Tuesday, January 5, 2010

AFIQAH SYAKIRAH

Siapa pun akan pasti mengharapkan perjumpaan dari sebuah perpisahan yang agak lama itu, akan dapat memberikan sedikit sumbangan sebagai tenaga baru dalam proses untuk melanjutkan upacara perjalanan hidup hingga ke hujung penentuan yang sudah ditentukan oleh takdir.

Yang bernama kesibukan itu iya atau tidak sedikit sebanyak akan menyumbang kealpaan manusia untuk mengingati teman atau kawan walaupun sebelum ini begitu akrab umpama belangkas yang seolahnya tidak akan terpisah hingga ke hujung nyawa.

Lebih empat tahun mereka berpisah belum pernah berjumpa hingga saat dia menerima sms pagi itu, walaupun masa terkini yang banyak kemudahan-kemudahan tercanggih. Cuma sekali-sekala di awal perpisahan mereka berbual dalam telefon pada waktu-waktu yang tertentu, maklum sajalah pada peringkat pertama perpisahan.

Awal pagi lagi sebelum takbir raya bergema Afiqah Nazirah menerima mesej pertama dari kawan lamanya Syakirah Bariyah yang menawarkan rumah terbuka dua puluh empat jam bermula dari jam sepuluh pagi.

Afiqah Nazirah dan Syakirah Bariyah macam tangan kanan dan tangan kiri, walaupun mereka bertugas berlainan pejabat tapi mereka sering bersama-sama. Minum pagi mahupun petang misalannya. Umum tahu hidup itu memerlukan kawan mahupun teman, tapi kenalah memilih kawan yang benar-benar boleh menolong apabila berada di dalam palbagai situasi yang tidak mengizinkan.
Sejak Syakirah Bariyah bertukar ke daerah lain mereka sudah macam tidak ada apa-apa hubungan lagi. Tambahan pula dibebani dengan tugas-tugas dan tanggung jawab harian yang wajib dilaksanakan mengikut ganjaran yang diperolehi.

Itulah namanya kewajiban insan yang sering dibaluti dengan palbagai tugasan secara langsung terikat dan diikat dengan tanggung jawab yang sudah diletakkan di atas bahu masing-masing memaksakan untuk melupakan pada apa yang cuma digelar kawan.

Tahun pertama mereka berpisah Afiqah Nazirah berkunjung ke tempat tinggal Syakirah Bariyah, tapi malangnya Syakirah Bariyah sudah berpindah hinggalah pada hari raya pertama itu baru Afiqah Nazirah mengetahui di mana alamat Syakirah Bariyah seperti dalam sms yang diberikannya itu.

Pagi itu Afiqah Nazirah sudah mengatur rancangan hedak pergi ke rumah Syakirah Bariyah sebagaimana yang diterimanya melalui sms semalam. Tapi rancangan Afiqah Nazirah gagal kerana ramai kawan-kawannya menghantar sms untuk bertandang ke rumahnya. Dan pada saat akhirnya Afiqah Nazirah mengambil keputusan untuk pergi disebelah malam.

Dialoq pertama nanti yang akan diperkatakan Afiqah Nazirah kepada Syakirah Bariyah ialah tentang kecurangan kekasihnya yang lari bersama perempuan lain dan berazam akan memberikan pengajaran kepada perempuan itu seandainya Afiqah Nazirah tahu siapa perempuan itu. Kerana itu hingga sekarang Afiqah Naziran masih berseorangan walau sudah mencecah usia tiga puluh dua tahun.

Afiqah Nazirah sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mengeluarkan segala isi perutnya kepada Syakirah Bariyah yang selama ini masih terbuku dalam lipatan hatinya. Afiqah Nazirah tahu bukan semua rahsia diri itu boleh ditabur-taburkan pada sebarang kawan.

Dengan bantuan lampu depan keretanya Afiqah Nazirah ternampak nombor simpang sebagaimana yang diberikan Syakirah Bariyah, simpang 468. Tanpa membuang masa Afiqah Nazirah masuk ke jalan kecil itu dan perlahan-lahan keretanya merangkak terhinggut-hinggut kerana jalan kecil itu berlobang-lobang.

Tidak sampai satu kilometer Afiqah Nazirah ternampak sebuah rumah sederhana besarnya, ada tiga buah kereta dalam garej tapi tidak ada cucul yang dinyalakan untuk menambah seri rumah itu. Rumah itu kelihatan malap.

“Kenapalah kau tinggal di tempat yang begini Syakirah…?” Bisik hati kecil Afiqah Nazirah.

Afiqah Nazirah berhenti betul-betul depan pintu rumah itu. Tidak ada seorang pun yang keluar, cepat Afiqah Nazirah melihat jam tangannya baru jam lapan lima belas minit. Kemudian Afiqah Nazirah melihat jam keretanya juga sama.

Di halaman rumah yang luas itu tidak ada satu makhluk pun yang berkeliaran. Afiqah Nazirah cuba hendak membunyikan horn keretanya tapi itu bukan kebiasaannya, Afiqah Nazirah memang tidak suka membunyikan horn di mana-mana saja apa lagi di halaman rumah orang lain.

“Jangan-jangan sudah menjadi rumah tertutup, tapi katanya dua puluh empat jam. Atau aku yang salah rumah…!” Afiqah Nazirah cuba menelefon tapi malangnya Afiqah Nazirah lupa mensave mesej itu.

Afiqah Nazirah merasa letih dan meluruskan badannya sambil menguap. Nyaman. Tiba-tiba pintu rumah itu di buka orang dari dalam. Afiqah Nazirah nampak seorang lelaki berketayap putih berumur lima puluhan memandang tepat ke arahnya.
Afiqah Nazirah keluar dari kereta dan menghampiri lelaki berketayap putih itu sambil memberi salam. Lelaki berketayap putih itu menjawab dan mempelawa Afiqah Nazirah masuk.

“Ini rumah Syakirah Bariyah…?” Lelaki berketayap putih itu menganggok. Afiqah Nazirah masuk dan duduk sambil memerhati keliling ruang tamu itu. Lelaki berketayap putih itu kemudiannya beredar masuk ke dalam bilik.

“Mungkinkah orang tua itu suami Syakirah…?” Afiqah Nazirah senyum. Apa salahnya bersuamikan orang tua asalkan hidup bahagia.

Belum pun habis senyumannya terukir seorang wanita bertelekung sebaya dengan umur lelaki berketayap putih itu datang dengan membawa se gelas air putih kekeruhan. Air bali yang menjadi kegemaran Afiqah Nazirah. Afiqah Nazirah senyum lagi kerana kawannya ini masih ingat dengan minuman kegemarannya itu.

“Jemput minum…!” Pelawa wanita bertelekung itu.

“Mana Syakirah…?” Afiqah Nazilah macam tak sabar. Memang tidak sabar.

Wanita bertelekung itu tidak menjawab malah terus masuk ke dalam bilik di mana lelaki berketayap putih itu tadi masuk. Afiqah Nazirah faham lelaki berketayap putih itu bukan suami Syakirah Bariyah, mungkin saja saudara maranya yang tinggal turut berhari raya di rumahnya.

“Fiqah…!” Lembut dan sayu suara itu. Afiqah Nazirah tergamam.

“Syakirah…!” Syakirah Bariyah memelok erat Afiqah Nazirah. Mereka berdua bertangisan, tidak ada sepatah perkataan pun yang dapat diungkapan yang cuma isakan memenuhi ruang tamu itu yang seolahnya ada kematian.

“Maafkan aku Fiqah kerana selama ini aku mengkhianati mu.”

“Apa yang kau katakan ini…?”
“Aku kahwin dengan Firdaus kekasih mu.”

“Kau jangan membuat cerita karut seperti ini Syakirah…!”

“Benar Fiqah…aku juga minta maaf.” Firdaus muncul tiba-tiba.

“Aku juga isteri Firdaus.” Sampuk wanita bertelekung itu. Macam menonton wayang suspens dirasakan Afiqah Nazirah. Tapi dia masih belum percaya semua itu kerana lelaki berketayap putih itu bukan wajah Firdaus yang dia kenal.

“Firdaus kawin lagi dan aku cemburu, aku menyiram mukanya dengan asid dan cuba membunuh wanita perampas itu.”

“Kau telah mengkhianati aku Syakirah…!”

Tanpa sedar dengan dibaluti perasaan geram dan marah, Afiqah Nazirah menampar Syakirah Bariyah. Afiqah Nazirah terkejut kerana tangannya terkena horn keretanya. Afiqah Nazirah terlalu letih dan badannya terasa penat. Afiqah Nazirah melihat jam keretanya sudah pukul dua belas tengah malam.

Afiqah Nazirah tidak berfikiran negatif, semua itu dianggapnya cuma mimpi kerana terlalu keletihan. Dengan perasaan hampa untuk berjumpa kawan lamanya itu Afiqah Nazirah mengambil keputusan untuk pulang saja kerana malam sudah larut dan mungkin Syakirah Bariyah juga penat lalu tertidur.

Pagi esoknya kebetulan hari ahad. Afiqah Nazirah sekali lagi pergi ke rumah Syakirah Bariyah. Kali ini dengan mudah Afiqah Nazirah mendapatkan rumah Syakirah Bariyah apalagi di waktu siang dengan cuaca yang amat mengizinkan. Tahu-tahu kereta Afiqah Nazirah sudah tersadai di halaman rumah Syakirah Bariyah.

Afiqah Nazirah merasa hairan dengan suasana dan keadaan rumah itu sama seperti waktu dia datang semalam, cuma yang membezakan malam dengan siang. Dalam garej juga ada tiga buah kereta, rumah itu sunyi sepi.

Afiqah Nazirah memberanikan diri keluar dari keretanya dan menekan punat bell rumah itu. Belum sempat jarinya mencecah bell tiba-tiba pintu dibuka orang dari dalam dan keluar seorang wanita bertelekung juga seakan wanita yang ujud dalam mimpinya malam tadi.

“Ini rumah Syakirah Bariyah…?”

“Iyah…tapi dia sudah tidak ada.”

“Dia kemana…?”

“Syakirah dan suaminya sudah meninggal dunia dalam satu kemalangan.”

“Meninggal…?”

“Mereka meninggal dalam perjalanan ke rumah sakit ketika membawa isterinya yang hendak bersalin.”

“Siapa nama suaminya…?”

“Firdaus…”

Afiqah Nazirah merasakan dirinya benar-benar berada seperti di dalam mimpinya semalam. Bagaimana dia harus menerima semua kenyataan ini. Rumah dan sekitarnya lengkap seperti dalam mimpinya. Apa kah semua ini cuma khayalannya atau benar-benar ujud di alam nyata…?

“Kalau macam itu kamu ini siapa…?”

“Saya adalah isteri keduanya.” Afiqah Nazirah merasakan dirinya hendak pengsan.

“Tolong katakan pada ketika ini saya sedang bermimpi mahupun berkhayal.”

“Kamu tidak berkhayal apa lagi bermimpi Afiqah Nazirah…!” Beribu malah berjuta kunang-kunang berkerdipan di ruang mata Afiqah Nazirah bagaikan kilauan ketulan manik-manik dipancar oleh sinaran matahari.

“Saya harap kamu tidak mempermain-mainkan saya.”

“Saya bercakap benar mereka meninggal setahun yang lalu.”

“Tapi saya menerima mesej darinya semalam…!”

“Saya yang mengirim mesej itu sebagaimana pesanan Syakirah Bariyah.”

“Semalam saya datang ke sini tapi rumah ini kosong.”

“Saya baru pulang subuh tadi.”

“Tapi bagaimana kamu tahu nama saya...?”

“Itu gambar kamu…” Wanita bertelekung menghalakan telunjuknya ke sebuah almari kecil di sudut ruang tamu itu. Gambar Afiqah Nazirah bersama Syakirah Bariyah dua tahun sebelum mereka berpisah.

“Saya ada sesuatu untuk disampaikan kepada Afiqah dari Syakirah.” Wanita bertelekung itu memberikan sampul surat kepada Afiqah Nazirah. Dengan palbagai andaian Afiqah Nazirah membuka sampul surat itu lalu membacanya.

‘Maafkan aku kerana mengkhianati mu Fiqah…apa yang berlaku ini semuanya sudah ditakdirkan…!”

Afiqah Nazirah tidak berminat untuk meneruskan membaca surat kawannya yang terang-terangan berkhianat terhadapnya itu. Afiqah Nazirah mengoyak surat itu lalu melemparkannya ke pangkuan wanita bertelekung itu lalu berlari keluar meninggalkan rumah yang menyembunyikan kecurangan Syakirah Bariyah terhadapnya selama ini.






0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online