MEKAH TAHUN 1993
Wukuf di Arafah berlalu tiga hari lepas, Awang Kassim kini dikenali dengan Haji Kassim setelah mendapat gelaran haji yang dikurniakan oleh Allah. Satu gelaran yang diperolehinya dengan kecekalan iman dan takwa, bukan dengan budi bicara atau imbalan kerana membuat sesuatu untuk kepentingan peribadi. Alhamdulillah moga hajinya diterima Allah. Amin…!
Esok Haji Kassim akan bertolak ke tanahair meninggalkan Kota Mekah al Mukarramah, kota ibadat yang unik boleh menampung seramai mana umat Islam dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji. Esok pasti Haji Kassim akan berangkat, Insya-Allah…!
Pagi itu Haji Kassim menghayun langkah dengan gagah dan cergas, langkah yang mengandungi makna, makna yang mendalam dijiwanya dan juga di dalam jiwa setiap umat Islam yang berada di Kota Mekah yang padanya terbena Rumah Allah kiblat para muslimin dan muslimat sedunia waktu itu. Haji Kassim berjaya menempuh dugaan dan cubaan dalam mengerjakan ibadat haji, rukun Islam yang ke lima itu.
Haji Kasim menyusur membelah jutaan manusia yang berbagai ragam dan bermacam rupa seperti arus sungai yang deras dengan langkah dan tujuan masing-masing. Sekejap ke kanan sekejap ke kiri dan tiba-tiba berhenti. Begitulah telatah dan palbagai bangsa manusia berjalan tak tentu arah bagaikan ular kena palu, mereka seolah-olah tidak pasti di mana mereka akan berhenti sebenarnya.
“Marhaban…! Marhaban…! Marhaban…!” Pekikan pedagang-pedagang Arab (bukan Arab lokal) sambil menunjukkan barang-barang dagangan mereka yang beraneka rupa. Haji Kassim tidak mengindahkan pekikan itu kerana bukan barang-barang itu yang hendak dibelinya, Haji kassim hendak ke pasar.
“Assalamulaikum!”
“Waalaikumsalam.”
“Numpang nanya pak.”
“Iya…silakan.”
“Pasarnya di mana pak?”
“Maksudnya pasar ikan iya…”
“Betul pak…”
“Di situ…!” Pemuda Indonesia itu dengan hormat dan bersopan menunjukkan arah tempat yang dimaksudkan Haji Kassim...pasar.
“Jauh pak?” Haji Kassim sangsi kalau-kalau tempat itu jauh, maklum saja baru pertama kali menjejakkan kaki di Bumi Mekah al Mukarramah yang suci itu.
“Lumayan…” Pemuda itu bangkit dan terus membawa Haji Kassim menuju ke arah pasar yang dimaksudkan. Pada mulanya timbul juga rasa khuatir Haji Kassim kalau-kalau pemuda itu berlaku serong terhadapnya, tapi cepat Haji Kassim mematahkan sangkaan buruknya itu apabila Haji Kassim ingat bahawa dia berada di Kota Suci sekarang. Haji Kassim beristighfar…
“Bapak dari mana?” Tanya pemuda itu sambil memegang tangan Haji Kassim takut kalau-kalau terlepas.
“Brunei…” Ringkas jawapan Haji Kassim.
“Oo…Brunei Darussalam!” Pemuda itu mengangguk-anggukkan kepalanya tanda gembira seolah-olah baru melihat orang Brunei.
“Betul.” Singkat juga jawapan Haji Kassim.
“Darussalam kaya ya pak!” Seolah ada udang di balik batu.
“Alhamdulillah…semua itu anugerah Allah ke atas negara kami.” Langkah disusun menyusur celahan ragam manusia yang mundar-mandir dengan pelbagai tingkah dan laku bagaikan ‘giuk dalam gantang’.
“Ini pasarnya pak!” Pemuda itu dengan hormat menunjukkanya sekali lagi. Haji Kassim senyum.
“Perlu ongkosnya?” Haji Kassim berbahasa, itulah orang-orang Brunei mudah mesra dan selalu di hormati. Tapi apakah keistimewaannya…?
“Ngak perlu pak…kerana Allah.” Jawab pemuda itu selamba.
“Terima kasih saja…”
“Kembali…” Jawab pemuda itu, mereka bersalaman dan berharap akan berjumpa lagi. Insya-Allah.
“Masya-Allah…!” Keras suara Haji Kassim apabila bahu kirinya dilanggar oleh orang hitam yang berbadan jagau dan kurus melidi itu. Rupa-rupanya Haji Kassim berjalan sambil mengelamun ingatkan kejadian di hari pertama dia berada di Kota Mekah, kota yang panas dan berdebu serta kesesakan manusia palbagai bangsa dan puak dari pelusuk dunia itu, tapi amat mengasyikkan. Rasa-rasanya Haji kassim tidak mahu pulang, tapi apakan daya Haji Kassim orang Brunei wajib balik ke Brunei juga.
“Haj…!” Panggilan biasa di kota itu. “Ini satu kilo berapa?” Haji Kassim bercakap seorang diri, pedagang itu tidak ambil indah, dia sebuk melayani bangsanya sendiri. Memang telatah mereka macam itu, siapa yang tidak mahu mengutamakan bangsa sendiri dari bangsa lain.
“Ya hajjj…!” Suara Haji Kassim keras dan tinggi. Masih tidak dipedulikan, mendidih juga darah Haji Kassim bilamana dia diperlakukan demikian. Rasa-rasa hendak dihempasnya kontena ikan itu, tapi Haji Kassim sedar bahawa dia berada di negara orang apatah lagi di Kota Mekah, kota mulia tambahan pula baru mendapat gelaran haji.
“Kalau di Brunei katauan kau ah…!” Bisik hati Haji kassim, maklum orang Brunei mudah sensitif kalau inda kena peduli.
“Marhaba! Marhaba! Marhaba…!” Pekikan pedagang itu sambil memandang tajam ke wajah Haji Kassim seolah-olah dia terdengar bisikan hati Haji Kassim itu. Itu tidak mustahil apapun boleh-boleh saja terjadi.
“Dua puluh riyal satu kilo.” Pedagang itu bersuara lagi sambil matanya liar memerhatikan orang ramai.
“Antadi ditanya inda kau menjawab, patut kau…” Haji Kassim bercakap seorang diri lagi meluahkan wap panasnya.
“Haj! Ini bagus…bagus! Marhaba! Marhaba! Marhaba…”
“Marhaba tia karang…anu macam tikus karing anipun kan kau jual dua puluh ryial.” Haji kassim memprotes walaupun dia tahu apa yang dicakapkannya itu tidak dimengertikan oleh pedagang itu. Tidak ada pilhan lain walau apapun bentuknya dan bagaimanapun usulnya, namun ikan tetap ikan dan udang tetap udang yang pentingnya pasti beli kecuali… unta.
“Haj! Fisabilillah…Palestin miskin…Palestin yatim!” Suara perempuan memanggilnya. Baru saja beberapa langkah Haji Kassim meninggalkan pasar itu yang bukan macam pasar, satu lembaga berpakaian hitam menghulurkan tangan kepadanya.
Haji Kassim serba salah, apakah benar wanita itu miskin dan orang pelarian Palestin. Hatinya berbelah bahagi sekarang, sedakah atau tidak. Tapi perempuan itu cantik, Haji Kassim khuatir sedakahnya itu nanti akan berpihak kepada kecantikan dan bukan pada kemiskinan atau kesusahan seperti yang Haji Kassim nampak sekarang. Sedakah seperti ini tidak ikhlas dan amat merugikan.
Tanpa menghulurkan apa-apa Haji Kassim meninggalkan pasar dan wanita itu dengan perasaan yang berkecamuk. Haji Kassim tidak habis fikir lalu menoleh ke belakang, tapi wanita itu sudah hilang di celah-celah padatnya manusia di kota berakah itu.
“Ya Allah! Ampunkanlah hamba-Mu yang telah menzalimi sesama manusia…” Terasa kesal dalam diri Haji kassim, tapi apakan daya kejadian itu telah pun berlaku.
Langkah demi langkah menyusur kesibukan di waktu itu, manakala fikiran kacau bilau belum luput dalam fikirannya, tiba-tiba Haji Kassim terkejut lagi apabila seorang lelaki Pakistan yang masih berpakaian ihram datang dari hadapannya lalu memberi salam. Haji Kassim menjawab salam itu.
“Apakah awak boleh berbahasa Inggeris?”
“Saya cuba.” Jawab Haji Kassim sambil memerhatikan lelaki itu.
“Saya dan keluarga dari Pakistan, lusa kami akan berangkat ke Madinah, tapi kami tidak mempunyai wang.” Jelas lelaki Pakistan itu sambil menyapu kedua belah matanya. Tidak tahu apakah dia menangis atau cuma habuk masuk ke dalam matanya.
“Jadi awak kehilanagan wang?” Haji Kassim menerka maksud lelaki itu.
“Iyah…benar, bolehkah awak tolong kami?” Pinta lelaki Pakistan itu penuh berharap. Lagi sekali Haji Kassim serba salah. Mengapa aku terjumpa dengan orang-orang serperti mereka ini…? Apakah ini juga merupakan satu cubaan mahupun dugaan…Haji Kassim sasak.
“Maaf…saya tidak dapat menolong awak, saya juga mengerjakan haji.” Haji Kassim tidak dapat berbuat apa-apa, perasaannya sekarang benar-benar keruh lebih keruh dari teh tarik.
Tanpa berkata apa-apa pemuda Pakistan itu beredar dengan perasaan hampa. Haji Kassim meneruskan perjalanannya ke tempat tinggalnya yang cuma beberapa langkah lagi akan sampai itu.
Langkah demi langkah diatur terasa sendi-sendi lututnya sudah tidak bersambung lagi. Haji Kassim semakin lemah dan tempat tinggalnya terasa semakin jauh, badannya ringan dan akan terbang bila-bila masa ditiup angin.
Dalam hatinya tetap memuji kebesaran dan keagungan Illahi. Seperti biasanya Haji Kassim membeli sebotol air menaral sebelum naik, tiba-tiba Haji Kassim tersentak apabila wang riyalnya sudah tidak ada.
0 Comments:
Post a Comment