Kali keduanya pula di rumah Dang Intan. Tapi malangnya pencuri itu salah tiun, suami Dang Intan bukanlah seorang tokoh koprat. Suaminya baru naik pangkat jadi chief clerk mana boleh pasang gaya macam orang bergaji dua tiga ribu. Ujung-ujung kena biro...siapa yang susah…!
Pencuri itu cuma membedal video cassette recorder dan beberapa buah cassette yang sudah lama tidak dimainkan. Namun dasar pencuri tidak mengenal warna, apa saja yang ada wajib dikebas sesempat-sempatnya, target ada yang hendak dilusirkan.
Pencuri itu sangat licin dan berpengalaman, begitu mudah saja mengambil barang barang itu dan sekelip mata sudah bertukar milik. Umpama kilat memancar, macam berlakun. Sekilas dibayangkan seolah-olah kejadian yang berlaku dalam drama tv yang
ditonton atau pun sedang menonton tv. Ini pernah diakui oleh orang-orang yang menjadi mangsa kejadian itu sendiri.
Kalau hendak dikatakan zaman ini tidak ada pencuri itu tidak masuk akal, kerana curi mencuri ini sudah ujud pada zaman batu dahulu lagi. Tapi sekarang rasa-rasanya pekerjaan begitu-begitu sudah tidak terjadi lagi, kerana kita-kita ini sudah banyak mendapat didikan agama dengan mudah. Di surau-surau dan di majlis-majlis tertentu apa lagi di masjid-masjid sudah ada ceramah agama.
Dang Sitiawan teringatkan kejadian-kejadian yang telah berlaku pada jiran-jirannya tempuh hari. Terasa juga sejuk ulu hatinya kalau-kalau malam ini atau malam esok gilirannya pula. Inilah yang membuat jantungnya gedabak-gedebok dan perasaan takut sentiasa membungkusi dirinya.
Memang akhir-akhir ini kecurian sering berlaku. Curi itu dan curi ini, pecah rumah sana pecah rumah sini, semuanya itu tidak disedari oleh tuan-tuan rumah itu sendiri bagaimana ia berlaku, bila ia berlaku serta bagaimana ia dilakukan. Inilah yang menghairankan dan anih cara ia berlaku.
Ada orang mengatakan pencuri itu menggunakan ilmu pukau. Satu perlakuan yang unik untuk diterima akal tapi tidak mustahil. Jika ia berbentuk parang senang saja dielak atau berbentuk lembing mudah juga ditangkis. Jika gagal dengan ilmu zahir
hentam saja dengan ilmu batin pasti akan berkecai. Tapi ini adalah satu perlakuan yang memang sukar untuk dielak, ditangkis apa lagi hendak dilawan dengan silat, kuntau atau pun karate.
Berbagai-bagai cara dan petua telah digunakan oleh Dang Sitiawan guna menolak bala dan bencana itu. Ini bukan bermakna Dang Sitiawan tidak menghendaki pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Baginya ini adalah salah satu usaha sampingan guna menjauhkan kejadian buruk yang dilakukan oleh manusia syaitan itu.
Ada juga yang mengatakan taruh penyapu di siring pintu dengan sapunya ke atas, pakai baju tidur tabalik. Perbuatannya itu kadang-kadang mengelikan hatinya juga, tapi apa kan daya namanya juga satu usaha. Petua orang tua-tua harus juga didengar dan diikuti selagi tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran agama Islam.
Siapa yang tidak sayang pada harta benda. Yang kadang-kadang kerananyalah terjadi kau-kau dan aku-aku, malah kerana harta juga punca perbelahan sebuah keluarga, menimbulkan dendam kesumat hingga ke akhir ayat.
Tapi bagi Dang Sitiawan kedua-duanya sekali, di samping harta kasih sayang terhadap anak-anak dan juga kepada suami yang tercinta. Anak-anak jangan sampai hilang dan suami tidak dicuri orang.
Ikan karuk tidak pandai tidur, dengar-dengar ilmu pukau tidak akan mengasi jika ada benda-benda hidup yang masih bangun. Ini cuma dengar-dengar Dang Sitiawan dari orang-tua-tua, namun kebenarannya belum terbukti lagi. Di saat-saat beginilah sang karuk menjadi top sale dan berperanan menjadi body guard agar bosnya tidak menjadi papa kedana. (Sesungguhnya hanya Allah yang menjadi pelindung…!)
"Abang carilah ikan karuk tu bang...!" Pinta Dang Sitiawan pada suaminya yang baru pulang dari kerja. Suaminya belum ada ruang masa untuk memikirkan ikan karuk yang dihajati oleh isterinya itu.
"Semalam terjadi di tempat mereka, entah-entah esok lusa terjadi pula di tempat kita." Dang Sitiawan belum habis.
"Kita berdoa dan bertawakal kepada Allah…” Suaminya yakin.
"Itu betul bang tapi kita kenalah juga berusaha.”
Malam itu Dang Sitiawan sekeluarga tidur agak nyenyak dari malam-malam sebelumnya. Beberapa ekor ikan karuk sudah berada dirumahnya. Ikan-ikan itu diperolehinya dari seorang tua di pedalaman Ulu Tutong. Orang tua itu tidak mengambil wang yang diberikan sebagai tukaran ikan-ikan yang didapatinya begitu mudah dan senang.
Tapi Dang Sitiawan tidak begitu mudah menerima pemberian orang, walau pun orang tua itu hendak berbudi dan beramal jariah. Namun orang-orang moden seperti Dang Sitiawan lebeh selesa memberikan wang sebagai tukar ganti daripada menerima budi dari orang lain walau sekecil apa pun.
Air dalam ipang kaca berwarna putih terletak di atas sebuah meja kecil di sudut ruang tamu rumahnya nampak beriak-riak kecil. Beberapa ekor ikan karuk berenang bekejaran sesama sendiri dengan begitu riang sekali. Apa lagi yang hendak dirisaukan, makanan ada kelas tahu tungap saja, tentunya enak dan nyaman tidak seenak lumut-lumut di paya pekat.
Tapi karuk-karuk itu tidak sedar, mengapa setiap hari mulut mereka disumbat dengan makanan. Mereka itu juga tidak faham mengapa mereka dikutip dari paya lumpur dan diangkat darjatnya menjadi barang peliharaan. Semua ini adalah semata-mata demi untuk kepentingan peribadi mahluk yang bernama manusia dan tidak segan silu menjahanamkan kehidupan serta kebebasan mahluk lain.
Ini betul-betul tidak disedari oleh sang ikan yang cuma ada dalam fikiran mereka ialah nafsu semata-mata dan tidak memperhitungkan keselamatan mereka sendiri. Inilah kepintaran manusia sanggup menjadikan apa saja sebagai alat demi untuk memenuhi kepentingan manusia itu sendiri.
Sejak ikan-ikan karuk itu bermalam dirumah Dang Sitiawan keadaan agak tenang. Jiran-jirannya pun turut berkempen mengelakkan kejadian curi yang bermahrajalela dengan memelihara ikan karuk walau cuma seekor. Mereka seolah-olah sudah kehilangan pedoman beragama, mereka juga seakan-akan lupa dengan qada dan qadar dari Allah.
Anak sungai lagikan berubah inikan pula hati orang. Manusia mudah lupa mengenang tempat jatuhnya dan sering terkenang tempat mereka gelak dan tawa. Begitulah nasib ikan-ikan karuk yang telah berjasa selama ini sudah tidak dipedulikan lagi.
Ikan-ikan karuk ini sudah tidak hidup tenang setenang dahulu lagi. Mereka sering melompat-lompat kerana lapar. Makanan sudah tidak ditabur dan jasanya sudah tidak dihargai. Malah khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi. Kolamnya yang kecil sudah
tidak sejernih seperti mulanya dulu. Malah sekarang tidak banyak bezanya semasa hidupnya dalam paya hitam pekat sebelum ini. Andaikata ikan-ikan karuk ini boleh
berkata-kata pasti mereka akan menjerit mengatakan mereka sedang kelaparan dan tidak lama lagi pasti akan mati kebuluran.
Dang Sitiawan duduk berehat bersama anak perempuannya yang baru berumur lebih dua tahun itu sambil menyungkit benang untuk dijadikan alas meja. Dang Sitiawan menunggu suaminya pulang dari kerja sekali gus menunggu anak-anaknya balik dari sekolah. Dang Sitiawan tidak sedar anak kecilnya itu berlalu meninggalkannya.
Anak kecil itu begitu riang bermain dengan ikan-ikan karuk di dalam ipang kaca yang sedang marah kelaparan itu. Sepasang biji mata kecil memerhatikan kucakan air yang sesekali berirama begitu mengasyikkan. Ikan-ikan karuk itu semakin ganas dan marahnya kian menjadi-jadi. Lompat…lompat dan lompat lagi.
Anak kecil semakin riang melihat ikan-ikan karuk itu berenang dan melompat-lompat seolah-olah sukan renang air. Anak kecil itu makin asyik dan kagum hingga mulutnya ternganga memerhatikan kocakan ikan-ikan karuk yang sudah lapar itu.
Dang Sitiawan terkejut bila terdengar benda jatuh dan pecah berderai. Matanya liar mencari-cari anak kecil bersamanya tadi. Hatinya mula resah lantas bangkit meluru ketempat kejadian itu.
Dang Sitiawan merasakan dunia ini gelap, cuma yang dapat dilakukannya menjerit dengan sekuat-kuat hatinya, bila ia melihat anaknya terbaring kaku di atas lantai bersama pecahan kaca dan seekor ikan karuk sumbat-sumbat dimulutnya.
0 Comments:
Post a Comment