Saturday, November 6, 2010

MAT JININ (3)




SEDIKIT SEDUTAN MAT JININ ( 2 )

MAT JININ
masih memandang Munah yang disangkanya Milah itu dengan pandangan yang tajam dan membuatkan Munah merasa seram. Berdiri bulu roma Munah sebaik-baik saja Mat Jinin menyebut nama-nama orang yang sudah meninggal dunia diikuti pula dengan ketawa serta pandangannya yang menyeramkan.

Dengan satu cucukan saja Mat Jinin sudah longlai macam pucuk lamiding baru dipatah, tapi mulutnya tetap kumat kamit yang tentunya menyebut-nyebut nama Milah buah hati pengarang jantungnya yang tiada duanya itu. Bulu roma Munah masih tegak…seram, ruang wad yang disejukkan oleh penghawa dingin central itu semakin sejuk di rasakan Munah yang seolahnya dia berada dalam laci di bilik mayat.



KANTIN HOSPITAL RIPAS

“Itulah…kan aku dah cakap dulu jangan lalu di tempat itu, nah sekarang apa dah jadi…” Jeha rakan sejawat Munah ketika sama-sama sarapan pagi sebelum masuk bertugas pada hari itu.

“Mana ada jalan lain yang lebih dekat selain jalan itu, di negeri kita ini tidak banyak jalan pintas, di sana jim…di sini stak, ke sana ke mari sama saja sasaknya…!” Munah sedikit marah, Jeha tahu kawannya ini mudah sensitif kerana itu dia harus berhati-hati jika tidak alamat nanti daun telinga akan menjadi merah.

“Itu aku tau tapi kenalah kita berhati-hati sikit.” Jeha.

“Kalau dah nak jadi macam itu apa aku nak buat, aku pun bukan suka perkara itu berlaku.” Munah menjeling tapi bukan manja.

“Semua orang tak suka pada perkara-perkara yang macam itu.” Jeha.

“Aku tak dapat tidur semalam, aku hairanlah mengapa dia memanggil aku Milah, aku jadi takut juga apabila dia asyik menyebut nama-nama orang yang sudah mati.” Ketakutan terbayang pada wajah Munah walau matahari sudah naik lebih dari lima puluh darjah.

“Ini kena tanya pada pakar sakit jiwa…” Jeha cuba bergurau.

“Maksud kau dia gila…?” Lantak Munah sambil membesarkan matanya yang sudah besar dan bulat itu. Jeha pula merasa seram melihat mata Munah macam Nik Nak itu.

“Entah…aku tidak kata macam itu, tapi besar kemungkinannya juga akan jadi macam itu.” Jeha macam kesal.

“Kau jangan nak menakut-nakutkan aku Jeha, aku sudah lebih dari takut sekarang ini kau tau…!” Munah pagi-pagi itu sudah memberi amaran jangan macam-macam, khuatir dia tidak akan dapat menumpukan sepenuhnya pada tugas-tugasnya nanti.

DALAM WAD

Mat Jinin di pindahkan ke wad lain kerana kesihatannya sudah beransur pulih, itu kata sang doktor yang dahulunya menyukat-nyukat umur Mat Jinin lima puluh…lima puluh kini telah merubah kenyataannya, cuma Mat Jinin perlu berehat sehari dua lagi sebelum dibenarkan pulang.

Mat Jinin liar memandang jururawat-jururawat yang sibuk dengan tugasan harian masing-masing. Tidak ada satu wajah pun yang melekat di mata Mat Jinin. Untunglah tiada sesiapa yang mengetahui atau memerhatikan gelakat Mat Jinin ketika itu, maklum saja perkara macam itu sudah menjadi lumrah dan satu senario biasa bagi semua jururawat yang bertugas ketika itu. Tidak ada sakwasangka mahu pun sangka-sangka walau ianya lompok-lompok di depan biji mata.

Tidak ada saudara mara yang berkunjung untuk menjenguk Mat Jinin walau cuma sesaat. Mat Jinin asyik memerhatikan orang-orang yang datang melawat sanak saudara masing-masing. Kalau pelawat itu orang yang bersopan santun dia akan tersenyum sinis memandang Mat Jinin…kalau orang jenis ketuk baru berbunyi akan selamba saja apabila terlihat Mat Jinin duduk atas katil yang bila-bila masa saja akan bertukar menjadi katil maut itu walau cuma angguk macam itik…manakala orang malas tah ku ingau, dia tidak akan peduli langsung. Akhirnya Mat Jinin senyum sendirian.

Kesihan Mat Jinin, bapa sudah lama pergi dan ibunya pula mengikuti jejak bapanya belum sampai dua minggu. Kalau Mat Jinin orang kaya ataupun Mat Jinin orang kebilangan, maupun orang yang ada nama maka besar kemungkinan ruang tempat Mat Jinin relax itu akan sasak dikunjungi orang kerana ingin melihatkan garis wajah berbentuk simpati walau cuma sebuah kepura-puraan.

Tapi Mat Jinin tidak punya itu semua, punya nama pun macam nama dalam buku hero yang jatuh ketika memanjat pokok kelapa kerana angan-angan hendak kahwin dengan tuan puteri. Mat Jinin moden ini cuma punya hati…punya perasaan dan sedikit masa depan yang belum tentu cerahnya. Mat Jinin benar-benar sebatang kara.

Itulah manusia yang ada kepentingan, tapi untuk Mat Jinin ini, jangan katakan menjenguknya di hospital, barangkali jika Mat Jinin mati pun terpaksa mayatnya akan diperam dalam bilik mayat terlebih dahulu sebelum dikapankan di masjid.

SELEPAS SARAPAN PAGI DI KANTIN RIPAS

“Jika kau merasakan kau adalah penyebabnya, maka dengan rasminya kau akan bertanggung jawab atas semua kejadian itu.” Jeha membuat keputusan.

“Semua sekali…?” Munah seolahnya keberatan.

“Habis…pasal kaulah dia itu dulu terjengkang-jengkang atas katil macam ketam terbalik.” Jeha ingin memancing ingatan Munah.

“Boleh tak kau jangan usik aku macam itu…” Munah sedikit tungkal.

“Aku berkata yang betulnya dia itu tidak ada saudara mara.” Jeha menekan nada suaranya bagi membayangkan kesungguhannya.

“Macamana kau tau semua ini…?”

“Sudah lama dia di sini tapi tidak ada seorang pun yang datang melawatnya.”

“Barangkali mereka belum tau.”

“Apalah besarnya negeri kita ini belum masuk surat kabar orang sudah tau.”

Munah merasakan sedikit bertanggung jawab, kerana dia Mat Jinin terlantar macam sotong panggang. Masaalahnya apakah benar-benar dia yang bertanggung jawab, sedangkan Mat Jinin yang melanggarnya dan bukan dia yang melanggar Mat Jinin.

Tapi Munah sudah terlanjur kata untuk membantu ibu Mat Jinin jika terjadi apa-apa kepada Mat Jinin. Tapi sebaliknya Mat Jinin selamat manakala ibunya pula yang meninggal. Apakah perjanjian itu secara otomatik akan jatuh kepada Mat Jinin sendiri…?

Mat Jinin tidak jemu-jemu memerhatikan setiap jururawat yang keluar masuk dalam wad tujuh itu kalau-kalau ada Milah di sana. Jururawat yang disangkanya Milah itu sebenarnya Munah. Benarkah wajah Munah betul-betul mirip dengan wajah Milah…? Cuma Mat Jinin yang dapat memestikannya.

BERANDA HOSPITAL

Mat Jinin sudah boleh berjalan, dia berehat di beranda hospital itu bersama dengan kawan-kawannya, berbual tentang hadiah masing-masing yang mereka perolehi sehingga mereka menjadi penduduk sementara hospital itu. Tiba-tiba bola mata Mat Jinin tertumpu kepada seorang jururawat yang sedang mendorong katil seorang pesakit yang lalu di hadapannya.

Wajahnya separti Milah, tapi itu cuma sebentar kerana pandangannya terhalang untuk meratah penuh wajah jururawat itu oleh seorang doktor India yang buat-buat sibuk entah dari mana datangnya. Akhirnya wajah itu hilang sebelum masuk ke dalam ingatan Mat Jinin sebagai Milah.

Itulah yang ada pada Mat Jinin…lain tidak, cuma Milah gadis yang sering diburunya ketika dia sedang mencari rezeki. Spontan Mat Jinin teringatkan Haji Pudin dan bisnesnya sebelum dia menjadi penghuni hospital itu.

“Kau nak bawa ke mana sayur-sayur ini Mat…?” Tanya Haji Pudin.

“Ke rumah Milah…!” Haji Pudin terperanjat.

Mat Jinin keluar dari ingatannya yang cuma sejanak itu. Sempat dia berfikir mengapa dengan Milah…? Sebut saja nama Milah…Haji Pudin terkejut, jangkau itu jangkau ini, apakah Milah itu hantu atau pun pontianak yang tidak boleh disebut-sebut macam dalam zaman Maria Menado dulu.

Mat Jinin sudah dibenarkan pulang dan akan berusaha untuk meneruskan hidupnya yang cuma sendirian. Mat Jinin teringat pesanan ibunya yang mendorongnya berusaha sendirian sebagai persediaannya di hari muka andai kata ibunya sudah tidak ada. Dan inilah ketikanya yang dimaksudkan oleh ibunya itu. Mat Jinin mesti rajin dan berkerja keras untuk dirinya sendiri dan juga untuk isteri dan anak-anaknya jika masa itu tiba nanti.

“Sebenarnya aku Munah dan bukan Milah seperti yang Mat sangkakan itu.”

“Tapi wajah Munah tidak ada bezanya dengan Milah.” Konfam.

“Itu cuma perasaan Mat yang sekarang masih belum sembuh betul, nanti jika sudah sembuh, Mat akan tau siapa Milah sebenarnya.” Munah macam tahu kisah Milah.

“Aku minta maaf kerana selama ini menyusahkan Munah. Aku tidak punya keluarga mahupun saudara.” Pernyataan Mat Jinin sambil menundukkan mukanya.

Sedih juga Munah mendengar penjelasan Mat Jinin itu yang mahu tidak mahu terpaksa juga melayannya. Itu sudah bagus…bagaimana jika Mat Jinin menganggap Munah berterusan sebagai Milah kekasihnya itu…? Tentu Munah akan lebih tertekan lagi.

Sebelum ibu Mat Jinin meninggal Munah sempat mendengar cerita ibu Mat Jinin yang mengatakan Mat Jinin bekerja dengan Haji Pudin sebagai penjual sayur, kerana itu Munah tertarik untuk mengetahui siapa Mat Jinin ini sebenarnya dan apa hubungannya dengan gadis yang bernama Milah itu dalam detik-detik hidup Mat Jinin.

PONDOK SAYUR HAJI PUDIN

“Kalau belum sihat jangan berjualan dulu…” Haji Pudin asal cakap.

“Tak mengapa pak Aji…Mat sudah kuat sekarang.” Mat Jinin mengambil beberapa ikat saja untuk permulaan, jika nampak hasilnya nanti dia akan beroperasi macam biasa.

Haji Pudin tidak dapat berbuat apa-apa sama ada melarang atau menyuruh, baginya jika sesuatu itu bersangkutan dengan bisnes, setentunya tidak ada pantang larang yang penting jualannya laku apatah lagi ketiadaan Mat Jinin dahulu menampakkan penurunan jualannya jatuh merundum (macam saham bunyinya). Begitu besarnya sumbangan Mat Jinin kepada rezeki yang masuk ke dalam akaun Haji Pudin setiap hari.

LETAK KERETA BERBAYAR (RIPAS)

“Macamana kau tau semuanya ini…?” Jeha.

“Aku sendiri berjumpa Haji Pudin dan dialah yang memberitau semuanya itu padaku.” Jelas Munah.

“Sekarang apa rancangan kau seterusnya…?”

“Aku akan berterus terang pada Mat Jinin seperti apa yang aku ketahui.”
Selang beberapa hari Mat Jinin teringin untuk melihat rumah Milah yang besar dan cantik itu. Dia akan memestikan apakah selama ini dia sedang berangan-angan…ataukah tengah bermimpi…atau pun semua itu memang realiti.

KAWASAN BEKAS RUMAH MILAH

Mat Jinin memerhatikan tempat itu, kawasan itu penuh dengan samak samun, tidak ada sebuah rumah pun yang terpacak di situ. Jelas kawasan itu sunyi sepi dan sungguh menyeramkan apa lagi pada waktu senja. Tumbuh-tumbuhan liar menjalar begitu subur dan membentuk seolahnya lorekan se buah rumah.

Bagaimanapun naluri Mat Jinin kuat mengatakan bahawa di kawasan itulah rumah Milah yang pernah di kunjunginya sebelum dia mendapat kemalangan dahulu. Dalam lingkaran tumbuhan menjalar itu Mat Jinin nampak beberapa tiang rumah yang sudah rusak dan berwarna hitam.

“Jangan kejar-kejar Milah lagi bang, lupakan Milah yang tidak akan pernah ujud dalam diri abang.” Pinta Milah sedih.

“Kemana Milah menghilang selama ini…? Abang bagaikan mati kerana Milah tinggalkan abang…” Mat Jinin puas.

“Milah tidak pergi mana-mana bang, Milah tetap di sisi abang…Milah sentiasa menemani abang…cuma…!” Milah terhenti dan wajahnya mula berubah.

“Cuma apa Milah…!” Dengan agrisif Mat Jinin ingin mengetahui apa sebabnya.

Mat Jinin terperanjat…sehelai daun kering melayang-layang menampar wajahnya. Mat Jinin sejenak berdialog dengan Milah yang seakan percaya atau tidak pada apa yang berlaku dahulu itu dengan apa yang nampak dilihatnya sekarang ini. Hari beransur gelap…Mat Jinin meninggalkan tempat itu.

Benar sebagaimana yang disangkakan Mat Jinin. Milah tinggal di rumah besar seperti yang pernah dilihatnya itu, tapi malangnya musnah akibat satu kebakaran besar yang meranapkan beberapa buah rumah dikawasan itu. Milah dan keluarganya ikut terkorban dalam nahas yang ngeri itu.

Akibat kebakaran itu penduduk lain berpindah yang kononnya kawasan itu berhantu, dari sejak itulah kawasan itu terbiar tidak seorang pun yang berani menempatinya semula walaupun zaman kini kononnya sudah tidak punya hantu lagi.

HALAMAN RUMAH MAT JININ

“Aku sangat-sangat terhutang segalanya pada Munah dan memohon maaf sekali lagi kerana selama ini menganggu fikiran Munah.” Selamba Mat Jinin.


“Munah telah berjanji dengan arwah ibu Mat untuk memberikan apa-apa bantuan, dan sekarang janji Munah itu telah pun Munah tunaikan apatah lagi Mat sudah betul-betul sembuh sekarang.” Beralun kata-kata Munah.

“Lepas ini apa rancangan Munah…?” Mat Jinin.

“Munah balik kampung.” Munah.

“Tentunya kita tidak akan bertemu lagi…”

“Kita akan bertemu lagi tapi bukan seperti Munah sekarang ini.”

“Maksud Munah…?” Mat Jinin tidak sabar.

“Ketika itu Munah sudah menjadi seorang isteri…”

“Kalau macam itu sekali lagi Mat minta maaf, selama ini Mat menyangka Munah adalah Milah…” Mat Jinin putus harap sekali lagi, Munah juga akan hilang dalam ingatannya seperti Milah.

“Haji Pudin juga mengatakan wajah Munah seimbas dengan wajah Milah.” Munah merasakan ada seseorang di belakangnya, dalam masa yang sama juga Mat Jinin benar-benar nampak Milah sedang berdiri di belakang Munah. Mat Jinin memandang Munah seperti pandangan pertamanya ketika berada di hospital dahulu.

“Milaahhh…!” Mat Jinin.

Munah menyangka Mat Jinin pasti kambuh lagi. Mat Jinin bergerak kedepan hendak memeluk Munah yang disangkanya Milah itu. Munah berundur sambil mengelaknya. Mat Jinin terjatuh dan Munah mejerit sekuat-kuat hatinya.




0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online