DRAMA TV BERSIRI
SUTERA BERDURI
HJ JAMALUDDIN ASPAR
Mengisahkan kerjasama dua orang tokoh korporat yang berjaya dalam bidang perniagaan. (JOHAR) berjaya dalam bidang ‘perhotelan’ dan (BAHARI) dalam bidang ‘permakanan dalam tin’. Mereka berhasrat untuk menjodohkan anak-anak mereka (MAYA) anak perempuan JOHAR dengan (IKRAM) anak lelaki BAHARI sebagai tali sutera pengikat erat persahabatan mereka yang sekali gus untuk meningkatkan daya maju, daya saing dan daya tahan perniagaan mereka.
Memang setiap detik perjalanan hidup orang tua yang bergelar ibu dan ayah sering mengharapkan kebahagiaan yang sepenuhnya untuk anak-anak setelah mereka bertungkus lumus berusaha dengan gigih demi untuk kebahagiaan keluarga mereka. Apa tah lagi BAHARI telah terhutang sesuatu kepada JOHAR.
Bagaimana pun tidak semuanya yang diharapkan oleh orang tua itu tercapai dan diterima pakai oleh anak-anak, apa tah lagi di zaman ICT yang serba terdedah kepada kebebasan dan kehendak mereka masing-masing seperti sekarang ini.
Oleh kerana anak-anak mereka ini telah terdidik dari awal patuh dan taat kepada kehendak orang tua mereka, maka dengan mudah segala urusan itu terlaksana, walau pun dalam hati masing-masing menentang keras kehendak orang tua mereka itu.
Cadangan ini ditentang oleh (SUHANA) isteri JOHAR dan (JULIA) isteri BAHARI. Mereka bimbang dengan apa yang mereka lakukan itu adalah satu penyeksaan kepada anak-anak mereka, apatah lagi jika mereka sudah ada pilihan masing-masing. Apa pun bantahan dari yang bernama isteri selalunya tewas di tangan suami. Semua ini dilakukan untuk membena sebuah menara gading yang akan menjadi mercu kebahagiaan anak-anak mereka di hari muka. Itu alasan para suami.
Hakikatnya apa pun nama sebuah perkahwinan tanpa ada cinta tidak akan dapat membuahkan hasil yang baik seperti yang diharapkan. Apa lagi untuk menanam bibit-bibit kasih sayang sebagai suami maupun isteri, namun hasilnya akan tetap kosong. Perkahwinan MAYA dengan IKRAM hanya ujud di atas kertas, tetapi dingin di atas ranjang.
Itulah sebuah perkahwinan yang diinginkan oleh kedua orang tua mereka yang tidak mau tau apa yang ada dalam diri anak-anak mereka. Siang mereka menjadi pasangan suami isteri yang ideal apa lagi di depan orang tua mereka. Tapi apa bila malam tiba mereka menutup tirai perkahwinan dan akan ujud orang asing dalam diri mereka.
MAYA tidak mengerti apa ertinya perkahwinan mereka ini. Sebagai seorang isteri dia wajib patuh atas kehendak suami kerana mereka sudah diijab-kabulkan sebagai suami isteri yang sah, walaupun perkahwinan mereka itu berupa paksaan.
IKRAM tau akan kejujuran dan kesetiaan MAYA sebagai seorang isteri, tapi untuk berbuat sesuatu yang tidak direlakan memang terlalu sukar. IKRAM menghargai keikhlasan MAYA. Tapi dia tidak sanggup melakukannya walau MAYA sudah menjadi miliknya yang sah.
MAYA faham kerana dia juga merasakan demikian. Mereka berterus terang menyatakan sudah mempunyai teman masing-masing dan berazam akan berkorban demi untuk kebahagiaan orang tua mereka.
IKRAM masih meneruskan hubungan dengan teman lamanya (YANI). Begitu juga MAYA sering bertemu dengan (FARIS) walau cuma sekadar melampiaskan kesunyian. Perlakuan mereka ini akhirnya terhidu juga oleh mereka sendiri dari hasil maklumat kawan-kawan rapat mereka.
Pertengkaran kecil sering berlaku atas olah mereka sendiri. Mereka sering cemburu menyemburui walau pun tidak punya erti apa-apa pada sebuah perkahwinan mereka yang seharusnya tidak mempunyai perasaan sedemikian itu, kerana mereka cuma berlakon selaku suami isteri.
Sejak hari itu mereka sudah tidak dapat melakonkan sebagaimana yang sepatutnya. IKRAM benar-benar ingin lari dari kehidupan yang pura-pura itu dan menganggap MAYA selaku orang asing dalam rumah itu. MAYA begitu tabah dan sabar kerana itu perintah suami asalkan tidak melampaui batas.
MAYA menyedari akan kesilapannya dan segera memutuskan hubungannya dengan FARIS atas alasan dia sudah bersuami walau tidak bahagia. MAYA tau selaku seorang isteri tentunya mengharapkan sebuah syurga, kerana itu dia sanggup berhenti kerja untuk menjadikan dirinya betul-betul sebagai seorang isteri.
IKRAM mengambil kesempatan ini untuk berhubung terus dengan YANI walau pun sering dinasihati oleh kawan karibnya (ALIF) supaya menjadi seorang suami yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga bukan sebagai seorang yang tidak ada pendirian.
YANI sering datang ke rumah MAYA dan mencemuhnya selaku seorang isteri yang bodoh dan tidak punya kekuatan diri untuk mempertahankan suaminya yang akan diambil oleh orang lain. MAYA menerima cacian dan penghinaan itu dengan penuh kesabaran.
FARIS meminta IKRAM agar jangan mensia-siakan MAYA dan memperlakukannya sesuka hati kerana MAYA cukup setia dan rela menjadi isteri walau terpaksa memutuskan perhubungan mereka. FARIS memang menyintai MAYA sebelum dia menjadi isteri IKRAM.
Sebelum MAYA menyatakan hasratnya untuk berhenti tiba-tiba dia diarahkan oleh ayahnya untuk pergi ke luar negeri selaku wakil peribadinya. MAYA cuba menolak dan secara langsung meminta izin untuk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh masanya terhadap keluarga.
JOHAR berbincang dengan IKRAM untuk meminta keizinannya walau pun MAYA anaknya. IKRAM tidak ada halangan bagi MAYA ke luar negeri kerana itu adalah juga satu tugas. MAYA bersetuju dengan syarat dia akan berhenti kerja setelah selesai missinya itu nanti.
Sepeninggalan MAYA, IKRAM cuba untuk menghilangkan kesepiannya. IKRAM merasakan dirinya bebas. Tapi apa yang diperolehinya itu tidak lebih dari kehampaan dan kekosongan. Nyata IKRAM tidak memperolehi ketenangan sebagaimana yang diperolehinya di samping MAYA.
IKRAM mula merasakan kekosongan hatinya ketika berjauhan dengan MAYA, walaupun ketika dekat dimatanya IKRAM tidak memperolehi apa-apa dari MAYA yang bergelar isteri. IKRAM mula merasakan apakah itu yang bergelar cinta..?
YANI sedaya upaya cuba menghibur dan menyuburkan perasaan IKRAM agar kembali kepadanya, namun IKRAM tidak merasakan sebagaimana yang dirasakannya bersama MAYA selama ini.
IKRAM mulai jadi seorang perindu. ALIF agak hairan mengapa terjadi demikian. IKRAM bertanya bagaimana perasaan seorang suami jika berjauhan dengan isteri. ALIF pula bertanya apakah IKRAM sudah menjadi suami kepada MAYA..?
YANI cuba meminta kerjasama FARIS yang juga kecewa seperti dirinya untuk berbuat sesuatu agar hubungan IKRAM dan MAYA berkecai, sesudah itu mereka akan mengambil hak masing-masing.
FARIS tidak mau berkerjasama dengan YANI untuk meruntuhkan sebuah rumah tangga yang retak menanti belah. Sepatutnya mereka menolong mengukuhkan dan menyukung agar semua itu tidak akan terjadi. YANI bertambah marah.
YANI segera menyuntik ayah dan ibu IKRAM menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku selama ini, mereka cuma berlakon yang pada hakikatnya mereka belum pernah tidur bersama.
JOHAR dan BAHARI berbincang tentang masaalah anak-anak mereka yang sedang menuju kehancuran demi untuk menunaikan kehendak mereka yang mereka sangkakan semua itu akan dapat mengeratkan ikatan sutera yang halus dan lembut itu, tapi malangnya mereka diikat dengan sutera yang berduri.
IKRAM memutuskan hubungannya dengan YANI. YANI mengaku kesalahannya dan sanggup di madu asalkan dia tidak kehilangan IKRAM. IKRAM tidak memerlukan seorang wanita seperti YANI dalam hidupnya.
Belum sempat menjernihkan air yang keruh dan menguraikan benang yang kusut, tiba-tiba JOHAR mendapat tahu bahawa BAHARI telah melakukan satu penipuan terhadapnya. JOHAR naik berang.
Siapakah dalangnya…?
=====================================================================
PARA WATAK
1 JOHAR umur 55 tahun
2 BAHARI umur 55 tahun
3 MAYA umur 32 tahun
4 IKRAM umur 35 tahun
5 FARIS umur 35 tahun
6 YANI umur 32 tahun
7 ALIF umur 32 tahun
8 ALIA umur 32 tahun
9 SUHANA umur 50 tahun
10 JULIA umur 50 tahun
11 RUSNI umur 45 tahun
12 MONA umur 35 tahun
13 NISDA umur 35 tahun
14 LAZIM umur 40 tahun
15 SANIP umur 40 tahun
16 LELA umur 35 tahun
17 SEDAH umur 50 tahun
18 TIMAH umur 50 tahun
19 DAIM umur 55 tahun
20 ZARIN umur 32 tahun
21 MISAH umur 40 tahun
22 YUSRAN umur 40 tahun
23 ROZI umur 35 tahun.
0 Comments:
Post a Comment