Sekali air bah sekali pantai berubah. Itulah peribahasa yang diwariskan oleh orang-orang yang terdahulu dari kita. Tapi sekarang pantai boleh-boleh saja berubah tidak mengenal masa dan mengira waktu, walaupun bukan kerana banjir melanda atau akibat bencana alam yang dinamakan Nargis mahupun Tsunami umpamanya.
Kerana itu juga pantai tidak mustahil pula akan bertukar menjadi kota yang besar dengan suasana hiruk pikuk oleh segala macam yang juga disebut Metropolitan. Namun itu pastinya akan dikatakan kemajuan yang didaftarkan dalam catatan pembangunan walaupun pada hakikatnya itu adalah sebuah kerosakan di muka bumi.
Itu fenomena alam sejagat apalagi pada Tompok spesies yang cuma mempunyai nafsu ini. Sejak Tompok terkurung dalam bonet kereta beberapa lama akibat kesilapannya sendiri yang akhirnya berjaya meloloskan diri. Tompok begitu drastik telah menjadi agresif dan sensitif yang sentiasa mencari-cari pasal dengan kawan-kawannya walaupun tidak diusik atau dijeling apalagi dirungkup.
Marahnya belum reda, juga cemburunya pada Bubuk dengan jantan Si Bulu Jingga belum hilang walaupun semua itu tidak kurang tidak lebih dari lakaran sebuah mimpi mahupun igauan kerana perasaannya terhadap Bubuk. Barangkali…!
Tompok semakin agresif apabila tidak ada yang memperdulikan dirinya, kawan-kawan atau teman-temannya tidak berani angkat misai apa lagi angkat suara walau cuma satu miau yang amat pendek.
Umum tahu pencarian itu suatu penyeksaan, tidak memberikan makna apa-apa walau dunia ini terpapar beraneka rupa dan warna dengan segala macam keindahan, namun semua itu tidak punya erti, itu yang ada dalam diri Tompok. Apa lagi manusia…!
Tompok seakan patah semangat dan juga semacam merajuk, barangkali cuma Tompok yang teringat-ingatkan Bubuk, sedangkan Bubuk sudah melupakan dirinya yang asyik bergurau senda dengan jantan lain khususnya Si Bulu Jingga itu. Marahnya berlipat kali ganda apabila teringatkan mimpi buruk yang belum pernah dialaminya dalam sejarah hidupnya hingga ke hari ini.
Tompok bersendirian, makan sendiri…jalan-jalan sendiri…apapun yang dilakukannya semua sendiri. Siapa berani cari gaduh…siapa sanggup menjadi mangsa rungkupan andaikata Tompok naik berang. Semua membisu…semua membatu dan semua malas kan ‘mengiau’ dengan perangai Tompok yang sudah naik sasau itu.
Tompok sudah tidak hiraukan dirinya lagi, badannya beransur susut, bulunya kusut masai…comot. Misainya yang keras macam dawai dan tajam macam bulu landak itu sudah tidak terurus. Matanya yang bersinar macam tooch light itu juga semakin layu seolahnya kekurangan tenaga beteri. Pendeknya Tompok umpama pengemis kerana terlalu rindu kepada Bubuk. Tapi apakah Bubuk juga rindukan Tompok atau cuma Tompok bagaikan ponggok yang merindukan bulan…?
Bagaimanapun juga Tompok harus meneruskan pencariannya hingga ketemu Bubuk. Tompok berazam selagi dia boleh mengiau dia akan mencari Bubuk sampai dapat. Tompok percaya bahawa pencariannya tidak akan sia-sia dan akan ada sudahnya.
Itu Tompok dengan pengorbanannya yang sanggup berpanas dan berhujan tanpa mengira apa yang berlaku di sekelilingnya. Jeritan…sumpah seranah…dan maki hamun tidak dihiraukannya hingga tanpa disedarinya dia sudah tersesat jauh ke dalam hutan. Tompok tidak tahu di hutan mana dia sekarang, adakah dia berada di hutan belantara atau hutan simpan.
Tompok tidak habis-habisnya marah kerana apa yang dibuatnya selama ini berakhir dengan kegagalan. Tompok memberontak atas kerinah manusia yang rakus suka merosakan alam sekitar cuma untuk syok sendiri yang melibatkan pancainderanya tidak berfungsi dengan baik dan teratur.
Tompok kebingungan dan kehairanan, dia tidak pernah melihat keadaan disekelilingnya seperti sekarang ini yang sudah banyak berubah dan juga merasakan tempat itu tidak selamat baginya. Tompok mula merasa ingin membalas dendam kepada manusia yang membuatkan dia susah. Tompok sudah berani menyalahkan manusia…!
Sudah jatuh di timpa tangga, di dalam hutan itu Tompok diburu oleh musuh turun temurunnya sejak dunia belum bertemadun lagi, padahal Tompok dan seluruh keturunannya tidak pernah menganiaya sesiapa, malah dari moyang membawa ke datuk neneknya telah pun berjasa kerana menunjuk ajar bagaimana cara yang betul untuk memanjat pokok.
Tompok tidak ada pilihan ataupun jalan lain terpaksa berpatah balik ke jalan asal. Sesat di hujung jalan…kalau ingat balik ke pangkal jalan. Tompok akan mengorak strategi baru bagi meneruskan perjalanannya yang belum berakhir itu. Esok lusa masih ada…!
Langkah pertama Tompok pergi ke tempat pertemuan terakhirnya dengan Bubuk, Tompok nekad untuk masuk ke dalam perangkap Liau Uteh, mana tahu Liau Uteh akan menghantarnya ke tempat di mana Bubuk satu ketika dahulu di letakkannya. Itulah alternatif terakhir bagi Tompok untuk menemukan Bubuk.
Tompok langkah kanan walaupun sudah banyak langkah yang diaturnya, dari jauh Tompok nampak perangkap Liau Uteh masih ternganga luas macam mulut buaya yang tersadai cuma menunggu ‘ngap’ jika apa-apa sahaja yang masuk ke dalamnya walaupun Liau Uteh sendiri. Kalau muat…!
Tompok perlahan mengatur langkah-langkahnya yang banyak itu terus masuk ke dalam perangkap Liau Uteh untuk memerangkap dirinya sendiri. Itu namanya pengorbanan yang tidak ada taranya, walau sudah terang-terangan dan nyata membahayakan jiwa raga sendiri. Tompok memejamkan matanya sejenak, dalam hatinya pasti akan ketemu tangkai jantungnya yang mongel itu. Tompok berlagak pejuang berani mati…!
Apa yang diinginkan oleh Tompok terpampang di depan matanya, Bubuk begitu riang melihat anak-anaknya loncat-loncat bermain. Tompok mengiau agar Bubuk menyedari kedatanganya itu, tapi Bubuk tidak ambil indah yang seolahnya tidak kenal padanya.
Tompok masih boleh bersabar dan akan terus bersabar dengan telatah Bubuk itu, kerana dia tidak mahu menggagalkan usahanya selama ini sehingga dia dapat bertemu Bubuk. Kalau Bubuk tak ambil indah pun tidak mengapa asalkan Tompok tahu Bubuk dalam keadaan selamat.
Hari yang paling manis dan indah buat Tompok, setiap liku-liku perjalanan…bukit bukau, tebing dan sungai serta jambatan berjaya diterjahnya dengan begitu gigih. Sekarang sudah nampak hasilnya, Bubuk bersama anak-anaknya sudah berada di depan matanya, tinggal lagi bagaimana hendak menampilkan dirinya di mata Bubuk yang sudah tidak mengenalinya itu.
Anak-anak Bubuk berlari berkejaran sesama sendiri dengan riang, mahu rasanya Tompok ikut serta bersama keluarganya itu, kerana dia adalah bapa mereka apa tah lagi jantan Si Bulu Jingga itu tidak muncul-muncul. Tompok sudah bersedia tampil di hadapan Bubuk dengan anak-anaknya, tapi malangnya Tompok terhenti, seorang anak kecil berlari keluar dari rumah itu dan mendapatkan anak-anak Bubuk yang comel-comel itu lalu menciumnya.
Tompok mengiau dengan kuatnya kerana hajatnya tidak kesampaian. Anak kecil itu terkejut lalu menangis ketakutan apabila ternampak Tompok dengan matanya yang bersinar bagaikan pancaran laser menjilat seluruh tubuh anak kecil itu.
Tompok tidak dapat berbuat apa-apa, seorang lelaki separuh umur berlari sambil membawa penyapu mendapatkan anak kecil itu. Tompok sangat marah, kukunya mencengkam tanah dan ekornya kipas-kipas ke kiri dan ke kanan. Tompok bersedia bila-bila masa sahaja akan melancarkan satu serangan maut terhadap lelaki separuh umur itu.
Badan Tompok menggeletar, tanah tempatnya berpijak bergegar seakan gempa bumi. Kalau tadinya Tompok mendongak ke atas memandang wajah lelaki separuh umur itu, tapi sekarang Tompok sudah menjadi sama tinggi dengan lelaki separuh umur itu. Tompok seakan-akan katun Micky Mouse.
“Mengapa kamu selalu menghalau kami…?” Tiba-tiba Tompok berbahasa orang. Giginya yang sudah lama tidak mengunyah daging tikus itu ‘dikuringsingkannya’ agar lelaki pertengahan umur itu gentar walaupun tidak takut.
“Kerana kamu adalah jenis pengotor…tidak tahu menjaga kebersihan…!” Balas lelaki pertengahan umur itu seolah-olah bercakap dengan orang.
“Kami tidak diajar bagaimana menjaga kebersihan.” Tompok tidak mahu cakap banyak kerana geram dan marahnya sudah memuncak. Tompok melentikkan badannya, ponggongnya menunggi ke atas dan ekornya jungkat-jungkat macam huruf ‘ra’.
Tompok mengiau hendak melompat dan mencakar lelaki pertengahan umur itu. Lelaki pertengahan umur itu bukan sebarangan orang, guru silatnya sudah tujuh orang, anak muridnya ratusan dozen. Walaupun sekarang sudah berpencen tapi pendekarnya tetap aktif. Membujur lalu melintang patah…!
Belum sempat Tompok melompat penyapu lelaki separuh umur itu terlebih dahulu menghempap kepala Tompok yang sudah naik minyak itu. Tompok cuma terlambat se saat dan tidak berjaya mengelak, sudahnya ribuan taburan bintang berkelipan terapung-apung dalam kepala Tompok yang sudah senget sebelah itu.
Tekadohong lompat keratang Tompok cuba melawan, dengan satu lompatan saja sudah cukup menggegarkan perangkap Liau Uteh dan dengan mudah pintunya yang ternganga sedari tadi, walaupun Tompok sudah berada di dalamnya kini sudah tertutup rapat.
Tompok terkebil-kebil dengan pandangan yang kabur melihat di kelilingnya, kalau-kalau Liau Uteh datang untuk menghantarnya ke tempat Bubuk.
0 Comments:
Post a Comment