Tuesday, January 5, 2010

DI HUJUNG KENANGAN

Lagi dua minggu perayaan akan bermula. Atuknya sudah membooking Akbar untuk membawanya sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke 23 tahun. Atuknya ingin sama-sama bermandikan cahaya lampu neon yang beraneka rupa dan warna, kerana sudah lama dia tidak turun ke bandar disebabkan kesihatannya.

Akbar pada mulanya enggan juga untuk membawa atuknya. Maklum kalau membawa atuknya pergi ke mana-mana, dia terpaksa membawa kerusi roda untuk keselesaan atuknya itu. Tapi apabila dia mengingatkan ada nanti yang dihulurkan oleh atuknya, maka semangatnya jadi kuat dan berkobar-kobar. (Ikhlas dari atuknya).

Atuknya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menyaksikan perayaan yang amat bersejarah itu. Bersejarah bagi negaranya yang sudah merdeka dan berdaulat.. Bukan saja untuk dirinya seorang malah juga untuk seluruh rakyat maupun penduduk yang kini merasa bangga bernaung di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan aman makmur.

“Kata doktor atuk tak boleh berembun lama-lama kita pergi sekejap sajalah.”

Akbar bimbang juga dengan kesihatan atuknya, maklumlah atuknya kini sudah menjangkau usia lapan puluh tiga tahun dan sering pula sakit-sakitan Atuknya tidak membantah cuma angguk-angguk kepala tanda bersetuju.

Malam pertama perayaan bermula Bandar Seri Begawan selain bermandikan cahaya cucul yang berkedipan, juga seolahnya tidak mempunyai ruang kosong untuk menyelitkan badan. Semua golongan tua muda apa lagi kanak-kanak nampak sangat ceria pada malam itu.

Gerai-gerai jualan juga tidak ketinggalan untuk mempamirkan beraneka rupa jualan masing-masing. Walau pun rasanya belum tau bagaimana. Para peniaga memang disirami rezeki pada malam itu.

Atuknya cuma ingin bersantai di taman tengah ibu kota itu untuk menikmati keindahan panorama malam itu. Atuknya duduk atas kerusi roda dengan menghala pandangan antara Masjid dengan Yayasan yang tersergam indah. Akbar memerhatikan pandangan atuknya yang amat tajam kepada dua objek ini.

“Kenapa atuk pandang macam tu?” Akbar sedikit hairan.

“Atuk teringat dan terbayangkan Kampong Sultan Lama.”

“Semua itu kan sudah berlalu tuk…!” Akbar seperti tidak ambil kisah.

“Tapi sekarang kampung itu sudah ranap dijilat api, tidak ada apa-apa kesan untuk ristaan jenarasi yang akan datang.” Atuknya dengan nada kesal.

“Sekarang sudah ada penggantinya tuk…!”

“Atuk tau…tapi kejadian itu masih hidup dalam ingatan atuk”.

“Itulah namanya pembangunan tuk, tidak semestinya yang lama itu dikekalkan, jika perlu dia akan diubah suai mengikut keadaan semasa.” Akbar mengeluarkan secebis buah fikirannya.

Atuknya diam. Dalam fikiran atuknya berputar ligat setiap inci peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan hidupnya hingga ke hari ini. Dalam usianya yang selanjut itu terlalu banyak pahit maung yang dirasainya. Ketika dia berada di tengah-tengah ibu kota itu, dia seakan tidak percaya bahawa itulah Bandar Brunei yang sekarang bergelar Bandar Seri Begawan.

Atuknya juga amat bersyukur kerana Allah telah meminjamkan usia yang selanjut itu untuk menikmati keindahan dan keamanan sejak atuknya berusia dua puluh tiga tahun lagi setelah tamatnya perang dunia kedua.

“Akbar ingat umur Akbar berapa sekarang?” Atuknya memecah kesunyian.

“Dua puluh tiga tahun tuk.” Selamba saja jawapan Akbar.

“Hari ini juga usia negara kita merdeka selama dua puluh tiga tahun.”
Atuknya mengingatkan Akbar walaupun Akbar sudah ingat. Akbar tidak akan lupa kerana pada setiap tahun dia juga ikut serta mengambil bahagian dalam apapun persembahan.

“Akbar beruntung kerana lahir pada saat negara mencapai kemerdekaan.”

“Apa keistimewaannya tuk…?” Akbar sengaja bertanya.

“Itu yang dikatakan anak merdeka…Akbar bertuah…”

Atuknya diam. Akbar juga diam. Orang ramai asyik ke hulu ke hilir mengejar anak-anak kecil mereka yang berkejaran dan bermain bola di taman itu. Atuknya teringat taman yang tempat dia duduk sekarang ini dulunya kecil.

“Akbar tahukah tempat kita berada sekarang ini dulu apa namanya?”

“Kata ayah dulu dia pernah bermain bola sepak di sini, ketika menentang pasukan Selangor, tapi Akbar lupa apa namanya.” Akbar membiut-biutkan muka dan mulutnya untuk mengingati sesuatu.

“Inilah Padang Besar sebelum di tukar namanya seperti sekarang…”

Akbar mengangguk-anggukkan kepalanya bahawa nama itulah yang hendak disebutnya sebentar tadi. Atuknya diam lagi yang seakan menggumpul kembali semua ingatannya pada masa-masa yang lalu.

Kini negara pesat membangun. Di sana sini nampak perubahan yang amat ketara. Semua ini adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang bernaung di bawah panji-panji Brunei Darussalam. Tidak memadai kalau cuma bersyukur jika tidak disertai dengan usaha-usaha yang berkebajikan.

“Akbar jika sudah bekerja nanti, curahkan jasa dan bakti dengan jujur dan ikhlas. Bekerja kerana Allah nescaya akan memperolehi keberkatannya.” Atuknya memberi nasihat. Akbar angguk kepala lagi. Atuknya puas kerana cucunya mendengar kata-katanya.

Akbar merasa letih. Atuknya tau Akbar sudah nampak lain macam. Atuknya mengeluarkan wang pelastik berwarna merah, secepat helang Akbar menyambar dan meluru ketempat orang yang berjualan di situ. Atuknya tinggal keseorangan sambil meratah kenangan lamanya.

Api semakin marak menghilai. Kepolan asap yang pekat itu begitu tajam masuk ke dalam lobang hidungnya. Hj Halim terbangun dari tidur dan terkejut apa bila api sudah marak menjilat lebih separuh rumahnya.

Hj Halim tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda dalam kejadian itu. Tambahan lagi isterinya sudah pengsan kerana terhidu asap api yang pekat itu. Hj Halim sedaya upaya menyelamatkan isterinya kerana api begitu cepat merebak.

Dengan pertolongan orang ramai isteri Hj Halim berjaya diselamatkan dan dibawa ke Rumah Sakit. Tapi malangnya Allah lebih menyayangi isterinya, isteri Hj Halim meninggal dunia setelah tiga hari berada di Rumah Sakit.

“Tuk…!” Akbar memanggil atuknya.

Atuknya terjaga dari lamunan sambil memandang kiri dan kanan. Rupa-rupanya atuknya sedang dibuai kenangan lama ketika rumahnya ranap dijilat api ketika kebakaran besar berlaku di Kampong Sultan Lama satu ketika dulu. Tapi sekarang sudah musnah dan tidak nampak apa-apa yang cuma tinggal kenangan yang menyayukan.

“Kita balik tuk…?” Akbar bertanya dan sekali gus mengajak pulang.

“Akbar masih berudhu?” Akbar hairan tapi mengangguk.

“Atuk nak berikan barang ini untuk Akbar…”

Cepat bola mata Akbar melihat bungkusan yang dipegang oleh atuknya itu.

“Untuk apa tuk…?” Sengaja Akbar memancing.

“Ulang tahun Akbar yang ke dua puluh tiga tahun hari ini, juga sempena dengan kemerdekaan negara kita yang ke dua puluh tiga.” Atuknya mengesat matanya walau tidak berair.

Atuknya menghulurkan bungkusan itu dan Akbar menyambutnya dengan penuh misteri. Akbar memandang rasut wajah atuknya yang sudah cekong itu dengan pandangan yang sayu dan hiba. Akbar memang sayang pada atuknya, tapi bukan kerana dia sering mendapat laba dari atuknya itu.

Akbar begitu kagum dan bersyukur kerana dalam usia atuknya yang selanjut itu sempat menikmati rempah ratus kemajuan yang dicapai selama seratus tahun seperti sekarang ini. Atuknya sempat melihat dan merasakan palbagai rentak dan irama pembangunan yang semakin mencabar ketika ini.

Akbar tidak sabar lagi untuk mengetahui apa isi bungkusan itu. Dengan palbagai andaian dan hati yang berdebar-debar Akbar membukanya. Akbar merasakan sedetik keheningan dalam kesebukan manusia yang riuh rendah itu apabila melihat apa isi bungkusan itu.

Sebuah kitab suci al Quran. Akbar mengucup dan menjunjung al Quran itu.

Akbar mengucapkan terima kasih sambil mencium tangan atuknya. Tiba-tiba badan Akbar terasa seram sejuk. Dia betul-betul tidak tau apa yang hendak dilakukannya ketika itu. Pada saat-saat akhirnya Akbar meraung di tengah-tengah orang ramai itu sambil memeluk atuknya yang sudah tidak bernafas lagi.








0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online