Hujan renyai-renyai lelaki berumur empat puluh tahun itu mendongak ke atas, langit dicoreng warna merah, kuning dan sedikit warna hijau menyebabkan lelaki empat puluh tidak tahan memandangnya.
“Assalamualaikum…!”
Lelaki berumur lima puluh tahun itu menoleh lalu menjawab salam lelaki empat puluh itu. Mereka bersalaman, tanpa disuruh lelaki empat puluh duduk berhadapan dengan lelaki lima puluh sambil memandang keliling yang nampak semakin berkabus.
“Saya merasa amat bertuah kerana menjadi penghuni yang kedua tempat ini.”
“Bukan…!” Lelaki lima puluh menggilingkan kepalanya.
“Tapi saya tidak nampak siapa-siapa selain dari tuan…?”
“Itu betul.” Lelaki lima puluh mengangguk.
“Mana kawan tuan yang lagi satu itu…?” Lelaki empat puluh ingin tahu.
“Dia berehat sebentar kerana baru lepas berteriak macam pontianak.”
“Mungkin tuan ini bukan orang local...?”
“Tuan silap…!” Lelaki lima puluh menyangkal.
“Maafkan saya.” Lelaki empat puluh tersipu-sipu.
“Saya local cetezen.” Lelaki lima puluh menjelaskan.
“Saya minta maaf.” Ulang lelaki empat puluh.
“Saya berketurunan India Muslim. Ibu saya Melayu jati, lebih enam puluh tahun dahulu ayah saya berkahwin dengan ibu saya. Ayah dan ibu saya berniaga minyak kemenyan dan sedikit keperluan dapur dari rumah ke rumah secara hutang.”
“Pasti tuan juga seorang bisnes…?”
“Itu juga tidak betul.”
“Saya salah terka lagi.” Wajah lelaki empat puluh nampak merah.
“Saya peguam bebas. Ibu saya berkahwin dengan ayah saya kerana terhutang budi dan hasilnya saya lahir.”
“Apakah ibu tuan cuba dilarikan oleh tentera Jepun yang kejam itu…?”
“Bukan dan tidak…!”
“Semua terkaan saya tidak ada yang betulnya…”
“Kerana itu jangan membuat andaian sesuka hati.”
“Lalu apa yang betulnya…?”
“Ibu saya jatuh ke dalam sungai yang kebetulan ada anak biawak yang disangkakan ibu saya seekor buaya. Ayah saya jadi hero dan ibu saya selamat.”
“Macam wayang Bollywood. Tuan berasal dari mana…?”
“Sebenarnya saya lahir di kampung ini dan ibu saya juga lahir di sini. Datuk dan nenek sayalah yang membuka kampung ini.”
“Apa nama kampung ini…?”
“Sejak dahulu lagi saya berhasrat hendak berkubur di sini.”
“Sekarang hasrat tuan sudah terlaksana. Siapa nama tuan…?”
“Arshad Abdel Majeed, saya mati dalam kemalangan jalan raya.”
“Mungkin tuan Majeed cuai di jalan raya.”
“Saya cukup hati-hati ketika berada di jalanraya.”
“Tuan Majeed kenal pemandu itu…?” Lelaki empat puluh asyik dengan pertanyaan macam seorang pegawai penyiasat.
“Tidak…!” Pendek jawapan Arshad Abdel Majeed yang mula merasa bosan berbual dengan lelaki empat puluh yang bibiran itu.
“Pemandu itu mabuk agaknya.” Tebak lelaki empat puluh lagi.
“Bagaimana tuan tahu pemandu itu mabuk.” Tanya Arshad Abdel Majeed pula.
“Besar kemungkinan akibat dadah dan berbagai-bagai lagi.”
“Sudah lama kita berbual tapi saya belum tahu siapa nama tuan…?”
Lelaki empat puluh membuka mulut untuk menceritakan perihal dirinya, seorang wanita remaja berusia dua puluh tahun menjerit menyebabkan lelaki empat puluh terkejut lalu memandang Arshad Abdel Majeed dengan mulut yang masih ternganga.
“Lelaki tak guna…! Kalau aku jumpa kau…aku akan bunuh kau…!”
“Saya kira tempat ini sunyi dan sepi.” Lelaki empat puluh merungut, keinginannya untuk bercerita terbantut.
“Saya sudah katakan tadi, sekarang dia akan menjerit sampai ke subuh nanti.”
“Sebelum dia berada di sini bagaimana…?”
“Saya selisa dan aman cuma yang kedengaran laungan azan. Tapi sekarang sudah tidak kedengaran lagi.”
“Saya berketurunan China Muslim. Datuk nenek saya sudah memelok agama Islam lebih seratus tahun dahulu.”
“Kalau macam itu tuan ini tentu local cetezen juga.”
“Datuk saya dulu jual ruti inti hitam, berjalan kaki ke rumah-rumah macam ayah tuan Majeed juga, cuma bezanya tidak boleh hutang.”
“Adakah tuan juga seorang bisnes dan siapa pula nama tuan…?”
“Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi.” Lelaki empat puluh merasa bangga sebangga-bangganya.
“Pandai tuan berperi bahasa.” Arshad Abdel Majeed memuji yang cuma sekadar pemanis bahasa.
“Dennis Lai Peterson. Saya orang kaya tapi ditangkap.”
“Kenapa dan mengapa sampai macam itu…?”
“Sebenarnya saya pengedar dadah dan dihukum gantung sampai mati.”
“Tahukah tuan Dennis perbuatan itu berdosa besar.”
“Saya mahu hidup mewah, saya sedar saya berbuat khilaf tapi sudah terlambat.”
“Tuan Dennis mati katak kerana tidak sempat bertaubat.”
“Tuan Majeed seorang peguam tolonglah saya, saya akan membayar mahal.”
“Tidak ada bayar membayar di sini, kita sekarang berada di alam barzakh…!”
“Saya akan beri tuan Majeed cek kosong, tulis berapa saja angka yang tuan Majeed kehendaki.”
“Kita tidak punya harta di sini selain kain putih...!”
Belum habis Dennis Lai Peterson memujuk Arshad Abdel Majeed, mereka dikejutkan dengan kedatangan seorang pemuda yang kurus berambut panjang. Berkaca mata hitam berjalan terhuyung hayang dengan berlumuran darah jatuh di atas pengkuan Dennis Lai Peterson.
“Astaghfirullahhalazim…!” Arshad Abdel Majeed memegang pemuda kurus berlumuran darah itu sambil menyandarkannya di tepi dinding tidak jauh dari tempat mereka duduk dengan dibantu oleh Dennis Lai Peterson.
“Kamu buat apa sampai jadi macam ini…?”
“Saya cuba lari dari tanggung jawab, semua ini kerana pengaruh dadah.”
Arshad Abdel Majeed memandang Dennis Lai Peterson, demikian juga Dennis Lai Peterson memandang Arshad Abdel Majeed. Mereka berdua memandang tepat ke wajah pemuda berusia dua puluh lima tahun yang masih berlumuran darah itu.
“Mengapa kamu berdua pandang saya macam itu…?
“Siapa nama kamu…?” Serentak Arshad Abdel Majeed dan Dennis Lai Peterson mengajukan pertanyaan yang sama. Pemuda itu mengerang kesakitan.
“Syukry Syahril Baharom…”
“Kelakuan kamu tidak seelok nama kamu.” Bantah Arshad Abdel majeed.
“Ayah kamu siapa…?” Celah Dennis Lai Peterson macam orang banar.
“Saya anak kepada seorang korporat yang gila harta.”
“Pemuda seperti kamu ini sepatutnya berbakti kepada negara, bukan jadi hamba kepada benda najis yang amat kotor itu…!”
“Saya diupah oleh pengedar dadah.” Spontan Dennis Lai Peterson bergerak hendak meninggalkan mereka. Belum sempat Dennis Lai Peterson beredar, Syukry Syahril Baharom bersuara.
“Oh…! Baguslah juga kau berada di sini, kerana kaulah aku jadi begini…!”
“Kau jangan nak salahkan aku, aku beri kau upah untuk jual dadah, bukan suruh makan dadah. Itu bukan salah aku.”
Syukry Syahril Baharom cuba hendak bangun untuk membuat perhitungan terhadap Dennis Lai Peterson, tapi belum sempat Syukry Syahril Baharom berbuat sesuatu tiba-tiba wanita remaja itu menjerit lagi.
“Laki-laki tak bertanggung jawab…! Aku berdoa supaya kau cepat-cepat maaa…tiii…!” Wanita remaja itu ketawa menghilai-hilai macam anak pontianak.
“Aku kenal suara itu tapi mengapa dia di sini?” Syukry Syahril Baharom cukup kenal dengan suara itu.
“Wanita remaja itu mati kerana menelan ubat berlebihan. Dia berharap sangat agar lelaki yang menghamilinya itu cepat mati.”
“Aku berdosa terhadapnya kerana memungkiri janji.”
“Kamu kenal dia…?” Arshad Abdel Majeed jadi bingung.
“Tolong bawa aku ke sana, dia Kalathoum Suparman bakal isteri ku…”
Dennis Lai Peterson dan Arshad Abdel Majeed memapah Syukry Syahril Baharom untuk berjumpa dengan Kalathoum Suparman yang didakwanya bakal isterinya itu. Tiba-tiba mereka terhenti apabila terpacak Kalathoum Suparman dengan perutnya yang buncit sambil memegang kapak penyancang tulang.
“Kau lihat puas-puas perut aku yang buncit ini sebelum kau mati buat kedua kalinya. Aku akan cencang tulang mu itu macam tulang kerbau…!”
“Sabar jangan bertindak ganas.” Arshad Abdel Majeed cuba menyejukkan hati Kalathoum Suparman yang bila-bila masa saja menghayunkan kapaknya ke muka Syukry Syahril Baharom.
“Kalau uncle nak tahu dialah juga yang melanggar uncle hingga mati…!”
“Itu cuma penyebab kematian saya.”
“Selamatkanlah saya dari mata kapak bakal isteri saya ini. Saya berjanji akan memberikan dadah percuma kepada uncle.” Syukry Syahril Baharom merayu.
“Astaghfirullahhalazim…! Dalam keadaan begini pun kamu nak bermain-main dengan najis dadah itu…?” Arshad Abdel Majeed marah.
“Jangan tolong dia uncle, saya belum puas selagi mata kapak ini belum landing di kepalanya itu. Saya minta uncle jangan campur tangan.”
Arshad Abdel Majeed habis fikir, dia tidak mahu campur tangan lagi dalam masaalah peribadi Syukry Syahril Baharom dengan Kalathoum Suparman itu. Dennis Lai Peterson sudah lari. Sekarang Arshad Abdel Majeed ingin tahu di mana Dennis Lai Peterson bersembunyi.
Baru saja Arshad Abdel Majeed melangkah tiba-tiba Syukry Syahril Baharom menjerit, mata kapak Kalathoum Suparman melekat tepat di dahi Syukry Syahril Baharom. Darah memercik ke muka dan perut Kalathoum Suparman yang ada isi itu. Kalathoum Suparman ketawa puas macam cucu cicit pontianak.
“Aduh…!” Jerit Lingga apabila kakinya terkena cangkul Samsi ketika mereka menggali liang lahat yang hampir siap itu.
Samsi memapah Lingga keluar dari lobang itu dengan kakinya yang berlumuran darah. Serentak dengan itu Samsi masih terbayang mata kapak Kalathoum Suparman melekat di dahi Syukry Syahril Baharom dalam mimpinya yang amat mengerikan itu.
0 Comments:
Post a Comment