GRAM: MUZIK PENGENALAN (PEMBUKAAN)…..
ANN: Bahagian Melayu Radio Brunei menghidangkan sebuah drama radio berjodol ‘Dalam Hati Ada Rindu’ tulisan…..
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…..
RUSDI: (PERLAHAN) Ayah…mengapa ayah lakukan semua ini..?
SALIM: Ayah lakukan ini adalah untuk kebaikan kamu adik beradik.
RUSDI: Untuk apa lagi ayah…selama ini ayah telah pun memberikan yangterbaik untuk kami berdua.
SALIM: Itu betul…(pause) Tapi ayah merasakan perjalanan hidup ayah sekarang ini tidak begitu tenang.
RUSDI: Apa maksud ayah..?
SALIM: Sebelum ayah menutup mata…ayah ingin membahagikan semua harta ayah kepada kamu berdua, supaya kamu tidak bertengkar jika ayah sudah tidak ada nanti.
RUSDI: Kami akan lakukan apa saja untuk ketenangan ayah. Tapi bukan macam ini ayah.
SALIM: Ayah tau kamu adalah anak-anak yang baik. Ayah ingin mencari ketenangan dan menghirup udara bersih di kampung.
RUSDI: Di sini ayah juga boleh berehat dan menikmati suasana pencen ayah dengan tenang.
SALIM: Kampung dengan bandar lain Rusdi, di kampung udara bersih suasananya tenang…aman damai. Itulah yang ayah inginkan.
RUSDI: Apa nanti kata kawan-kawan jika ayah berjauhan dari kami dan tinggal di kampung bersendirian.
SALIM: Ini adalah janji-janji ayah pada arwah ibu kamu dulu, jika dia tidak ada ayah akan serahkan harta-harta ayah kepada kamu berdua.
RUSDI: Kami bersyukur punya ayah yang ada wawasan masa depan, tapi rasa-rasanya kurang tepat jika ayah berbuat demikian. Apa pun kami ingin bersama ayah.
SALIM: Ayah tau…tapi berilah ayah peluang untuk menikmati sedikit sisa-sisa hidup ayah dalam suasana damai di kampung.
RUSDI: Jangan cakap macam tu ayah…kami akan sentiasa berada di sisi ayah.
SALIM: Kamu sudah dewasa dan berumah tangga, hiduplah dalam rumah tangga sendiri tanpa bergayut dengan orang tua.
RUSDI: Selama ini kami belum memberikan apa-apa untuk ayah, kami tidak mau menjadi anak yang durhaka ayah…
SALIM: Ayah tidak perlukan balasan apa-apa, memadailah jika kamu dapat mengemudikan bahtera kamu sendiri. Ayah akan sentiasa merestuinya.
RUSDI: Apa pun ayah…kita harus bincangkan dulu sebelum ayah mengambil keputusan.
MUZIK: MUZIK SELINGAN…..
SALIM: Mira harus faham perasaan ayah…ayah tidak bermaksud untuk meninggalkan kamu.
MIRA: Mengapa ayah beria-ia hendak tinggal di kampung ayah. Kami kan ada di sini, kita tidak kurang satu apa pun ayah.
SALIM: Bukan pasal itu Mira…ayah inginkan ketenangan sebelum hari akhir ayah tiba. Ayah terlalu rindu dengan ibu kamu, biarlah ayah hidup sendirian dalam ketenangan.
MIRA: Ketenangan ada di mana-mana ayah…walau bukan di kampung. Di sini pun ayah akan mendapat ketenangan sebagaimana yang ayah inginkan.
SALIM: Tapi ini lain Mira…kamu tidak akan faham dan mengerti apa yang ada dalam hati orang tua seperti ayah. Ayah merindui sesuatu yang kamu tidak akan dapat memberikannya.
MIRA: Katakanlah apa yang ayah mau kan, kami akan berkorban apa saja untuk ayah, di dunia ini cuma ayah yang ada dalam hidup kami.
SALIM: Ayah mengerti semua itu. Tapi ayah terasa dipanggil untuk pergi ke kampung itu. Kerinduan dalam hati ayah akan berbaloi di sana.
MIRA: Apa yang ada di kampung itu ayah..?
SALIM: Ayah akan memperolehi banyak ketenang dan kedamaian. Di kampung itulah suka duka ayah bersama ibu kamu.
MIRA: Itu bukan kampung kelahiran ayah.
SALIM: Ayah tau…kampung itu telah lama ayah tinggalkan, cuma ibu mu yang tau perit jerih yang ayah lalui.
MIRA: Mira tidak faham apa yang ayah maksudkan. Cantik sangatkah kampung itu ayah..?
SALIM: Ketenangan bukan terletak pada kecantikan Mira, suasanalah yang banyak mempengaruhi dalam apa-apa pun kehidupan kita.
MIRA: Jadi ayah akan tetap teruskan juga rancangan ayah itu.
SALIM: Insya-Allah…kamu jangan bimbang. Ayah tak apa-apa…
MIRA: Tapi ayah nak tinggal rumah mana..?
SALIM: Rumah sewa..!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
RUSDI: (TERPERANJAT) Apa..! Ayah hendak tinggal di rumah sewa..?
MIRA: Iyalah...! Abang tu macam tak percaya pula.
RUSDI: Inilah yang membuat abang pening.
MIRA: Kita harus buat sesuatu bang.
RUSDI: Nak buat apa lagi..?
MIRA: Kita bawa ayah jumpa doktor…
RUSDI: (TERPERANJAT) Jumpa doktor..? Mira larat-larat nak bawa ayah jumpa doktor ni kenapa..?
MIRA: Mira tidak bermaksud buruk bang…kita ambil langkah berjaga-jaga.
RUSDI: Boleh tak Mira cakap terus terang pada abang, jangan pakai-pakai simbolik macam ni…abang tak fahamlah.
SALIM: (MENYAMPUK) Ayah tak mau kamu memikirkan sangat tentang diri ayah. Ayah tak sakit apa-apa…
MIRA: Maafkan Mira ayah…
RUSDI: Rusdi juga minta maaf ayah…kami belum tau apa tujuan ayah sebenarnya. Kami seolah-olah bersalah terhadap ayah selama ini.
SALIM: Kamu tidak berbuat apa-apa kesalahan pada ayah mau pun arwah ibu kamu. Ayah ingin berehat jauh dari keriuhan kota.
MIRA: Apa nanti kata orang ayah…ayah mempunyai anak-anak, ada-ada saja nanti tohmahan yang akan dilemparkan ke atas kami.
SALIM: Jangan terlalu memikirkan apa kata orang Mira, mereka tidak akan ikut susah jika kita menderita.
RUSDI: Kalau semua itu yang terbaik buat ayah, kami tidak dapat berbuat apa-apa. Cuma kami sedih ayah…
SALIM: Kampung dan bandar di nagara kita ini tidak kemana jauhnya, kamu boleh melawat ayah pada bila-bila waktu saja.
RUSDI: Jika ayah berubah fikiran nanti untuk pindah bersama kami, ayah beri tau kami secepatnya.
SALIM: Ayah akan tinggal bersama driver ayah nanti.
MIRA: Jika ayah pindah nanti Mira boleh tolong kemaskan barang-barang ayah.
SALIM: Pergilah balik…nanti terlewat kamu mengambil anak-anak di sekolah.
RUSDI: Kami balik dulu ayah…
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
LEMAN: (MEMBERI SALAM).
SALIM: (MENJAWAB SALAM).
LEMAN: Baru pindah nampak..?
SALIM: Iyah…baru semalam.
LEMAN: Yang tadi tu anak-anak kah..?
SALIM: Iyah…(PAUSE) Oh..! Saya lupa…saya Salim, orang panggil ustaz…
LEMAN: Saya pun minta maaf juga kerana tidak panggil ustaz…
SALIM: Tak mengapa…itu semasa saya mengajar tapi sekarang sudah pencen.
LEMAN: Saya Leman…
SALIM: Penduduk asal kampung ini..?
LEMAN: (SEDIKIT BERJENAKA) Iyah…lahir di sini…besar di sini dan tinggal pun di sini.
SALIM: Saya pernah mengajar di sekolah kampung ini, kira-kira tiga puluh tahun dulu.
LEMAN: Mungkin masa itu saya berada di luar negeri, kerana itulah saya tidak pernah nampak ustaz.
SALIM: Silakan naik…di atas lebih seronok berbual.
LEMAN: Tak mengapalah ustaz…lain kali saja, ustaz pun banyak lagi yang nak dikemas.
SALIM: Tak mengapa…barang-barang saya tu pun bukan banyak sangat. Terima kasihlah kerana sudi berbual dengan saya.
LEMAN: Apalah susah sangat nak berbual ustaz. Jika ustaz hendakkan pertolongan apa-apa…jangan segan-segan beritau saya.
SALIM: Terima kasih…(pause) Kata tadi pernah keluar negeri…dalam jurusan apa..?
LEMAN: Saya pernah menuntut di Mesir. Belum sampai satu tahun ayah saya meninggal, saya terpaksa berhenti untuk menguruskan perniagaan ayah saya.
SALIM: Sekarang dalam bisnes apa..?
LEMAN: Bidang pembuatan makanan…sedikit-sedikit juga menguruskan pengeksportan ke luar negeri.
SALIM: Kalau macam tu baguslah…kita pun masih kekurangan pengeluar barangan yang betul-betul dipercayai halal.
LEMAN: Tapi sekarang saya sudah serahkan bulat-bulat usaha itu kepada anak-anak saya…(pause) Nampaknya perbualan kita dah melarat-larat ni ustaz…saya minta diri dulu.
SALIM: Senang-senang datang ke sini…saya pun dah macam tak kenal dengan orang-orang kampung ni.
LEMAN: Insya-Allah...!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
RUBIAH: Nampaknya bang Leman seronok berbual dengan orang baru..?
LEMAN: Inilah yang membuatkan abang Leman cemburu tak habis-habis hingga ke akhir hayat.
RUBIAH: Ke situ pula..? Hal-hal lain tak ada lagi kah abang Leman..?
LEMAN: Abang Leman yang terpacak sekian lama di kampung ini, Rubi tak pernah tanya, ini baru sehari dua orang lain datang Rubi dah sebok.
RUBIAH: Abang Leman marah kah..?
LEMAN: Abang Leman tak akan marah kalau Rubi yang punya hal, cuma ada rasa panas sikit.
RUBIAH: Abang Leman tu kalau tak usik Rubi memang tak lengkap hidup.
LEMAN: Kalau bukan pada Rubi siapa lagi. Rubi pun tau hidup abang Leman sekarang ni macamana…macam bukan orang tau..!
RUBIAH: Sudahlah jangan nak berlawak dengan Rubi…tak lucu.
LEMAN: Itulah jika abang Leman serious cakap pasal hal kita, Rubi sengaja saukkan ke tempat lain…
RUBIAH: Abang Leman…Rubi ni kan janda, abang tak malukah ambil janda macam Rubi ni..?
LEMAN: Abang Leman tau…tapi janda Rubi bukan sebarangan, janda ada benda.
RUBIAH: Abang Leman sengaja tak mau bagi tau Rubi siapa dia itu.
LEMAN: Dia dari bandar nak beralih angin di kampung ni…katanya nak menenangkan fikiran.
RUBIAH: Siapa namanya Abang Leman..?
LEMAN: Pasal tanya nama inilah darah abang Leman naik sekali ganda ni.
RUBIAH: Janganlah sampai macam tu abang Leman…kita kan dah jadi sekampung.
LEMAN: Namanya Salim…tapi dia lebih suka dengan panggilan ustaz.
RUBIAH: Dia seorang ustaz...?
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
RUBIAH: (MEMBERI SALAM).
SALIM: (MENJAWAB SALAM).
RUBIAH: Rajin ustaz berkerja..! Tak sakit tangan kah pegang cangkul..?
SALIM: Apalah beratnya cangkul ni…ini pun suka-suka saja.
RUBIAH: Ustaz seorang sajakah tinggal di sini..?
SALIM: Bersama driver saya…(pause) Kamu ni nak kemana..?
RUBIAH: Saya nak menghantar anak saya mengaji di rumah kawan saya sana tu.
SALIM: Oh..! Jadi di sini pun ada kelas mengaji setiap hari jumaat..?
RUBIAH: Macam tulah ustaz…
SALIM: Kalau macam tu kampung ni belum ada suraulah..?
RUBIAH: Maafkan saya ustaz…saya jalan dulu nanti terlambat pula.
SALIM: Baiklah…
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
MIRA: Ayah macamana sekarang..?
SALIM: Alhamdulillah…ayah ada banyak kawan dengan berunding dan berbincang.
MIRA: Kawan-kawan lama ayah dulu tu ada kenal ayah tak..?
SALIM: Adalah seorang dua…(pause) Rusdi tak ikut sama..?
MIRA: Tadi Mira dah telefon bang Rusdi…katanya dia ada kerja sikit, barangkali esok dia ke sini.
SALIM: Tak mengapalah yang penting kamu sihat…anak-anak bagaimana..?
MIRA: Mereka sihat ayah…(pause) Ayah…boleh Mira tanya sikit..?
SALIM: Dah lebih tiga bulan ayah di sini baru nak tanya sesuatu pada ayah.
MIRA: (TERAGAK-AGAK) Bukan macam tu ayah…tadi Mira nampak seorang perempuan lalu dan bercakap-cakap dengan ayah…
SALIM: Kesitu rupanya…entahlah ayah pun tak kenal, kebetulan dia melintas di sini nak menghantar anak dia mengaji katanya.
MIRA: Ada apa-apa kah ni ayah..?
SALIM: Usy..! Kamu ni Mira…jangan pula nak menambah beban ayah ini.
MIRA: Maafkan Mira ayah…Mira tu sengaja nak tanya saja.
SALIM: Dalam hati ayah ini cuma ibu kamu yang ayah rindukan.
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
LEMAN: Sebenarnya Rubiah tu janda tak bersanding ustaz…
SALIM: Ada-ada sajalah kamu ni Leman…saya belum pernah dengar perkataan macam tu.
LEMAN: Suami dia meninggal dalam perjalanan hendak bersanding. Dan sekarang dia sudah lama menjadi janda.
SALIM: Katanya budak lelaki tu anak dia.
LEMAN: Itu anak adiknya ustaz, dijadikan anak angkat…(pause) Mengapa ustaz tanya..? Kalau apa-apa saya boleh tolong, dapat juga saham mendirikan masjid ustaz…
SALIM: Saya suka-suka tanya saja…lagi pun saya ni dah tua, tak ada waktu untuk semua itu.
LEMAN: Jangan marah ustaz…dia tu sebenarnya keras hati, walau nampak jinak…bak kata orang jinak-jinak merpati.
SALIM: Macam lain bunyinya…kamu ada hati kah dengannya..?
LEMAN: Itu dulu ustaz tapi sekarang semua itu sudah lama berlalu…(pause) Oh..! Bincang-bincang kita ni pun dah jauh ustaz…
SALIM: Tak mengapa itu kan perkara yang baik…nampaknya kamu belum ada jodoh.
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
MIRA: Mira rasa tak sedaplah bang…
RUSDI: Ini tentu mengenai ayah…apa yang terjadi pada ayah..?
MIRA: Hari tu Mira ternampak seorang perempuan bebual-bual dengan ayah di kebun belakang rumahnya tu.
RUSDI: Kalau setakat berbuat itu perkara biasa.
MIRA: Tapi bang kita tak tau siapa perempuan itu…jangan-jangan dia nak rampas ayah dari tangan kita tak…
RUSDI: Jadi Mira ingat ayah kita tu barang rampasan..?
MIRA: (KERAS SIKIT) Mira tak berguru ni bang...!
RUSDI: Iyalah…tapi kita nak buat macamana, takkanlah ayah nak buat perkara sumbang macam tu. Ayah kita tu kan seorang ustaz.
MIRA: Baik kita siasat perempuan itu bang. Jika terjadi sesuatu perkara kita juga yang susah nanti.
RUSDI: Kalau ayah tau kita berbuat demikian nahas kita nanti. Ayah kan dah kata dulu, dia tinggal di sana tu nak tenangkan fikiran.
MIRA: (LEMBUT) Itu Mira tau bang…Mira khuatir nanti ayah akan tinggal sehelai sepinggang oleh perempuan itu.
RUSDI: (AGAK KERAS) Jangan prasangka buruk pada orang lain, dosa besar tau..!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
LEMAN: Sekarang baru saya faham maksud dan tujuan ustaz ke sini. Apa yang ustaz lakukan itu sungguh murni.
SALIM: Itulah hajat yang membawakan saya ke mari disamping rindu dalam hati saya ini. Kerana di sinilah bermulanya kehidupan saya.
LEMAN: Kebetulan pula di kampung ini belum ada Surau untuk kegiatan keagamaan. Saya yakin penduduk di sini menyambut baik cadang ustaz itu. Saya berjanji akan membantu dalam apa jua yang diperlukan.
SALIM: Terima kasih…kerjasama dari masyarakat kampung ini adalah sangat-sangat penting dalam menjayakan rancangan saya ini. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa memberkati setiap amal kebajikan yang kita lakukan.
LEMAN: Selama ini pun saya tertanya-tanya siapa pemilik tanah kosong di situ. Sekarang baru saya tau rupa-rupanya tanah itu bakal memberikan keselesaan pada penduduk kampung ini.
SALIM: Itulah satu-satunya tanah milik arwah adik saya…sekarang saya telah menunaikan amanat yang diserahkan kepada saya.
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
RUBIAH: Tunggu siapa ustaz..?
SALIM: Tunggu Leman…katanya nak ke bandar jadi kita nak pergi sama-sama.
RUBIAH: Dengar-dengar ustaz nak buat surau..?
SALIM: Insya-Allah jika diizinkan…
RUBIAH: Perkara yang baik itu sentiasa diberkati Allah.
SALIM: Saya berterima kasihlah kepada penduduk-penduduk kampung ini kerana memberikan kerjasama pada saya…(pause) Rubiah nak kemana..?
RUBIAH: (AGAK TERKEJUT) Ustaz dah tau nama saya..?
SALIM: Saya kan dah enam bulan tinggal di sini.
RUBIAH: Oh iya..! Kita tak terasa masa berlalu begitu cepat…(pause) Sebenarnya saya nak pergi ke rumah kawan, nak tolong jahitkan baju dia.
SALIM: Jadi Rubiah pandai menjahit..?
RUBIAH: Sikit-sikit…tolong kawan saja.
SALIM: Kenapa tak buka kedai jahit…pendapatannya pun agak lumayan juga.
RUBIAH: Ada juga buka kedai jahit...tapi dalam rumah biasa saja…
SALIM: Itu pun Leman…
LEMAN: (MEMBERI SALAM).
SALIM: (MENJAWAB SALAM).
LEMAN: (SEAKAN MENGEJEK) Bukan main mesra perbualan..?
SALIM: Kebetulan mengisi masa kosong tengah menunggu kamu, kita berbuallah sikit pasal perniagaan.
LEMAN: Jangan marah ustaz saya tu cuma bergurau…
RUBIAH: (AGAK MALU) Baiklah ustaz…abang Leman…Rubi jalan dulu.
LEMAN: Baik-baik berjalan…jika Rubi jatuh panggil abang Leman.
SALIM: Mengapa kamu tak teruskan projek kamu yang baik tu, nampaknya kamu berdua tu serasi.
LEMAN: Niat hati macam tulah ustaz…tapi nampak-nampaknya belum ada jodoh. Lagi pun saya ni dah berumur…
SALIM: Bak kata orang kita…kalau jodoh nanti tak akan kemana..!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
SPOT: BUNYI KERETA BERJALAN…BIARKAN…..
SALIM: Saya tidak mau anak-anak saya terlalu manja. Harta benda semua itu tidak ada gunanya bagi saya lagi.
LEMAN: Ustaz mempunyai fikiran yang jauh ke depan dan mengambil berat tentang anak-anak, walau pun mereka sudah berumah tangga.
SALIM: Saya tidak mau nanti mereka akan bergaduh pasal harta warisan, kerana itulah awal-awal lagi telah saya berikan mengikut hak masing-masing. Saya boleh hidup dengan pencen bulanan saya.
LEMAN: Anihnya mengapa pula ustaz tinggal di rumah sewa..? Rumah ustaz kan ada di bandar.
SALIM: Rumah tu telah saya wakafkan kepada anak-anak yatim dan yang lainnya saya berikan kepada anak-anak sebuah seorang.
LEMAN: Saya tidak terfikir begitu ustaz…
SALIM: Kiranya takdir saya sudah sampai, tidak ada apa-apa lagi yang nak difikirkan oleh anak-anak saya.
LEMAN: Jika tiba masanya nanti saya akan membantu serba sedikit pembenaan surau yang ustaz cadangkan itu.
SALIM: Terima kasih Leman…Allah sentiasa melihat akan hamba-hambanya yang menghulurkan sesuatu dengan tangan kanan, sedangkan tangan kirinya tidak mengetahui.
GRAM: MUZIK PENGENALAN (PENUTUP)…..
ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Dalam Hati Ada Rindu’ tulisan…….
==============================================================
PARA WATAK
1 SALIM = ustaz ayah kepada RUSDI dan MIRA
2 LEMAN = kawan ustaz SALIM
3 RUSDI = anak kepada ustaz SALIM
4 MIRA = anak kepada ustaz SALIM
5 RUBIAH. = jiran sekampung.
0 Comments:
Post a Comment