Beberapa ekor burung merpati putih yang berterbangan di kawasan lapang Masjidil Haram itu, mulai menghurungi Munawar yang baru saja beberapa langkah keluar dari pintu nombor satu Masjidil Haram itu. Sepertinya burung-burung merpati putih itu sudah lama mengenali Munawar.
Burung-burung merpati putih itu seolah-olah menghendaki sesuatu dari Munawar, tapi Munawar tidak mengindahkannya kerana dia sudah biasa dan memahami akan telatah burung-burung merpati putih seperti itu.
Munawar meneruskan perjalanannya di celah-celah kesesakan manusia yang tidak banyak mengambil tahu tentang hal orang lain itu, kerana masing-masing punya urusan dengan Allah. Adakalanya berlaga sesama sendiri sepertinya mereka itu tidak punya tujuan tertentu kemana hala yang hendak dituju sebenarnya.
Setibanya di lorong depan hotel tempat dia menginap, Munawar membeli dua bungkus bijirin dari penjual remaja wanita hitam yang juga berpakaian serba hitam entah dari negeri mana, begitu ligat kejar sana kejar sini bagaikan lalat yang sentiasa hendak hinggap di badan itu.
Penjual-penjual itu baik kanak-kanak, remaja mahupun orang yang sedang muda tidak kering gigi bersuara dengan nyaring dan lantang, berebut-rebut menyurung-nyurungkan barangan jualan mereka agar mendapat perhatian. Ada ketikanya pula berlaku pergaduhan sesama mereka sendiri yang pada akhirnya seorang sahaja yang bertuah.
Munawar mengeluarkan wang kertas satu riyal dua keping lalu memberikannya kepada penjual remaja wanita hitam itu. Penjual itu mengambilnya dengan kasar, gelujuh, tanpa sofan santun apalagi untuk berterima kasih jauh sekali. Begitulah realiti kehidupan mereka seharian yang tidak dapat dipisahkan dari kekasaran. Mereka juga tidak segan-segan memaksa untuk membeli barang-barang yang mereka jual, kerana nilai satu riyal itu amat bererti buat mereka.
Munawar menaburkan habis dua bungkus bijirin itu, burung-burung merpati putih yang berselerak mematuk rezekinya itu nampak begitu riang sekali. Munawar tersenyum melihat gelagat burung-burung merpati putih yang berkerumun mematuk bijirin yang baru saja ditaburnya itu, padahal masih banyak lagi bijirin yang belum habis. Dua tiga kali patuk…pandang kanan dan pandang kiri, seolah-olah ada makhluk lain yang hendak merampas hak mereka itu.
‘Rupa-rupanya burung pun mahukan makanan yang segar’. Itu bisik hati Munawar.
Munawar terkejut apabila seekor dari burung merpati yang asyik mematuk bijirin itu terbang dan hinggap di atas bahu kanannya, yang tersampir sahal berkotak-kotak putih dan bergaris hitam macam sahal Yassir Arafat itu. Pada mulanya Munawar terasa hendak menjerit juga, walaupun menjerit itu bukan senjata orang lelaki.
Munawar tersenyum sekali lagi apabila teringatkan peribahasa ‘…jinak-jinak merpati…’ Munawar melirik paruh burung merpati itu yang cuma seinci dari jarak bola matanya, nasib baik burung merpati itu tidak mematuk matanya.
“Kau jangan nak tunjuk lagak jinak dengan aku…!” Suara dalaman Munawar, dia tahu perangai merpati yang sering berlagak jinak jika mahukan sesuatu. Apa lagi seumur hidupnya yang tidak pernah dihinggapi haiwan ataupun unggas, jangan katakan burung merpati…anak ayam pun tidak pernah.
“Kau tentu tau dengan tabiat aku…?” Suara hati burung merpati itu seolah-olah mengerti bahawa Munawar sedang menempelaknya.
“Kerana itulah kau jangan cuba-cuba hendak mempermainkan aku, kalau dah merpati itu…merpati juga…!” Sambung bisikan hati Munawar.
“Itulah kamu selalu berprasangka negatif terhadap kami, tapi sebenarnya kami tidak macam itu”. Bantahan naluri burung merpati itu bergema lagi di telinga Munawar.
“Jangan nak berdalih…itu kenyataan”. Munawar melayani perasaannya.
“Sebenarnya semua itu adalah perangai kamu, tapi kamu pandai-pandai pula mengalihkannya kepada kami”. Burung merpati itu tidak mahu kalah.
“Mengaku sajalah…habis cerita…” Munawar juga tidak mahu mengalah.
“Mana boleh…kami juga wajib mempertahankan harga diri”. Merpati itu semakin berani hingga menimbulkan kedaulatan harga diri mereka.
“Betulkah kamu ini punya harga diri…?” Munawar sepertinya mengejek. Memang mengejek.
“Kamu ingat manusia saja punya harga diri…!” Burung merpati pula macam menempelak. Sememangnya menempelak.
Baru saja tergerak hati Munawar hendak memegang burung merpati cerdik bukan alang kepalang yang bertenggek di atas bahunya itu, terlebih dahulu dengan pantas dan tangkas pula burung merpati itu terbang menyelamatkan dirinya dan hinggap kembali di tanah lalu mematuk bijirin yang masih bertabur dan tidak pernah kurang apalagi habis itu.
Itulah rezeki burung-burung merpati di Tanah Haram itu terlalu mewah. Demikian jugalah ganjaran pahala yang diberikankan oleh Allah dari amal ibadat yang dilakukan, tentunya berselerak di bumi sejehtera itu untuk dikutip oleh para jemaah yang berada di Kota Suci itu, sama ada dalam rangka mengerjakan ibadah haji mahupun umrah.
Tanpa disedari Munawar setiap gerak gerinya sedang diperhatikan oleh seseorang, seorang wanita berumur kira-kira pertengahan tiga puluhan yang berdiri di tepi pintu hotel itu. Wanita itu tertarik dengan perlakuan Munawar yang nampaknya begitu mesra dengan burung merpati putih yang seekor itu.
Kerana terlalu asyik memerhatikan Munawar, wanita itu tidak sedar bahawa Munawar sudah tercegat di hadapannya dan hendak masuk ke hotel itu tapi terhalang oleh wanita itu sendiri.
“Assalamualaikum…” Munawar memberi salam pada wanita itu apabila dirasakannya wanita itu tidak menyedari kedatangannya.
“Waalaikumssalam…” Wanita itu terperanjat dan spontan membalas salam Munawar dengan bercampur sedikit getaran. Wanita itu tersipu-sipu malu dan menguntum senyum yang dipaksa lalu memberikan ruang untuk Munawar masuk.
“Saya minta maaf kerana tidak menyedari saudara hendak masuk”. Wanita itu tunduk kerana terasa bersalah.
“Tak payahlah kamu minta maaf…kamu tidak ada salah apa-apa”. Munawar tidak mahu mengguris perasaan wanita itu.
“Saya terlalu asyik memerhatikan saudara dengan burung-burung merpati itu”. Wanita itu berterus terang namun di wajahnya masih terbayang rasa bersalah.
“Saya faham…tapi mengapa kamu asyik memerhatikan saya? Apa pula ganjilnya yang ada pada diri saya di mata kamu…?” Munawar pula cuba-cuba mengait.
Belum sempat wanita itu menjawab tiba-tiba lalu seorang lelaki yang berbadan gemuk pendek entah berbangsa apa yang tergesa-gesa masuk dengan tidak menghiraukan mereka berdua di pintu itu. Munawar terpelanting sedikit ke tepi.
“Itulah diri mereka dengan kekesarannya yang tidak mungkin akan berubah sampai bila-bila”. Wanita itu bersuara sambil mereka berdua beredar sedikit dari pintu itu.
“Sebetulnya kita yang salah…” Munawar menyalahkan diri mereka sendiri.
Wanita itu senyum sambil memandang wajah Munawar dengan tepat dan dalam. Munawar cepat mengalihkan pandangannya ke tempat lain, dia tidak berani memandang sinaran mata wanita itu yang terlalu tajam dirasakannya. Munawar tidak mahu pertembungan anak mata mereka itu nanti didorong oleh nafsu yang akan mengundang dosa, apalagi sekarang mereka berada di Kota Suci.
“Sebenarnya saya suka melihat dan memerhatikan burung-burung merpati itu makan dengan penuh perasaan”. Wanita itu menyambung.
“Lalu apa pula yang kamu dapati daripadanya…?” Munawar ingin tahu.
“Keseronokan…ketenangan dan banyak lagi, sebab burung-burung merpati itu tidak perlu bersusah payah mencari rezeki untuk dimakan setiap hari, jika dibandingkan dengan kita manusia ini”. Wanita itu membuat perbandingan walaupun bukan itu maksudnya yang sebenar.
“Itulah rahmat dari bumi yang di mana kita berpijak sekarang ini, bukan saja untuk haiwan mahupun unggas seperti burung-burung merpati itu, malah pada kita manusia juga”. Munawar meluahkan pendapatnya saduran dari ceramah-ceramah yang didengarnya dari ustaz-ustaz ketika berada di Brunei.
“Sudah lama kita berbual…saya Raudah…” Wanita itu baru teringat untuk memperkenalkan dirinya pada Munawar. Wanita bergelar Raudah itu senyum lagi.
“Saya Munawar…dari Brunei Darussalam”. Munawar merasa bangga apabila menyebut nama negaranya. Siapa tidak bangga pada negara sendiri, burungpun merasakan demikian juga terhadap sarangnya.
“Saya lahir di Singapura tapi dibesarkan di Mesir…dan sekarang saya sedang menuntut di sini”. Raudah menyambung walau tidak diminta menceritakannya.
“Saya tidak tahu rupa-rupanya kita tinggal di hotel yang sama.” Munawar.
“Kerana itu saya berani memerhatikan Munawar”. Raudah.
“Apakah semua itu akan menjadi kajian Raudah nanti…?” Munawar.
“Tidak…saya tidak membuat apa-apa kajian di sini, saya cuma mengambil jurusan kedoktoran dan tahun ini adalah tahun terakhir buat saya.” Raudah menambah ceritanya.
“Lalu apa yang menyebabkan Raudah tertarik pada semua itu…?” Munawar memerlukan jawaban dari Raudah.
“Saya tahu burung-burung merpati itu memang jinak-jinak belaka, tapi saya belum pernah melihat burung merpati putih yang sejinak itu hingga berani hinggap di atas bahu Munawar”. Raudah nampak semacam hairan. Memang hairan.
“Mungkin merpati itu menguji kesabaran saya, kerana di sini sabar itu amat penting sekali”. Munawar saja-saja memberikan andaian.
“Selesai belajar nanti…adakah Raudah akan terus pulang ke Mesir…?” Munawar saja-saja bertanya.
“Mungkin tidak…saya bercadang hendak ke Singapura untuk berjumpa dengan nenek saya di sana.” Raudah.
“Kalau macam itu Raudah masih mempunyai keluarga di Singapura…?”
Munawar menanti-nantikan jawaban, tapi tidak terdengar apa-apa jawabanpun dari Raudah. Munawar baru sedar rupa-rupanya Raudah sudah menghilangkan diri. Bagaimana pun Munawar tidak berputus asa kerana dia tahu ada masanya nanti mereka akan ketemu juga lagi kerana mereka tinggal di hotel yang sama.
Sebenarnya Raudah mengelak dari berbual terus dengan Munawar, kerana dia tahu Munawar itu bukan tunangannya yang telah meninggal di Mekah setahun lalu, ketika mereka sama-sama menuntut ditahun kedua dahulu.
Apapun yang dapat dirasakan oleh seorang wanita seperti Raudah seakan telah mendapat satu kepuasan melepaskan rindunya pada tunangannya melalui orang lain iaitu Munawar.
Raudah dalam hayalannya meletakkan dirinya bahawa Munawar adalah tunangannya yang telah meninggal dunia itu dan dia sendiri adalah merpati putih yang hinggap di bahu kanan Munawar itu, sehingga terungkap dalam hati kecilnya yang tidak diketahui oleh sesiapa.
‘…andainya merpati putih itu aku…’
Sejak pertemuan pertama itu Munawar tidak bertemu lagi dengan Raudah seperti yang diharapkannya, walau ternyata mereka tinggal dalam sebuah bangunan. Munawar sangat-sangat mengharapkan pertemuan seterusnya tapi berlainan pula dengan kehendak Raudah.
Raudah mahu menoktah pertemuan itu kerana menyedari bahawa Munawar bukanlah tunangannya, Munawar cuma kebetulan ada sedikit iras dengan tunangnya yang sudah pergi buat selamanya itu. Raudah berkunjung ke Mekah untuk menuntut ilmu sambil beribadat, dan menerima dengan redha segala ketentuan dari Allah yang dinamakan takdir itu.
Beberapa hari selepas itu baru Munawar mengetahui bahawa Raudah sudah pun keluar dari hotel itu dan mungkin menginap di hotel lain. Munawar mengusap-usap wajahnya dan tidak terfikir sebelum ini rupa-rupanya ada juga insan yang seiras dengan wajahnya.
Sambil berjalan pulang ke hotel setelah selesai menunaikan solat Asar berjemaah, Munawar teringat pada pepatah Melayu…pelanduk dua serupa. Kemudian dia tersenyum dan berbisik seorang diri…mengapa tidak unta dua serupa…?
Munawar tidak dapat menahan geli hatinya, dia ketawa apabila mengingatkan gelagat dirinya sendiri itu. Baru saja beberapa langkah ke hadapan tiba-tiba Munawar terhenti semacam ada orang menahannya, serentak dengan itu ada sesuatu yang jatuh di atas bahu kirinya.
Dengan cepat tangan kanan Munawar mendakap di bahu kirinya dan Munawar merasakan ada sesuatu benda yang licak menyentuh tapak tangannya. Munawar merasa jejek kerana terpaksa menerima setompok hadiah dari seekor merpati putih yang diajaknya berbicara sebelum ini.
0 Comments:
Post a Comment