Monday, May 21, 2012

MESEJ BERGAMBAR



Isyarat mesej bergambar mobile Eman berbunyi.  Gambar yang tertera di skrin mobilenya itu telah mengheret ingatannya ke beberapa bulan yang lalu.




Walaupun Eman tidak perlu terkejut apabila melihat gambar yang dikirim oleh kawannya itu, sebagaimana terkejutnya dia seperti sekarang ini.  Eman terkejut bagaikan orang yang tidak pernah mengikuti kejadian semasa, umpamanya apa yang berlaku di Asia Barat khususnya di Semananjung Gaza, Palestin.  Tidak pernah membaca surat kabar, contohnya kemusnahan Gaza itu dikatakan hingga sepuluh kali gempa bumi.




Spontan Eman teringatkan dua orang remaja Palestin kira-kira lapan bulan yang lalu, tapi macam baru semalam Eman bertemu dengan mereka.  Kedua orang remaja Palestin itu kira-kira berusia awal dua puluhan. 




Hari itu adalah hari kedua Eman berada di Kota Madinah al Munawwarah untuk mengerjakan ibadah umrah.  Selesai menunaikan fardhu Isya berjemaah Eman bersama kawannya ustaz Zali pergi ke kedai buku untuk mencari buku Sejarah Mekah dan juga Sejarah Madinah yang tidak sempat dibelinya tahun lepas.  Alhamdulillah buku-buku tersebut masih ada.




Mereka beredar setelah membaharui wuduk yang sudah batal kerana dirujuh oleh anak-anak perempuan hitam yang lari lintang pukang cuba menyembunyikan diri mereka apabila ternampak petugas-petugas yang bila-bila masa saja akan merampas barang-barang dagangan mereka yang diletakkan di kawasan itu. 




Kawasan itu ditegah untuk berjualan, tapi larangan itu langsung tidak diindahkan oleh mereka, malah begitu ligat berkeping-keping wang riyal sempat masuk ke dalam kantung mereka sebelum mereka dihalau. 




Ada ketikanya tanpa disedari mereka itu memegang tangan kita meminta simpati dan mengharapkan kita akan membeli barang dagangan mereka.  Bagi kita orang-orang Brunei yang tidak begitu senang diperlakukan semacam itu, akan mudah mengundang rasa marah, kalau tidak ada rasa hendak marah pun kita terpaksa marah juga dengan tujuan agar mereka takut dan tidak akan berlebih-lebihan memaksa kita. 




Tapi sebaliknya apa yang kita lakukan itu seolahnya mendorong mereka untuk memujuk kita pula.  Itu baru bab pujukan dalam berjualan, menghulurkan tangan meminta sesuatu itu lain cerita.




Keadaan seumpama itu sudah tidak asing lagi, baik orang-orang yang berjualan mahupun orang-orang yang ditugaskan untuk menghalau mereka kelihatannya sama saja.   Petugas-petugas itu menghalau penjual-penjual umpama menghalau kucing-kucing liar agar tidak berkeliaran di hadapan rumah, atau dengan kata lain…macam menghalau lalat-lalat yang hinggap di atas makanan yang dijual di Pasar Malam, Gadong.  Kan contoh…!


Bagi penjual-penjual yang dihalau itu pula cuba berlari dengan derasnya seolah pelari yang baru berlepas dari garisan permulaan sambil ketawa dan berteriak-teriak. Tapi tidak lama lepas itu mereka akan kembali lagi dan meletakkan semula barang-barang dagangan mereka itu di tempat yang sama.




            “Kami dari Palestin…”  Sahut remaja Palestin pertama dengan ramah, Eman masih ingat dengan jelas wajah kedua-dua remaja Palestin itu.




Remaja Palestin pertama itu menjawab dalam bahasa Inggeris, oleh itu tidak payahlah ustaz Zali menterjemahkannya untuk Eman.  Uztaz Zali seorang Guru Ugama yang boleh berbahasa Arab, baru saja menamatkan tempoh perkhidmatnnya setahun yang lalu.  Sekarang ustaz Zali menjadi pendakwah bebas yang berwibawa untuk menarik saudara-saudara baru ke dalam Islam.




Eman semakin bersemangat bertanya hinggakan kedua-dua remaja Palestin itu berebut-rebut untuk menjawabnya, apatah lagi apabila remaja Palestin itu mengetahui mereka berdua datang dari Negara Brunei Darussalam yang cuma mereka dengar mengenai kekayaan dan keamanannya, tapi langsung tidak tahu di mana letaknya bumi Brunei Darussalam.   




            “Syukurlah tuan-tuan sudah merdeka, apalagi kemerdekaan itu diperolehi dengan aman.”  Remaja Palestin kedua pula bersuara dan berhenti sebentar kerana membetulkan sahalnya walaupun lilitannya masih kuat.


Mengusai sahal seumpama itu sudah menjadi kebiasaan ataupun tabiat bagi mereka walaupun lilitan sahal mereka itu belum kendur tapi mereka akan membukanya dan melilitnya semula.  Kemudian remaja Palestin kedua itu menyambung kata-katanya.




“Tidak seperti kami yang terus berjuang tapi hasilnya tidak tahu bagaimana.”   Remaja Palestin kedua itu melepaskan rintihan yang selama ini cuma tersimpan dalam dadanya.   




            “Kami sudah merdeka 25 tahun…”  Ustaz Zali mencelah.




Ustaz Zali memang pendiam dan jarang bercakap…namanya ustaz.  Kerana dia tahu banyak bercakap itu akan banyak pula silapnya, banyak silap tentunya banyak dosa dan seterusnya banyak dosa itu akan pergi ke N****a.   Barang dijauhkan Allah…


            “Kami tidak tahu bila akan menikmati kemerdekaan itu.”  Remaja Palestin pertama pula melepaskan kelohannya.   Pengelaman perang membuatkan mereka lebih dewasa dalam percakapan dari usia mereka yang sebenarnya.




            “Nyawa orang-orang Yahudi lebih berharga dari nyawa kami, satu nyawa orang Yahudi melayang akan ditebus dengan seratus nyawa kami orang-orang Palestin, itupun masih belum mencukupi.”  Luahan hati remaja Palestin kedua sambil menarik nafas panjang, dan nafas itu bila-bila masa saja akan berhenti jika mereka berada di Palestin sekarang.


“Kami akan terus berjuang walau cuma dengan beberapa ketul batu yang dapat kami lemparkan ke kereta kebal mereka.”  Sambung remaja Palestin pertama. 




Apa yang dikatakan oleh remaja Palestin pertama itu memang terbukti, mereka cuma melempar dengan batu atau apa saja kepada musuh mereka walaupun lemparan itu tidak memberi bekas apa-apa kepada objek yang dilempar, malah sebaliknya anggota tubuh badan mereka pula yang akan berkecai apabila lemparan itu dibalas dengan logam berapi dari senjata musuh yang tidak pernah kenal apa-apa sama seperti tuannya juga.




            “Entah-entah kami cuma akan menikmati kemerdekaan apabila kami mati nanti.”  Celah remaja Palestin kedua yang sepertinya berputus asa dengan senyuman yang hambar, sehambar cita-cita dan perjuangan mereka selama ini.




Perbualan Eman dan ustaz Zali dengan ke dua remaja Palestin itu terhenti kerana laungan azan Isya’ sudah berkumandang.  Begitu sayu dan syahdu seruan Allah…bergema di ruang angkasa Masjid Nabawi yang mulia itu, meresap ke dalam urat saraf setiap muslim yang mendengarnya.  Itulah Madinah…Kota Nabi, di mana Jasad Kekasih Allah itu bersemadi di dalamnya.




 Eman dan ustaz Zali bersalaman sebelum mereka berpisah, kedua remaja Palestin itu juga beredar dan seterusnya menghilang di celah-celah orang ramai di kawasan Masjid Nabawi yang luas…indah dan tenteram itu.




Sedang Eman melayari ulang tayang rakaman perbualan mereka dalam benaknya, tiba-tiba isyarat mesej mobilenya berbunyi lagi.  Kantung imbas kembalinya pecah terburai dengan sertamerta, cepat Eman menyambarnya tanpa menunggu bunyinya berhenti.  Mesej itu datangnya dari ustaz Zali.




            “Ada sudah gambar yang aku kirim tadi…?”  Cuma itu yang tertulis.




Eman sepertinya tidak percaya pada gambar yang dikirimkan oleh ustaz Zali itu ialah wajah salah seorang dari dua remaja Palestin yang baru sebentar tertera di skrin ingatannya.  Wajah remaja Palestin itu nampak tenang dalam menghadapi kematiannya walau seluruh tubuhnya berlumuran darah. 




Tentunya itu darah perjuangan yang ingin bebas dan merdeka.  Eman pasti semua itu adalah habuan selaku terima-balas dari sisa-sisa beberapa ketul batu yang telah mereka lemparkan kepada manusia yang bernama Yahudi yang bukan lagi bergelar manusia itu.




Sepatutnya Eman tidak menangis apabila melihat wajah dalam gambar itu, kerana wajah dalam gambar itu bukan miliknya dan bukan keluarganya, dengan kata-kata lain bukan apa-apa pada Eman.  Tetapi mengapa Eman merasa sebak dan terdorong hendak menangis…?  




Eman menatap wajah remaja Palestin itu yang seakan tidur dengan nyenyaknya dalam sebuah kedamaian. Benar dan tepat sebagaimana yang dikatakan oleh remaja Palestin itu, ketika berada di Bumi Madinah al Munawwarah.  Dan sekarang dia sudahpun menikmati kemerdekaan dalam kematiannya, apa yang diungkapkannya benar-benar menjadi kenyataan.  




Eman tidak mahu menatap wajah remaja Palestin yang menyayat hati itu lebih lama.  Eman cuma dapat mendoakan remaja Palestin itu agar damai di atas ranjangnya yang abadi dan menghadiahkan al fatihah ke atas rohnya.  Amin…!








                                                               

TINTA EMAS WARGA EMAS



PASAR GADONG


PAGI




“Kau jangan terlalu baik hati Leha…”  Mak Nani punya mulut laser sikit.



            “Kita ini sudah tua Nani…apa lagi yang ada.”  Mak Leha bersahaja.  Nama penuh Mak Leha…Zaleha,  dan Mak Nani pula nama lengkapnya Rusnani.




Mak Leha tidak kisah dan tidak akan pernah kisah di kedai atau restoran manapun lakinya itu akan bersarapan.  Mak Leha juga tidak pernah bertanya malah tidak akan bertanya apa-apa kepada lakinya dengan siapa lakinya itu berjalan, untuk apa-apa yang hendak diapa-apakan umpamanya. 



Mak Leha membiarkan saja lakinya menghirup udara dengan bebas dalam usianya terkini, yang tidak pernah dirasakannya ketika mereka muda-muda dahulu. Kerana itulah Mak Leha menghadiahkan sebuah kebebasan untuk lakinya yang juga belum pernah diberikannya sejak mereka bertahta sebagai suami isteri hingga ke saat ini.  (Waktu muda-muda dahulu dibungkus oleh rasa cemburu).



Kerana itu laki Mak Leha…Pak Hasan sudah pandai sembang-sembang di kedai kopi, tidak ada sebuah pun kedai kopi ataupun restoran yang berselirak di pesisiran jalan kecil kampungnya itu terkecuali dari kunjungannya.  Mak Leha percaya dan cukup kenal hati dan budi lakinya itu.   (Namanya suami isteri…).




Kiranya umur mereka dilanjutkan maka usia perkahwinan mereka akan genaplah empat puluh lima tahun tidak lama lagi.  Mungkin anak-anak dan cucu-cucunya telah pun merancang sesuatu untuk mengadakan hari ulang tahun perkahwinan mereka itu.



Pak Hasan baru lepas dua hari angka usianya tertulis enam puluh tujuh tahun, manakala Mak Leha sendiri sudahpun meraikan hari ulang tahunya yang ke enam puluh lima tahun minggu lepas.




            “Apapun usulnya kau harus hati-hati sikit, jangan terlalu memberikan kebebasan pada laki kau itu tanpa kawalan.”  Macam memantau kawalan harga barang alunan kata-kata Mak Nani itu.




Mak Leha yang selalu dingin, baik dalam percakapan mahupun berbuatan jarang sekali bersikap agresif.  Itu kelebihan Mak Leha yang tidak ada pada Mak Nani.  Dalam bab ini mungkin Mak Nani betul kerana pepatah ada mengatakan ‘orang lelaki itu umpama besi, walau berkarat sekalipun masih punya harga’.




            “Siapalah yang inginkan orang tua macam laki aku itu, sudah tak bertenaga lagi dan kurang pula segala-galanya, buka tutup kain pun tak larat.  Juntai sana juntai sini…”  Mak Leha senyum hingga nampak barisan gigi palsunya tersusun rapi.  Mak Nani faham apa yang dimaksudkan oleh kawan lamanya itu.



Itu perbualan Mak Leha dengan Mak Nani, kebetulan mereka bertemu di pasar ikan dengan disulami gelak ketawa yang berpanjangan, sesekali mengundang orang lalu lalang di pasar itu menoleh ke arah mereka yang akhirnya juga tersenyum simpul melihat gelagat dua orang warga emas yang cerah-ceria itu walau tidak nampak benda yang tersimpul.



Mak Nani kawan seperjuangan sehati dan sejiwa dengan Mak Leha, umur Mak Nani muda tiga tahun dari Mak Leha.  Tapi Mak Leha nampak lebih muda dari Mak Nani, barangkali sejak kecil hingga remaja dan sampai kini Mak Leha pandai jaga badan.




Sebelum pertemuan mereka itu Mak Leha sudah pusing keliling beberapa kali dalam pasar itu untuk membeli ikan yang terpaut di hati.  Tapi belum terjumpa ikan yang bagaimana hendak dibawa pulang, kerana setiap kali Mak Leha ke pasar, apa yang Mak Leha nampak muka ikan yang serupa itu juga. 



            “Kau ke pasar ni buat apa…?”  Satu pertanyaan entah sedar atau tidak dari Mak  Leha yang tidak disangka-sangka oleh Mak Nani.




            “Tentulah nak beli ikan, takkanlah nak beli kasut tumit tinggi.”  Mak Nani senyum.




Kali ini gigi palsu Mak Nani pula yang kelihatan, tapi kurang cantik susunannya.  Mak Leha senyum sama kerana dia tahu itulah jawaban Mak Nani yang terang-terangan menyindirnya.  Sekali gus Mak Leha tergamit untuk mengingati detik-detik indah pada zaman mudanya dahulu.




            “Rupanya kau masih ingat lagi dengan kasut kegemaranku itu Nani…”  Mak Leha rasa bangga kerana punya kawan yang masih ingatkan dirinya sampai ke kasut.




            “Mana boleh aku lupa.”  Mak Nani.


Mak Leha memang gemar memakai kasut tumit tinggi dan sesuai dengan badannya yang kecil molek dan lentik itu.  Tambahan pula jika memakai baju kebaya dan berkain lepas,  Mak Leha memang menepati gadis desa yang sejati.  Kerana itulah juga Mak Leha dimahkotakan dengan gelaran ‘Ratu Kebaya’ pada zaman sekolahnya dahulu.




            “Kau nak beli apa pula?”  Mak Nani.


            “Aku nak beli manik…!”  Mak Leha berseluruh.




Tanpa sedar mereka telah menghalang orang lain yang lalu lalang di lorong dalam pasar itu, maklum sajalah jika lama tidak berjumpa, suasana keliling pun tidak sempat hendak diambil kira. Mereka beredar ke tempat lain di sudut pasar itu setelah menyedari mereka menjadi penghalang kelancaran orang ulang alik dalam pasar yang riuh rendah macam ‘kaling karam’ itu.




            “Kau ada orang gajikah.”  Mak Leha menukar tajuk.




            “Itulah masalahnya…”  Mak Nani menekan sedikit nadanya.




            “Kau ini sejak dulu lagi hingga sekarang cuma masalah saja yang kau cakapkan, bila lagi kau nak berpisah dengan masalah?”  Macam marah alunan melodi Mak Leha.




“Hari itu aku ambil yang tua, sudahnya aku sendiri yang tidak berselera nak makan.”  Terbayang sejenak wajah pembantu rumahnya itu dimata Mak Nani.  Mak Nani bekerek.




            “Ambil yang muda…!” 




            “Lagi banyak masalah…” 




            “Mengapa…? 




“Belum sampai empat bulan sudah nak balik, alih-alih duit kita yang habis kerana tukar itu dan tukar ini.”  Lapang dada Mak Nani seolah-olah tidak ada apa-apa benda lagi di dadanya yang terbungkus dengan tudung mini talkung itu.




            “Kalau begitu jangan ambil orang gaji, macam aku…kalau ada rasa nak makan di rumah baru aku memasak.  Kalau tidak biar laki aku makan di luar dan aku minta tapaukan saja habis cerita.”  Mak Leha pula yang merasa lapang.



Itulah puncanya laki Mak Leha sudah pandai makan di luar.  Mak Leha pun sudah tidak minat lagi untuk memasak, cuma sekali sekala Mak Leha memasak jika terasa jemu dengan masakan tapau.



Bagi Pak Hasan makan di rumah dengan makan di kedai memang ketara bezanya, tapi nak kata bagaimana jika orang rumah tidak mahu memasak.  Mungkin juga ada benarnya Mak Leha sudah penat untuk memasak, kerana itulah tidak ada bantahan apa-apa dari Pak Hasan. 




Sesekali Pak Hasan merasa bosan juga makan di kedai yang sama berulang-ulang, tapi oleh kerana sudah terbiasa semacam tidak senang pula hidup seharian jika tidak makan di kedai, walau sudah terasa hambar.




RESTORAN TEPI JALAN


PAGI




            “Nampaknya kau tak berselera makan hari ini…?”  Tanya Pak Naim kawan rapat Pak Hasan yang hampir sebaya usia dengannya.




            “Tak ada tempat lain kah yang lebih sedap…?”  Pak Hasan sambil menghirup kopi tariknya yang cuma tinggal satu perempat itu. 



            “Kalau makan yang sama berulang-ulang tentulah tak sedap.”  Giliran Pak Naim pula yang menghirup habis teh halia aisnya yang baru kurang satu perdua itu.




            “Hari-hari lauk itu juga…gulaipun itu juga…”  Rungut Pak Hasan sendirian.




            “Aku rasa semua restoran di sini sudah kita kunjungi…takkan nak makan pun pergi ke Belait ataupun Temburong…!”  Pak Naim membasahi bibirnya yang masih ada rasa halia itu dengan ketulan ais di dalam gelasnya dan mengunyah yang selebihnya sebagai pencuci mulut.  Karup-karup…!




Pak Hasan sudah tidak ada selera lagi nak makan di luar, dia ingin makan di rumah seperti sebelumnya.  Makan di rumah nyaman…berselera dan tenang, tidak bercampur baur dengan jerit pekik serta riuh rendah orang ramai yang cuma memekakkan telinga.



Pak Naim bercadang hendak membawa Pak Hasan ke sebuah restoran yang dikatakan best untuk merubah selera. Sebenarnya Pak Naim belum pernah ke restoran itu walaupun sudah banyak restoran yang dikunjunginya.  Entah bagaimana pula Pak Naim terlepas ingatan pada restoran yang satu ini, mengikut kawan Pak Naim restoran ini baru saja dibuka minggu lepas.



            “Aku nak bawa kau ke sebuah restoran yang baru dibuka, di sana palbagai masakan ada…sedap-sedap, pelayannya pun boleh tahan juga…!”  Itu kata Pak Naim dari kata orang-orang yang pernah ke situ.




            “Kita bukan nak makan orang…”  Sahut Pak Hasan jujur.




            “Aku bukan bermaksud nak makan pelayan, tapi nak ubah selera...!”



Pak Naim yang sudah lama menjadi duda tua itu memang tidak ada masalah untuk terus melaram walau hingga dua puluh empat jam dalam restoran. (Kalau ada restoran buka sampai 24 jam).



 Tapi bagi Pak Hasan dalam dirinya masih ada tanggung jawab untuk berada di sisi seseorang yang dicintainya   Itu gamitan cinta dan kasih sayang serta luahan perasaan sebenar dari seorang suami kepada seorang isteri walau tidak begitu dimengertikan oleh seorang yang bergelar isteri itu.



Sebaliknya lain pula bagi Mak Leha dia merasakan dirinya itu sudah tidak lagi mempunyai keperluan yang tertentu kepada seorang lelaki tua yang bergelar suami itu. Di satu masa yang lain pula ada waktu-waktunya kehadiran lelaki tua itu dirasakan Mak Leha cukup merimaskan yang cuma baginya menjadi teman tidur di atas katil sambil menunggu sebuah kematian. 



Itu akhir sebuah perasaan Mak Leha ketika ini tanpa diketahui oleh Pak Hasan. Bagaimana pun Mak Leha masih ingat celoteh Mak Nani agar dia memantau kebebasan yang diberikannya kepada Pak Hasan itu.  Ini perlu dicampur tolak…dikali bahagi agar samajuganya seimbang.




RUMAH MAK LEHA


TENGAHARI




Hari itu masakan Mak Leha lebih sedap dari hari-hari biasa. Mak  Leha memang pandai memasak, kalau Mak Leha inginkan glamour sudah lama Mak Leha menerima tawaran untuk beraksi dalam ruangan mari memasak di televisyen.                                                                                                                                        



Tapi apa yang Mak Leha rasakan biarlah dia memasak untuk suaminya dan bukan untuk penonton televisyen yang hanya ghairah melihat cara memasak, tapi jarang yang mahu mempraktikkannya.



Hidangan istimewa sudah tersedia, baunya saja sudah cukup untuk menceritakan betapa enak dan nyamannya masakan Mak Leha hari itu.  Sebuah kereta yang agak berjenama juga tiba-tiba muncul dan berhenti di halaman rumahnya.  Mak Leha memerhatikan kereta itu dan ingin mengetahui siapa yang datang, tapi yang pasti bukan anak-anaknya apalagi suaminya.



Mak Leha tertanya-tanya apabila melihat seorang wanita pertengahan umur keluar dari pintu sebelah kiri dengan memakai kasut tumit tinggi seperti dia muda-muda dahulu.  Sudah menjadi hobi Mak Leha jika memandang seseorang itu dia akan melihat kasut terlebih dahulu.



Belumpun terjawab siapa wanita pertengahan umur yang misteri itu, darah Mak Leha menderu umpama hembusan angin pantai musim kemarau, seorang lelaki yang lebih tua dari wanita pertengahan umur itu keluar dengan segaknya memakai kaca mata hitam ala Panca Sitara sedang berjalan bergandingan begitu mesra, malah berpegangan tangan dengan wanita pertengahan umur itu bagaikan sepasang suami isteri.



Mak Leha tidak terkata apa-apa, badannya menggeletar…jantungnya berdegup kencang dan nadinya bedenyut cepat.  Lelaki tua itu walau berkaca mata dan memakai rambut palsu nampak macam orang muda, namun Mak Leha masih kenal lelaki tua itu ialah suaminya…Pak Hasan.



            “Kamu tak payah memasak…kami akan makan di Hotel…!” 




Pak Hasan tanpa menunggu jawaban dari Mak Leha langsung beredar meninggalkan Mak Leha dengan diikuti oleh wanita pertengahan umur itu sambil tangan Pak Hasan memegang erat  pinggang wanita pertengahan umur itu dengan diiringi gelak ketawa.




Bagaikan aliran lahar gunung berapi betul-betul mencurah di atas bumbunan Mak Leha yang membakar hangus seluruh jasadnya.  Wanita pertengahan umur itu menoleh dan sempat menghadiahkan sebuah senyuman sinis kepada Mak Leha.  Mak Leha luka parah oleh senyuman yang mengatil’ itu.  Mak Leha cuma mampu menjerit…!




            “Aaaa.......aaa…….aahhh…!..?..!...hah…!...”




Pak Hasan terkejut…gelas di tangannya jatuh ke dalam piring di hadapannya ketika baru beberapa teguk air putih mengalir di kerongkongnya.    Pak Hasan begitu berselera makan tengahari itu tanpa mengejutkan Mak Leha yang tertidur di meja makan itu kerana menunggu Pak Hasan pulang.




Kali ini Mak Leha pula yang terkejut, matanya masih berair.  Pak Hasan yang begitu dekat di hadapannya tidak jelas dalam pandangannya.  Cepat kedua belah tangannya menyapu dan mengosok-gosok matanya dengan hati yang berdebar-debar khuatir mimpinya sebentar tadi menjadi kenyataan.   


            “Dah lama abang sampai…?”  Mak Leha cuba menyembunyikan gelora dihatinya.   Tangannya masih menyapu air matanya walaupun air mata itu sudah kering.


            “Abang tak mau menganggu kamu sedang tidur…”  Mak Leha diam.  Degupan jantungnya beransur turun dan denyutan nadinya kembali normal. 




Mimpi Mak Leha sebentar tadi ada hikmahnya, Mak Leha berazam akan menjadi seorang isteri seperti dahulu dan sebelum ini.  Mak Leha juga tidak akan membiarkan suaminya makan di luar lagi, dia akan berkhidmat dalam semua hal.  Zahir dan batin untuk suaminya hingga ke hujung nyawa.  Itu tinta emas dari seorang isteri warga emas.




Beberapa saat kemudian alunan azan Zohor berkumandang.














           


                                                      

Saturday, April 7, 2012

Jabal Rahmah*


Jabal Rahmah
pertemuan
Adam dan Hawa.

Temukan aku
di sini
dengan
kekasihku.

Masjidil Haram

Masjidilharam
di dalammu ada
Ka’bah
pusat tawaf
di dalammu ada
Hajarul Aswad
tersisip
mutiara dari
Syurga.


Jabal Nur


Jabal
nur Islam
lekatkan
di dadaku
buat suluh
hidupku
dalam perjalanan
ke Syurga-Mu.


Mac 2012 MEKAH



Mac 2012 MADINAH



MEKAH MAC 2012 - jerebu debu berterbangan...



JABAL THUR MAC 2012



JABAL UHUD MAC 2012



JABAL RAHMAH MAC 2012



KALUNG MUTIARA

Cinta itu boleh dianggap umpama air ada pasang surutnya, bagaikan cuaca ada mendung cerahnya ataupun seperti suhu ada turun naiknya. Kerana itulah ada sebilangan orang yang sanggup berputih mata apabila cintanya ditolak mentah-mentah ataupun sedang masak ranum. Itu barangkalilah...

Akhir-akhir ini Juli baru terasa dirinya benar-benar memerlukan belaian kasih sayang dari seorang lelaki setelah sekian lama dia mempertahankan kedaulatan cintanya terhadap kekasihnya yang tidak setia pada kata dan janji lapan tahun lalu. Juli merasakan perlu seorang pelindung untuk masa depannya yang semakin kehujung itu.

Bagaimana pun kerana usianya sudah menjangkau empat puluh tujuh tahun itu menimbulkan rasa tidak selesa jika dia berkahwin. Bagaimana pandangan kawan-kawannya yang sudah melebal dia dengan sebutan anak dara tua. Tapi ini adalah soal hati dan perasaan dirinya sendiri, apakah dia perlu mendengar kata-kata orang lain dari mendengar bisikan hatinya sendiri.

“Aku tidak mengetahui sama ada aku masih mempuyai cinta atau tidak, kerana cintaku sudah dibawa pergi oleh lelaki yang sangatku sanjungi.” Luahan hati Juli.

“Tapi dia sudah lama meninggalkan kau, Juli…!” Romi penuh perasaan.

“Sebagai insan normal memang aku juga inginkan sebagaimana yang orang lain inginkan, tapi bagaimana hendakku mulakan.” Juli serba salah.

“Aku tidak akan memaksamu…tapi jika kau menolak cintaku, aku tidak ada di sini lagi…jangan kau cari aku…!” Kata putus Romi.

“Romi…!” Tanpa sedar Juli berteriak. Cepat Juli memandang kiri dan kanan depan dan belakang, dadanya tenang kerana tidak ada orang di sekelilingnya.

Itu kisah puluhan tahun dulu. Tapi sekarang Juli merasakan kekosongan dalam dirinya yang memerlukan pengisian. Bukan kerana nafsu ataupun ketamakan hidup, kerana padanya serba ada. Arwah ayahnya meninggalkan harta yang boleh menyara hidup dalam waktu yang lama jika tahu menghargai peninggalan itu. Juli berjaya dalam dunia perniagaan, tapi semua itu tidak dapat menjamin kehidupannya yang serba kosong walau sebelum ini tidak pernah menjerit minta dipenuhi.

Pada siapa jiwa dan raga yang sudah berumur itu hendak di serahkan? Ramai lelaki ingin menjadi pendamping hidupnya, tapi cuma inginkan kesenangan yang ada padanya sekarang ini, tapi bukan pada sekeping hatinya yang kosong. Cinta itu bagaikan air, kita terlalu mengharapkannya apalagi jika kita sedang dalam kehausan.

Memang tidak ada salahnya jika kita mempertahankan sesuatu, apalagi yang bernama cinta yang menjadi urat saraf dan teraju utama dalam melayari kehidupan. Jika sudah ditentukan bagi Juli untuk mencari pengganti yang telah hilang, itu juga dinamakan ketentuan yang tidak dapat diubah.

Di mana harus dicarinya lelaki yang pernah memohon cintanya agar dibalas semasa dia putus cinta pertama suatu ketika dahulu…? Kalau adapun apakah lelaki itu masih merinduinya atau sudah melupakan dirinya sebagaimana dirinya yang juga melupakan lelaki itu dua puluh tahun yang lalu.

Juli ingin mempercepat pencarianya agar apa yang dirancangkannya tidak akan sia-sia. Dua puluh tahun adalah masa yang lama, apakah dia masih hidup ataupun sudah mati, kalau dia masih hidup apakah dia sudah berumah tangga atau belum. Tidak mustahil jika lelaki itu sudah berumah tangga kerana dia terus terang menolak cinta lelaki itu.

Alamat terakhir Romi ketika Romi memutuskan kata hatinya untuk tidak mengganggu Juli ialah di Kampong Penampang, Kota Kinabalu. Itu dulu…tidak mustahil juga jika sekarang dia sudah berpindah.

Juli berada di dalam perut Pesawat RBA. Dia nekad untuk mencari Romi sampai dapat, dia tidak akan meninggalkan Kota Kinabalu jika tidak bertemu dengan Romi. Kerana Romi amat penting dalam hidupnya bukan saja sekarang malah dari dulu lagi. Tapi itulah ‘belum jodoh’.

“Ajal dan maut di tangan Tuhan...demikian juga jodoh dan pertemuan.” Juli.

“Aku bukan baru belajar pepatah ataupun peribahasa, Juli…”

“Aku ingin menerangkan yang benar padamu, Romi.”

“Katakan kau tidak menyintai aku…itukan lebih senang…”

“Bagaimana harusku katakan, aku punya cinta cuma satu, Romi.” Juli.

Juli terkejut. Pesawat RBA tidak mengizinkan Juli mengembaran lebih jauh menyusuri masa-masa silamnya. Juli menyelinap sebentar ketika dia berada di udara. Pesawat RBA sudah mendarat. Juli melihat jam di tangannya, begitu cepat besi besar itu terbang menyusur pesisir pantai Pulau Borneo cuma dua puluh minit berada di udara dan sekarang sudah tersadai di bumi negeri di bawah bayu itu. Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu menjanjikan ada sekeping hati yang menunggu kedatangan seorang wanita dari Brunei Darussalam yang membawa harapan agar cinta itu dapat diketemukan dan dibancuh sekali lagi walaupun tidak seindah dulu. Itulah Juli…dia sekarang bukan wanita dalam urusan niaga, tapi dia seorang wanita dengan perhitungan sekeping hati yang mengharapkan usahanya berhasil.

Hari pertama Juli mencari Romi seperti di alamat terakhir yang diketahunya. Benar Romi tidak ada di sana, malah tidak seorangpun yang tahu siapa dia Romi. Juli sedar Kota Kinabalu bukan sebesar kampungnya, malah dalam kampungnya itu sendiripun masih ramai orang-orang yang tidak dikenalinya.

Di hari kedua dan ketiga Juli berada di Kota Kinabalu, namun tidak ada tanda-tanda dia akan bertemu dengan orang yang dicarinya. Dia mula merasa bosan dan bertanya pada dirinya sendiri. Untuk apa dia berbuat seperti ini…? Apakah ini yang dikatakan cinta…ataukah nafsu semata-mata…?

Julia mula merasa terlalu banyak membuang masa dan waktu yang sepatutnya tidak berlaku. Tapi nalurinya menginginkan semua itu untuk pelengkap hidupnya masa ini, ketika hidupnya sedang kosong. Kalau cuma harta atau kekayaan tidak perlu dikejarnya sampai ke utara Pulau Borneo yang besar itu. Juli kini hadir dalam dunia realitinya dan tidak mahu berkhayal lagi. Esok petang Juli akan pulang.

Pagi itu di hari keempat Juli merasakan udara negeri di bawah bayu itu benar-benar dapat memberikan kesegaran padanya. Petang karang dia akan berangkat pulang meninggalkan Kota Kinabalu itu tanpa membawa sesuatu yang dapat meceriakan hidupnya sebagaimana tujuan asalnya.

Kota Kinabalu bukan miliknya, dia cuma seorang pelancung dengan sekeping hati yang kosong dan bersama kekosongan itu juga dia akan pulang ke Brunei Darussalam negaranya yang cuma satu itu. Pagi itu Juli menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya panjang-panjang keluar jendela hotel tempat dia menginap itu sambil melihat keliling. Sebuah hotel tepi sungai.

Perhatiannya bagai ditarik oleh sebuah tempat di tepi sungai itu yang seakan sekumpulan gerai. Juli ingin melihat dan memerhatikan tempat itu sebelum dia pulang dan tidak tahu bila dia akan datang lagi. Dia tidak nampak tempat itu sebelum ini walau sudah tiga hari dia menginap di hotel itu.

Juli menaiki teksi pergi ketempat itu yang bayarannya cuma sepuluh ringgit dari hotel. Sebelum Juli keluar dari teksi itu dia sempat bertanya apa nama tempat itu. Itu rupanya yang disebut-sebut orang Pasar Filipin yang sering didengarnya selama ini.

Pasar itu memang banyak berjual kraft tangan yang diperbuat dari kerang-kerangan laut disamping barang-barangan lain. Juli tertarik dengan barang-barang yang dijual di pasar itu. Teringin pula dia hendak membeli satu atau dua buat alu-aluan untuk kawan-kawannya.

Seorang peniaga remaja perempuan dengan senyum lebar mendekati Juli yang baru hendak melihat barang-barang dalam kaca pameran jualannyan itu sambil memberi salam. Juli membalas juga diiringi dengan senyuman. Remaja perempuan itu memulakan tugasannya dengan mengenalkan barang-barang jualannya seperti biasa. Begitulah yang harus dilakukan oleh seseorang peniaga jika mahu dagangannya dibeli orang bukan cuma sekadar untuk dilihat atau disentuh.

Juli tertarik dengan seutas kalung mutiara yang dijalin rapi. Tanpa diminta remaja perempuan itu mengambilnya dan memberikan kepada Juli. Juli menjawat langsung mencuba ke dadanya.

“Lawa kalau kita memakai kalung ani Bu Hajah…” Kata-kata rutin harian dari seorang peniaga seperti remaja perempuan itu. Juli diam sambil memerhati butir-butir mutiara yang sudah dijalin menjadi seutas kalung yang cantik itu.

“Mutiara ani bapa yang menggubahnya, cuba dulu Bu Hajah…” Remaja perempuan itu mengambil kalung yang masih di tangan Juli, lalu mengalungkan ke leher Juli. Juli meraba-raba kalung yang sudah mendakap di dadanya yang masih cantik itu walau sudah diusap umur sambil mencari-cari kalau ada cermin. Remaja perempuan itu tahu apa yang dicari Juli.

Bola mata Juli terpaku pada sebuah potret yang tergantung di sudut kiri tempat dia berdiri. Remaja perempuan itu memberikan cermin pada Juli, Juli mengambilnya tapi meletakkan di atas cermin pemeran itu. Juli meminta izin remaja perempuan itu untuk melihat gambar yang mengundang nalurinya ingin mengetahui lebih dekat siapa dalam potret itu.

Darah gemuruh Juli mula menggelagak. Cepat dia memandang remaja perempuan itu dengan berbagai tanda tanya. Belum sempat Juli membuka mulut remaja wanita itu bersuara.

“Itulah gambar bapa saya…” Pendek.

“Di mana dia sekarang…?” Juli sepertinya tidak sabar-sabar, sebetulnya Juli memang tidak sabar. Orang yang dicari-carinya selama ini sudah diketemukannya walau cuma dalam sekeping gambar.

“Dia baru meninggal dua bulan lepas…” Juli seakan dipukau. Kilauan butir-butir mutiara itu dipandangnya seakan kelip-kelip di waktu malam. Matanya mula berair.

“Bawa saya ke kubur ayah kamu…” Itu saja yang keluar dari mulut Juli, remaja perempuan itu hairan.

Sebentar kemudian sebuah teksi berhenti di hadapan Juli dan remaja perempuan itu. Teksi itu meluncur laju membawa dua insan yang baru bertemu itu. Seorang bersama rahsia hatinya yang pasti akan dibawanya ke liang lahat dan seorang lagi dengan palbagai tanda tanya menuju ke destinasi seterusnya.



Friday, February 3, 2012

DALAM KENANGAN


Kemana perginya
keindahan dan kecantikan
yang diagung canangkan
sebagai sebuah lukisan
yang diabadikan
zaman demi zaman
untuk para warisan
akan datang
itulah Kampong Airku
yang menjadi kebanggaan
sejak dahulu kala.

Tapi kini telah musnah
dengan sekerdip mata
satu demi satu
tersungkur
tajaan manusia
tak kenal diri
tunggul-tunggul hitam
bergelimpangan
bagai tibadak
ditunu hangus
menyembah bumi
yang membisu
tinggal cuma
merenung kegelapan
menunggu siang
mahu pun malam.

Apakah ada masa depan
yang silam
akan kembali kepengkuan
ataukah nanti
akan jadi satu lajenda
menyerupai
Lumut Lunting
mahu pun
Pilong-Pilongan
yang terapung-apung
amat mengerikan.

PUTARAN MASA


Apalagi yang dikehendaki oleh anak-anak dari kedua orang tua yang bergelar ibu dan bapa. Kalau ibu dan bapa mempunyai harta kekayaan yang keluar dari bumi atau jatuh dari langit dan dari apapun namanya, bak kata pepatah dulu-dulu ‘tujuh gedung di laut dan tujuh gedung di darat’ pasti akan ibu dan bapa berikan. Kerana setiap ibu dan bapa tidak akan pernah lokek pada apa yang mereka ada.

Kalaupun mau dikiaskan dengan kemewahan hari ini seperti kondominium atau sekurang-kurangnya rumah sewa walau cuma sebesar kurungan acang sekali pun, ibu dan bapa tidak akan ragu-ragu untuk memberikan asal saja menepati kehendak anak-anak. Sekalipun nyawa tentu setiap ibu dan bapa tidak akan menyukat timbang.


Jika anak-anak boleh diistilahkan sebagai hadiah dari sebuah perkahwinan yang ditempah, manakala perkahwinan itu pula adalah hadiah dalam sebuah penghidupan. Maka sudah semestinya akan dijaga dengan sempurnanya.

Memang kita-kita ini terlalu lalai dengan harta dan anak-anak, hingga tidak merasakan sesuatu itu akan bertukar dan berubah. Dari kecil menjadi remaja seterusnya berkeluarga, dan tau pula menilai yang mana emas dan tembaga.

Demikian dalam mengharungi lautan hidup selaku ibu dan bapa, sedar tak sedar denyut nadi dan degup jantung setiap detik kehidupan telah dibawa oleh arus peredaran masa dan cuaca dengan pantas. Putaran waktu silih berganti hingga menjadikan anak-anak sudah lebih dari dewasa.

Ini yang ibu dan bapa tidak sedari.



INSAN KUDUS


Gema muazim-Mu
memenuhi angkasa
menusuk ruang
Masjidil Haram
mendakap lantai
Ka’bah
menyeru umat
Nabi Mohammad s.a.w.
menunaikan solat
lima waktu yang wajib
agar jangan leka
dibuai urusan duniawi.

Di keliling Baithullah
insan kudus bertawaf
sambil berzikir
memuji kebesaran Illahi
mohon diampunkan
segala dosa-dosa.

Dibawah lindungan Kabah
titis air mata penyesalan
seorang insan da’if
sujud di depan Allah
berserah diri
menarik nafas panjang
dan kemudian
nafas itu terhenti.



Mekah 2010






ANDAI MERPATI ITU AKU


Beberapa ekor burung merpati putih yang berterbangan di kawasan lapang Masjidil Haram itu, mulai menghurungi Munawar yang baru saja beberapa langkah keluar dari pintu nombor satu Masjidil Haram itu. Sepertinya burung-burung merpati putih itu sudah lama mengenali Munawar.

Burung-burung merpati putih itu seolah-olah menghendaki sesuatu dari Munawar, tapi Munawar tidak mengindahkannya kerana dia sudah biasa dan memahami akan telatah burung-burung merpati putih seperti itu.

Munawar meneruskan perjalanannya di celah-celah kesesakan manusia yang tidak banyak mengambil tahu tentang hal orang lain itu, kerana masing-masing punya urusan dengan Allah. Adakalanya berlaga sesama sendiri sepertinya mereka itu tidak punya tujuan tertentu kemana hala yang hendak dituju sebenarnya.
Setibanya di lorong depan hotel tempat dia menginap, Munawar membeli dua bungkus bijirin dari penjual remaja wanita hitam yang juga berpakaian serba hitam entah dari negeri mana, begitu ligat kejar sana kejar sini bagaikan lalat yang sentiasa hendak hinggap di badan itu.

Penjual-penjual itu baik kanak-kanak, remaja mahupun orang yang sedang muda tidak kering gigi bersuara dengan nyaring dan lantang, berebut-rebut menyurung-nyurungkan barangan jualan mereka agar mendapat perhatian. Ada ketikanya pula berlaku pergaduhan sesama mereka sendiri yang pada akhirnya seorang sahaja yang bertuah.

Munawar mengeluarkan wang kertas satu riyal dua keping lalu memberikannya kepada penjual remaja wanita hitam itu. Penjual itu mengambilnya dengan kasar, gelujuh, tanpa sofan santun apalagi untuk berterima kasih jauh sekali. Begitulah realiti kehidupan mereka seharian yang tidak dapat dipisahkan dari kekasaran. Mereka juga tidak segan-segan memaksa untuk membeli barang-barang yang mereka jual, kerana nilai satu riyal itu amat bererti buat mereka.

Munawar menaburkan habis dua bungkus bijirin itu, burung-burung merpati putih yang berselerak mematuk rezekinya itu nampak begitu riang sekali. Munawar tersenyum melihat gelagat burung-burung merpati putih yang berkerumun mematuk bijirin yang baru saja ditaburnya itu, padahal masih banyak lagi bijirin yang belum habis. Dua tiga kali patuk…pandang kanan dan pandang kiri, seolah-olah ada makhluk lain yang hendak merampas hak mereka itu.

‘Rupa-rupanya burung pun mahukan makanan yang segar’. Itu bisik hati Munawar.

Munawar terkejut apabila seekor dari burung merpati yang asyik mematuk bijirin itu terbang dan hinggap di atas bahu kanannya, yang tersampir sahal berkotak-kotak putih dan bergaris hitam macam sahal Yassir Arafat itu. Pada mulanya Munawar terasa hendak menjerit juga, walaupun menjerit itu bukan senjata orang lelaki.

Munawar tersenyum sekali lagi apabila teringatkan peribahasa ‘…jinak-jinak merpati…’ Munawar melirik paruh burung merpati itu yang cuma seinci dari jarak bola matanya, nasib baik burung merpati itu tidak mematuk matanya.

“Kau jangan nak tunjuk lagak jinak dengan aku…!” Suara dalaman Munawar, dia tahu perangai merpati yang sering berlagak jinak jika mahukan sesuatu. Apa lagi seumur hidupnya yang tidak pernah dihinggapi haiwan ataupun unggas, jangan katakan burung merpati…anak ayam pun tidak pernah.

“Kau tentu tau dengan tabiat aku…?” Suara hati burung merpati itu seolah-olah mengerti bahawa Munawar sedang menempelaknya.

“Kerana itulah kau jangan cuba-cuba hendak mempermainkan aku, kalau dah merpati itu…merpati juga…!” Sambung bisikan hati Munawar.

“Itulah kamu selalu berprasangka negatif terhadap kami, tapi sebenarnya kami tidak macam itu”. Bantahan naluri burung merpati itu bergema lagi di telinga Munawar.

“Jangan nak berdalih…itu kenyataan”. Munawar melayani perasaannya.

“Sebenarnya semua itu adalah perangai kamu, tapi kamu pandai-pandai pula mengalihkannya kepada kami”. Burung merpati itu tidak mahu kalah.

“Mengaku sajalah…habis cerita…” Munawar juga tidak mahu mengalah.

“Mana boleh…kami juga wajib mempertahankan harga diri”. Merpati itu semakin berani hingga menimbulkan kedaulatan harga diri mereka.
“Betulkah kamu ini punya harga diri…?” Munawar sepertinya mengejek. Memang mengejek.

“Kamu ingat manusia saja punya harga diri…!” Burung merpati pula macam menempelak. Sememangnya menempelak.

Baru saja tergerak hati Munawar hendak memegang burung merpati cerdik bukan alang kepalang yang bertenggek di atas bahunya itu, terlebih dahulu dengan pantas dan tangkas pula burung merpati itu terbang menyelamatkan dirinya dan hinggap kembali di tanah lalu mematuk bijirin yang masih bertabur dan tidak pernah kurang apalagi habis itu.

Itulah rezeki burung-burung merpati di Tanah Haram itu terlalu mewah. Demikian jugalah ganjaran pahala yang diberikankan oleh Allah dari amal ibadat yang dilakukan, tentunya berselerak di bumi sejehtera itu untuk dikutip oleh para jemaah yang berada di Kota Suci itu, sama ada dalam rangka mengerjakan ibadah haji mahupun umrah.



Tanpa disedari Munawar setiap gerak gerinya sedang diperhatikan oleh seseorang, seorang wanita berumur kira-kira pertengahan tiga puluhan yang berdiri di tepi pintu hotel itu. Wanita itu tertarik dengan perlakuan Munawar yang nampaknya begitu mesra dengan burung merpati putih yang seekor itu.

Kerana terlalu asyik memerhatikan Munawar, wanita itu tidak sedar bahawa Munawar sudah tercegat di hadapannya dan hendak masuk ke hotel itu tapi terhalang oleh wanita itu sendiri.

“Assalamualaikum…” Munawar memberi salam pada wanita itu apabila dirasakannya wanita itu tidak menyedari kedatangannya.

“Waalaikumssalam…” Wanita itu terperanjat dan spontan membalas salam Munawar dengan bercampur sedikit getaran. Wanita itu tersipu-sipu malu dan menguntum senyum yang dipaksa lalu memberikan ruang untuk Munawar masuk.

“Saya minta maaf kerana tidak menyedari saudara hendak masuk”. Wanita itu tunduk kerana terasa bersalah.

“Tak payahlah kamu minta maaf…kamu tidak ada salah apa-apa”. Munawar tidak mahu mengguris perasaan wanita itu.

“Saya terlalu asyik memerhatikan saudara dengan burung-burung merpati itu”. Wanita itu berterus terang namun di wajahnya masih terbayang rasa bersalah.

“Saya faham…tapi mengapa kamu asyik memerhatikan saya? Apa pula ganjilnya yang ada pada diri saya di mata kamu…?” Munawar pula cuba-cuba mengait.

Belum sempat wanita itu menjawab tiba-tiba lalu seorang lelaki yang berbadan gemuk pendek entah berbangsa apa yang tergesa-gesa masuk dengan tidak menghiraukan mereka berdua di pintu itu. Munawar terpelanting sedikit ke tepi.

“Itulah diri mereka dengan kekesarannya yang tidak mungkin akan berubah sampai bila-bila”. Wanita itu bersuara sambil mereka berdua beredar sedikit dari pintu itu.

“Sebetulnya kita yang salah…” Munawar menyalahkan diri mereka sendiri.
Wanita itu senyum sambil memandang wajah Munawar dengan tepat dan dalam. Munawar cepat mengalihkan pandangannya ke tempat lain, dia tidak berani memandang sinaran mata wanita itu yang terlalu tajam dirasakannya. Munawar tidak mahu pertembungan anak mata mereka itu nanti didorong oleh nafsu yang akan mengundang dosa, apalagi sekarang mereka berada di Kota Suci.

“Sebenarnya saya suka melihat dan memerhatikan burung-burung merpati itu makan dengan penuh perasaan”. Wanita itu menyambung.

“Lalu apa pula yang kamu dapati daripadanya…?” Munawar ingin tahu.

“Keseronokan…ketenangan dan banyak lagi, sebab burung-burung merpati itu tidak perlu bersusah payah mencari rezeki untuk dimakan setiap hari, jika dibandingkan dengan kita manusia ini”. Wanita itu membuat perbandingan walaupun bukan itu maksudnya yang sebenar.

“Itulah rahmat dari bumi yang di mana kita berpijak sekarang ini, bukan saja untuk haiwan mahupun unggas seperti burung-burung merpati itu, malah pada kita manusia juga”. Munawar meluahkan pendapatnya saduran dari ceramah-ceramah yang didengarnya dari ustaz-ustaz ketika berada di Brunei.

“Sudah lama kita berbual…saya Raudah…” Wanita itu baru teringat untuk memperkenalkan dirinya pada Munawar. Wanita bergelar Raudah itu senyum lagi.

“Saya Munawar…dari Brunei Darussalam”. Munawar merasa bangga apabila menyebut nama negaranya. Siapa tidak bangga pada negara sendiri, burungpun merasakan demikian juga terhadap sarangnya.

“Saya lahir di Singapura tapi dibesarkan di Mesir…dan sekarang saya sedang menuntut di sini”. Raudah menyambung walau tidak diminta menceritakannya.

“Saya tidak tahu rupa-rupanya kita tinggal di hotel yang sama.” Munawar.

“Kerana itu saya berani memerhatikan Munawar”. Raudah.

“Apakah semua itu akan menjadi kajian Raudah nanti…?” Munawar.

“Tidak…saya tidak membuat apa-apa kajian di sini, saya cuma mengambil jurusan kedoktoran dan tahun ini adalah tahun terakhir buat saya.” Raudah menambah ceritanya.
“Lalu apa yang menyebabkan Raudah tertarik pada semua itu…?” Munawar memerlukan jawaban dari Raudah.

“Saya tahu burung-burung merpati itu memang jinak-jinak belaka, tapi saya belum pernah melihat burung merpati putih yang sejinak itu hingga berani hinggap di atas bahu Munawar”. Raudah nampak semacam hairan. Memang hairan.

“Mungkin merpati itu menguji kesabaran saya, kerana di sini sabar itu amat penting sekali”. Munawar saja-saja memberikan andaian.

“Selesai belajar nanti…adakah Raudah akan terus pulang ke Mesir…?” Munawar saja-saja bertanya.

“Mungkin tidak…saya bercadang hendak ke Singapura untuk berjumpa dengan nenek saya di sana.” Raudah.

“Kalau macam itu Raudah masih mempunyai keluarga di Singapura…?”


Munawar menanti-nantikan jawaban, tapi tidak terdengar apa-apa jawabanpun dari Raudah. Munawar baru sedar rupa-rupanya Raudah sudah menghilangkan diri. Bagaimana pun Munawar tidak berputus asa kerana dia tahu ada masanya nanti mereka akan ketemu juga lagi kerana mereka tinggal di hotel yang sama.

Sebenarnya Raudah mengelak dari berbual terus dengan Munawar, kerana dia tahu Munawar itu bukan tunangannya yang telah meninggal di Mekah setahun lalu, ketika mereka sama-sama menuntut ditahun kedua dahulu.

Apapun yang dapat dirasakan oleh seorang wanita seperti Raudah seakan telah mendapat satu kepuasan melepaskan rindunya pada tunangannya melalui orang lain iaitu Munawar.

Raudah dalam hayalannya meletakkan dirinya bahawa Munawar adalah tunangannya yang telah meninggal dunia itu dan dia sendiri adalah merpati putih yang hinggap di bahu kanan Munawar itu, sehingga terungkap dalam hati kecilnya yang tidak diketahui oleh sesiapa.

‘…andainya merpati putih itu aku…’

Sejak pertemuan pertama itu Munawar tidak bertemu lagi dengan Raudah seperti yang diharapkannya, walau ternyata mereka tinggal dalam sebuah bangunan. Munawar sangat-sangat mengharapkan pertemuan seterusnya tapi berlainan pula dengan kehendak Raudah.

Raudah mahu menoktah pertemuan itu kerana menyedari bahawa Munawar bukanlah tunangannya, Munawar cuma kebetulan ada sedikit iras dengan tunangnya yang sudah pergi buat selamanya itu. Raudah berkunjung ke Mekah untuk menuntut ilmu sambil beribadat, dan menerima dengan redha segala ketentuan dari Allah yang dinamakan takdir itu.

Beberapa hari selepas itu baru Munawar mengetahui bahawa Raudah sudah pun keluar dari hotel itu dan mungkin menginap di hotel lain. Munawar mengusap-usap wajahnya dan tidak terfikir sebelum ini rupa-rupanya ada juga insan yang seiras dengan wajahnya.

Sambil berjalan pulang ke hotel setelah selesai menunaikan solat Asar berjemaah, Munawar teringat pada pepatah Melayu…pelanduk dua serupa. Kemudian dia tersenyum dan berbisik seorang diri…mengapa tidak unta dua serupa…?

Munawar tidak dapat menahan geli hatinya, dia ketawa apabila mengingatkan gelagat dirinya sendiri itu. Baru saja beberapa langkah ke hadapan tiba-tiba Munawar terhenti semacam ada orang menahannya, serentak dengan itu ada sesuatu yang jatuh di atas bahu kirinya.

Dengan cepat tangan kanan Munawar mendakap di bahu kirinya dan Munawar merasakan ada sesuatu benda yang licak menyentuh tapak tangannya. Munawar merasa jejek kerana terpaksa menerima setompok hadiah dari seekor merpati putih yang diajaknya berbicara sebelum ini.


Mekah 2009


SAIRA BANU

Abdul Jabar langsung tidak punya formula dalam bidang ini, yang satu ini baginya amat kritis. Sebelum ini bermacam-macam masalah dan palbagai persoalan dapat diatasinya dengan begitu mudah. Tetapi dalam perkara seumpama ini Abd Jabar betul-betul tidak mempunyai kemahiran.

Abdul Jabar tidak bermaksud negatif apalagi pada objek yang berat dan wajib ditanainya sebagai pertanggung jawabannya sekarang ini. Kepalanya bertambah sakit seolah-olah hendak pecah dan otaknya mendidih. Menggelegak…berasap…!

Malam sudah lebih dari tua, tapi matanya yang tidak pernah memilih tempat dan waktu untuk pejam itu waima di hadapan komputernya sekali pun, tapi kini seolah-olah mogok. Jangan katakan pejam untuk membawakan dirinya ke alam impian yang serba boleh dicapai, malah tidur-tidur ayam pun terlalu susah. Kalaulah Abdul Jabar baring bersama ayam, pasti ayam itu pula yang akan berdengkur terlebih dahulu sebelum berkokok nanti pagi.
“Kau boleh tolak aku ke sana…ambit ke sini, letak di atas…simpan di bawah, sorok ke tepi ikut kehendak seleramu.” Saira Banu melepaskan wapnya yang sudah melebihi hadnya itu. Kalaulah dahinya yang luas itu ditembak pasti suhu panas badannya cukup untuk melayakkan Saira Banu dikurantinkan kerana gara-gara H1N1 yang menyibukkan manusia sekarang ini.

“Apa yang kau cakap ni…?” Abdul Jabar tidak faham.

“Kau jangan buat apa-apa alasan.” Balas Saira Banu setelah tercium bau tidak kesetiaan Abdul Jabar.

“Kau harus faham...kau itu Saira Banu dan aku ini adalah…” Kata-kata Abdul Jabar terputus apabila dipotong tajam oleh Saira Banu.

“Aku mempunyai perasaan, aku tidak mau terus-terusan dijadikan wanita permainan.” Berontak Saira Banu sambil menahan gelombang dadanya yang menonjol seakan mahu keluar dan menghempas tubuh badan Abdul Jabar.

“Kau tidak berhak memaksa aku untuk menjelmakan dirimu itu menjadi seperti apa yang kau inginkan.” Abdul Jabar membantah dengan berani.

“Aku cuma hendak menuntut hakku, aku inginkan sebuah kehidupan yang nyata dan sempurna…!” Saira Banu berkeras agar kemahuannya itu dituruti.
“Lalu apa yang kau hendak aku buat…?” Abdul Jabar mencabar Saira Banu.

“Kita kawin…!” Jelas jawaban Saira Banu, lantak mati walau pendek tapi sangat merbahaya. Bagaikan sumpitan beracun menembusi lobang telinga Abdul Jabar yang lebar sebelah itu,

“Kau gila hendak kawin dengan aku…?” Tubuh badan Abdul Jabar yang tegap sasa itu seolahnya kecil dan lembik apabila mendengar perkataan kahwin dari Saira Banu.

“Mengapa…? Kau takut pada isterimu…?” Saira Banu semakin garang dan tambah berani apabila melihat Abdul Jabar tidak lebih dari seekor ular penalan yang kekenyangan itu.

“Bolehkah kau bersabar sikit…aku hendak jodohkan kau dengan seorang pemuda yang kacak lagi kaya raya, punya hotel yang banyak bintang…” Pujuk Abdul Jabar dengan nada yang rendah, nasib-nasib Saira Banu mahu mengalah.

“Aku bukan mata duitan…!” Bentak Saira Banu, matanya yang bulat…sebulat mata Azizah P. Ramlee itu merah macam saga.

“Aku tidak pula bermaksud macam itu.” Abdul Jabar masih berlembut.
“Aku punya cinta yang tidak ternilai harganya…tau…!” Saira Banu semakin melingas…garang.

“Aku merasa hairan dan pelik…mengapa kau tiba-tiba muncul menganggu aku dengan kerja-kerja aku seperti ini.” Otak Abdul Jabar mengembara untuk mencari punca mengapa semuanya itu boleh berlaku.

“Dulu kau janji hendak kawinkan aku dengan Dilip Kumar, tapi kau bunuh dia dalam kemalangan jalan raya.” Saira Banu menerkam wajah Abdul Jabar. Kalaulah pancaran mata Saira Banu itu punya laser, pasti wajah gelap Abdul Jabar itu sudah cair macam ambuyat.

Mengapa Saira Banu beria-ia hendakkan Abdul Jabar mengahwininya…? Apakah mereka berdua ini sudah terlanjur…? Ataupun cuma sebuah lakonan dari Saira Banu untuk menjebak Abdul Jabar yang sudah mula mengisi ruang hatinya itu.

Saira Banu memang seorang gadis yang cantik, manis dan ayu macam kejelitaan seorang puteri dalam cerita dongeng dahulukala. Baru lepas ulang tahunnya yang ke sembilan belas tahun. Tapi Saira Banu sering dirundung malang, Abdul Jabar selalu mengula-gulakan dirinya dengan kata-kata dan janji-janji yang manis mengalahkan manisnya kurma.


Saira Banu sudah muak malah muntah dengan janji-janji seperti itu, kerana itu Saira Banu tidak mahu lagi dipermain-mainkan oleh lelaki yang bernama Abdul Jabar itu. Sebetulnya Abdul Jabar bukan hendak menyeret Saira Banu dan menyuruhnya bernafas dalam lumpur, malah Abdul Jabar hendak meletakkan Saira Banu di puncak menara gading sebagaimana yang dijanjikannya, tapi belum tiba masa dan ketikanya lagi untuk Abdul Jabar berbuat demikian.

Abdul Jabar seorang lelaki yang baik, jujur dan bertanggung jawab membimbing keluarganya. Berumur empat puluh tujuh tahun, punya mata tapi bukan mata keranjang, punya lidah tapi bukan lidah bercabang, punya isteri cuma seorang dan tidak mempunyai cita-cinta langsung untuk menambah bilangannya.

Tapi sekarang Abdul Jabar dicabar oleh seorang gadis yang dua pulun lapan tahun lebih muda darinya agar berkahwin dengannya. Ini tidak mungkin akan berlaku, sebaliknya kalaulah ini sampai kepengetahuan isterinya, pasti rumah tangga mereka akan kiamat terlebih dahulu dari kiamat sebenarnya.

Abdul Jabar harus segera berusaha dan mencari jalan untuk menghalang kerja gila yang hendak dilakukan oleh Saira Banu itu. Abdul Jabar menganggap Saira Banu macam anaknya sendiri, bagaimana pula hendak dijadikannya isteri. Berdiri bulu roma Abdul Jabar apabila dia sempat membayangkan sebentar andai Saira Banu itu menjadi isterinya. Abdul Jabar bekirik macam orang makan ‘asam jelayan’.

Abdul Jabar cuba mencari lelaki yang sepadan dengan Saira Banu, kalau perlu Abdul Jabar akan menyara makan pakai lelaki itu seumur hidup asalkan dia terlepas dari cengkaman maut Saira Banu yang masih mentah untuk mengenal dan menjalani corak serta warna-warni kehidupan yang sebenarnya itu.

“Aku bukan barang mainan, aku punya hati dan perasaan juga cinta yang mendalam terhadapmu.” Kesungguhan Saira Banu membuatkan perut Abdul Jabar menjadi kecut, gundah dan tidak berwibawa. Perutnya yang sedikit maju kedepan itu terasa kosong bagaikan sebiji belon, dan paling mutahir dunia ini dirasakan oleh Abdul Jabar umpamanya tidak ada cahaya matahari.

“Tapi apa yang kau minta ini terlalu berat dan aku tidak berupaya untuk menunaikannya…” Jawab Abdul Jabar jujur. Abdul Jabar tidak sanggup menatap wajah Saira Banu, dia kesihan melihatnya.

“Atau kau takut pada isterimu…? Dan kerana itu kau mencari helah untuk menolak cintaku…!” Tebak Saira Banu macam seorang gadis yang sudah matang.

“Umur kita jauh berbeza…” Satu alasan tipis yang dibuat-buat Abdul Jabar.

“Ada wanita yang berumur lebih dari seratus tahun dan berkahwin dengan lelaki berumur dua puluhan. Itu tidak mustahil jika terjadi pada diri kita berdua…!”

“Aku hairan mengapa kau jadi begini Saira…?”

“Kerana aku sudah bosan pada apa yang telah kau berikan padaku, semua itu cuma janji kosong yang tidak lebih dari sebuah mimpi mahupun angan-angan...!”

“Jadi sekarang kau mau apa …?” Abdul Jabar memberanikan diri walau pada hakikatnya dia masih seratus persen takut.

“Aku sudah jemu dengan alam fantasi…aku inginkan dunia realiti yang ada bumi terbentang luas, di mana nanti kaki aku ini boleh berpijak…” Saira Banu.

“Lebih baik kau hentikan keinginanmu yang mustahil itu…!” Abdul Jabar.

“Aku bosan bermain dalam fikiranmu yang terlalu banyak imaginasi itu, sehingga kini aku masih berada di awang-awangan dan tidak mampu berdikari.” Saira Banu kesal kerana selama ini menurut dan mengikuti arahan Abdul Jabar.

Abdul Jabar masih dibayangi ugutan Saira Banu. Bagaimana pun Saira Banu harus disingkirkan dengan serta merta, jika terlambat walau sesaat pasti rumah tangganya akan hancur dan musnah. Ini bukan satu gurauan…ini kesungguhan malah kepestian. Saira Banu benar-benar menginginkan Abdul Jabar menjadi suaminya.

Terlintas juga difikiran Abdul Jabar untuk berjumpa dukun, agar Saira Banu tidak tergila-gilakan dirinya. Tapi nalurinya membantah kuat supaya jangan berbuat perkara yang karut marut dan sia-sia itu. Abdul Jabar tidak mahu menambah dosa lagi, cukuplah dengan dosa-dosanya yang telah lalu.

Abdul Jabar habis fikir, sebelum terlambat dia akan bertindak dan berbuat sesuatu kepada Saira Banu. Tapi Abdul Jabar tidak tergamak memperlakukan Saira Banu sedemikian yang sudah dianggapnya macam anaknya sendiri itu. Kiranya pun bukan pada Saira Banu, Abdul Jabar juga tidak akan sanggup melakukannya.

“Kalau kau hendak bunuh aku…silakan…!” Saira Banu mencabar, nekad.

“Bagaimana kau tau semua ini…?” Abdul Jabar bingung.

“Kau adalah aku dan aku adalah kau...!” Saira Banu ketawa macam anak pontianak sambil memandang wajah Abdul Jabar. Bola matanya yang bulat ‘menjeranang’ itu sungguh menyeramkan Abdul Jabar.

“Jangan buat aku jadi gila…” Abdul Jabar tergamam, dia baru berniat tapi sudah diketahui oleh Saira Banu apa yang ada dalam kepala otaknya yang tengah berserabut itu.

“Kalau kau bunuh aku…aku akan mati, selepas itu kau pula yang akan mati di tali gantung macam cicak kering kerana membunuh aku…!” Ketawa Saira Banu kali ini semakin kuat ‘salahbida’ cucu cicit pontianak. Abdul Jabar semakin seram.

Otak kepala Abdul Jabar seakan berkecai digelek oleh lori membawa kontena. Sudah banyak manusia yang ditemuinya dengan palbagai watak dan kerinah, tapi tidak sama dengan yang satu ini, tidak mudah dilentur untuk dijadikan apa-apa seperti yang dikehendakinya.

Saira Banu mesti dihapuskan, Saira Banu tetap dibunuh. Saira Banu wajib mati dengan menghalalkan apa jua cara, asalkan Saira Banu sah menjadi mayat. Itu adalah jalan terakhir yang akan diambil oleh Abdul Jabar. Abdul Jabar terpaksa menjadi orang gila, dan bertindak gila walaupun sebenarnya Abdul Jabar tidak gila.

Abdul Jabar memandu kereta dengan laju menyebabkan isterinya menjerit ketakutan. Biasanya Abdul Jabar tidak pernah memandu selaju itu, Abdul Jabar adalah salah seorang pengguna jalan raya yang bertemadun.

Abdul Jabar nekad untuk membunuh Saira Banu yang sekarang duduk di sebelah kirinya itu. Tapi Abdul Jabar tidak sedar orang yang bersamanya di dalam kereta itu ialah isterinya dan bukan Saira Banu yang hendak dibunuhnya itu.


Abdul Jabar benar-benar sudah separuh gila, dia nekad hendak membunuh Saira Banu walaupun dia sendiri yang akan turut terkorban. Abdul Jabar sudah tidak tahan lagi dengan ugutan dan paksaan Saira Banu yang tidak tahu diri itu. Jalan terbaik dan terakhir adalah membunuh Saira Banu dalam satu kemalangan jalan raya, seperti yang hendak dilakukannya sebentar lagi.

Abdul Jabar tidak mahu mengkhianati isterinya, kerana itu dia rela jadi pembunuh daripada berlaku serong terhadap isterinya. Isterinya semakin panik dan cuba membuka pintu kereta hendak terjun keluar, tapi Abdul Jabar cepat menarik tangan isterinya yang disangkanya Saira Banu itu.

Malang itu sememangnya tidak berbau, sebiji batu besar bergolek betul-betul di tengah jalan hadapan laluan Abdul Jabar. Abdul Jabar cuba mengelak tapi sudahnya kereta yang dipandunya terbabas melanggar penghadang jalan dan jatuh menjunam ke dalam gaung.

Isterinya menjerit diikuti oleh Abdul Jabar setelah kereta mereka melayang-layang macam kertas di udara. Abdul Jabar sempat melihat wajah isterinya yang disangkanya Saira Banu itu, memegang kuat tangannya sebelum kereta mereka meletup dan akan terbakar bersama-sama mereka.

“Allah hu akbar…!” Jeritan terakhir Abdul Jabar.

Abdul Jabar jatuh dari kerusi depan komputernya. Sinopsis dramanya bertaburan di atas lantai bilik kerjanya itu. Abdul Jabar terlelap seketika kerana terlalu letih. Peluang itu dimanfaatkan oleh Saira Banu watak utama dalam dramanya itu keluar dan berdialog langsung dengan Abdul Jabar.







 

blogger templates 3 columns | Make Money Online