kepompong orang tua kita…? Kita akan terus dikongkong buat selama-lamanya, Syam…
SYAM: Jika sesuatu itu baik untuk mereka...apa salahnya kita pula selaku anak-anak mematuhi kehendak mereka.
JASTINA: Jas kurang setuju pendapat seperti itu…
SYAM: (PERLAHAN) Jas perlu ingat…ayah dan ibu cuma satu di dunia ini…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JASTINA: Jas berkeberatan untuk meninggalkan, Syam…tapi demi untuk masa depan kita seperti yang ayah inginkan, terpaksa juga kita berpisah.
SYAM: Pilihanmu tepat Jas…jangan biarkan diri kita dimamah cinta buta yang tidak mengenal apa-apa.
JASTINA: Bagi Jas…cinta itu tidak buta dan tidak akan pernah buta, yang buta adalah nafsu serakah manusia itu sendiri. Demi cinta kita Jas rela menghambakan diri untuk memenuhi kehendak ayah.
SYAM: Ayahmu seorang yang berpendirian tegas…punya wawasan yang menjangkau masa depan. Itu juga sebuah pengorbanan.
JASTINA: Tapi bukan untuk ayah…atau untuk Jas seorang, malah adalah untuk kita berdua, demi cinta kita yang cuma satu dan tidak akan ada sudahnya ini.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: (PERLAHAN) Itu tujuh tahu yang lalu…semuanya sudah berubah.
JASTINA: Setelah aku pulang…orang pertama kali yang ingin aku temui ialah kau, Syam…tapi (BERHENTI).
SYAM: (CEPAT MEMOTONG) Dua hari sebelum kau berangkat ke luar negeri…ayah kau datang menemui aku dan meminta sesuatu padaku.
GRAM: MUZIK……. FLASH BACK……
AYAH: (LEMBUT) Pak cik tidak menghalang kau berkawan dengan anak pak cik…tapi kau harus tau juga, hidup tanpa pelajaran yang cukup umpama sampah yang hanyut ke hulu dan ke hilir, mengikut pasang surutnya air.
SYAM: Saya tidak minta cinta saya diterima, pak cik…tapi kami saling cinta menyintai dan sanggup sehidup dan semati.
AYAH: Itu cuma sebuah janji yang dipanggil sumpah setia…semua itu tidak menjanjikan apa-apa, jauh sekali yang disebut kebahagiaan.
SYAM: Kita manusia cuma merancang namun Tuhan yang menentukannya pak cik…saya mencintai anak pak cik bukan kerana kekayaan orang tuanya.
AYAH: Baguslah…kalau begitu apa usaha yang kau lakukan untuk kebahagiaan masa depan anak pak cik…?
SYAM: Saya menyintai Jastina, pak cik…
AYAH: Pak cik tidak mau anak pak cik akan tercicir dalam hidupnya nanti.
SYAM: Apa yang pak cik maksudkan…?
AYAH: (KERAS) Jika kau benar-benar menyintai anak pak cik…berkorbanlah sedikit untuknya…jangan cuba-cuba ganggu dia lagi…!
GRAM: MUZIK…FLASH BACK (PENUTUP)…….
SYAM: (SELAMBA) Sejak peristiwa itu aku mencuba nasib di negeri orang…aku ingin mengotakan janjiku pada ayahmu, sebagai tanda cintaku padamu.
JASTINA: (SEDIH) Apa yang ku dapat dari kepulanganku itu cuma penderitaan…walaupun mercu kebangaan ayah sudahku sandang, namun semua itu sudah tidak ada gunanya tanpa kau, Syam…
SYAM: Aku seorang lelaki yang patuh pada janji…
JASTINA: Walau janji itu membunuh cinta kita dan menghapuskan seluruh plan istana yang akan kita bena…?
SYAM: Kita cuma dapat merancang…dan inilah akhirnya.
JASTINA: (SEDIH DAN MENANGIS) Satu ketika aku hilang sabar…aku sudah tidak dapat mengawal perasaanku lagi, dunia ini ku rasakan sudah menjadi neraka…!
GRAM: MUZIK…FLASH BACK…….
AYAH: (MARAH) Kau tidak perlu lagi memikirkan tentang dia, Jastina…!
JASTINA: (KERAS) Mengapa ayah sanggup melakukan semua ini pada anak ayah sendiri…?
AYAH: Semua ini untuk kebahagiaan Jastina bersama David tunangan Jastina… ayah tidak mau Jastina jatuh ke tangan pemuda Melayu itu.
JASTINA: Apa yang ayah tau tentang dia ayah…cinta tidak mengenal bangsa dan apa saja.
AYAH: Pemuda Melayu itu tidak punya apa-apa…tidak seperti David…Juruterbang Udara yang tangkas dan cekap serta berkedudukan tinggi.
JASTINA: (KUAT) Ayah sering berbangga dengan kedudukan seseorang…tapi ayah tidak tau…(MENANGIS) Bukan kedudukan seseorang itu yang dapat membahagiakan anak ayah ini…!
AYAH: Lalu apa yang dapat membahagiakan seseorang itu…? Katakan pada ayah…!
JASTINA: (KERAS) Cinta dan kasih sayang ayah…!
AYAH: (MARAH) Nonsense…!
JASTINA: Sebelum ini ayah berjanji akan menunaikan segala kehendak saya…tapi ayah bohong…!
AYAH: (KUAT) Iyah…ayah berbohong…tapi semua ini adalah untuk kamu…!
JASTINA: (KERAS) Bukan kami…tapi untuk ayah…!
AYAH: (MARAH) Jastina…! Kau jangan cuba-cuba nak membantah kehendak ayah…ayah akan bunuh kau…!
JASTINA: (KUAT) Silakan jika ayah berani…saya rela mati di tangan ayah saya sendiri…!
AYAH: (DIAM).
S/EFT: BUNYI BENDA JATUH…..
JASTINA: (MENJERIT) Ayahhhh…!
GRAM: MUZIK…FLASH BACK (PENUTUP)…….
JASTINA: (SEDIH) Tiga bulan selepas itu ayahku meninggal…aku tidak pernah berputus asa untuk mencari kau, Syam…
SYAM: Dalam diam aku juga mencari dan bertanya-tanya tentang dirimu..tapi aku kecewa…
JASTINA: Aku hampir saja membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderitaan yang aku tanggung waktu itu. David menyelamatkan nyawaku, dia pemuda yang baik dan mengerti tentang perasaan.
SYAM: Ayahmu meragut cintaku dengan paksa…aku tidak punya jalan lain.
JASTINA: Lepas itu aku kawin dengan David…tapi cuma di atas sekeping kertas yang tidak punya nilai apa-apa, jauh sekali dengan nilai sebuah cinta.
SYAM: Di mana dia sekarang…?
JASTINA: Dia meninggal dalam kemalangan ketika acara pertunjukan terbang rendah dalam negara.
SYAM: Rupa-rupanya kau lebih menderita dari aku, Jas…
JASTINA: Aku mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam, sebagaimana yang aku katakan dulu. Sekarang aku bukan Jastina yang dulu lagi.
SYAM: Antara aku dan agama Islam…mana satu yang kau cintai…?
JASTINA: Pastinya aku menyintai agama Islam terlebih dulu…lepas itu baru aku menyintai kau, Syam…
SYAM: Aku tidak punya cinta lagi untuk kau miliki…kerana cintaku itu sudah lama mati.
JASTINA: Cinta tidak pernah mati, Syam…cinta itu akan terus hidup hingga ke liang lahad.
SYAM: Aku sudah beristeri, Jas…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SPOT: BUNYI ORANG RAMAI…BIARKAN…….
SITI: Namaku Siti Aisyah…panggil saja Siti…itu lebih ringkas…
JASTINA: Saya minta maaf pada Siti…semua ini diluar dari pengetahuan saya, rupa-rupanya saya asyik berbual dengan suami orang.
SITI: (PERLAHAN) Baru saya teringat…Jastina yang menolong ketika saya terjatuh…ditolak orang semasa kita sama-sama sembahyang di Raudhah dua hari yang lepas…?
JASTINA: Iya…saya pun baru ingat…
SITI: Terima kasih sekali lagi kerana menolong saya…
JASTINA: Saya juga minta maaf sekali lagi…
SITI: Tidak ada salahnya Jastina…asalkan niat kita baik dan yang penting ikhlas, saya tidak ada berprsangka apa-apa pada semua orang.
JASTINA: Terima kasih Siti…
SITI: Abang Syam sering menceritakan masa-masa silamnya termasuklah Jastina sendiri.
JASTINA: Kalau macam itu saya malulah berdepan dengan Siti…
SITI: Apa yang nak dimalukan…Jastina bukan sebarang orang, waktu itu Jastina masih belajar di seberang laut.
JASTINA: Itupun Syam ceritakan pada Siti juga…?
SITI: Ketabahan…semangat…dan cita-cita murni Jastina, tentu saja ayah Jastina merasa bangga kerana dapat mendidik Jastina hingga kedudukan yang tinggi.
JASTINA: (MENANGIS).
SITI: (LEMBUT) Maafkan saya Jastina…jika itu menyinggung perasaan Jastina…?
JASTINA: Saya membenci ayah saya hingga ke saat dia meninggal.
SITI: Kenapa macam itu…semua itu untuk Jastina juga.
JASTINA: Ayah saya terlalu mementingkan diri sendiri…hingga menyebabkan saya kehilangan seseorang yang saya kasihi.
SITI: Jastina tidak kehilangan apa-apa…dan tidak akan pernah kehilangan siapa-siapa.
JASTINA: Saya memang kehilangan yang tidak akan ada gantinya…
SITI: Jastina tidak perlu bersusah payah untuk mencari gantinya.
JASTINA: Saya betul-betul tidak faham apa yang Siti katakan ini.
SITI: Abang Syam akan sentiasa berada di sisi Jastina…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: (SELAMBA) Di tempat yang mulia ini tidak elok kita bersenda gurau begini…nanti betul-betul terjadi…susah nanti.
SITI: Apa yang susahnya bang…orang lelaki boleh kawin lebih dari satu, tidak mustahil jika abang kawin lagi satu.
SYAM: Maafkan abang kiranya kehadiran Jastina membuatkan Siti tersinggung, abang tidak ada maksud apa-apa.
SITI: Siti faham bang…kalau abang ada maksud lain pun, Siti mana tau…!
SYAM: Bawa mengucap banyak-banyak, Siti…sekarang ini kita berada di tempat suci dan mulia.
SITI: Buat apa nak mengucap bang…apa salahnya Siti berkata yang benar dan selama ini pun Siti tidak pernah berkata bohong pada abang…Siti tidak tau jika abang pula yang berbohong.
SYAM: Abang sudah menceritakan segala-galanya pada Siti, tidak ada satu rahsia pun yang abang simpan hingga ke saat ini.
SITI: Siti percaya dan bangga punya suami yang sebaik abang…tapi tidak kah ada walau cuma sedikit perasaan abang terhadap Jastina…?
SYAM: (DIAM).
SITI: Empat tahun kita menjadi suami isteri bang…tidakkah abang ingat apa kata doktor…?
SYAM: Apakah Siti sudah lupa dengan janji-janji kita tidak akan memperkatakan perkara itu…!
SITI: Siti ingat bang…dan tidak akan pernah lupa.
SYAM: Lalu…mengapa pula Siti ulangi…?
SITI: Sebuah rumah tangga akan lebih berseri jika di dalamnya ada tangisan anak-anak, ada gelak ketawa serta gurau senda ibu dan bapa.
SYAM: Abang sudah lama melupakan perkara itu.
SITI: (SEDIH) Tapi sekarang abang patut ingat kembali…Siti tidak dapat melahirkan anak untuk abang…(MENANGIS).
SYAM: Sudahlah…jangan dikenang lagi perkara itu, kita berdoa supaya Siti mengandung…
SITI: (KERAS) Mustahil bang…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JASTINA: Sudahkah Siti membuat pemeriksaan ulangan sebelum pembedahan itu dilakukan.
SITI: Semua doktor kata seperti itu…akhirnya peranakan saya terpaksa dibuang walau ada kesan sampingannya dan beginilah jadinya hingga saya mati nanti.
JASTINA: (TERHARU) Janganlah cakap macam tu Siti…sedih saya mendengarnya.
SITI: Boleh saya minta sesuatu pada Jastina…?
JASTINA: (LEMBUT) Kalau kena dengan pintanya mengapa pula tidak boleh…katakan apa yang Siti inginkan.
SITI: Boleh panggil saya kakak…
JASTINA: (KETAWA) Kakak…!
SITI: Mengapa Jastina ketawa…?
JASTINA: Lucu…! Rupa-rupanya Siti pandai juga berjenaka…Apa sebenarnya yang Siti nak dari saya ni…
SITI: (MEMAKSA) Kakak…!
JASTINA: (TERAGAK-AGAK) Ba…ba…baiklah kak…(pause) Seram sejuk badan saya dibuatnya…
SITI: (SEDIH) Tanpa pengetahuan abang Syam…kakak sering menangis, kakak kesian melihat abang Syam…dia merasakan kekosongan hidup tanpa anak. Kakak lebih hiba jika dia turut berjenaka dan katawa dengan anak-anak orang lain.
JASTINA: Apa yang Siti…(BERHENTI).
SITI: (CEPAT MEMOTONG) Kakaklah…!
JASTINA: Apa yang kakak maukan dari saya…?
SITI: Sebelum itu Jastina berjanji pada kakak tidak akan menolaknya, demi tempat suci ini.
JASTINA: Jika ini satu paksaan apakah juga saya tidak boleh menolak…?
SITI: Perkara ini memang ganjil…tapi sekarang ini sudah tidak ada yang ganjil apa lagi mustahil.
JASTINA: Berterus teranglah kak…apa yang kakak inginkan…?
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: Astaghfirullahalazim…! Siti cakap apa ni…?
SITI: (MENANGIS) Saya ikhlas bang…demi Allah dan tempat suci ini, saya lebih rela dimadu dari abang tinggalkan saya…
SYAM: (HAIRAN) Siti cakap yang bukan-bukan ini mengapa…?
SITI: (MASIH MENANGIS) Entahlah bang…saya tidak tau mengapa semuanya ini keluar dari mulut saya…tolong tunaikan permintaan saya ini bang, mungkin ini adalah permintaan saya yang terakhir.
SYAM: Siti mintalah yang lain…tapi jangan yang ini. Kita ke sini untuk beramal ibadat.
SITI: Perkahwinan juga satu ibadat bang…saya ingin melihat abang menimang anak sebelum saya mati.
SYAM: Mengucap banyak-banyak Siti…mengucap…!
SITI: Ajal dan maut di tangan Tuhan bang…siapa tau esok atau lusa saya akan pergi buat selama-lamanya.
SYAM: Jangan mendahului kehendak Allah, Siti…
SITI: Maafkan saya bang…selama ini saya merahsiakan sesuatu pada abang.
SYAM: Apa yang Siti sembunyikan selama ini pada abang…?
SITI: (MENANGIS) Biarlah kematian saya saja yang akan memberitau abang…apa penyakit yang saya tanggung selama ini.
SYAM: (PERLAHAN) Mengapa sampai begitu sekali Siti merahsiakannya…?
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JASTINA: (TERKEJUT) Ya Allah…! Mengapa sampai begitu kak…?
SITI: Inilah nasib kakak…jika di kehendaki Allah…bila-bila saja kakak akan pergi, kerana itu kakak inginkan Jastina pengganti kakak.
JASTINA: Ini soal hati kak…tidak boleh dibuat main…
SITI: Kakak tidak pernah main-main…Jastina masih cintakan abang Syam.
JASTINA: Mengapa kakak tidak minta yang lain kak…
SITI: Sebab yang lain itu kakak sudah tidak memerlukannya lagi…cuma yang satu ini. Jastina kawin dengan abang Syam…
JASTINA: Tidak ada orang yang buat begini kak…
SITI: Sebab orang lain tidak membuatnya kerana mereka tidak mengalami sebagaimana yang kakak alami ini.
JASTINA: Saya tidak terniat untuk merampas suami orang kak…apa lagi di tempat yang suci dan mulia ini.
SITI: Siapa kata Jastina rampas suami kakak…? Kakak cuma…(BERHENTI).
S/EFT: BUNYI BENDA JATUH…….
JASTINA: (TERKEJUT DAN MENJERIT) Ya…Allah…! Kak Siti…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: (PERLAHAN) Syukurlah…Siti sudah sedar…
SITI: Siti berada di hospital mana ni bang…?
SYAM: Kita masih di Madinah…
SITI: Jastina mana bang…?
SYAM: Mereka sudah berangkat ke Mekah dua hari lepas…insya-Allah jika Siti sembuh nanti…kita akan berangkat esok.
SITI: Syukurlah saya belum mati lagi…saya ingin melihat abang bersanding dengan…(BERHENTI).
SYAM: (CEPAT MEMOTONG) Siti perlu rehat banyak-banyak…esok kita akan ke Mekah…sebuah perjalanan yang jauh…
SITI: (PERLAHAN) Insya-Allah…!
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PENUTUP)…….
ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Sudahnya Sebuah Cinta’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam…….
PARA WATAK
1 JASTINA
2 SYAM
3 SITI
4 AYAH.
=============================================================
Saturday, November 6, 2010
SUDAHNYA SEBUAH CINTA
Posted by Maya Brunei at 2:48 AM
Labels: arkib drama radio
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment