Sunday, November 7, 2010

BIAR SAJA DI SYURGA

Aku amat terkejut walaupun aku tidak perlu terkejut sebagaimana terkejutnya aku seperti sekarang ini. Aku terkejut bagaikan orang yang tidak pernah mengikuti peristiwa semasa, tidak pernah membaca surat kabar, maupun mendengar berita radio atau tidak menonton berita tv apa lagi untuk melayari internet dan yang lain-lain seumpamanya.

Apa yang berlaku di Asia Barat ketika ini khususnya di Semananjung Gaza, Palestin benar-benar menggamit naluriku. Lebih sedikit enam dekad sepertinya sebuah drama bersiri yang belum ada peghujungnya. Tapi kejadian kali ini semacam episod terakhir yang akan menamatkan cerita dan noktah kesudahannya, sehingga kemusnahan Gaza itu dikatakan sepuluh kali gempa bumi.

Spontan aku teringatkan kedua remaja Palestin yang aku temui kira-kira lima bulan yang lalu, tapi sepertinya baru semalam aku bertemu dengan mereka. Aku tidak dapat membayangkan yang bagaimana jika sekiranya kedua remaja itu sedang berdepan dengan maut ataupun tengah bergelut dengan sakratulmaut akibat keganasan dan kekejaman Yahudi yang tidak ada bezanya dengan iblis laknatullah itu…agaknya itu tidak mustahil.

Kedua remaja Palestin itu kira-kira berusia 18 dan 19 tahun. Hari itu baru masuk hari kedua aku berada di Kota Madinah al Munawwarah dalam rangka mengerjakan ibadah umrah. Selesai menunaikan fardhu Maghrib berjemaah aku dan kawanku ustaz Sameon berjalan ke kedai buku untuk mencari buku ‘Sejarah Mekah al Mukarramah dan ‘Sejarah Madinah al Munawwrah’ yang tidak sempat aku beli pada musim yang lalu. Alhamdulillah buku-buku tersebut masih ada dan ustaz Sameon pun membeli sama.

Lepas itu kami beredar setelah membaharui wuduk kami yang sudah batal kerana dirujuh oleh anak-anak perempuan hitam yang lari lintang pukang cuba menyembunyikan diri apabila ternampak petugas yang bila-bila masa saja akan merampas barang-barang dagangan mereka yang diletakkan di kawasan itu. Kerana kawasan itu ditegah untuk berjualan, tapi larangan itu langsung tidak diindahkan oleh mereka, malah begitu ligat berkeping-keping wang kertas riyal sempat masuk ke dalam kantung mereka sebelum mereka dihalau. Agaknya itulah rezeki mereka di Bumi Berkah itu…!

Bukan itu saja ada ketikanya tanpa kita sedari mereka itu memegang tangan kita meminta simpati dan mengharapkan kita akan membeli barang dagangan mereka. Bagi kita orang-orang Brunei yang tidak begitu senang diperlakukan semacam itu, akan mudah mengundang rasa marah, kalau tidak hendak marah pun kita terpaksa marah juga dengan tujuan agar mereka takut dan tidak akan berlebih-lebihan memaksa kita. Tapi sebaliknya apa yang kita lakukan itu seolahnya mendorong mereka untuk memujuk kita pula. Itu baru bab pujukan dalam berjualan, menghulurkan tangan meminta sedakah itu lain cerita …!

Senario seumpama itu sudah tidak asing lagi, baik orang-orang yang berjualan mahupun orang-orang yang ditugaskan untuk menghalau mereka kelihatannya sama saja. Petugas-petugas itu menghalau penjual-penjual umpama menghalau kucing-kucing liar agar tidak berkeliaran di hadapan rumah.

Bagi penjual-penjual yang dihalau itu pula cuba berlari dengan derasnya seolah pelari yang baru berlepas dari garisan permulaan sambil ketawa dan berteriak-teriak (…inda tantu bigi-biginya). Tapi tidak lama lepas itu mereka akan kembali dan meletakkan semula barang-barang dagangan mereka itu umpama lalat menghurungi bangkai.

“Kami dari Palestin…” Sahut remaja Palestin pertama dengan ramah, aku masih ingat dengan jelas wajah-wajah kedua remaja Palestin itu.


Remaja Palestin pertama itu menjawab dalam bahasa Arab, walaupun aku bertanya dalam bahasa Inggeris yang cuma pecah-pecah…! Mungkin saja remaja Palestin pertama itu tidak memahami bahasa Inggeris ataupun Inggerisku itu susah untuk difahaminya. Bagaimana pun ustaz Sameon menjadi jurubahasaku walaupun aku tidak pernah melantiknya sebagai jurucakapku.

Ustaz Sameon adalah seorang Guru Ugama yang kemudiannya menjadi Pegawai Perkembangan Ugama, baru saja menamatkan tempoh perkhidmatnnya sebelas bulan yang lalu. Sekarang ustaz Sameon menjadi pendakwah bebas yang berwibawa untuk menarik saudara-saudara baru ke dalam Islam, sekarang ustaz Sameon berada di Daerah Temburong untuk meneruskan kerja dakwahnya.

Aku semakin berani bertanya hinggakan kedua-dua remaja Palestin itu berebut-rebut untuk menjawabnya, apatah lagi apabila mereka mengetahui kami berdua datang dari Negara Brunei Darussalam yang cuma mereka dengar mengenai kekayaannya, tapi langsung tidak tahu di mana letaknya bumi Brunei Darussalam. Kecil sangatkah negara kita ini…!

“Syukurlah tuan-tuan sudah merdeka, apalagi kemerdekaan itu diperolehi dengan aman dan damai.” Remaja Palestin pertama itu berhenti sebentar kerana membetulkan sahalnya walaupun lilitannya masih elok.

Perlakuan seumpama itu sudah menjadi kebiasaan ataupun tabiat bagi mereka walaupun lilitan sahal mereka itu masih kukuh tapi mereka akan pasti membetulkannya juga. Kemudian remaja Palestin pertama itu menyambung kata-katanya.

“Tidak seperti kami yang terus berjuang dengan darah dan air mata untuk merebut kembali negara kami tanpa ada sudahnya.” Remaja pertama melepaskan rintihan yang selama hidupnya cuma tersimpan dalam dadanya.

“Kami sudah merdeka 24 tahun…” Ustaz Sameon cepat mencelah.

“Kami tidak tahu bila akan menikmati kemerdekaan itu, bagi kami semua itu masih terlalu jauh untuk dicapai, walaupun sudah memakan korban yang terlalu banyak.” Remaja Palestin kedua pula mengeluarkan kelohan jiwanya. Pengelaman perang membuatkan mereka lebih dewasa dalam percakapan dari usia mereka yang sebenarnya.

“Nyawa orang-orang Yahudi lebih berharga dari nyawa kami, satu nyawa orang Yahudi melayang akan ditebus dengan seratus nyawa kami orang-orang Palestin, itupun masih belum mencukupi.” Luahan hati remaja Palestin pertama sambil menarik nafas panjang sebelum nafasnya itu berhenti buat selamanya.

“Bagaimana pun semangat kami tidak akan pernah luntur, kami akan terus berjuang walau cuma dengan beberapa ketul batu yang akan kami lemparkan ke kereta kebal mereka.” Sambung remaja Palestin kedua. Terbayang sebentar di ruang mataku semangat dan keberanian mereka sebagaimana yang terpapar di kaca-kaca tv.

Itu memang terbukti, mereka cuma melempar dengan batu atau apa saja kepada musuh mereka walaupun lemparan itu tidak memberi bekas apa-apa kepada objek yang dilempar, malah sebaliknya anggota tubuh badan mereka pula yang akan berkecai seandainya lemparan ketul-ketul batu itu dibalas dengan logam yang berapi keluar dari muncung senjata musuh yang tidak akan pernah kenal siapa mahupun apa-apa itu.

“Kami cuma akan menikmati kemerdekaan itu di Syurga…!” Celah remaja Palestin pertama dengan senyuman yang membayangkan sebuah harapan, walaupun sebenarnya harapan itu belum pasti akan tercapai.

Perbualan kami cuma setakat itu kerana laungan azan Isya’ sudah berkumandang. Sayu hati mendengar seruan Allah yang bergema di ruang angkasa Masjid Nabawi yang mulia itu, di mana Jasad Kekasih Allah bersemadi di dalamnya. Kami segera berpisah setelah bersalaman. Kedua remaja Palestin itu juga beredar dan seterusnya hilang di celah-celah orang ramai di kawasan Masjid Nabawi yang luas, indah dan tenteram itu.

Masih banyak perkara-perkara yang ingin aku tanyakan, walaupun aku sedikit sebanyak sudah mengetahuinya dalam buku-buku mengenai Palestin. Aku ingin menambahkan lagi pengetahuanku selain yang aku perolehi dari sumbar bacaan. Tapi kiranya itu bukan menjadi niatku pergi ke Tanah Suci, maka sampai kami pulang ke tanah air kami tidak ketemu lagi dengan kedua remaja Palestin itu.

Sedang aku leka melayari ulang tayang rakaman perbualan dalam benakku dan sekali gus terbayang suasana Masjid Nabawi di Kota Madinah al Munawwarah…Kota Rasulullah yang aman dan syahdu itu, isyarat mesej bergambar mobileku berbunyi, kantung imbas kembaliku pecah terburai dengan sertamerta, lalu tanganku cepat menyambarnya tanpa menunggu bunyinya berhenti. Nyata mesej itu dari ustaz Sameon.

Aku sepertinya tidak percaya pada gambar yang dikirimkan oleh ustaz Sameon itu ialah wajah salah seorang dari dua remaja Palestin yang baru sebentar tertera di skren mataku. Wajah remaja itu nampak tenang dalam menghadapi kematiannya dengan seluruh tubuhnya berlumuran darah. Tentunya itu darah perjuangan yang ingin bebas dan merdeka. Aku pasti semua itu adalah habuan selaku terima-balas dari sisa-sisa beberapa ketul batu yang telah mereka lemparkan kepada manusia yang bukan lagi bergelar manusia itu.

Sepatutnya aku tidak menangis apabila melihat wajah dalam gambar itu, kerana dia bukan milikku…anakku umpamanya, dia bukan keluargaku dan bukan apa-apa padaku. Tetapi mengapa dadaku sebak dan mendorong aku supaya menangis…? Apakah ini yang bernama kesedaran mahupun keinsafan…? Bagaimana jika kejadian seumpama itu terjadi ke atas…? Barang dijauhkan Allah…!

Aku menatap wajah remaja Palestin itu yang seakan tidur dengan nyenyaknya dalam sebuah kedamaian. Benar dan tepat remaja Palestin itu sudahpun menikmati kemerdekaan dalam syurga, itulah yang dirinduinya sepanjang hayatnya sebagaimana yang diungkapkannya di Bumi Madinah al Munawwarah beberapa bulan yang lalu dan sekarang telah pun menjadi kenyataan.

Dengan rasa terharu aku mendoakan remaja Palestin itu agar damai di atas ranjangnya yang abadi dan aku juga menghadiahkan al fatihah ke atas rohnya.




0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online