Sulong tidak kenal si pengirim mesej itu. Tidak penting. Sulong juga tidak kisah siapa mereka, ada hubungkait dengan bisnesnya itu yang penting. Dengan adanya mesej itu bererti pelanggannya bertambah dan pendapatannya juga akan meningkat.
Permintaan melalui mesej hari itu menjadikan jualannya dua kali lipat. Berpandukan alamat yang diberikan juga ternyata tidak jauh dari kampungnya itu. Sulong tidak menghadapi apa-apa masaalah, kerana pelanggan barunya itu menghendaki dia menghantar di sebelah petang.
Selain menghantar pesanan itu dia juga curi dan tarik perhatian penduduk kampung itu agar berminat untuk membeli sayurnya yang cuma tunggu dan datang ke rumah itu. Sulong mengambil kesempatan menggunakan strategi ‘serampang dua mata’ dalam bisnesnya. (Meminjam bahasa pakar ekonomi…barangkali).
Sulong baru mencapai umur dua puluh dua tahun. Tinggal bersama ibunya yang sudah tua dan sering sakit-sakit. Ibunya menasihatkan jangan malu asalkan kerja itu halal dan bukan meminta-minta. Mulanya Sulong memang merasa malu juga kerana berjualan sayur seperti itu.
Ibunya setiap bulan menerima bayaran pencen tua yang cukup-cukup makan untuk mereka dua beranak jika tahu berjimat. Dua ratus lima puluh ringgit itu adalah satu jumlah yang agak lumayan juga untuk diterima oleh orang yang tidak berbuat apa-apa.
Itu adalah satu anugerah dari Allah melalui kepala negara yang bijaksana. Alhamdulillah…!
Sulong terfikir yang sekali gus satu cabaran baginya untuk berusaha, bantuan itu bila-bila masa saja akan luput jika ibunya sudah tidak ada nanti. Itu wajar bagi Sulong memikirkannya yang mana ibunya juga pernah mengatakan perkara yang sama satu ketika dulu.
Anak muda seperti Sulong memang jarang ditemui berbisnes seperti itu masa ini, dia mengurak langkah dengan sebuah basikal yang diubah suainya agar dia lebih selisa membawa dangangannya ke mana-mana. Ayahnya meninggal dunia dua tahun lepas ketika berjoging di Bukit Shahbandar yang cuma tergelincir sedikit lalu meninggal serta merta di tempat itu juga. (Innalillahi wainnaillaihirajiun).
Sulong yakin apa yang dilakukannya itu akan mendapat berkat, walau pun sayur-sayuran seperti itu banyak berlonggokan digerai-gerai tepi jalan. Itu rezeki mereka dan bagi Sulong rezekinya ada pada setiap rumah yang dikunjunginya.
Sulong terhibur juga dengan kecanggihan dunia sekarang ini. Dia tidak payah memberikan sayur itu kepada pelanggannya secara langusng di rumah besar itu, cuma tekan punat pada kotak ajaib moden tepi pagar besi rumah itu, kemudian kotak ajaib moden itu akan terbuka sendiri dan bercakap sendiri. Duit bayaran boleh di ambil setelah barang itu diletakkan. Sulong seakan menonton wayang katun dalam tv.
“Banyak jua kau ambil ari ani Long…?”
“Ada orang kan mau…”
Liau Tamin yang menjadi pembekal itu agak hairan juga melihat Sulong membeli sayurnya sebanyak itu, biasanya belasan ikat saja. Akhirnya Liau Tamin tidak mau menyusahkan dirinya untuk memikirkan semua itu, lagi banyak diambil lagi best.
Itu otak orang bisnes. Lain tidak cuma keuntungan...!
Sulong mengayuh basikalnya petang itu seperti biasa untuk menghantar sayur yang dipesan oleh pelanggannya. Dia senyum sendirian kerana sebentar lagi dia akan bercakap dengan kotak ajaib moden itu yang pasti ada rezeki di dalamnya.
Seperti biasa Sulong menekan punat kotak ajaib moden itu, tapi tidak ada respond. Kotak ajaib moden itu tidak mau terbuka. Sulong menekan lagi sambil memandang kiri dan kanan. Tekan lagi dan meninjau-ninjau ke dalam pagar rumah itu. Kotak ajaib moden itu tetap sepi tidak juga terbuka. Sulong membunyikan loceng basikalnya apabila dia merasakan masanya sudah banyak terbuang.
Sulong sudah tahu menilai masa walau cuma peniaga kecil…!
Rumah itu besar dan cantik bentuknya. Kelilingnya berpagar besi yang kukuh. Ada tiga buah kereta berjenama di dalam gerej yang juga cantik, berkonis serta berkipas angin yang berputar ligat. Halamannya luas ada landscape kecil menyisipkan air terjun di sudut kanan depannya dan diserikan lagi oleh beberapa ekor burung bangau putih yang asyik melihat pancutan air yang keluar dari batu-batu kecil yang tersusun rapi itu.
Nampak rumah itu bukan rumah orang sebarangan. Tapi sayang suasananya sunyi sepi. Sulong terfikir juga barangkali mereka itu semuanya pergi kerja dan anak-anak pergi ke sekolah. Maklum sekarang anak-anak yang berumur di bawah satu tahun pun sudah berada di sekolah.
Baru saja Sulong hendak menaiki basikalnya tiba-tiba dia terdengar suara halus manja memanggilnya. Seorang gadis menghampirinya lalu memberikan wang sebagai bayaran sayurnya itu. Pada mulanya Sulong hendak bertanya mengapa kotak ajaib moden itu tidak berfungsi. Tapi oleh kerana keayuan gadis itu Sulong jadi lupa.
Dalam perjalanan pulang Sulong terbayang akan kecantikan dan keayuan gadis itu. Sulong tidak puas yang cuma sekali pandang, dia ingin mengulang pandang tapi terasa segan dan malu pula. Akhirnya dia mencuba menoleh ke belakang tapi sayang dia dan basikalnya sudah berada di dalam longkang.
Si gadis itu memang cantik. Umurnya agak sebaya dengan Sulong. Badannya sederhana kecil, bermata bulat agak sayu, mukanya sedikit cengkung, berkulit putih pucat dan berambut panjang terurai mencecah tumit.
Sulong mula merasakan dirinya sudah dewasa dan punya perasaan cinta terhadap kaum hawa. Tapi bagaimana dia harus memulakannya untuk mencurahkan segala perasaannya kepada gadis yang telah mengetuk pintu hatinya itu. Sulong sedar dirinya siapa dan dari golongan yang bagaimana.
Ibunya terhidu juga dengan perubahan tingkah laku Sulong sejak akhir-akhir ini. Ibunya risau kalau-kalau Sulong sudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang negatif. Bagaimana pun ibunya sentiasa berdoa agar Allah menutupi pintu hati Sulong untuk berbuat sesuatu perkara yang tidak diingini.
“Namaku Sarah…kita…?” Ikhlas.
“Sulong…” Cuma itu yang keluar dari mulut Sulong.
Perbualan pertama teruna dan dara buat pembuka kata. Ada banyak lagi yang hendak diperkatakan yang nantinya akan ditinta emas. Tapi mulut mereka terkunci rapat, cuma melalui mata mereka dapat mengungkapkan segala perasaan yang terbuku di hati dua insan yang baru mengenali cinta itu.
“Kalau damam jangan tah bejual dulu, rehat saja di rumah melarat payah pulang karang.” Nasihat Liau Tamin.
“Nda eh…!” Selamba saja jawapan Sulong.
Sulong tidak mengindahkan nasihat Liau Tamin itu. Sulong bukan sakit cuma terganggu sedikit kerana jatuh cinta. Sulong meneruskan tugasannya, yang penting dia harus berjumpa Sarah gadis idamannya yang berjaya mengguris dinding hatinya yang selama ini belum tercalar itu.
“Esok jangan tah dulu kita kamari.” Sarah sugul.
“Mengapakan…? Nda sudi lagi…” Sulong memandang tepat ke muka Sarah.
“Bukan cam atu sayur kamarin pun balum abis lagi.” Sarah tunduk. Malu.
“Kalau ku kamari saja-saja…?” Sulong cuba-cuba merayu.
“Jangan tah…esok ndaku dapat bejumpa kita.” Sarah sedih.
Suara kecil dari dalam terdengar memanggil Sarah. Tanpa berkata apa-apa Sarah meninggalkan Sulong dengan berjuta-juta persoalan. Sulong dengan perasaan hampa beredar meninggalkan rumah besar itu.
Sulong berazam akan meningkatkan lagi usahanya agar dapat mengumpulkan wang banyak-banyak dan kemudiannya nanti menyuruh ibunya meminang Sarah untuk menjadi permaisuri hatinya.
“Abang akan kerja kuat dan membuka ladang sayur secara besar-besaran. Kita akan eksport ke luar negara.” Sulong ketawa apabila dalam kepalanya ujud Sarah yang sudah sah menjadi isterinya itu.
“Jangan berangan-angan tinggi Long…!”
Wajah Sarah ‘mengamparai’ seperti bintang-bintang bertaburan di langit apabila buyung imiginasi Sulong pecah kerana dikejutkan oleh suara ibunya yang entah dari mana datangnya.
“Long bukan berangan-angan mak, Long sukakan Sarah. Long akan mati jika tidak dapat kawin dengan Sarah.”
Itu namanya cinta pertama dan mungkin juga cinta sejati, walau pada hakikatnya cinta itu seringkali diperkatakan buta. Sulong umpama gagak di rimba, manakala Sarah pula bagaikan merak di kayangan. Tapi tidak mustahil jika ada jodoh, umpama ikan di laut asam di darat mereka berpelamin di dalam periuk juga.
Sulong tidak tahan menanggung rindu. Petang itu juga dia mesti berjumpa dengan buah hatinya itu, jika tidak tali jantungnya akan putus dan dia akan mati seperti orang yang mati di tali gantung.
Sampai di kawasan rumah Sarah, Sulong tidak nampak apa-apa. Yang nampak cuma sebuah rumah buruk yang sudah usang dan dililiti oleh tumbuhan menjalar liar. Sulong menoleh ke kiri dan kanan, hati nalurinya tidak salah inilah kawasan rumah besar itu. Mana mungkin dia salah kerana itu rumah kekasihnya
“Assalammualikum…!”
“Waalikum salam.”
“Bahapa si Awang di sini ani…?” Tanya seorang lelaki tua berpakaian kemas.
“Aku ani kan bajumpa kawanku, kalau ku inda salah sini rumahnya.”
“Aga tah si Awang mulih…inda lagi batahkan maghrib ni…”
“Aku ani kan bajumpa Sarah…”
“Sarah…?” Lelaki tua itu terperanjat.
“Auw…selalu pulang ku jumpa kadia atu pa Aji…”
“Bila si Awang jumpa kadia atu…? Tanya lelaki tua itu lagi.
“Dua hari lapas...!”
“Tapi diorang atu mana lagi ada.”
“Kemana diorang pa Aji…?”
“Rumah diorang hangus kira-kira dua belas tahun dulu, semua meninggal…!”
“Apa…?”
Bulu roma Sulong otomatik berdiri tegak dan kulit badannya kecut. Tanpa meminta izin kepada lelaki tua itu, sepantas cerkas Sulong menghirit basikalnya dan mengayuhnya dengan sekuat tenaganya meninggalkan tempat itu.
Lelaki tua itu cuma menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandang bekas tiang-tiang rumah yang hitam kerana hangus terbakar itu. Azan menandakan masuk waktu Maghrib sudah kedengaran.
Sulong merasakan badannya terlalu lemah sebaik-baik saja dia sampai di bawah rumahnya. Dia tidak larat untuk naik cuma tersandar di atas anak tangga kedua. Emaknya memanggil tapi dia tidak dapat menyahut. Sulong membunyikan loceng basikalnya sebagai isyarat dia sudah datang.
Sulong kehabisan tenaga, nafasnya turun naik begitu kencang, nasib baik ampusnya tidak kembuh. Lama Sulong berehat dan cuba mengumpulkan balik tenaganya. Baru saja kakinya melangkah naik tiga anak tangga, isyarat mesej handphonenya berbunyi.
‘Tolong hantarkan saya tujuh ikat sayur malam ini juga…!’
Sulong menerima lagi mesej dari pelanggannya yang sama. Sulong ketakutan tanpa sedar handphone di tangannya terlepas dan jatuh terhempas di atas anak tangga lalu pecah berkecai. Macam spiderman Sulong melangkah anak-anak tangga hingga sampai ke muka pintu rumahnya.
Beberapa saat berikutnya azan menandakan masuk waktu Isya’ berkumandang di udara.
0 Comments:
Post a Comment