Itulah mangsa pertama senjata C Gulambir sejak lima tahun dia tidak bermain di gelanggang kerana sudah berpencen. (Jadi warga ayam emas). C Sigun senghaja mengundang padah yang cuma kerana berebutkan seekor cacing tanah yang baru hendak keluar dari lubangnya untuk melihat cahaya matahari.
C Gulambir terpinga-pinga dengan mulutnya yang ternganga dan lidahnya bergerak-gerak sambil nafasnya turun naik begitu kencang, apabila melihat C Sigun rebah tersungkur dengan berlumuran darah yang tidak dapat dipantan lagi walau dengan kopi cop kapal api sekalipun. Kemudian C Gulambir dengan megahnya membusongkan dadanya dan mengibarkan sayapnya sambil berkokok atas kemenangannya itu.
Sebenarnya C Sigun selalu cari gaduh walau cuma kerana sedikit masaalah kecil yang boleh diselesaikan dengan budi bicara tanpa mengundang perkelahian yang akhirnya memakan korban. Tapi oleh kerana sifat angkuh C Sigun yang suka membesar-besarkan diri dan akhirnya bertemu buku dengan ruas.
Pernah satu ketika dulu C Sigun membunuh adiknya sendiri kerana berebutkan C Serama yang terlepas dari kurungannya. Akhirnya C Sigun putih mata apabila C Serama dimasukkan kembali ke dalam kurungan dan sejak itulah C Sigun sering mencari-cari pasal apa saja untuk melepaskan tensyennya.
Dengan matinya C Sigun itu tidak ada lagi perselisihan apa lagi pergaduhan. Tempat mereka kembali aman damai. Tapi itu cuma sekejap. Sekarang mereka dalam ketakutan kerana diancam oleh sejenis penyakit yang akan membawa maut bila-bila masa saja jika virus itu menyerang mereka.
C Belais yang paling senior dalam kumpulan mereka itu tau, itu bukan jenis penyakit yang sering menyerang mereka sejak dari zaman datuk neneknya dulu-dulu lagi. Tapi penyakit yang menimpa mereka akhir-akhir ini lain. C Belais bukan takut mati tapi biarlah matinya itu aman dan pastinya di mata pisau Hj Tundak.
Setiap hari ada-ada saja kematian yang mengerikan. Baik di sana maupun di sini tidak ada lain cerita melainkan mati. Risik-risik angin C Belais terdengar juga penyakit itu dikenali dengan terjemahan ‘selesema burung’. Kena saja terus mati.
Satu hari mereka diserbu oleh ‘orang-orang’ yang berpakaian serba putih. C Belais sedih apabila melihat rakan-rakannya dipompong oleh yang bernama ‘orang-orang’ itu tanpa belas kesihan. Rakan-rakannya itu pasti akan mati lemas dalam karung-karung guni yang bakal mengakhiri riwayat mereka. Betapa kejamnya yang bernama ‘orang-orang’ itu.
C Borek laki C Belais sudah nampak lain macam. Mujurlah yang bernama ‘orang-orang’ itu tidak nampak C Borek terlintuk-lintuk merungkui di bawah kotak kertas tempat C Belais mengeram telur-telurnya ketika dia masih subur. Jika yang bernama ‘orang-orang’ itu nampak pasti C Borek akan dibunuh cuma-cuma yang sekaligus C Belais sendiri menjadi janda dan anak-anaknya akan menjadi yatim.
C Borek memandang bininya yang juga terselamat dalam serbuan itu. C Belais faham apa yang dimaksudkan oleh lakinya. C Belais mendekati C Borek dan mematuk-matuk bungul C Borek yang lembut berwarna merah jambu itu dengan mesra dan rasa kasih sayang seekor bini menandakan C Belais bersimpati dengan kesakitan lakinya itu.
Sekarang mereka bertarung dengan wabak penyakit yang bila-bila masa saja akan kojol jika terjangkit virus maut itu. Sebelum ini C Borek dan C Belais sudah kehilangan beberapa ekor anak. C Kuning dan C Itam mati sertamerta dua minggu lepas tanpa rawatan.
Selang beberapa hari C Togel pula pergi mengikuti jejak kakak-kakaknya walaupun sudah mendapat rawatan emergancy. C Togel cuma dapat bernafas beberapa jam setelah diberikan suntikan. Begitulah ganasnya virus yang dijelmakan atas nama ‘selesema burung’ itu.
Itu kematian yang dapat dilihat oleh C Borek dengan bininya. Banyak lagi anak-anak mereka yang hilang begitu saja tanpa dapat dikesan akibat apa, sama ada mati ditangkap musang atau mati disambar helang ataupun mati dibaham oleh biawak
Sekarang C Belais cuma tinggal tiga beranak. C Rintik anak bongsu mereka begitu lincah yang sekejap-sekejap hilang mencari makan sendirian. C Rintik cuba-cuba ingin hidup berdikari. C Rintik yang masih anak-anak itu langsung tidak tau apa yang sedang berlaku disekelilingnya sekarang.
C Rintik juga tidak perasan ke mana perginya abang dan kakak-kakaknya walaupun sudah lama tidak bermain dan makan bersamanya. Perangai anaknya yang cuma tinggal satu ini sudah cukup untuk membuatkan C Belais menghidap penyakit darah tinggi dan sekali gus sakit jantung.
Sebagai ibu C Belais begitu prihatin terhadap keselamatan C Rintik yang cuma tinggal satu-satunya itu disamping mengikuti perkembangan C Borek yang masih jahat ujut itu. C Belais mengharapkan lakinya akan cepat sembuh sebelum mereka kena serbu lagi.
Ketenangan itu cuma sementara. Petang itu mereka diserbu lagi dengan penuh agresif tanpa amaran terlebih dahulu. C Belais tiga beranak jadi panik dan lari bertempiaran lintang pukang tidak tahu di mana hendak dituju.
Nasib buruk menyebelahi C Borek dan C Rintik yang tertangkap juga oleh yang bernama ‘orang-orang’ itu. Mujurlah C Belais dapat meluluskan dirinya dan bersembunyi di bawah rangka sebuah kereta buruk tepi sungai belakang rebannya itu.
Pernah sekali C Belais mengerami telur-telurnya di bawah kereta buruk itu ketika dia sering dikacau oleh sang ular berkepala dua. Sang ular berkepala dua itu kepingin sangat hendak makan C Belais dengan telur-telurnya sekali gus. (Barangkali sang ular berkepala dua itu sedang mengandung).
Lama C Belais bersembunyi hingga membawa ke malam. Dalam kegelapan malam itu C Belais keluar perlahan-lahan dari persembunyiannya, dengan hati yang berdebar-debar C Belais terus ke rebannya. C Belais mencari C Borek dan C Rintik tapi tidak berjumpa. Dalam hati C Belais mengatakan anak dan lakinya itu telah menjadi mangsa karung guni kepunyaan yang bernama ‘orang-orang’ itu.
Malam itu C Belais tidak dapat memejamkan matanya dengan nyenyak. Ketiadaan anak dan lakinya di sisinya benar-benar terasa tidak punya erti apa-apa. Hidup C Belais benar-benar kosong yang sekarang dia tinggal sebatang kara.
C Belais merasa kesal mengapa dia melarikan diri dan bersembunyi, dia cuma mementingkan dirinya sendiri. C Belais menitiskan air mata kerana tidak kesetiaannya kepada anak dan lakinya. Akhirnya C Belais tertidur bersama kekesalannya malam itu.
Pada esok paginya C Belais bangun tanpa kokok C Borek dan kenakalan C Rintik. Keheningan dan kesunyian pagi itu amat dirasakan oleh C Belais tanpa bersama-sama yang dikasihinya. Alangkah eloknya jika dia juga tertangkap kemarin petang itu dan mati bersama-sama anak dan lakinya.
Pagi itu juga C Belais sangat-sangat mengharapkan C Borek dan C Rintik akan kembali dengan selamatnya, walaupun harapannya itu terlalu tipis untuk menjadi kenyataan. Pada lazimnya jika mereka sudah masuk ke dalam guni itu, pasti mereka tidak akan kembali lagi.
Harapan C Belais cuma impian kosong. Belum sempat C Belais membayangkan apa yang telah terjadi kepada anak dan lakinya yang kini berada di tangan yang bernama ‘orang-orang’ itu, tiba-tiba C Belais menggelapar dan bulu-bulunya tercabut berterbangan. C Belais sudah berada di tangan kiri Hj Tundak yang memegang pisau di sebelah kanannya.
C Belais faham apa hajat Hj Tundak menangkapnya itu. C Belais jadi lemah dan tidak punya pilihan lain, dia rela pada apa-apa yang akan berlaku ke atas dirinya sebentar lagi. C Belais tau kematiannya di tangan Hj Tundak itu. C Belais sudah lupa pada C Borek dan C Rintik, cuma yang C Belais ingat bulu-bulu lihirnya sedang dicabut oleh Hj Tundak dengan kasar.
0 Comments:
Post a Comment