PASAR GADONG
PAGI
“Kau
jangan terlalu baik hati Leha…” Mak Nani
punya mulut laser sikit.
“Kita ini sudah tua Nani…apa lagi
yang ada.” Mak Leha bersahaja. Nama penuh Mak Leha…Zaleha, dan Mak Nani pula nama lengkapnya Rusnani.
Mak Leha tidak
kisah dan tidak akan pernah kisah di kedai atau restoran manapun lakinya itu
akan bersarapan. Mak Leha juga tidak
pernah bertanya malah tidak akan bertanya apa-apa kepada lakinya dengan siapa
lakinya itu berjalan, untuk apa-apa yang hendak diapa-apakan umpamanya.
Mak Leha membiarkan
saja lakinya menghirup udara dengan bebas dalam usianya terkini, yang tidak
pernah dirasakannya ketika mereka muda-muda dahulu. Kerana itulah Mak Leha
menghadiahkan sebuah kebebasan untuk lakinya yang juga belum pernah
diberikannya sejak mereka bertahta sebagai suami isteri hingga ke saat ini. (Waktu muda-muda dahulu dibungkus oleh
rasa cemburu).
Kerana itu laki
Mak Leha…Pak Hasan sudah pandai sembang-sembang di kedai kopi, tidak ada sebuah
pun kedai kopi ataupun restoran yang berselirak di pesisiran jalan kecil
kampungnya itu terkecuali dari kunjungannya.
Mak Leha percaya dan cukup kenal hati dan budi lakinya itu. (Namanya suami isteri…).
Kiranya umur
mereka dilanjutkan maka usia perkahwinan mereka akan genaplah empat puluh lima tahun
tidak lama lagi. Mungkin anak-anak dan
cucu-cucunya telah pun merancang sesuatu untuk mengadakan hari ulang tahun
perkahwinan mereka itu.
Pak Hasan baru
lepas dua hari angka usianya tertulis enam puluh tujuh tahun, manakala Mak Leha
sendiri sudahpun meraikan hari ulang tahunya yang ke enam puluh lima tahun minggu
lepas.
“Apapun usulnya kau harus hati-hati
sikit, jangan terlalu memberikan kebebasan pada laki kau itu tanpa kawalan.” Macam memantau kawalan harga barang alunan
kata-kata Mak Nani itu.
Mak Leha yang
selalu dingin, baik dalam percakapan mahupun berbuatan jarang sekali bersikap
agresif. Itu kelebihan Mak Leha yang
tidak ada pada Mak Nani. Dalam bab ini mungkin
Mak Nani betul kerana pepatah ada mengatakan ‘orang lelaki itu umpama
besi, walau berkarat sekalipun masih punya harga’.
“Siapalah yang inginkan orang tua
macam laki aku itu, sudah tak bertenaga lagi dan kurang pula segala-galanya, buka
tutup kain pun tak larat. Juntai sana
juntai sini…” Mak Leha senyum hingga
nampak barisan gigi palsunya tersusun rapi. Mak Nani faham apa yang dimaksudkan oleh kawan
lamanya itu.
Itu perbualan
Mak Leha dengan Mak Nani, kebetulan mereka bertemu di pasar ikan dengan disulami
gelak ketawa yang berpanjangan, sesekali mengundang orang lalu lalang di pasar
itu menoleh ke arah mereka yang akhirnya juga tersenyum simpul melihat gelagat dua
orang warga emas yang cerah-ceria itu walau tidak nampak benda yang tersimpul.
Mak Nani kawan
seperjuangan sehati dan sejiwa dengan Mak Leha, umur Mak Nani muda tiga tahun
dari Mak Leha. Tapi Mak Leha nampak lebih
muda dari Mak Nani, barangkali sejak kecil hingga remaja dan sampai kini Mak Leha
pandai jaga badan.
Sebelum pertemuan
mereka itu Mak Leha sudah pusing keliling beberapa kali dalam pasar itu untuk membeli
ikan yang terpaut di hati. Tapi belum terjumpa
ikan yang bagaimana hendak dibawa pulang, kerana setiap kali Mak Leha ke pasar,
apa yang Mak Leha nampak muka ikan yang serupa itu juga.
“Kau ke pasar ni buat apa…?” Satu pertanyaan entah sedar atau tidak dari
Mak Leha yang tidak disangka-sangka oleh
Mak Nani.
“Tentulah nak beli ikan, takkanlah
nak beli kasut tumit tinggi.” Mak Nani senyum.
Kali ini gigi
palsu Mak Nani pula yang kelihatan, tapi kurang cantik susunannya. Mak Leha senyum sama kerana dia tahu itulah
jawaban Mak Nani yang terang-terangan menyindirnya. Sekali gus Mak Leha tergamit untuk mengingati
detik-detik indah pada zaman mudanya dahulu.
“Rupanya kau masih ingat lagi dengan
kasut kegemaranku itu Nani…” Mak Leha
rasa bangga kerana punya kawan yang masih ingatkan dirinya sampai ke kasut.
“Mana boleh aku lupa.” Mak Nani.
Mak Leha memang
gemar memakai kasut tumit tinggi dan sesuai dengan badannya yang kecil molek
dan lentik itu. Tambahan pula jika memakai
baju kebaya dan berkain lepas, Mak Leha
memang menepati gadis desa yang sejati.
Kerana itulah juga Mak Leha dimahkotakan dengan gelaran ‘Ratu
Kebaya’ pada zaman sekolahnya dahulu.
“Kau nak beli apa pula?” Mak Nani.
“Aku nak beli manik…!” Mak Leha berseluruh.
Tanpa sedar
mereka telah menghalang orang lain yang lalu lalang di lorong dalam pasar itu,
maklum sajalah jika lama tidak berjumpa, suasana keliling pun tidak sempat hendak
diambil kira. Mereka beredar ke tempat lain di sudut pasar itu setelah
menyedari mereka menjadi penghalang kelancaran orang ulang alik dalam pasar
yang riuh rendah macam ‘kaling karam’ itu.
“Kau ada orang gajikah.” Mak Leha menukar tajuk.
“Itulah masalahnya…” Mak Nani menekan sedikit nadanya.
“Kau ini sejak dulu lagi hingga
sekarang cuma masalah saja yang kau cakapkan, bila lagi kau nak berpisah dengan
masalah?” Macam marah alunan melodi Mak Leha.
“Hari
itu aku ambil yang tua, sudahnya aku sendiri yang tidak berselera nak makan.” Terbayang sejenak wajah pembantu rumahnya itu
dimata Mak Nani. Mak Nani bekerek.
“Ambil yang muda…!”
“Lagi banyak masalah…”
“Mengapa…?
“Belum
sampai empat bulan sudah nak balik, alih-alih duit kita yang habis kerana tukar
itu dan tukar ini.” Lapang dada Mak Nani
seolah-olah tidak ada apa-apa benda lagi di dadanya yang terbungkus dengan
tudung mini talkung itu.
“Kalau begitu jangan ambil orang
gaji, macam aku…kalau ada rasa nak makan di rumah baru aku memasak. Kalau tidak biar laki aku makan di luar dan
aku minta tapaukan saja habis cerita.”
Mak Leha pula yang merasa lapang.
Itulah puncanya
laki Mak Leha sudah pandai makan di luar.
Mak Leha pun sudah tidak minat lagi untuk memasak, cuma sekali sekala Mak
Leha memasak jika terasa jemu dengan masakan tapau.
Bagi Pak Hasan
makan di rumah dengan makan di kedai memang ketara bezanya, tapi nak kata
bagaimana jika orang rumah tidak mahu memasak.
Mungkin juga ada benarnya Mak Leha sudah penat untuk memasak, kerana itulah
tidak ada bantahan apa-apa dari Pak Hasan.
Sesekali Pak Hasan
merasa bosan juga makan di kedai yang sama berulang-ulang, tapi oleh kerana
sudah terbiasa semacam tidak senang pula hidup seharian jika tidak makan di
kedai, walau sudah terasa hambar.
RESTORAN TEPI JALAN
PAGI
“Nampaknya kau tak berselera makan hari
ini…?” Tanya Pak Naim kawan rapat Pak Hasan
yang hampir sebaya usia dengannya.
“Tak ada tempat lain kah yang lebih
sedap…?” Pak Hasan sambil menghirup kopi
tariknya yang cuma tinggal satu perempat itu.
“Kalau makan yang sama berulang-ulang
tentulah tak sedap.” Giliran Pak Naim
pula yang menghirup habis teh halia aisnya yang baru kurang satu perdua itu.
“Hari-hari lauk itu juga…gulaipun
itu juga…” Rungut Pak Hasan sendirian.
“Aku rasa semua restoran di sini
sudah kita kunjungi…takkan nak makan pun pergi ke Belait ataupun Temburong…!” Pak Naim membasahi bibirnya yang masih ada
rasa halia itu dengan ketulan ais di dalam gelasnya dan mengunyah yang selebihnya
sebagai pencuci mulut. Karup-karup…!
Pak Hasan sudah tidak
ada selera lagi nak makan di luar, dia ingin makan di rumah seperti sebelumnya. Makan di rumah nyaman…berselera dan tenang,
tidak bercampur baur dengan jerit pekik serta riuh rendah orang ramai yang cuma
memekakkan telinga.
Pak Naim bercadang
hendak membawa Pak Hasan ke sebuah restoran yang dikatakan best
untuk merubah selera. Sebenarnya Pak Naim belum pernah ke restoran itu
walaupun sudah banyak restoran yang dikunjunginya. Entah bagaimana pula Pak Naim terlepas
ingatan pada restoran yang satu ini, mengikut kawan Pak Naim restoran ini baru saja
dibuka minggu lepas.
“Aku nak bawa kau ke sebuah restoran
yang baru dibuka, di sana palbagai masakan ada…sedap-sedap, pelayannya pun
boleh tahan juga…!” Itu kata Pak Naim dari
kata orang-orang yang pernah ke situ.
“Kita bukan nak makan orang…” Sahut Pak Hasan jujur.
“Aku bukan bermaksud nak makan pelayan,
tapi nak ubah selera...!”
Pak Naim yang
sudah lama menjadi duda tua itu memang tidak ada masalah untuk terus melaram walau
hingga dua puluh empat jam dalam restoran. (Kalau ada restoran buka sampai
24 jam).
Tapi bagi Pak Hasan dalam dirinya masih
ada tanggung jawab untuk berada di sisi seseorang yang dicintainya Itu gamitan cinta dan kasih sayang serta
luahan perasaan sebenar dari seorang suami kepada seorang isteri walau tidak begitu
dimengertikan oleh seorang yang bergelar isteri itu.
Sebaliknya lain
pula bagi Mak Leha dia merasakan dirinya itu sudah tidak lagi mempunyai keperluan
yang tertentu kepada seorang lelaki tua yang bergelar suami itu. Di satu masa
yang lain pula ada waktu-waktunya kehadiran lelaki tua itu dirasakan Mak Leha cukup
merimaskan yang cuma baginya menjadi teman tidur di atas katil sambil menunggu sebuah
kematian.
Itu akhir sebuah
perasaan Mak Leha ketika ini tanpa diketahui oleh Pak Hasan. Bagaimana pun Mak Leha
masih ingat celoteh Mak Nani agar dia memantau kebebasan yang diberikannya
kepada Pak Hasan itu. Ini perlu dicampur
tolak…dikali bahagi agar samajuganya seimbang.
RUMAH MAK LEHA
TENGAHARI
Hari itu masakan
Mak Leha lebih sedap dari hari-hari biasa. Mak Leha memang pandai memasak, kalau Mak Leha
inginkan glamour sudah lama Mak Leha menerima tawaran untuk beraksi dalam
ruangan mari memasak di televisyen.
Tapi apa yang
Mak Leha rasakan biarlah dia memasak untuk suaminya dan bukan untuk penonton televisyen
yang hanya ghairah melihat cara memasak, tapi jarang yang mahu mempraktikkannya.
Hidangan istimewa
sudah tersedia, baunya saja sudah cukup untuk menceritakan betapa enak dan
nyamannya masakan Mak Leha hari itu. Sebuah
kereta yang agak berjenama juga tiba-tiba muncul dan berhenti di halaman
rumahnya. Mak Leha memerhatikan kereta
itu dan ingin mengetahui siapa yang datang, tapi yang pasti bukan anak-anaknya
apalagi suaminya.
Mak Leha
tertanya-tanya apabila melihat seorang wanita pertengahan umur keluar dari
pintu sebelah kiri dengan memakai kasut tumit tinggi seperti dia muda-muda
dahulu. Sudah menjadi hobi Mak Leha jika
memandang seseorang itu dia akan melihat kasut terlebih dahulu.
Belumpun
terjawab siapa wanita pertengahan umur yang misteri itu, darah Mak Leha menderu
umpama hembusan angin pantai musim kemarau, seorang lelaki yang lebih tua dari
wanita pertengahan umur itu keluar dengan segaknya memakai kaca mata hitam ala
Panca Sitara sedang berjalan bergandingan begitu mesra, malah berpegangan
tangan dengan wanita pertengahan umur itu bagaikan sepasang suami isteri.
Mak Leha tidak
terkata apa-apa, badannya menggeletar…jantungnya berdegup kencang dan nadinya
bedenyut cepat. Lelaki tua itu walau berkaca
mata dan memakai rambut palsu nampak macam orang muda, namun Mak Leha masih
kenal lelaki tua itu ialah suaminya…Pak Hasan.
“Kamu tak payah memasak…kami akan
makan di Hotel…!”
Pak Hasan tanpa
menunggu jawaban dari Mak Leha langsung beredar meninggalkan Mak Leha dengan
diikuti oleh wanita pertengahan umur itu sambil tangan Pak Hasan memegang erat pinggang wanita pertengahan umur itu dengan diiringi
gelak ketawa.
Bagaikan aliran
lahar gunung berapi betul-betul mencurah di atas bumbunan Mak Leha yang
membakar hangus seluruh jasadnya. Wanita
pertengahan umur itu menoleh dan sempat menghadiahkan sebuah senyuman sinis
kepada Mak Leha. Mak Leha luka parah
oleh senyuman yang ‘mengatil’ itu. Mak Leha cuma mampu menjerit…!
“Aaaa.......aaa…….aahhh…!..?..!...hah…!...”
Pak Hasan
terkejut…gelas di tangannya jatuh ke dalam piring di hadapannya ketika baru
beberapa teguk air putih mengalir di kerongkongnya. Pak Hasan begitu berselera makan tengahari
itu tanpa mengejutkan Mak Leha yang tertidur di meja makan itu kerana menunggu
Pak Hasan pulang.
Kali ini Mak
Leha pula yang terkejut, matanya masih berair.
Pak Hasan yang begitu dekat di hadapannya tidak jelas dalam pandangannya. Cepat kedua belah tangannya menyapu dan
mengosok-gosok matanya dengan hati yang berdebar-debar khuatir mimpinya
sebentar tadi menjadi kenyataan.
“Dah lama abang sampai…?” Mak Leha cuba menyembunyikan gelora
dihatinya. Tangannya masih menyapu air
matanya walaupun air mata itu sudah kering.
“Abang tak mau menganggu kamu sedang
tidur…” Mak Leha diam. Degupan jantungnya beransur turun dan
denyutan nadinya kembali normal.
Mimpi Mak Leha sebentar
tadi ada hikmahnya, Mak Leha berazam akan menjadi seorang isteri seperti dahulu
dan sebelum ini. Mak Leha juga tidak
akan membiarkan suaminya makan di luar lagi, dia akan berkhidmat dalam semua
hal. Zahir dan batin untuk suaminya hingga
ke hujung nyawa. Itu tinta emas
dari seorang isteri warga emas.
Beberapa saat
kemudian alunan azan Zohor berkumandang.
0 Comments:
Post a Comment