Wednesday, December 9, 2009

Hjh Ummi Menangis

Duduknya amat gelisah sekali. Kitar kanan kitar kiri, terasa punggungnya yang nipis itu betul-betul di atas duri ‘rokam’. Dia memang tidak suka jika diperhatikan demikian. Apa tah lagi yang memerhatikannya itu adalah seorang lelaki.

Dia cuba mengalihkan pandangan ke sudut lain. Tapi sepasang mata yang memerhatikan dirinya itu muncul lagi, malah bertambah galak dan garang. Dia langsung tidak mengenali pemuda itu.

Pemuda itu memang tampan, pakai jubah putih ada misai dan jambang. Macam orang Arab. Bukan macam dirinya, pakai apa pun masih juga tidak lawa. Ada misai macam misai kucing, ada janggut macam janggut kambing. Entah macamana isterinya boleh jatuh cinta padanya. ‘Itu cerita dulu-dulu...’

Wajah pemuda berjambang itu cerah-ceria, barangkali kalau dia seorang wanita sedikit sebanyak pasti akan jatuh hati. Tapi mana ada orang jatuh cinta sesama laki-laki, kalau zaman Nabi Luth adalah. Barang dijauhkan Allah.

‘Jangan-jangan malaikat barangkali.”

‘Mana ada malaikat siang-siang’.

‘Tapi tidak mustahil...’.

‘kalau malaikat pun bahapa ia kemari?’

‘Mun malaikat kan datang inda membilang waktu..!’

Hati kecil Hj Akbar berbantah-bantahan. Majlis tahlil petang itu berjalan dengan lancar, walaupun dalam hati Hj Akbar bergelodak atas kehadiran pemuda tanpa diundang itu. Tiada seorang pun yang tau kecuali dia sendiri. Allah memang telah mengetahuinya...

Perasaan Hj Akbar agak tenang sedikit, pemuda itu sudah hilang. Ke mana? Hj Budin tidak mahu tau ke mana perginya, yang penting pemuda itu telah pun pergi. Alhamdulillah.

Majlis selesai...hajat tuan rumah sudah sempurna. Para jemputan penuh hormat memohon diri untuk pulang dengan perut penuh berisi. Macam rangit. Tuan rumah sambil angguk-angguk mengucapkan terima kasih satu penghargaan atas kehadiran mereka. Berjabat tangan dengan senyum pemanis muka tanpa mengira berapa sudah dibelanjakan. Namanya sedekah mana boleh dikira-kira...

Dalam perjalanan pulang dipersimpangan jalan masuk ke rumahnya. Muncul lagi pemuda itu, malah lebih kacak dan lawa dari sebelumnya. Seperti biasa pemuda itu mendiamkan diri, cuma memerhatikan Hj Akbar begitu tajam sekali. Kerana itulah bagi Hj Akbar tikaman mata pemuda itu sudah cukup untuk menembusi tulang bidai-bidainya. Dia tewas dalam pertarungan pertama. Hj Akbar begitu nekad untuk berdepan dengan pemuda itu satu sama satu.

“Penyeluru banar tah anak ani”. Geram Hj Akbar. Pemuda itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Malah dengan gelagatnya yang seumpama itu, makin memarakkan lagi api kemarahan Hj Akbar.

“Ani mun kan barabis...barabis tah”.

Hj Akbar mula mengatur langkah dan memasang kuda-kuda. Pemuda itu masih tidak bergerak, cuma Hj Akbar yang sibuk-sibuk dengan langkah dan bunga silatnya. Walau apa pun yang dilakukan Hj Akbar, semuanya itu tidak berjaya memancing hati pemuda itu untuk berbuat sesuatu.

Hj Akbar merasa keletihan, lemah longlai seluruh anggotanya, umpama tidak ada sebatang tulang pun yang menyambung sendi-sendi badannya. Akhirnya Hj Akbar tersandar di sepohon pokok yang rindang. Matanya dipejam-pejamkan, kerana peluh yang mengalir didahinya singgah di kelopak matanya yang merah itu. Sekali lagi pemuda yang menjadi biang keroknya itu menghilangkan diri.

Angin petang berhembus perlahan begitu menyeramkan, pokok-pokok bergoyang daun-daun melambai, seolah-olah melambai Hj Akbar. Suasana ketika itu benar-benar seperti sebuah tanah perkuburan yang terpencil.

Untunglah Hj Akbar bukan pengidap darah tinggi atau pun lemah jantung...kalau tidak sudah lama Hj Akbar ‘nuhun’. Sekali lagi Hj Akbar dikejutkan dengan goncangan pokok tempat dia tersandar keletihan. Hj Akbar melihat ke atas tidak ada apa-apa yang menyebabkan pokok itu bergoncang. Angin cuma bertiup sepoi-sepoi bahasa, mana boleh menggoncangkan pokok yang begitu besar dan tinggi.

‘Jangan kata daun-daunan, ambok pun boleh gugur mencapuk’.
Spontan Hj Akbar teringat sebuah cerita lama yang diceritakan oleh arwah bapanya semasa ia kecil-kecil dulu. Semasa mereka ‘mengurak balat’, yang kebetulan dia ternampak beberapa ekor monyet sedang bergayut di atas ‘bakau’.

Hj Akbar cuba bangkit tapi tidak terdaya, badannya benar-benar lembut macam sotong. Pokok tempatnya bersandar bergoncang lagi. Daun-daun kering berguguran melayang-layang dan berterbangan di atas kepalanya.

Lama Hj Akbar mendiamkan diri. Sekunyung-kunyung sehelai daun kering tapi segar jatuh tersangkut ditelinganya. Dia terkejut, daun itu diambilnya perlahan-lahan. Darahnya menyerap serta-merta, bulu romanya berdiri tegak, suasana keliling semakin menyeramkan.

Daun itu betul-betul pelik, belum pernah seumur hidupnya melihat daun yang seganjil itu. Di atas daun itu tertulis namanya sendiri, Hj Akbar bin Awang Damit. Di kampung itu cuma dia seorang yang bernama Hj Akbar. Hendak dikatakan mustahil tidak juga. Mana ada perkara mustahil jika Allah menghendakinya.

Hj Akbar bangun ‘kuling-kujang’. Dia melompat dan terus berlari meninggalkan tempat yang berpuaka itu. Hjh Ummi terkejut dan tercengang melihat telatah suaminya, yang sebelum ini tidak pernah berkelakuan begitu. Hjh Ummi tidak tentu rasa.

“Kenapa ni bang Aji?” Hjh Ummi dengan rasa cemas memapah suaminya yang terduduk di muka pintu dan membawa masuk ke bilik.

“Jahat ujudku...kan damam kadiaku ani.” Suara Hj Akbar menggeletar.

Hjh Ummi tambah risau, baru saja lepas menghadiri majlis kenduri arwah sekampung, tiba-tiba demam dan pucat langsai begini. Jangan-jangan keteguran barangkali. Bisik hati kecil Hjh Ummi. Zaman internet pun ada keteguran kah...

Kalau manusia original memang Hj Akbar tidak gentar. Entah mengapa dengan seorang pemuda seperti itu saja Hj Akbar sudah kecut perut. Sejak bila dia takut dengan orang? Dengan hantu pun dia tidak pernah takut. Dalam sejarah hidup Hj Akbar baru kali inilah dia merasa takut dan lari begitu ligat. Hjh Ummi pun turut kembang bulu.

“Mengapa ni bang Aji?”.

Hj Akbar memuncungkan bibirnya yang pucat macam terung itu ke arah di mana daun itu diletakkan. Hjh Ummi mengambil daun itu dan memerhatikannya. Tidak ada keanihan pada daun itu, cuma sehelai daun kering yang biasa dilihat di mana-mana. Tapi bagaimana pula sampai menakutkan suaminya sehingga lari lintang pukang seolah-olah dikejar maut! Apa kah benar maut mengejar orang...

“Buang daun itu...buang!”

“Kenapa dengan daun ni bang Aji?”

Hjh Ummi belum mengerti apa hubungan daun itu dengan suaminya. Cuma yang dapat dibayangkan oleh Hjh Ummi, suaminya termakan daun beracun. Kalau pun makan ulam-ulaman ‘luan tah’ jua sampai tidak kenal mana daun yang boleh dimakan dengan tidak. Kambing pun pandai memilih daun. Kalau ulat bulu...

“Cuba kamu lihat tulisan atas daun itu...itukan nama aku”.

Hjh Ummi sekali lagi merenung dan membalik-balikkan daun itu. Atas...bawah...kanan dan kiri namun dia tidak nampak apa-apa, apa tah lagi nama suaminya. Cuma urat-urat daun yang berlingkar-lingkar macam taugih, itu saja yang Hjh Ummi nampak.

“Kalau kamu nak tau setiap nama yang tertulis di daun itu, orang itulah yang akan dipanggil Allah untuk menghadap-Nya”.

“Di mana bang Aji mendengar cerita ni...jangan bagai-bagailah bang Aji”.

“Ini bukan cerita lagi semua itu ustaz-ustaz yang cakap. Aku sendiri yang dengar semasa syarahan di Pusat Da’wah dulu. Dalam buku pun ada”. Hj Akbar meyakinkan isterinya.

Hjh Ummi diam dan akur dengan kata-kata suaminya itu. Dia tahu bahawa suaminya tidak berbohong, belum pernah sekali pun membohongi dirinya. Wajah Hj Akbar semakin pucat dan layu.

Hjh Ummi memandang wajah suaminya dalam-dalam, amat terharu dirasakannya, mahu saja dikongsikannya bersama penderitaan suaminya itu. Berat sama dipikul dan ringan akan mereka jinjing bersama.

Tapi apalah yang dapat dilakukan ketika itu oleh seorang isteri, cuma titisan air mata kehibaan terhadap seorang yang bergelar suami. Bagi Hjh Ummi cuma suaminya itulah yang awal dan akhir.

Siapa tidak sayang pada suami. Namanya suami. Tempat berlindung, tempat berpaut dan berteduh. Walaupun umur mereka sudah lanjut, sudah dapat pencen tua. Namun kasih dan sayang mereka tetap seperti malam pertama. Bagaikan Romeo dan Juliet. Begitulah teguhnya ikatan suami isteri yang dijalin dengan tali cinta dari hati ke hati. Cuma maut yang dapat memisahkan mereka.

“Bawa mengucap banyak-banyak bang Aji, ingat pada Allah”. Hj Akbar diam. Dalam hatinya memuji-muji kebesaran Allah, beristighfar dan memohon ampun.

Hj Akbar nampak tenang, raut wajahnya lembut dan layu. Melihat itu Hjh Ummi menarik nafas panjang, kelopak matanya mula digenangi air dan itulah kali pertama Hjh Ummi menangis.

Hj Akbar memang pantang mendengar apa-apa majlis yang bercorak keagamaan, dia tidak mahu ketinggalan baik yang berbentuk syarahan ataupun ceramah. Majlis yang seumpama itu seolah-olah tidak akan lengkap jika Hj Akbar tidak menghadirinya.

Tidak hairanlah jika Hj Akbar memperolehi banyak ilmu pengetahuan tentang silok belok agama, walau pun dia bukan seorang guru agama. Pernah satu ketika dulu penduduk kampung mahukan dia menjadi imam surau kampung mereka.

’Nak jadi imam tu nantilah dulu, tapi kalau nak jadi pegawai halal haram boleh jugalah sikit-sikit’.

Hj Akbar tekun dan rajin menggali seberapa banyak pengetahuan agama, ini adalah untuk bekalan sepanjang perjalanan hidupnya hingga ke penghujung nanti. Sudah pastinya ‘akhirat’ sebuah negeri yang kekal dan abadi yang ingin dimiliki oleh semua orang. Semuanya itu bukan untuk apa-apa, jauh sekali guna meraih apa yang digelar ‘tokoh’.

Sesuai dengan zaman kelahiran Hj Akbar lebih enam puluh tahun dulu, terlalu susah untuk mendapatkan orang yang betul-betul arif tentang agama. Bukan seperti sekarang di mana-mana saja ada tempat belajar. Di masjid, surau-surau, rumah-rumah ibadat dan banyak lagi malah di pejabat-pejabat pun ada. Kita cuma tau suap...

Sekali air bah pantai akan tetap berubah. Pasang air ada surutnya, begitu juga seorang insan biasa seperti Hj Akbar. Sejak peristiwa itu dia seolah-olah ‘inda beliur’ lagi untuk menghadiri apa-apa majlis pun. Kerana dalam majlis-majlis yang seumpama itulah pemuda berjambang itu sering muncul.

Hj Akbar bertekad akan berdepan dengan pemuda berjambang itu secara jantan. Kewibawaannya tercabar dan dia merasa dayus jika tidak berbuat sesuatu. Dalam apa keadaan dan masa pun Hj Akbar akan tetap bersedia. Biar pemuda berjambang itu tahu Hj Akbar pantang dicabar. Membujur lalu melintang pasti akan patah.

Majlis bertahlil berjalan begitu lancar dan teratur. Hj Akbar memerhatikan kiri dan kanan, tapi pemuda berjambang yang ditunggu-tunggunya itu tidak juga muncul-muncul. Hj Akbar senyum.

‘Pandai kau takut...’ Bisik hati kecil Hj Akbar.

Hj Akbar kini seolah-olah berada di atas angin. Sayup-sayup didengarnya suara orang ramai memuji kebesaran Allah. Begitu mendalam penghayatannya sehingga dia lupa akan keadaan sekelilingnya.

Menyerap darah Hj Akbar bila saja terasa pahanya ditindih orang. Pemuda berjambang yang ditunggu-tunggunya itu kini muncul di sebelah kanannya. Pelanduk memang mudah lupakan jerat, tapi jerat tidak mungkin lupakan pelanduk.

Hj Akbar merasakan dirinya sudah tidak berdaya. Tangannya kaku mulutnya bagai dikunci dan badannya macam diikat. Dengan mata yang berair dia melihat pemuda berjambang itu tersenyum. Hj Akbar juga sempat melihat janazahnya dikelilingi orang ramai sambil bertahlil...

“La Illah ha Illallah...”

“La Illah ha Illallah...”

“La Illah ha Illallah...”



0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online