Saturday, November 6, 2010

AMAI


Kalau tanggal tudung dikepalanya terasa dia kehilangan sesuatu. Walau pun bagi nya tidak ada pantang larang sama ada mau pakai tudung atau pun tidak, kerana dia bukan orang yang beragama Islam, tapi dia tau bahawa menutup aurat itu adalah wajib dan kalau dibiarkan lambah-lambah hukumnya haram dan berdosa.

Memang Amai bukanlah seorang gadis yang beragama Islam, tapi dia amat meminati mata pelajaran agama Islam dan dia banyak tau tentang hukum hakam agama Islam itu. Kerana itulah dia tertarik untuk mempelajarinya. Islam itu indah...suci dan murni.

Kawan-kawannya sering mempersenda, mencemuh dan memperkecil-kecilkannya. Amai berazam satu masa nanti dia akan membuktikan apa yang sedang diperkatakanya sekarang akan menjadi kenyataan. Amai tidak merasakan apa-apa dengan ejekan kawan-kawannya itu, dia tidak marah malah ejekan itu dijadikannya sebagai pendorong untuk mencapai cita-citanya.

"Cita-cita saya hendak menjadi Guru Ugama Ustazah…!"
Amai teringat kembali ketika dia ditanya oleh gurunya semasa dia dalam darjah tiga sekolah rendah dulu.

"Saya bangga dengan cita-cita Amai itu, tapi Guru Ugama itu mestilah orang yang beragama Islam".

Ustazah Kamaliah menerangkan kedudukan sebenar syarat utama untuk menjadi seorang Guru Ugama. Maklumlah ketika itu Amai baru berumur lapan tahun. Tapi dia mempunyai cita-cita yang tinggi dan murni walau pun dia tidak begitu tau apa itu 'Guru Ugama'.

"Saya akan masuk Islam Ustazah".

Amai memberi pengakuan tanpa ragu-ragu, seakan-akan dia sudah pasti dengan cita-citanya itu, tanpa memperhitungkan apa itu Islam yang sebenarnya. Kanak-kanak baru berusia lapan tahun itu memang belum banyak mengerti tentang agama Islam apatah lagi dia dilahirkan dalam keluarga yang tidak mempunyai apa-apa pegangan.

Itu dua puluh lima tahun berlalu, tapi kini Amai sudah bertukar nama. Jamaiah bte Abdullah Jundi. Malah sudah bergelar Ustazah Jamaiah bte Abdullah. Begitu bangga dirasakannya menjadi seorang Muslim. Apa yang membanggkan dirinya ialah sikap orang tuanya, tanpa restu mereka dia tidak akan menjadi seorang Islam seperti sekarang ini.

Ibu bapanya bersikap begitu terbuka, tanpa halangan dan rintangan Amai tidak banyak melalui jalan-jalan yang sukar untuk naik ke mercu kejayaan. Tidak seperti kawan-kawannya yang lain. Terpaksa bergaduh dengan orang tua, berpatah arang berkerat rotan dengan keluarga demi untuk menegakkan agama Allah. Padahal Islam itu sendiri tidak menghendaki demikian. Agama Islam bukan pemutus keluarga, tidak memusuhi apa-apa agama di dunia ini, malah agama Islam itu sebagai pengikat kuat tali silaturahim.

"Kalau kau yakin dengan apa yang kau fikirkan itu betul, kami tidak akan menghalang kehendak mu, asal kau tidak membuang kami setelah kau memeluk agama Islam itu".

Kata-kata hikmat ayahnya itu sampai sekarang masih lagi melekat diingatanya. Amai terharu umpama baru semalam kata-kata itu didengarnya. Ayahnya memang tidak menghalang kehendak anak-anaknya, walau pun dia bukan seorang yang berpendidikan tinggi. Tapi punya pendirian tegas, berwawasan dan memandang jauh ke depan, biarlah anak-anaknya memilih jalan hidup sendiri. Kerana dia juga bekas seorang guru, guru Melayu yang sudah berpencen.

Itulah cita-cita Amai. Siapa sangka dia dapat melalui jalan yang mudah untuk mencapai cita-citanya. Tapi setakat itu dia belum merasa puas. Timbul sebagai satu rasa tanggung jawab baginya untuk menyempurnakan kesucian keluarganya. Orang tuanya masih dalam takuk lama, belum mempunyai apa-apa pegangan. Inilah yang akan diperjuangkannya. Walau pun dia tau ini bukan perkara mudah.

"Amai...ayah telah memberikan kau kebebasan, hingga kau menjadi seorang Muslim. Ayah tidak berniat untuk mematahkan cita-citamu. Tapi itu cuma pada kamu, dan bukan ayah atau ibu mu". Keras hati ayahnya masih belum dapat dilanturkan.

"Kita patut mengubah sikap dari sekarang ayah, sudah sampai masanya kita sekeluarga menganut agama Islam sebagai cara hidup yang sempurna. Kita hidup selama ini dalam kegelapan, tanpa peduman ayah". Amai belum berputus asa.

Inilah satu-satunya perjuangan Amai yang belum terlaksana. Ia merasakan dirinya amat bertanggung jawab untuk membawa lari orang tuannya dari kegelapan hidup kepada hidup yang lebih bermakna lagi. Dia akan berusaha sedapat mungkin untuk menjinakkan kedua orang tuanya yang masih belum beragama itu agar memelok agama Islam yang suci murni itu. Insya-Allah…!

Amai tidak merasa kecewa dia akan terus berdoa dan berdoa moga Allah akan memberi petunjuk kepada orang tuannya dan dia akan terus berusaha walau pun badanya berlipat tiga. Itulah cita-cita Amai, itulah tekad bulat Amai dan dia tidak rela masuk syurga sedangkan orang tuanya menjerit-jerit dalam api neraka. Na'uzubillahi-min-zalik...

"Soal kawin masih terlalu awal bagi saya mak. Saya mau meneruskan pelajaran hingga keperingkat tinggi"

Satu hari emak Amai menyatakan hasratnya agar Amai cepat berumah tangga. Bagi Amai inilah waktu dan ketika yang sesuai untuk menanam jarum politiknya bagi memancing orang tuanya supaya mau mengikut kehendaknya.

"Ayah dan ibu mu sudah tua dan ingin hendak melihat kau berumah tangga".

"Kawin itu perkara senang emak, bila-bila pun Amai boleh kawin kalau Amai mau, tapi biarlah Amai menyempurnakan tanggung jawab Amai dulu".

"Tanggung jawab apa…? Kami tidak pernah meminta apa-apa dari mu, dan kami tidak pernah menghalang apa kehendak mu. Cuma ini yang kami pinta dari mu, dan ini adalah juga untuk masa depan mu".

"Amai banyak terhutang budi dan jasa pada ayah dan emak dan Amai rasa tidak akan terbalas sampai hari kiamat". Amai cuba memancing hati dan perasaan orang tuanya.

"Amai...kami tidak menghendaki gunung emas, tidak minta berlian dan intan permata. Cuma satu ini, entah-entah esok atau lusa kami tidak sempat melihat kau berumah tangga". Begitu panjang lebar kata-kata emaknya. Amai terharu mendengarnya.

"Amai tau setiap orang tua mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan Amai juga maukan yang terbaik untuk emak dan ayah. Apa yang Amai lakukan ini bukanlah untuk membalas budi dan jasa orang tua. Amai juga tau sebesar mana pun yang Amai berikan kepada emak dan ayah, semuanya itu tidak akan terbalas". Amai merenung tajam wajah kedua orang tuannya.

Sebenarnya ayah Amai dulu nyaris-nyaris kawin dengan orang Islam (Melayu), tapi dilarang keras oleh keluarga bakal isterinya dengan alasan tidak sebangsa dan seagama. Ayahnya merajuk dan sampai sekarang tidak mau memelok agama Islam walau dalam dadanya mengakui agama itu adalah yang terbaik.

"Ayah jangan memaksa berbuat sesuatu yang ayah sendiri tidak rela melakukannya. Niat ayah adalah suci cuma ayah cepat menyerah pada perasaan ayah" Amai cuba melembutkan hati ayahnya setelah tau cerita yang sebenarnya. Ayahnya diam seolah-olah menggamit kisah-kisah nan lampau.

"Amai...ayah tidak mau membabitkan agama dalam masaalah ayah ini. Itu munafik namanya, cuma ayah menyesali nasib ayah".

"Tapi ayah masih belum putus asa kan?" Amai cepat memotong dan dia yakin jarum yang disuntikkan pada ayahnya tentu akan berhasil.

"Amai akan membimbing ayah dan emak, kita lari dari kehidupan yang tidak menjanjikan apa-apa ini. Bagi Amai ayah dan emak adalah segalanya, tidak ada ertinya kejayaan yang Amai capai selama ini jika tanpa ayah dan emak. Lepas itu Amai akan turuti segala kemahuan ayah dan emak, andai ditakdirkan nyawa Amai jadi taruhan, akan Amai berikan".

Amai tidak dapat meneruskan kata-katanya, dia menangis terisik-isik, dadanya sebak dia betul-betul tidak dapat menahan perasaan pilunya. Ayah dan emaknya diam tidak tau apa hendak dikatakan. Mereka turut sedih dan terharu. Amai memelok emaknya kuat-kuat. Mereka berpelukan seolah-olah sebuah perpisahan yang tidak akan bertemu lagi.

"Emak...Amai tidak mau berpisah dengan emak dan ayah. Bagi Amai tiada sesuatu pun yang bererti di dunia ini, melainkan kedua orang tua Amai".

Namanya sebuah perjuangan tidak semudah itu untuk mencapai kejayaan. Bukan namanya perjuangan jika tidak memakan korban. Untuk ini apa kah Amai akan mengorbankan dirinya demi untuk sebuah perjuangan…?







0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online