Saturday, November 6, 2010

MONA LISA


Kalau kan hitung-hitungan. Mun kan dikira-kira. Jika hendak dibilang-bilang sudah lebih lima kali Mona Lisa (Mona binti Lisa) masuk toilet. Teman karib sekali gus rakan sejawatnya Sheela agak bosan dan geram juga dengan telatah Mona Lisa yang asyik ‘tajaluak’ memanjang itu. Tapi apa nak dikatakan semua itu adalah sebahagian daripada pakaian orang perempuan. Kalau orang laki-laki ‘tajaluak’ itu lain cerita..!

“Sebetulnya apa yang kau makan ni Mona..?” Sheela menaruh sedikit rasa simpati walau pun dalam hatinya berisi geram yang juga memanjang.

“Entahlah…aku rasa tidak pula termakan apa-apa”. Mona Lisa menarik nafas panjang, agak lega juga walau pun ada sedikit rasa hendak keluar.

“Jangan-jangan kau ni mengandung tak..!” Sheela membuat andaian.

“Masa kan aku tak tau jika aku mengandung”. Mona Lisa menyangkal.

“Kalau macam tu kau tentu ada penyakit..!” Kali kedua Sheela membuat andaian yang sememangnya tidak betul.

“Sampai hati kau mendoakan aku ada penyakit…”. Bantah Mona Lisa. Wajahnya agak berubah sedikit.

“Bukan macam tu aku rasa elok kau jumpa doktor. Penyakit sekarang ni berbagai jenis dan punya jenama masing-masing. Hinggakan burung yang selisma pun boleh membunuh manusia”. Sheela menambah sedikit untuk memperkuatkan lagi cadangannya itu walau pun berbau ‘paibunan’.

Mona Lisa sebenarnya merasa gerun juga bila Sheela mengatakan begitu. Dia juga tau keadaan dunia ketika ini sudah tidak stabil dan tidak terkawal. Kekecuhan dan keriuhan di sana sini, sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada pencamaran alam sekitar yang setentunya akan menganggu kesihatan. Elok-elok beriadah bersama keluarga tiba-tiba jatuh pingsan. Meninggal..!

Tambahan lagi sekarang ini bencana alam sering berlaku seperti gempa bumi di tengah lautan, letupan gunung berapi serta ombak besar mengganas. Kejadian itu pastinya akan memakan korban. Sudahnya mayat-mayat bergelimpangan, terapong-apong hanyut ke dasar lautan dibawa gelombang. Yang setentunya menjadi santapan makhluk dalam air.

Memang akhir-akhir ini Mona Lisa tidak begitu selisa. Air liurnya sentiasa ‘buak-buak’. Apa saja dimakannya pasti tekaknya akan merasa loya. Dia mengingat-ingati apa puncanya terjadi demikian. Kalau dia betul-betul mengandung dia tidak risau. Apa yang nak dirisaukan dia ada laki. Ada laki janji memang bunting. Kalau tidak bunting-bunting itu mandul namanya. Tapi jika bunting tidak berlaki itu sudah jadi bab lain...!

“Jangan-jangan kau makan ikan di kantin tadi tak...!” Sheela tiba-tiba memecah keheningan sejenak. Mona Lisa tersentak dan baru dia teringat seperti apa yang dikatakan Sheela itu.

“Barangkali aku keracunan air kemerah-merahan…” Mona Lisa pula bimbang. Darah tingginya naik sedikit.

“Tak mungkin juga kerana perairan kita ini sudah diistiharkan bebas dari air kemerah-merah”. Sheela cuba meredakan sedikit degupan jantung Mona Lisa.

Sejak berlakunya bencana alam Tsunami, Mona Lisa memang agak sensitif. Apa lagi bila memakan ikan-ikan yang agak besar. Walau pun ikan itu kegemarannya namun ‘gali’ dan ‘kambang liur’ tetap mempengaruhi dirinya. Apa kah dia benar-benar mengandung atau ada lain cerita…!

Mona Lisa sudah tercium bau puncanya maka terjadi demikian. Tapi dia tidak mau menceritakan perkara sebenarnya kepada Sheela. Mungkin juga Sheela tau tapi sengaja tidak ingin membangkitkan perkara itu. Biarlah semua itu menjadi rahsia yang dirahsiakan oleh mereka masing-masing.

Di rumah suaminya juga murung melihat telatah Mona Lisa yang anih itu. Setiap kali makan, apa saja walau bukan ikan pasti akan muntah. Fadlee bertambah bingung apabila isterinya mengeluarkan habis ikan-ikan yang tersimpan dalam freeza yang baru dibelinya dua hari lepas.

“Ikan-ikan itu memang selamat untuk kita makan”. Fadlee meyakinkan isterinya dan cuba menghalangnya dari membuang semua ikan-ikan itu. Membazir..!

“Mona sudah kata pada abang jangan beli ikan besar-besar”. Protes isterinya.

“Kalau abang beli ikan kecil Mona juga yang susah kan..!” Fadlee cuba menempelak isterinya.

“Jika Mona dah kata jangan beli tu janganlah”. Agak keras sedikit suara isterinya. Fadlee terkejut tapi buat macam tidak saja, dia cukup masak dengan perangai isterinya. Mana ada suami yang tidak tau dengan perangai isterinya...!

“Apa yang sudah terjadi Mona berkelakuan begini…?”

“Entahlah bang…Mona sendiri pun tak tau. Di ofis tadi sampai enam tujuh kali Mona masuk toilet”.

“Tentu Mona salah makan agaknya”. Fadlee cuba main serangkap jarang untuk mengambil hati isterinya, walau pun sekejap tadi isterinya sudah mengoyak sedikit perasaannya. Jadi suami mesti tahan koyak sikit, jika tidak nyaya nanti akhirnya…!

“Tidak juga kerana lauk yang Mona makan itu, kawan Mona pun memakannya sama. Tapi dia tidak apa-apa..!” Mona Lisa seolah-olah meraih lebih banyak simpati dari suaminya tanpa menyedari hati suaminya sudah terusik.

“Jangan-jangan kita nak menerima orang baru..!” Fadlee sengaja berjenaka agar isterinya tidak begitu tertekan dengan keadaannya sekarang ini.

“Abang tu macam tak tau pula..!” Mona Lisa menyangkal sambil menjeling suaminya. Fadlee faham dengan jelingan isterinya itu. Masa suami tidak tau jika isteri tengah uzur. Itu bohong dari segala yang bohong namanya...!

Fadlee beberapa kali mengajak isterinya untuk berjumpa doktor, tapi isterinya berkeras dan mengatakan dia tidak sakit apa-apa, cuma tekaknya sering merasa loya jika melihat apa saja jenis ikan. Fadlee semakin kusut memikirkan perubahan isterinya yang mendadak itu.

Fadlee seakan-akan sudah dapat menerlah apa puncanya yang menyebabkan isterinya berkeadaan begitu. Semua itu adalah secara kebetulan tapi mungkin membetulkan keadaan yang selama ini menjadi tanda tanya padanya. Semasa mereka sama-sama menonton tv dan ada sedikit imbasan kejadian-kejadian yang mengorbankan banyak jiwa akibat Tsunami.

Mona Lisa dengan spontan meluru ke bilik air terus muntah kerana melihat kesan-kesan kejadian bencana alam yang dahsyat itu. Semua ini menambahkan lagi keyakinan Fadlee bahawa inilah punca isterinya sering muntah-muntah selama ini.

Dalam keadaan yang sama Fadlee juga teringat ketika mereka merayau-rayau memilih ikan di pasar, isterinya juga muntah apa bila terlihat beberapa ekor ikan besar terbujur di atas meja pasar begitu saja tanpa dibeli orang.

“Dah lama kita tak makan di sini”. Sheela membuka perbualan sambil matanya liar melihat apa yang hendak dimakan tengahari itu.

“Aku nak makan yang ini..!” Mona Lisa menghalakan telunjuknya ke sebuah mangkok yang berisi lauk masak kunyit. Amat menyelerakan. Sheela terkejut seolah-olah tidak percaya apa yang dilihatnya sekarang.

“Kau nak makan ikan yu itu…?”

“Iyalah…habis nak makan apa lagi…!”

“Makan udangkah…sotong kah atau setidak-tidaknya ayam”.

“Kau sajalah makan semua itu, aku nak ikan yu itu juga..!” Keputusan Mona Lisa muktamat. Ikan yu masak kunyit dengan kuning-kuningnya itu pasti akan bertahta dalam perutnya.

Sheela semakin keliru dengan telatah kawannya yang satu ini. Oleh kerana untuk menyelamatkan keadaan, tambahan pula hari itu hari pertama mereka makan sejak lebih dua bulan lamanya tidak kesitu. Sheela menurut saja kehendak Mona Lisa sebelum penyakit lamanya kambuh.

‘Yang makan Mona Lisa bukan aku…’ Bisik hati kecil Sheela.

Sheela tidak begitu konsantret makan kali ini. Dia asyik memerhatikan Mona Lisa meratah ikan yu dengan begitu lahap sekali. Tiba-tiba Sheela teringat akan filem jaws yang memamah manusia dengan ganas. Cuma yang membezakan saiznya. Jaws besar sedangkan yu yang dimakan Mona Lisa itu kecil. Sheela ‘bakirik’.

“Hei..! Kau tak makan kah…?”

“Ma…ma…makan..!” Sheela terkejut dan cuba menyembunyikan perlakuannya sebentar tadi. Walau macamana pun anak matanya tetap melirik Mona Lisa.

“Kau perhatikan aku makan ni mengapa…! Aku makan dihidungkah…?”

“Aku tertarik cara kau makan cukup berselera”.

“Dah kegemaran aku apa nak buat”. Mona Lisa terus makan dan menyapu bersih ikan yu yang dimintanya itu.

“Kau tak baca Bismillah kah Mona...?”

“Lebih dari Bismillah sudah aku baca, kau jangan risaulah makanan ini halal”.

“Biar aku belanja kau hari ini”.

“Betul...?” Mona Lisa macam tak percaya. Tapi sebenarnya dia percaya.

“Semua ini tak seberapa jika dibandingkan dengan selera kau makan tadi tu”.

“Terima kasih…kaulah kawan baik aku dunia dan akhirat Sheela”.

“Tapi bukan disebabkan aku belanja…!” Sheela berjenaka.

“Kedua-duanya sekali…!” Mona Lisa begitu selamba. Tapi serius.

Selesai makan mereka kembali ke ofis dan bertugas seperti biasa. Mona Lisa nampak sudah lain macam.. Wajahnya agak pucat. Sheela mendekati Mona Lisa dan merasa badan Mona Lisa ‘angat-angat dingin’.

“Kau sakit lagi Mona…!” Sambil mengurut belakang Mona Lisa.

“Aku cuma nak...!” Mona Lisa tidak dapat meneruskan kata-katanya kerana tekaknya sudah mula loya. Perutnya ‘memburinih’.

“Itulah kau makan terlalu banyak”. Sheela ‘ketungkalan’.

“Bawa aku ke toilet Sheela”. Pinta Mona Lisa antara dengar dengan tidak.

Sheela memapah Mona Lisa ke toilet. Mona Lisa berabis melepaskan hajatnya dengan sepuas-puas hatinya. Sheela mengusuk-gusuk belakang Mona Lisa dengan perasaan cemas dan sempat melihat dengan jelas satu-satu makanan yang keluar dari mulut Mona Lisa. Kali ini Mona Lisa benar-benar mengandung.




0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online