Sebenarnya Bubuk tidak punya apa-apa perasaan terhadap Sitam yang cuma sekadar membalas jasa Sitam kerana telah menyelamatkan Bubuk dari cuba diperkosa oleh Sidua yang gila bini dan tidak mengenal bulu itu. Sidua memang karak betina dan mungkin juga Sidua ada pecula macam basing.
Malang itu sememangnya tidak berbau, beberapa bulan kemudian Sidua mati accident depan traffic light simpang empat, Lebuhraya Muara Tutong ketika Sidua tengah menganji dan cuba mengejar betina yang hendak menyeberang jalan. Sidua mati serta-merta di tempat kejadian.
Bubuk memang ada jantan original jauh lebih lama sebelum Bubuk bertemu dengan Sitam. Bubuk sudah melahirkan anak seramai dua puluh satu ekor termasuk tiga ekor anaknya bersama Sitam. Semua anak-anaknya itu dari kecil hingga besar hidup sendiri-sendiri. Biarkan asal mereka pandai cari makan dan tau jaga diri.
Akhir-akhir ini Sitam ketara banyak berubah. Apabila pulang dari cari makan Sitam hanya membawa tulang bogel, Sitam memisinya terlebih dahulu bersama dengan betina-betina lain. Ini yang menyebabkan Bubuk muntah tidak ada selera hendak memakannya. Kerana itulah juga Bubuk dengan rela berpisah hidup dengan Sitam
Berlainan pula dengan Tompok karangan jantungnya yang satu ini, pulang dari cari makan Tompok akan membawa tulang segar. Tompok memang pandai mengambil hati Bubuk kerana itulah Bubuk sayang pada Tompok. Begitu juga Tompok masih taat dan setia pada Bubuk, walaupun Bubuk telah mendua-tigakan Tompok. Inilah barangkali yang dikatakan oleh manusia ‘satu dalam sejuta.’
Bubuk berhasrat untuk mencari makan sendiri tidak lagi berharap sepenuhnya kepada Tompok. Tapi Tompok menghalangnya, Tompok bimbang akan keselamatan Bubuk kerana sekarang ini keganasan, penderaan maupun pencolekan berleluasa di sana sini.
Tompok teringat akan kisah nenek moyangnya beratus tahun dahulu. Mereka terlalu disayangi oleh ampuan-ampuan mereka sehingga waktu makan pun turut berhidang sama, cuma mereka perlu sabar menunggu ampuan-ampuan mereka memberikan ‘rimah’ ataupun tulang-tulang untuk mereka.
Tambah cerita nenek moyangnya lagi, dulu-dulu mereka merasakan keenakan dan kelazatan tulang-tulang ikan seperti ikan bilis, sempariding, kembura, kuasi walaupun cuma tulang-temulang yang diratah, tapi mereka merasakan begitu seronok berhidang dengan ampuan-ampuan mereka. Barangkali inilah yang tidak ada sekarang.
Tompok mengakui kebenaran cerita itu, tapi semuanya cuma tinggal nostalgia. Sekarang mereka sudah menjadi pelarian di halaman sendiri, tidur dan rehat cuma tumpang sementara di tempat orang, jika silap landing mereka pasti akan diusir walau pun mereka tidak mempunyai kurap.
Putusnya perkongsian hidup Bubuk dengan Sitam membuka lambaran baru. Bubuk sudah tidak ada ikatan apa-apa dengan Sitam, apalagi setelah terjadinya peristiwa Bubuk berungkup dengan Comot bini Sitam beberapa hari yang lalu. Bagaimana pun atas rundingan dan kepersafahaman bersama antara Bubuk dengan Comot maka perkara itu dapat diselesaikan.
Bubuk sekarang tidak senang cuma tidur dan makan, apalagi Bubuk sendirian jauh dari anak-anaknya yang entah di mana. Makankah mereka atau matikah mereka. Bubuk ingin mencari makan sendiri disamping mencari anak-anaknya untung-untung mereka kenal bahawa Bubuk ibu mereka.
Tompok cuba menghalang agar Bubuk tidak meneruskan maksudnya itu, selagi Tompok berkaki empat, misainya masih bergerak dan mulutnya boleh mengiau, Tompok bersedia mencari makanan untuk Bubuk.
Tompok sangat sayang pada Bubuk kerana Bubuk mempunyai sepasang mata yang bulat dan besar. Berbadan mongel berbulu kembang berwarna jingga dan punya ekor yang pendek bengkok ke kanan, kalau berjalan jelas lenggoknya membikin setiap jantan yang melihat akan menganji.
Bubuk memulakan aktivitinya mau hidup cari makan sendiri, Bubuk tau mulai sekarang inilah dia harus belajar hidup sendirian tanpa bantuan Tompok, mana tahu esok-esok Tompok beralih kasih dan mengejar betina-betina lain yang lebih comel dan ummph…!
Keseronokan mula dirasakan oleh Bubuk apabila dia mencari makan sendiri. Bubuk bebas memilih apa makanan yang dia suka, dan makanan itu pula dirasakannya tidak seperti makanan yang diangkut oleh Tompok. Bubuk tidak perlu bersusah payah mengunyah sekuat mungkin kerana semuanya rangup-rangup belaka.
Tompok tahu di mana Bubuk mendapatkan makanan-makanan itu, semuanya itu sisa-sisa yang sebetulnya bukan sisa yang tidak terhabiskan oleh manusia dan terpaksa dibuang. Makanan seumpama itu banyak di kedai-kedai makan tepi jalan yang sering dikunjungi Tompok.
Tempat itu amat merbahaya kerana berdekatan dengan kawasan perumahan. Kawasan yang bersih dan cantik, Tompok khuatir jika Bubuk kekenyangan dan akan berehat ataupun tertidur di kawasan itu yang menyebabkan penghuni di situ berbuat sesuatu.
Tompok sering mengingatkan agar Bubuk tidak pergi ke tempat itu lagi kerana tersangat bahaya bagi Bubuk apa lagi dia betina. Tompok takut peristiwa hitam yang menimpa Bubuk berulang kembali. Tompok tahu semua itu adalah kerana perbuatan kotor mereka sendiri yang tidak tahu memilih tempat. Berak merata-rata, kencing ancit sebarangan dan muntah sana sini. Tompok bimbang jika Bubuk terus berdegil.
Bubuk sudah berani menengking Tompok malah pandai angkat misai tanda marah dan melawan. Tompok masih sabar dan sentiasa mengikuti Bubuk dari belakang ke mana saja Bubuk pergi tanpa pengetahuan Bubuk sendiri.
Apa yang dikhuatirkan Tompok kini berlaku juga. Bubuk sudah tidak tahu di mana tempat tinggalnya kerana mabuk dengan kebebasan yang diperolehinya. Bubuk akan pergi ke mana saja dia suka dan tidak memilih tempat, di mana ada makanan yang paling sedap maka di sanalah Bubuk menjamu nafsunya.
Bubuk juga tidak memilih tempat untuk dia berhenti rehat. Di beranda rumah…atas atap kereta…dalam pasu bunga atau dalam enjen kereta bagi memanaskan badannya yang sejuk itu. Satu ketika dahulu ada diantara anak-anak bubuk yang mati terkena kipas enjen kereta pada esok paginya.
Ketajaman hidung Tompok menghidu bau Bubuk dapat menyelamatkan Bubuk sendiri dari terjerut leher dalam kereta sebelum pagi menjelang. Bubuk selamba saja macam tidak ada apa-apa bahaya yang akan berlaku. Tompok mengikuti Bubuk dari belakang dan mencium ekor Bubuk bagi menyatakan betapa sayangnya terhadap Bubuk.
Sebaliknya Bubuk marah dan bertindak agresif sepantas kilat Bubuk berpaling dan mencakar muka Tompok dengan disertai bunyi miewnya yang nyaring. Tompok terpinga-pinga kehairanan, kerana tidak menyangka sama sekali Bubuk tergamak memperlakukan dia sebegitu rupa. Tompok menerkam Bubuk.
Anak mata Tompok berkilat menahan marahnya. Kalau bukan Bubuk kesayangannya yang berada dihadapannya itu, pasti Tompok akan bertindak liar dan menjadikan Bubuk bangkai yang tidak punya makna apa-apa.
Bubuk gagal menyelami lubuk hati Tompok yang tengah kehausan kasih sayang itu. Bubuk juga senghaja tidak mahu melayani kehendak Tompok yang sebelum ini Bubuk tidak pernah menolak walau dalam apa keadaan pun. Bubuk meninggalkan Tompok bersendirian.
‘Mieu…! Miew…! Mieo…’ Tompok meluahkan kesedihannya lalu merebahkan dirinya sambil bergolek-golek disebabkan perlakuan Bubuk yang disayanginya itu. Tompok kecewa seratus peratus…!
Bubuk semakin berani merayau-rayau mengikut hehendak hatinya. Deria semula jadi Bubuk terhidu bau enak yang belum pernah diciumnya sepanjang hayatnya hingga sekarang. Bubuk mengesan darimana bau yang sangat menaiskan liurnya itu.
Bubuk semakin gian dan bernafsu pada bau yang semakin mencucuk tajam lobang hidungnya itu, apatah lagi sudah ada benih-benih dari Tompok dalam perutnya. Tidak sia-sia Bubuk menjejaki bau yang merangsang keinginannya itu. Bubuk begitu gelojoh memamah dengan lahapnya seketul daging rangup yang tergantung seolah itulah makanan khusus untuknya.
Tompok yang selama ini diselimuti dengan kebimbangan atas keselamatan Bubuk yang sudah berbadan lebih dari dua itu semakin digamit prasangka buruk bahawa Bubuk dalam bahaya, kerana akhir-akhir ini Bubuk sering ke kawasan hitam Liau Uteh yang mempunyai sebuah perangkap maut. Ini amat bahaya bagi Bubuk. Tompok mencari Bubuk dan Bubuk harus diselamatkan sebelum terlambat.
Tompok wajib membuktikan dia betul-betul seekor jantan, bagaikan pendekar yang turun hendak berungkup, Tompok dengan tangkas mengatur langkah memulakan pencariannya yang akan menentukan hidup matinya Bubuk jantung hatinya itu.
Langkah Tompok tepat sebagaimana yang dijangkakannya, tapi malang tidak ada tanda-tanda Bubuk ada di situ. Semangatnya beransur lemah, Tompok berandaian sesuatu yang buruk telah menimpa Bubuk. Tompok hampir putus asa.
‘Mieoo…!’ Garau suara Bubuk.
Spontan Tompok berpaling lalu menerkam darimana datangnya suara itu. Umpama pendekar yang menangkis tikaman musuh dari belakang. Itu pasti suara Bubuk. Suara itu sudah diformatkannya dalam komputer mindanya.
Tompok amat terperanjat apabila Bubuk berada di dalam perangkap besi, Bubuk sudah termasuk ke dalam perangkap Liau Uteh yang sentiasa ternganga dua puluh empat jam tanpa rehat itu.
Bubuk berjalan keliling dalam kurungan itu dengan mengesel-geselkan badannya di tepi kurungan yang memisahkannya dengan Tompok. Tompok merasa amat kesal kerana tidak terdaya membebaskan Bubuk yang sudah menjadi mangsa ke sembilan perangkap maut Liau Uteh itu.
‘Miew…!’ Perlahan suara Bubuk. Mata Bubuk terkebil-kebil. Sedih. Kesal.
‘Mie…ew..oo…!!!’ Gaung balas Tompok. Lingas. Marah.
Tompok memandang Bubuk puas-puas begitu juga Bubuk merenung dalam-dalam wajah Tompok. Tompok akan kehilangan Bubuk bersama anak-anaknya yang masih dalam kandungan Bubuk untuk selama-selamanya, kerana esok Tompok pasti Bubuk akan dipindahkan ketempat lain.
0 Comments:
Post a Comment