Monday, December 20, 2010

AKU TIDAK GILA

Nyata Bakri Saleh telah menjadi mangsa keserakahan dan ketamakan insan yang tidak jujur dan ikhlas dalam mengungkayahkan sebuah agensi yang kononnya berjalan di atas landasan yang di redai Allah. Sudahnya mendapat padah dan akhirnya menyusahkan semua orang yang terlibat. Itulah insan yang cuma ingin mengaut keuntungan dunia tanpa memperhitungkan kerugian di akhirat kelak.

Sudah lima tahun lebih Bakri Saleh menunggu, walaupun kocak ataupun riaknya belum kelihatan namun Bakri Saleh masih menyimpan harapan dan terus berharap, meskipun apa yang diharapkannya itu tidak mungkin akan menjadi kenyataan. Bakri Saleh cuma dapat bersabar dan akan terus bersabar kerana dia tidak tahu pada siapa dia hendak mengadu bagi menyelesaikan masaalah yang bukan saja bagi dirinya sendiri malah juga pada orang lain yang senasib dengannya.

Waktu yang begitu lama banyak merubah gaya hidup Bakri Saleh yang berperawakan panjang besar berusia lebih enam puluh dua tahun itu. Bakri Saleh seringkali berulang alik ke Lapangan Terbang Antarabangsa dengan berpakaian kemas seperti seorang yang baru turun dari menunaikan ibadah haji ataupun umrah. Berserban dan berjubah serta berharum-haruman.

Setiap musim haji maupun umrah, Bakri Saleh akan masbuk di tengah-tengah keriuhan saudara mara dan sahabat handai bagi mereka yang menghantar maupun menyambut kembalinya tetemu-tetemu Allah itu. Sebahagian orang sudah masak dan lali dengan perlakuan Bakri Saleh ini.

“Cukuplah ayah lakukan semua itu, katakan saja bila ayah hendak ke Mekah, kami akan memberikan segala keperluan untuk ayah pergi.” Anak-anak Bakri Saleh mengharapkan ayah mereka akan berubah.

“Ayah tidak mahu menyusahkan kamu, ayah mahu pergi dengan wang ayah sendiri.” Jelas terukir garis-garis kesedihan di wajah Bakri Saleh.

Itulah Bakri Saleh seorang ayah yang tegas dan keras hati. Begitu tabah menerima segala dugaan dan cubaan. Walaupun anak-anaknya bersedia menghulurkan bantuan, tapi Bakri Saleh masih berkeras dan mahu menggunakan wangnya sendiri yang sudah lesap oleh insan yang tidak bertanggung jawab itu.

“Wang itu adalah wang halal dari titik peluh aku sendiri, aku percaya akan kembali juga padaku nanti.” Sedikit keluhan dari Bakri Saleh.

“Tidak bererti wang yang masuk ke tangan seorang penipu itu tidak halal Bakri, tapi agensi itu sudah berkubur tanpa nisan.” Simpati Kadir Ibrahim kawan Bakri Saleh.

“Sembilan ribu ringgit bukan sikit Kadir…”

“Apa pun kau ubahlah sikap kau macam ini.”

“Tidak salah jika aku berpakaian begini…!”

“Aku tau…tapi jika kau berjalan ke hulu ke hilir berpakaian macam ini, nanti orang akan kata lain pula…”

“Orang akan kata aku gila, jalan ke sana sini pakai jubah mengalahkan orang Arab, macam itu maksud mu…?”

“Kau jangan cepat tersinggung Bakri…”

“Aku tidak gila Kadir. Aku mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat fitrah dan bersembahyang hari raya…”

Itulah yang sering berdetik dalam benak Bakri Saleh. Apa yang dikatakan oleh Kadir Ibrahim itu barangkali ada benarnya. Jika Bakri Saleh sendiri yang melihat orang lain seperti apa yang dilakukannya sekarang ini, Bakri Saleh juga akan beranggapan orang itu walau bukan gila, tapi tidak akan lari dari kurang satu perempat.

‘Apakah aku ini benar-benar sudah gila…!’ Bakri Saleh menangkupkan kedua belah tangannya dan kemudian menutup mukanya sambil beristighfar.

Bakri Saleh maupun sesiapa belum menemukan jawaban itu. Anak-anaknya sudah berusaha dan beberapa kali membawa Bakri Saleh ke doktor, tapi jawabannya semua sama, Bakri Saleh sihat walafiat dan masih waras.

“Apa kah kamu mahu ayah ini benar-benar gila…?”

Remang juga bulu roma anak-anak Bakri Saleh apabila mendengar ayah mereka berkata begitu. Anak-anak Bakri Saleh diam tidak seorang pun yang berani angkat muka. Anak Bakri Saleh yang sulung lelaki memandang adik perempuannya, adik perempuannya pula menjeling adik lelakinya dan adik lelakinya melerek adik bongsu perempuannya. Mereka pandang memandang. Mulut mereka bagai terkunci rapat, cuma mata mereka terkebil-kebil macam mata kucing berada di dalam gelap.

Apapun helah dan dalih anak-anak Bakri Saleh semuanya tidak mempan, mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka terpaksa membiarkan saja perlakuan Bakri Salih itu selagi tidak membahayakan orang lain disamping berdoa semoga Allah memberikan petunjuk kepada ayah mereka.

“Kau dari mana ni Bakri…?” Kadir Ibrahim semacam mengatil.

“Dari mana lagi kalau bukan dari airport…!” Bakri Saleh menjawab selamba dan sempat melihat Kadir Ibrahim tersenyum.

Seperti lazimnya kedai minum yang berlambak di tepian jalan itu yang kebanyakannya dipelopori oleh orang India, di situlah Bakri Saleh dan kawannya yang setia Kadir Ibrahim membasahi tekak sebelum pulang ke rumah. Macam biasa juga pelayan-pelayannya wanita Indon itu menghidangkan minuman yang juga biasa tanpa diminta.

Bakri Saleh dan Kadir Ibrahim memang bersahabat baik sudah sekian lama. Kalau ada jodoh anak-anak, mereka akan menjadi bisan pula nanti. Sebenarnya mereka berdua ini adalah bekas askar dan sama-sama bertugas di daerah Temburong sejak tahun sembilan belas enam puluh lima hingga pencen, walaupun mereka ini berasal dari daerah yang berlainan. Setelah pencen mereka sama-sama menentap di Ibu Negara.

“Kenapa kau senyum…?”

“Bila kau nak berubah ni Bakri…”

“Aku tidak ganggu orang, aku cuma suka-suka dan ingin melihat orang-orang yang pergi dan datang dari Tanah Suci itu dengan wajah yang berseri-seri…!”

“Mereka itu kan tetemu-tetamu Allah …”
“Kau tak teringinkah nak ke sana…?” Bakri Saleh sengaja menebak Kadir Ibrahim dengan suaranya yang parau itu.

“Mana ada orang Islam yang tidak bercita-cinta hendak ke sana.” Selamba jawab Kadir Ibrahim.

“Kalau macam itu kita sama-sama pergi tahun depan…!” Bakri Saleh yakin.

“Betulkah kata kau ni Bakri…?” Kadir Ibrahim seperti was-was.

“Apakah selama ini aku bercakap yang tidak betul…” Tempelak Bakri Saleh.

“Bukan pula macam tu…” Kadir Ibrahim mengalah dan diam.

Akhirnya Bakri Saleh menyerahkan segala-galanya kepada Allah dan Bakri Saleh juga sedar pada apa yang selama ini dinantikannya tidak mungkin akan menjadi kenyataan. Bakri Saleh tidak mahu akibat perlakuannya seperti sekarang ini akan menyebabkan anak-anaknya merasa malu dan tertekan. Apa yang diharapkan Bakri Saleh moga Allah akan menggantikan kerugiannya itu dengan ganjaran yang paling besar.

“Maafkan ayah jika selama ini ayah membuatkan kamu merasa malu.”

“Yang penting ayah kami sudah berubah, terima kasih ayah…!” Bakri Saleh menundukkan kepalanya sambil mengepal-ngepal nasinya yang sejak tadi belum disuapnya. Tangan kirinya menyampu matanya yang sudah mula berair itu takut nanti menitik ke dalam pinggannya.

Sejak itu Bakri Saleh sudah banyak berubah. Bakri Saleh cuma berbaju Melayu berkain tajung dan bersongkok hitam jika hendak berjalan-jalan terutamanya ke masjid. Terasa juga hiba dan terharu hati anak-anak Bakri Saleh melihat perubahan ayah mereka itu.

“Kalau ayah nak pakai gamis pun tidak ada salahnya ayah…” Anak Bakri Saleh yang sulung cuba-cuba untuk menyelamatkan keadaan dan mengambil hati ayahnya.

Bakri Saleh diam dan akan melupakan segala apa yang berlaku termasuk wangnya yang sudah hangus tanpa api dan asap itu. Apa yang dikehendakinya sekarang adalah keterampilan original dirinya sebagai Bakri Saleh di mata masyarakat dan juga anak-anaknya.

Bakri Saleh tidak mahu masyarakat akan menganggap dirinya gila gara-gara kehilangan wang ringgit. Walaupun wang ringgit itu terlalu mahal harganya. Siapa tidak sayang dengan wang ringgit tapi jika sudah macam itu jadinya, jalan terakhir hanya memulangkan semua itu kepada Allah Yang Maha Mengetahuinya.

Sekarang Bakri Saleh tidak mengharapkan sangat sumbangan yang dihulurkan oleh anak-anaknya. Dengan lebihan wang pencennya setiap bulan dan pencen umurnya kurnia Kebawah Duli yang berjumlah dua ratus lima puluh ringgit itu akan dikompolnya untuk menunaikan hasratnya yang terkandas itu.

Sekali lagi di luar ruang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa itu penuh sesak oleh sanak saudara dan sahabat andai serta kawan-kawan yang menyambut kepulangan jemaah haji dari Tanah Suci.

Nasrul yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa waktu itu mula tercari-cari seorang lelaki yang lengkap berpakaian Arab seperti biasanya di Lapangan Terbang Antarabangsa itu. Nasrul melihat dicelah-celah orang ramai yang mundar-mandir itu kalau-kalau ada terselit di situ. Lama Nasrul memerhatikannya tetapi lelaki itu tidak juga kelihatan.

Sekunyung Nasrul ternampak lelaki yang dicarinya itu lengkap berpakaian haji dengan wajah yang ceria dan berseri-seri berada di dalam ruang tiba sambil menyurung sebuah teroli yang berisi dua buah beg dan se buah gelen plastik putih tentunya air zamzam melintasi pegawai-pegawai kastam yang bertugas di situ dan keluar yang tidak lama kemudiannya terus dipelok oleh kedua orang anak perempuannya.


0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online