Monday, January 25, 2010

PERSINGGAHAN

LELAKI gempal berkulit hitam sederhana tinggi berumur empat puluh lima tahun itu menoleh lalu menjawab salam lelaki gemuk pendek berkaca mata putih, berkulit kemerahan macam kulit udang berebus yang berumur tiga puluh lapan tahun itu. Mereka bersalaman lelaki gemuk berkulit kemerahan itu tanpa disuruh duduk berdepan dengan lelaki gempal berkulit hitam sambil memandang keliling yang sedikit berkabus.

Tempat itu masih luas dan bersih kerana baru saja dibuka khusus untuk persinggahan bagi orang-orang yang baru saja berpindah sebelum meneruskan perjalanan ke suatu tempat yang kekal dan abadi apabila tiba musimnya nanti. Lelaki gemuk berkulit kemerahan itu mendongak ke atas, langit diselubungi warna jingga dan sedikit warna kelabu, menyebabkan lelaki gemuk berkulit kemerahan itu tidak tahan memandangnya.

“Nampaknya sayalah orang kedua menjadi penghuni tempat ini.”

“Bukan…!” Lelaki gempal berkulit hitam itu menyangkal.

“Tapi apa yang saya nampak sekarang cuma tuan seorang diri?”

“Benar seperti yang tuan lihat itu.”

“Di mana kawan tuan yang lagi satu itu?” Lelaki gemuk berkulit kemerahan ingin tahu.

“Dia keletihan baru saja saya tengking kerana berbuat bising.”

“Sekarang kita bertiga sudah menjadi keluarga, walaupun sebelum ini kita tidak pernah berjumpa.”

“Betul kerana kita tinggal di tempat yang berasingan, apalagi masa untuk berkenalan langsung tidak ada.”

“Memandangkan keadaan tuan begini mungkin tuan ini bukan orang local…?’

“Tuan silap…!” Sekali lagi lelaki gempal berkulit hitam menyangkal.

“Saya minta maaf.” Lelaki gemuk berkulit kemerahan tersipu-sipu.

“Saya local cetezen...” Jelas lelaki gempal berkulit hitam itu.

“Maafkan saya.” Ulang lelaki gemuk berkulit kemerahan itu, belum puas.

“Saya berketurunan India Muslim. Ibu saya orang Melayu jati, lebih tujuh puluh tahun dahulu ayah saya berkahwin dengan ibu saya. Ayah saya berniaga kain dari rumah ke rumah secara hutang.”

“Kalau ayah tuan seorang bisnes tentu tuan juga begitu?”

“Itu juga tidak betul…” Lelaki gempal berkulit hitam menyangkal lagi.

“Kenapa saya sering salah terka...!” Wajah lelaki gemuk berkulit kemerahan itu bertambah merah, terasa malu.

“Saya seorang peguam persendirian. Ibu saya kahwin dengan ayah saya kerana hendak menjelaskan hutang piutang nenek saya yang bertimbun-timbun tidak terbayar. Akhirnya saya lahir…”

“Itulah yang dikatakan kalau sudah jodoh tidak ke mana. Ikan di laut dan asam di darat. Sekarang bagaimana pula tuan menjadi penghuni tempat ini?”

“Sebenarnya saya lahir di kampung ini dan ibu saya juga lahir di sini. Tepat ceritanya datuk dan nenek sayalah yang membuka kampung ini.”

“Apa nama kampung ini?” Lelaki gemuk berkulit kemerahan itu belum habis dengan pertanyaan. Moga rasa malunya akan hilang.

“Kampong Berambang. Sejak dahulu lagi saya berhasrat jika saya mati nanti saya akan berkubur di sini…”

“Nah…! Sekarang hasrat tuan sudah terlaksana. Siapa nama tuan?”

“Nassarudin Syah Golam Khan. Saya mati dalam kemalangan jalan raya.”

“Mungkin tuan Golam menggunakan jalan raya ikut sesuka hati.”

“Saya cukup hormat pada peraturan jalanraya.”

“Tuan Golam kenal pemandu itu?” Lelaki gempal berkulit kemerahan itu asyik dengan pertanyaan demi pertanyaan. Sebatang tubuh mata-mata gelap.

“Tidak…” Pendek jawapan Nassarudin Syah Golam Khan yang sudah mula merasa bosan berbual dengan lelaki gemuk berkulit kemerahan itu.

“Tentu pemandu itu mabuk…” Tebak lelaki gemuk berkulit kemerahan itu lagi.

“Bagaimana tuan tahu pemandu itu mabuk.” Nassarudin Syah Gulam Khan pula bertanya.

“Mungkin akibat pengaruh dadah dan macam-macam lagi.”

“Sudah lama kita berbual tapi saya belum tahu siapa nama tuan?”

Belum sempat lelaki gemuk berkulit kemerahan itu menceritakan perihal dirinya, seorang wanita remaja berusia dua puluh tahun menjerit membuatkan lelaki gemuk berkulit kemerahan itu terkejut lalu memandang Nassarudin Syah Golam Khan dengan mulut yang ternganga.

“Lelaki tak guna…! Aku akan bunuh kau…aku bunuh kau…!”

“Pada mulanya saya kira tempat ini sunyi dan sepi.” Lelaki gemuk berkulit kemerahan itu menyatakan kekesalannya.

“Seperti yang saya katakan tadi, dia sedang berehat dan sekarang dia mula menjerit hingga ke subuh nanti.”

“Sebelum dia berada di sini bagaimana?”

“Sebelum dia tinggal di sini saya merasa aman dan damai, cuma yang kedengaran laungan azan. Tapi sekarang sudah kacau bilau.”

“Saya berketurunan China Muslim. Datuk nenek saya sudah memelok agama Islam kira-kira lebih seratus dua puluh tahun dahulu.”

“Kalau macam itu tuan ini tentu local cetezen juga...”

“Datuk saya dahulu bisnes ruti paun inti hitam. Dia berjalan kaki ke rumah-rumah seperti ayah tuan Golam juga, cuma bezanya ruti tidak boleh hutang…!”

“Sudah tentu tuan juga seorang bisnes siapa pula nama tuan?”

“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi…” Lelaki gemuk berkulit kemerahan itu merasa bangga sebangga-bangganya.

“Tidak sangka tuan pandai berperi bahasa.” Nassarudin Syah Golam Khan memberikan pujian. Sekadar penyaman bahasa.

“Rudy Iskandar Chong. Saya orang kaya raya tapi saya ditangkap dan dihukum gantung kerana mengedar dadah.”

“Tahukah tuan Rudy perbuatan itu berdosa besar.”

“Tahu tapi saya ingin hidup mewah. Saya akui saya berbuat khilaf tapi sudah terlambat akhirnya saya mati di tali gantung.”

“Tuan Rudy mati kojol kerana tidak sempat bertaubat.”

“Tuan Golam seorang peguam tentu boleh tolong saya, saya akan bayar tuan Golam dengan harga yang mahal.”

“Tidak ada tawar menawar di sini, sekarang kita berada di alam persinggahan sebelum pergi ke alam yang abadi.”

“Saya akan bagi tuan Golam cek kosong dan tuan Golam boleh tulis berapa saja angka yang tuan Golam suka.”

“Di sini kita tidak punya harta cuma yang ada selimut putih.”

Belum habis Rudy Iskandar Chong memujuk Nassarudin Syah Golam Khan, mereka dikejutkan dengan ketibaan seorang pemuda yang kurus, berkulit pucat dengan rambut panjang tidak terurus. Berwajah cekong berkaca mata hitam berjalan terhuyung hayang dengan berlumuran darah jatuh di atas pengkuan Rudy Iskandar Chong.

“Astaghfirullahhalazim…!” Nassarudin Syah Golam Khan memegang pemuda berkulit pucat berlumuran darah itu sambil menyandarkan di tepi dinding tidak jauh dari tempat mereka duduk dengan dibantu oleh Rudy Iskandar Chong.

“Apa yang berlaku dan mengapa sampai jadi begini?”

“Saya penagih dadah. Saya cuba lari dari tanggung jawab kerana menghamili kekasih saya, saya melanggar penghadang jalan dan inilah jadinya.”

Nassarudin Syah Golam Khan memandang Rudy Iskandar Chong. Demikian juga Rudy Iskandar Chong memandang Nassarudin Syah Golam Khan. Mereka berdua sama-sama memandang tepat wajah pemuda berkulit pucat yang berlumuran darah itu.

“Kamu berdua pandang saya macam itu mengapa? Tidakkah ada rasa simpati kamu hendak memberikan pertolongan pada saya…?”

“Siapa nama kamu?” Serentak Nassarudin Syah Golam Khan dan Rudy Iskandar Chong mengajukan pertanyaan yang sama. Pemuda berkulit pucat itu menahan kesakitan menampakkan wajahnya yang sudah hodoh itu semakin bida.

“Zulsyamsi Rezwan anak seorang korporat yang sentiasa sibuk mencari harta...”

“Sungguh kamu dalam kerugian kerana umur yang semuda ini kamu gunakan pada perkara yang terkutuk itu.”

“Saya diupah oleh pengedar dadah.” Spontan Rudy Iskandar Chong bergerak hendak meninggalkan mereka. Belum sempat Rudy Iskandar Chong beredar Zulsyamsi Rezwan bersuara.

“Oh…! Kau juga berada di sini, kerana kaulah aku jadi begini…!”

“Mengapa pula kau salahkan aku, aku beri kau upah untuk jual dadah, bukan suruh kau makan dadah. Itu bukan salah aku…!”

Zulsyamsi Rezwan cuba hendak bangun untuk membuat perhitungan terhadap Rudy Iskandar Chong, tapi belum sempat Zulsyamsi Rezwan berbuat sesuatu tiba-tiba wanita remaja itu menjerit lagi.

“Laki-laki tak bertanggung jawab…! Aku berdoa supaya kau cepat-cepat mampus…maaa…tiii…!” Wanita remaja itu kemudian ketawa menghilai-hilai macam cucu anak pontianak.

Zulsyamsi Rezwan terpaku lalu menoleh ke kiri dan ke kanan, memandang ke atas dan ke hadapan, namun wajah yang ampunya suara itu tidak kelihatan. Zulsyamsi Rezwan cukup kenal dengan suara itu.

“Aku kenal suara itu tapi mengapa dia di sini?”

“Dia wanita remaja mati kerana makan ubat berlebihan supaya anak dalam kandungannya cepat lahir. Dia sering menjerit-jerit agar lelaki yang menghamilinya itu lekas mati.”

“Aku berdosa kerana tidak bertanggung jawab.”

“Kamu kenal dia?” Nassarudin Syah Golam Khan pula bertanya.

“Bawa aku ke sana dia Sabariah Mansur kekasihku dan bakal isteri aku.”

Rudy Iskandar Chong dan Nassarudin Syah Golam Khan bangkit dan memapah Zulsyamsi Rezwan untuk berjumpa dengan Sabariah Mansur. Tiba-tiba mereka terhenti apabila terpacak Sabariah Mansur dengan perutnya yang buncit sambil memegang kapak penyancang tulang.

“Aku bunuh diri kerana kau lepas tangan, kau lihat puas-puas perut aku yang buncit ini sebelum kau mati buat kedua kalinya. Aku akan cencang tulang mu macam tulang kerbau…!”

“Sabar jangan bertindak begitu, di sana nanti kita akan menerima habuan masing-masing.” Nassarudin Syah Golam Khan cuba menyejukkan hati Sabariah Mansur yang bila-bila masa saja akan menghayunkan mata kapaknya ke muka Zulsyamsi Rezwan.

“Kalau uncle nak tahu dialah juga orang yang melanggar uncle menyebabkan uncle mati seperti sekarang ini.”

“Saya tahu tapi itu cuma penyebab kematian saya.”

“Tolong selamatkan saya dari mata kapak kekasih saya ini. Saya akan memberikan dadah percuma kepada uncle untuk seumur hidup uncle.”

“Astaghfirullahhalazim…! Dalam keadaan begini pun kamu nak bermain-main dengan najis dadah itu?”

“Jangan pedulikan dia uncle, aku belum puas selagi mata kapak ini belum landing di kepalanya itu. Saya minta uncle jangan campur tangan...”

Nassarudin Syah Golam Khan sudah habis fikir, dia tidak akan campur tangan dalam masaalah peribadi Zulsyamsi Rezwan dengan kekasihnya Sabariah Mansur itu. Sekarang Nassarudin Syah Golam Khan ingin mencari ke mana perginya Rudy Iskandar Chong yang menjadi penyebab semuanya ini. Rudi Iskandar Chong sudah menghilangkan diri entah kemana.

Baru saja Nassarudin Syah Golam Khan melangkah tiba-tiba Zulsyamsi Rezwan menjerit, mata kapak Sabariah Mansur melekat tepat di dahi Zulsyamsi Rezwan. Darah memercik ke muka Sabariah Mansur. Sabariah Mansur ketawa lagi, kali ini ketawanya macam cucu cicit anak pontianak.

“Subahanallah…!” Jerit Abdul Fatah. Pelita Brunei yang dipegangnya bersepah macam surat khabar Haji Bakhil dalam filem Labu dan Labi.

“Eh bang…membacakah atau tidur kita ani…?”

“Astaghfirullahhalazim…! Hilang tia aing sembahyangku… ”

“Mana tia santan ku suruh bali atu, inda karang sampat sungkai ni…”

“Ani nah pasal tajuk yang ku baca di Pelita Brunei ah…!”

Abdul Fatah menunjukkan tajuk yang terpapar di dalam akhbar Pelita Brunei itu kepada isterinya Siti Fatihah. Isterinya membaca tajuk yang dimaksudkan oleh suaminya itu. ‘…Jenazah warga India dikebumikan di tanah perkuburan berdaftar pertama…’

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online