Friday, October 16, 2009

AKU

Hj Marwan tau, Hj Shukri pun tau. Semua orang tau mengucup Hajar Aswad itu sunat. Tapi Hj Marwan teringin juga hendak merasakan bagaimana sejuknya batu-batu permata dari Syurga itu.

Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mengucupnya yang kemudiannya diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda. Itu kata ustaz Zaki ketika menyampaikan taklimat kepada bakal-bakal jemaah haji sebelum berangkat menunaikan rukun Islam yang ke lima itu.

Hj Marwan menunaikan fardhu haji kali pertama lapan tahun dulu. Disebabkan kesesakan manusia dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di Tanah Suci untuk tujuan yang sama, maka Hj Marwan tidak berkesempatan untuk mengucupnya. Kerana itu dia berhasrat jika ada rezeki dia akan datang lagi.

Tapi yang anihnya kesasakan itu masih serupa dan sama dengan lapan tahun dulu. Hj Marwan merasakan seolah-olah dia masih berada diwaktu dia mengerjakan haji pertamanya dulu. Maha Suci Allah..!

Dia terkeluar lagi. Entah berapa kali sudah Hj Marwan terpelanting. Dia ingin menyampaikan hajatnya walau cuma sekali. Kali ini agak jauh kira-kira dua hasta dari Maqam Ibrahim yang juga dikerumuni manusia yang ingin menyaksikan sendiri tapak kaki seorang Nabi yang membangun Ka’bah seperti yang dikatakan oleh al Quran.

Hj Marwan tidak putus harap dia masih terkial-kial untuk sampai kesasaran yang tepat, apa tah lagi sais badannya yang kecil jika dibandingakan dengan orang-orang Arab dari pelbagai negera yang dua kali lipat dari dirinya.

Hj Marwan tercungap-cungap macam ikan tersadai di bibir pantai untuk mengimbangi pernafasan yang sekali gus menyerapkan nafas baru. Matanya berpinar-pinar melihat kerumunan manusia yang ingin mengucup Hajar Aswad itu.

Tiba-tiba dia terkejut apabila ditolak oleh seorang polis dengan kasar dan memaksanya beredar meninggalkan Maqam Ibrahim. Perlakuan kasar dan kurang sopan begitu memang sudah sebati dan tidak akan terpisah dari mereka. Itulah orang-orang Arab yang sebenarnya.

Dalam keadaan yang berasak-asak itu ada sepasang mata yang rakus memerhatikan gelagat Hj Marwan. Orang itu sedang membilang-bilang untung dan laba, bahawa orang tua ini adalah mangsa seterusnya dan berharap akan mendapat habuan yang lumayan.

"Perlu bantuan pak..?" Suara itu singgah di telinga kanan Hj Marwan.

"Bantu apa..?" Hj Marwan menoleh.

"Tadinya saya nampak bapak dalam kepayahan..?”

"Tak mengapa saya akan lakukan sendiri”.

"Tidak mungkin pak, orang-orang di sini galak-galak..!”

"Biasa saja kita kan sama-sama manusia juga".

"Bapak tadinya kan udah rasa yang bagaimana."

"Saya akan cuba lagi Insya-Allah..!”

"Percuma pak saya bisa menolong bapak jika kena dengan ongkosnya".

"Kalau pakai ongkos segala itu namanya bukan menolong, tambahan lagi pertolongan yang begituan ngak ada ikhlasnya". Hj Marwan meminjam sedikit bahasa
orang Indon itu.

"Namanya juga cari makan pak".

"Betul...tapi tempat yang sebegini mulia, adalah tidak wajar untuk kamu perbuat itu semua".

"Ini kan halal pak saya tidak menipu, kita bikin persetujuan bersama. Jadi di mana salahnya..?"

"Menurut kamu memang begitu bisa-bisa halal segala".

"Lalu menurut bapak yang bagaimana..?"

"Kalau tadinya kamu kata ingin menolong, kemudiannya menghendakkan imbalan itu kan sudah satu penipuan”.

"Wah...! Bapak kaya kiayai aja..!”

"Lebih baik kamu beredar sebelum saya panggil polisi".

Pemuda Indon itu akur, dengan rasa hampa beredar meninggalkan Hj Marwan yang tidak dapat digodanya. Dia akan terus mencari dan menggoda orang lain supaya masuk ke dalam jebaknya. Apa kah orang seperti ini juga boleh dinamakan 'manusia iblis...!'

“Lebih baik kita balik ke hotel dan berehat, nampaknya kita belum ada rezeki”.

“Tapi aku mau mengucupnya..!”

“Kita ke sini bukan nak mengucup Hajar Aswad itu”. Kata Hj Shukri apabila dilihatnya Hj Marwah semakin lusuh dan tidak bermaya.
Hj Marwan tidak mengindahkan nasihat Hj Shukri itu, sebaliknya mengumpulkan tenaganya dan berazam Hajar Aswad akan dapat dikucupnya. Baru saja dia melangkah tiba-tiba dia terpandang seorang tua bongkok sedang mengucup Hajar Aswad dengan begitu tenang dan selisa.

Orang tua bongkok itu terlalu kurus, tapi berjaya mencium dengan tidak payah bertegang tulang jika dibandingkan dengan dirinya yang berbadan sasa dan bertenaga itu. Apa kah dosanya yang menyebabkan dia terhalang dari mengucup Hajar Aswad yang mulia itu. Tiba-tiba orang tua bongkok itu sudah lenyap dari pandangannya.

Kemana orang tua bongkok itu pergi..?

Mengapa dia menghilangkan diri..?

Hj Marwan mula mencari orang tua bongkok itu dalam kepadatan manusia yang tidak berminat langsung hendak menghiraukan hal orang lain, kerana masing-masing dengan urusan sendiri yang cuma satu, iaitu berurusan dengan Allah.

Hj Marwan liar merakam setiap wajah yang terdampar dipandangannya, namun wajah itu belum juga ditemuinya. Dia ingin bertemu dengan orang tua bongkok itu untuk mengetahui apakah rahsia yang ada padanya sehingga dia nampak tidak bersusah payah seperti orang lain.

Pancaran matahari waktu Zuhur itu membuatkan lantai Ka'bah memantulkan cahaya begitu menyilaukan mata. Panas semakin terik menyebabkan Hj Marwan terasa lemah dan tidak berupaya lagi untuk mencari orang tua bongkok yang penuh misteri itu.

Akhirnya Hj Marwan tewas. Dia dan kawanya Hj Shukri menyandar di tiang tangga pintu al Fath sambil melemparkan pandangannya ke arah Ka'bah. Panahan cahaya lantai Masjidil Haram itu menembusi ruang mata hitam Hj Marwan yang menyebabkan matanya berair dan pandangannya mulai kabur.

"Asallam mu alaikum warahmatullah..!"

Hj Marwan memberi salam ke kanan dan ke kiri. Alangkah terkejutnya apabila orang tua bongkok yang dicari-carinya itu, duduk di sisinya sedang berzikir dan sesekali melerek pandang ke arahnya.

"Kita ke Mekah ini hendak mengerjakan ibadat haji atau pun umrah, tapi bukan semata-mata untuk mengucup Hajar Aswad."

Orang tua bongkok itu memulakan kata-katanya tanpa memandang ke arah Hj Marwan. Spontan Hj Marwan teringat akan niatnya sebelum turun dari rumah, dia akan mengucup Hajar Aswad sepuas-puasnya. Belum sempat Hj Marwan membuka mulut bertanyakan sesuatu kepada orang tua bongkok itu. Tiba-tiba..!

"Masya-Allah..!" Hj Marwan jatuh dan bergolek di tangga Masjidil Haram itu apabila dilanggar oleh seorang entah berbangsa apa dan dari negera mana. Mujur Hj Shukri sempat memegangnya dari terhempas di lantai Masjidil Haram itu.

'Mimpi kah aku..?" Bisik hati kecil Hj Marwan yang dalam sedar dengan tidak telah berjumpa orang tua bongkok yang dicari-carinya itu.

"Kau mimpi lagi..?" Kata Hj Shukri macam tak percaya.

"Tidak...aku bukan mimpi..!" Hj Marwan ingin meyakinkan bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku dalam realiti.

"Kalau bukan mimpi apa namanya..?"

"Aku mimpi dalam sedar."

"Kita sekarang berada di Tanah Haram untuk mengerjakan umrah, bukan belajar bahasa sestera."

"Kerana itulah aku berkata benar."

"Peliklah kau ini..!"

"Tapi benarkan..?"

"Kalau pun benar aku yakin dia tidak akan muncul lagi".

"Bagaimana kau tau..?"

"Kau lupa apa kata-katanya seperti yang kau ceritakan pada ku".

"Apa harus aku lakukan..?"

"Kau sembahyang dua rakaat dan beristighfar banyak-banyak, nescaya kau akan mendapat petunjuk dari Allah..!"

Hj Marwan mengatur langkah sesudah membaharui udhunya dan terus menuju Hijir Ismail untuk bersembahyang sunat memohon keampunan dari Allah atas kelancangan mulutnya di tanah air sebelum dia melangkah ke Tanah Suci.

Lama Hj Marwan bertafakur. Tiba-tiba dia merasakan sesuatu. Badannya seolah-olah disirami air. Ia mendongak ke arah Pancuran Emas tapi tidak ada curahan air. Hj Marwan merasa kesejukan di bawah bayangan Ka’bah di waktu antara Zuhur dan Asar itu. Dia bangkit dan menuju Hajar Aswad yang seakan ditunda orang.

"Abang..!" Suara halus dan lembut kedengaran memanggil dari dapur.

Belum sempat Hj Marwan berbuat apa-apa, aku pula yang terkejut. Isteriku memanggil untuk berbuka puasa kerana waktu cuma tinggal sedetik dua lagi. Aku tidak dapat menolong Hj Marwan kerana panggilan isteriku itu benar-benar memecah buyung imiginasi ku untuk mengembara lebih jauh ke dalam diri manusia yang bernama Hj Marwan.

Aku meninggalkan Hj Marwan keseorangan. Begitu juga Hj Shukri turut lenyap dalam khayalanku. Biarkan Hj Marwan sendiri yang mencari punca mengapa dia gagal lagi walau pun sudah beberapa kali dicubanya.

Dan untuk Hj Shukri biarkan dia berzikir terus di Masjidil Haram itu. Insya-Allah aku akan mencarinya nanti setibanya aku di Tanah Suci tahun depan. Beberapa sa’at kemudian beduk menandakan berbuka puasa sudah kedengaran.


Mekah<>24.4.2006<>11.50 mlm.

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online