SEBUAH DRAMA RADIO
BERJODOL : GARIS-GARIS SENJA
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PEMBUKAAN)…….
ANN: Bahagian……………menghidangkan sebuah drama radio berjodol
‘Garis-Garis Senja’ tulisan Mardinas, Brunei Darussalam……….
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…….
DILAH: (SEDIH) Aiman…hentikanlah bermain dengan benda najis dan haram itu, mak sudah letih dan tidak larat lagi memikirkan hal kau begini.
AIMAN: (PERLAHAN) Mak tak payahlah fikirkan Aiman…sama seperti ayah tidak pernah memikirkan tentang baik dan buruk diri Aiman.
DILAH: Tapi yang kau lakukan ini telah merusakkan dirimu sendiri dan akhirnya akan menjadi beban kepada masyarakat nanti.
AIMAN: Aiman tidak meminta diri Aiman menjadi beban kepada masyarakat mak…biarkan Aiman dengan diri Aiman sendiri, Aiman tidak ganggu orang lain…!
DILAH: (KUAT) Tapi mak tidak rela Aiman jadi macam ini…Aiman anak mak…! Aiman kena dengar cakap mak…!
AIMAN: Biarkan Aiman bebas dengan dunia Aiman sendiri mak…
DILAH: Tapi Aiman masih punya emak…jangan hancurkan lagi hati mak setelah dihancurkan oleh ayah Aiman.
AIMAN: (KUAT) Jangan sebut ayah mak…Aiman tidak punya ayah…ayah Aiman sudah mati…!
DILAH: Jangan menyalahkan siapa-siapa Aiman…manusia diberi akal dan fikiran untuk memilih baik dan buruknya.
AIMAN: Biarkan Aiman bergelomang dengan najis dadah…sama seperti ayah yang bergelomang dengan rasuah…!
DILAH: (SEDIH) Ya Allah…! Engkau berikanlah aku kekuatan untuk semua ini, jangan Engkau lemahkan iman dan semangatku…ya Allah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
FLASH BACK
MURAD: (KERAS) Sudah berapa kali abang katakan…abang sibuk dengan tugas-tugas abang…! Abang bukan membuang masa yang sia-sia, semuanya ini untuk keluarga kita juga.
DILAH: Itu saya tau bang…tapi keharmonian keluarga kita kian dekat ke jurang kehancuran…! Harta boleh dicari pada bila-bila masa bang.
MURAD: Semua ini adalah menentukan untung rugi dan senang susahnya kehidupan kita. Peluang keemasan cuma sekali dalam hidup Dilah…jika terlepas sampai matipun kita tidak akan mendapatnya.
DILAH: Berapa banyaknya harta pun tidak akan dibawa mati bang.
MURAD: (KERAS) Kita menggunakan harta semasa kita hidup…kerana itu kita harus mendapatkannya sebelum kita mati…!
DILAH: Tapi cara abang mendapatkan harta itu adalah salah…salah pada undang-undang negara apalagi undang-undang di sisi Allah.
MURAD: Abang tidak minta…mereka yang bagi, apakah itu salah…?
DILAH: Jika sesuatu yang diberikan dengan mengharapkan imbalan…itu namanya rasuah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
WATI: (PERLAHAN) Wah…! Jauh sangat kenanganmu mengembara hingga aku datang pun kau tak terasa…!
DILAH: (LEMBUT) Beginilah realiti kehidupanku sekarang…aku seakan tidak pernah ujud lagi di alam nyata. Apa yang aku lihat dan apa yang aku nampak seolahnya bayangan dan khayalan.
WATI: Bayangan maupun khayalan memang tidak dapat kita pisahkan dari dalam diri kita…tapi kenalah kita membezakan antara dunia realiti dengan dunia imaginasi.
DILAH: Sudah tiga tahun bang Murad dalam penjara…(BERHENTI)…
WATI: (CEPAT MEMOTONG) Selama itu apa yang kau rasakan…?
DILAH: Sama saja…malah aku semakin terhimpit oleh anak aku sendiri. Aiman sudah tidak dapat dibentuk lagi... malah semakin liar.
WATI: Kau jangan putus asa, Dilah…tabahkan hatimu semua ini adalah dugaan ke atas dirimu.
DILAH: Mengapa pada aku…tidak pada orang lain…!
WATI: Allah menjadikan kita dengan rezeki masing-masing…kalau bukan di dunia, pasti di akhirat akan kita diperolehi juga.
DILAH: (LEMBUT) Kalau aku tidak takut pada neraka…mau rasanya aku bunuh diri, agar segala penderitaan yangku tanggunga ini akan berakhir.
WATI: Astaghfirullah alazim…! Bawa mengucap dan bertaubat Dilah, semua itu bisikan iblis dan syaitan.
DILAH: Hidupku tidak seperti orang lain, Wati…suami dalam penjara kerana rasuah dan anak pula ketagih dadah, aku sudah tidak punya apa-apa yang hendak dibanggakan.
WATI: Bagaimana pun kau masih punya Aiman…dia mengharapkan bimbingan, walau sejauh mana dia tersesat…kau harus bawa dia kembali ke pengkal jalan.
DILAH: Aku seolahnya cuma ada jasad tanpa nyawa…aku tidak berdaya membawa Aiman pulang…aku kecewa, Wati…kecewa…!
WATI: Jangan mudah mengalah…kau harus mencari jalan lain, aku yakin jalan keluarnya masih ada.
DILAH: Saat-saat yangku lalui semakin senja…yang nantinya membuatkan aku meraba-raba di dalam gelap untuk hidup.
WATI: Kau akan memperolehi cahaya itu kembali jika kau kuatkan imanmu, hadirkan dirimu dengan ikhlas dan reda dalam mendekati Allah.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: (SEDIH) Berhentilah menyeksa dirimu sendiri Aiman…ingat pada Allah, dan kembali kepengkal jalan.
AIMAN: (SELAMBA) Mak relixlah dalam rumah ini…jangan hiraukan Aiman. Aiman tidak sesat mak…Aiman masih ingat pada Allah…!
DILAH: (KUAT SIKIT) Jadikanlah rumah ini syurga Aiman…bukan neraka…!
AIMAN: Ayah tidak pernah menjadikan rumah kita ini syurga mak…dia asyik mencari harta…kekayaan…! Hingga lupa pada tanggung jawabnya sendiri.
DILAH: Jangan sebut perkara itu Aiman…ayah Aiman berbuat semua itu adalah untuk kita semua.
AIMAN: (KUAT) Tapi ayah main kotor mak…!
DILAH: Apa bezanya dengan Aiman yang sudah terjerumus dengan dadah haram dan najis itu…apa bezanya…?
AIMAN: Sekarang ayah berada dalam penjara…sebuah syurga yang diimpi-impikannya. Aiman percaya ayah bahagia dalam syurganya itu.
DILAH: (KERAS) Jangan kata macam itu Aiman…apapun dia tetap ayah Aiman.
AIMAN: (PERLAHAN) Dadah adalah Aiman…dan Aiman adalah dadah, kami tidak boleh berpisah…(KETAWA)…
DILAH: (KUAT) Aiman…! Jangan melampau dan biadap pada mak…!
AIMAN: Maafkan Aiman mak…Aiman sayang pada mak…Aiman tidak mau semua ini berlaku, tapi kerana ayah mempersia-siakan hidup mak dan Aiman, biarkanlah Aiman seperti ini sampai mati mak…!
DILAH: Tapi Aiman ada mak…mak sayang pada Aiman, mak ingin melihat Aiman seperti dulu…! Sedarlah Aiman…
AIMAN: (LEMBUT) Tidak mungkin mak…tidak mungkin. Aiman sudah kotor seperti anjing…! (MENANGIS)…Dan rumah ini tidak layak untuk Aiman, mak…!
DILAH: (PERLAHAN) Aiman…kalaupun Aiman benci pada ayah…tapi ini mak…mak perlukan Aiman berada di sisi mak.
AIMAN: Mak…! Aiman lebih mencintai dadah dari segala-galanya mak…!
DILAH: Mengucaplah Aiman…! Istighfar banyak-banyak…
AIMAN: Aiman rela mati kerana dadah mak…!
DILAH: (MENJERIT) Aiman…!
SPOT: BUNYI SATU TAMPARAN…….
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: (MENANGIS) Aku sudah tidak dapat menahan perasaanku, Wati…
WATI: Aku cuma dapat menasihati kau Dilah…apapun bentuknya kau masih ada Aiman, dan kau masih belum terlambat lagi untuk membawa Aiman keluar dari kancah dadah itu.
DILAH: Aiman sudah parah, Wati…dia sudah sebati dengan benda haram dan najis itu. Aku seakan hilang semangat untuk meneruskan hidup.
WATI: Jangan cepat mengalah, Dilah…jangan mudah berputus asa, teruskan hidup kerana hidup itu perlukan pengorbanan, walau dengan darah dan air mata sekalipun.
DILAH: Terima kasih kerana banyak mendorong aku untuk menghadapi semua masalah ini, kalau tidak kau…aku sudah lama tewas…
WATI: Hari ini hari kau, Dilah…siapa tau hari-hari akan datang giliran aku pula. Aku cuma memberikan apa yang patut dan baik bagi kau, selebihnya terserah pada kau sendiri.
DILAH: Aku merasakan Aiman sudah tidak boleh berlembut lagi, Wati…aku akan buat sesuatu untuk menyedarkan dirinya. Aku tidak mau dia hilang dalam hidupku…(MENANGIS)…
WATI: Baguslah…asalkan apa yang akan kau lakukan itu nanti banyak memberikan kebaikan dari keburukan. Bertindaklah dengan bijaksana kerana Aiman darah dagingmu sendiri.
DILAH: Keluargaku sudah tercemar…aku ingin membersihkannya, dan aku akan bangun semula setelah aku jatuh.
WATI: Jangan pedulikan orang keliling kita…mereka cuma melihat tapi mereka tidak merasa, yang penting kita hendaklah berusaha dan selebihnya kita berserah pada Tuhan.
DILAH: Aku akan bangun selaku serikandi untuk melemparkan jauh-jauh titik-titik hitam yang mencemarkan keharmonian keluargaku selama ini.
WATI: Aku yakin kau akan berjaya, Dilah…kuatkan semangatmu…lontarkan jauh-jauh segala bisikan-bisikan yang negatif, kerana semua itu godaan iblis dan syaitan.
DILAH: Doakan agar aku berjaya, Wati…
WATI: Insya-Allah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
S/EFT: KETUKAN PINTU BEBERAPA KALI…(SELANG SELI)…….
AIMAN: (KUAT) Mak…! Buka pintu mak…! Jangan buat Aiman begini mak…! Tolong mak…!
DILAH: (MENANGIS) Maafkan mak, sayang…mak terpaksa buat Aiman begini, Aiman terlalu degil…!
AIMAN: (SEPARUH MENANGIS) Tolong Aiman mak…! Aiman tidak tahan…Aiman akan mati mak…! Keluarkan Aiman Mak…!
DILAH: (MASIH MENANGIS) Mak terpaksa buat begini, Aiman…mak tidak mau kehilangan Aiman sayang…
AIMAN: Mak tidak sayang pada Aiman…mak ingin Aiman mati…!
DILAH: Jangan kata macam tu, Aiman…kerana mak sayanglah mak tidak membiarkan Aiman ketagih benda itu.
AIMAN: (KUAT) Mak…! Lebih baik mak bunuh saja Aiman, mak…Aiman tidak tahan macam ini mak…(pause) Mak…! Mak…!
SPOT: BUNYI SIRIN POLIS SEMAKIN DEKAT…HILANGKAN…….
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
WATI: Kau telah berjaya melakukannya dengan baik, Dilah…
DILAH: (SEDIH) Apakah sekarang ini aku sedang menganiaya anak aku sendiri atau telah berbuat sesuatu demi kebaikan masa depan anak aku…?
WATI: Kau berbuat yang terbaik, Dilah…walaupun pada awalnya terlalu susah, aku yakin Aiman akan pulih nanti…walau memakan masa yang agak lama.
DILAH: Aku tidak akan menghitung hari walaupun tahun, Wati…aku sanggup menunggu waktu itu, kerana Aiman adalah segalanya bagiku.
WATI: Syukurlah kau belum terlambat…masa depan Aiman pastinya akan cerah, asalkan dia benar-benar menginsafi apa yang telah dilakukannya selama ini.
DILAH: Semua ini berpunya dari aku dan bang Murad…bang Murad sibuk mencari harta dan aku dengan tugas-tugasku.
WATI: Menyedari kesilapan sendiri itu bagus…tapi jangan terlalu mengukum diri keterlaluan, kerana terlalu rasa bersalah itu boleh membunuh segala usaha dan harapan.
DILAH: Aku sepertinya sudah jatuh ditimpa tangga, Wati…seolah-olah ketenangan dan kedamaian yang ada di dunia ini bukan milikku.
WATI: Semua itu sudah diatur oleh Allah…apa yang ada pada kita, baik dan buruknya sudah menjadi milik kita yang dinamakan takdir. Kita cuma berserah dan reda menerimanya.
DILAH: Kalau cuma bang Murad…aku boleh bertahan kerana aku masih ada Aiman, tapi yang ini kalau kurang-kurang iman…aku boleh jadi gila.
WATI: Kenapa kau tidak tunggu suamimu dibebaskan…?
DILAH: Aku tidak mau menambah beban dalam kepala aku ini…aku tidak mengharapkan kepulangannya itu.
WATI: Jangan kata macam itu, Dilah…dia masih suamimu dan sedikit sebanyak akan dapat membantu sekurang-kurangnya berkongsi rasa dengan masalah kau sekarang.
DILAH: Aku cuma mengharapkan agar kepulangannya nanti, tidak menjadi beban dalam hidupku, itu saja…lain tidak.
WATI: Bila suamimu akan dibebaskan…?
DILAH: (SELAMBA) Minggu depan…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: (PERLAHAN) Saya harap…kepulangan abang ini tidak akan menambah beban yang saya sudah tidak larat untuk menanggungnya.
MURAD: (SEDIH) Abang sudah menerima pembalasan dari apa yang telah abang lakukan, abang tidak menyangka begini hasilnya yang abang perolehi.
DILAH: (GERAM) Tapi saya yang menderita dan menerima azab yang lebih bang. Saya dicemuh orang keliling kita, saya malu bang…saya malu.
MURAD: Abang minta maaf…tiga tahun dalam penjara sudah cukup mengajar abang untuk menjadi manusia yang baik.
DILAH: Apa yang abang lakukan itu sudah banyak memakan korban bang, terutamanya anak kita…Aiman sudah jadi penagih.
MURAD: Abang sedar bahawa kerakusan dan ketamakan itu tidak akan mendatangkan apa-apa melainkan kehancuran. Abang akan memikul semua ini, kerana ini adalah tanggung jawab abang.
DILAH: Tidak ada erti apa-apa lagi…semuanya telah terlambat, kita cuma ada waktu untuk menghadapi kehidupan yang semakin pudar.
MURAD: Abang tidak akan membiarkan kehidupan kita pudar apa lagi hancur, abang akan menebus segala hutang piutang abang dalam kehidupan kita ini, asalkan Dilah memaafkan abang.
DILAH: (GERAM) Tidak ada satupun yang dapat dilakukan oleh sebuah kemaafan bang…jika kepercayan sudah hilang dan hancur bersama kezaliman manusia itu sendiri.
MURAD: Abang menyedari diri abang ini bersalah dan tetap bersalah dalam kehidupan kita. Tapi penjara sudah menebusnya…! Apakah Dilah tidak mampu melihat dan merasakan semua itu.
DILAH: Saya sudah lebih melihat apalagi merasakan semua kepedihan itu, namun hati saya tetap luka dan berdarah tidak ada hentinya bang.
MURAD: Abang bangga punya isteri yang cekal dan tabah menghadapi neraca hidup, dan mampu berjalan dan berlari walau dibebani dengan palbagai ranjau kehidupan.
DILAH: (SEDIH) Tiga tahun abang dalam penjara…setiap saat dan waktu saya bermandikan air mata. Perlakuan abang dan anak kita cukup untuk membunuh saya hidup-hidup…(MENANGIS)…
MURAD: Kiranya masa itu boleh abang putarkan kembali…abang akan menjadi manusia dan suami yang terbaik di dunia ini.
DILAH: (GERAM) Jangan mengharapkan embun di tengah hari bang…!
GRAM: MUZIK SELINGAN……
WATI: (PERLAHAN) Jangan terlalu degil, Dilah…
DILAH: Berapa berat mata memandang…berat lagi bahu yang memikulnya Wati, kepulangannya tidak membawa sinar apa-apa dalam hidupku.
WATI: Jangan macam itu, Dilah…apapun dia masih suamimu dan yang kau harapkan selama ini akan sama-sama membimbing Aiman.
DILAH: Dulu memang betul…tapi sekarang sudah bukan siapa-siapa lagi dalam hidupku, luka yang aku tanggung tidak akan sembuh sampai bila-bila dan kerananya juga Aiman jadi seperti sekarang.
WATI: Siapapun mungkin akan berperasaan begitu…tapi kau harus ingat juga bahawa syurga itu di bawah telapak kaki suami.
DILAH: (KERAS) Ini bukan soal syurga ataupun neraka, Wati…selama inipun dia seolah-olah meletakkan diriku di dalam neraka.
WATI: (LEMBUT) Jangan macam tu, Dilah…itu namanya derhaka, kau masih isterinya dan dia masih suamimu.
DILAH: Aku tau…tapi aku tidak lagi mengharapkan syurga di tapak kakinya, kerana semua itu sudah menjadi neraka.
WATI: Bertindak biar bijak…jangan terburu nafsu dan ikut perasaan, jangan biarkan iblis dan syaitan berbisik, halangi dia dengan istighfar banyak-banyak.
DILAH: Aku sudah cuba untuk melupakan semua itu…tapi kian melekat dan menambah lagi sakit jiwaku umpama baru semalam. Luka hatiku terlalu parah, Wati…apapun penawar tidak akan dapat menyembuhkannya.
WATI: (PERLAHAN) Oleh itu kau banyak-banyak mengingati Allah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
MURAD: (TERHARU) Aiman…! Ayah minta maaf…kerana ayah Aiman jadi begini, ayah sedar sekarang.
AIMAN: (PERLAHAN) Jangan ayah…jangan minta maaf pada Aiman, ayah tidak bersalah dan sebaliknya Aiman sendiri yang salah.
MURAD: Ayah terlalu leka dengan tugas-tugas ayah…ayah ghairah mencari harta dunia hingga ayah alpa untuk mencurakkan masa depan Aiman dengan baik. Ini kesilapan ayah, Aiman…
AIMAN: Jangan bimbang ayah…ayah tak perlu risau kerana pusat ini telah mengajar Aiman dan menyedarkan Aiman dari terus hidup dalam khayalan bersama benda-benda najis itu.
MURAD: Ayah akan menerima apa saja hukuman dari Aiman untuk ayah, atas kehilafan ayah itu.
AIMAN: (LEMBUT) Untuk apa ayah…! Sekarang Aiman sudah berubah…Aiman di depan ayah ini bukan seperti Aiman yang dulu, Aiman sudah berpijak di bumi nyata seperti yang ayah nampak.
MURAD: Syukurlah…apa yang ada di depan ayah ini, tidak akan ayah tukarkan dengan kesenangan dunia walau untuk seumur hidup ayah. Aiman lebih bermakna dari semua itu.
AIMAN: Terima kasih ayah…mak juga pastinya berharap begitu. Doa ayah Aiman harapkan demi kehidupan masa depan Aiman yang lebih bererti.
MURAD: Ayah akan menunggu kepulangan Aiman…kita akan jalani kehidupan yang baru bersama mak, ayah akan menjadikan keluarga kita harmoni kembali seperti sebelumnya.
AIMAN: Kirim salam pada mak…mak banyak berkorban untuk Aiman dan juga ayah, jangan sia-siakan hidup mak…
MURAD: Ayah berjanji akan membahagiakan mak Aiman…Insya-Allah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: Biarlah semua itu untuk Aiman…bukan untuk saya.
MURAD: Katakan apa yang patut abang lakukan untuk menebus kembali segala kesalahan dan kesilapan abang itu.
DILAH: Saya pernah mengharapkan kehidupan ini berkesudahan hingga ke senja, tapi sebelum waktu itu tiba…garis-garis tanpa diundang telah mencemarkan keindahan sinar merahnya.
MURAD: Apakah Dilah tidak dapat melupakan garis-garis itu, walaupun ianya sudah berlalu…?
DILAH: Garis-garis itu memang sudah berlalu…tapi hirisannya masih berbisa dan boleh membunuh bila-bila masa saja.
MURAD: Kita fikirkan teraju hidup Aiman di masa akan datang.
DILAH: Aiman sudah semakin dewasa…saya yakin jika dia pulang nanti, dia akan dapat mencurakkan masa depannya sendiri. Saya sudah terlalu letih untuk semua itu.
MURAD: (KUAT) Tapi abang sudah berjanji…!
DILAH: (KERAS) Tidak ada salahnya jika abang berjanji begitu…dan itu sudah semestinya abang kotakan sejak dulu lagi, bukan bermula dari sekarang.
MURAD: Tapi abang perlukan sokongan dari Dilah selaku emaknya…! Dunia seorang anak lebih dekat pada emaknya sendiri.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: Kata hati saya sudah bulat dan tidak boleh ditawar-tawar lagi bang.
MURAD: (PERLAHAN) Kalau begitu…apa tuju dan hala kita sekarang.
DILAH: Kita umpama dua garisan yang selari…sampai bila-bila pun tidak akan bertemu walau ke hujung dunia sekalipun.
MURAD: Lalu…untuk apakah kehidupan kita masa ini…?
DILAH: (KUAT) Kita terpaksa hidup dengan rezeki dan maut masing-masing…!
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PENUTUP)…….
ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Garis-Garis Senja’ tulisan Mardinas, Brunei Darussalam…….
PARA WATAK
1 MURAD
2 DILAH
3 WATI
4 AIMAN.
Monday, February 21, 2011
Garis-Garis Senja
Posted by Maya Brunei at 5:06 AM
Labels: arkib drama radio
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment