Monday, May 21, 2012
MESEJ BERGAMBAR
Isyarat mesej
bergambar mobile Eman berbunyi. Gambar
yang tertera di skrin mobilenya itu telah mengheret ingatannya ke beberapa
bulan yang lalu.
Walaupun Eman
tidak perlu terkejut apabila melihat gambar yang dikirim oleh kawannya itu,
sebagaimana terkejutnya dia seperti sekarang ini. Eman terkejut bagaikan orang yang tidak
pernah mengikuti kejadian semasa, umpamanya apa yang berlaku di Asia Barat
khususnya di Semananjung Gaza, Palestin.
Tidak pernah membaca surat kabar, contohnya kemusnahan Gaza itu
dikatakan hingga sepuluh kali gempa bumi.
Spontan Eman
teringatkan dua orang remaja Palestin kira-kira lapan bulan yang lalu, tapi
macam baru semalam Eman bertemu dengan mereka.
Kedua orang remaja Palestin itu kira-kira berusia awal dua puluhan.
Hari itu adalah
hari kedua Eman berada di Kota Madinah al Munawwarah untuk mengerjakan ibadah
umrah. Selesai menunaikan fardhu Isya
berjemaah Eman bersama kawannya ustaz Zali pergi ke kedai buku untuk mencari
buku Sejarah Mekah dan juga Sejarah Madinah yang tidak sempat dibelinya tahun
lepas. Alhamdulillah buku-buku tersebut
masih ada.
Mereka beredar setelah
membaharui wuduk yang sudah batal kerana dirujuh oleh anak-anak perempuan hitam
yang lari lintang pukang cuba menyembunyikan diri mereka apabila ternampak petugas-petugas
yang bila-bila masa saja akan merampas barang-barang dagangan mereka yang diletakkan
di kawasan itu.
Kawasan itu
ditegah untuk berjualan, tapi larangan itu langsung tidak diindahkan oleh mereka,
malah begitu ligat berkeping-keping wang riyal sempat masuk ke dalam kantung
mereka sebelum mereka dihalau.
Ada ketikanya
tanpa disedari mereka itu memegang tangan kita meminta simpati dan mengharapkan
kita akan membeli barang dagangan mereka.
Bagi kita orang-orang Brunei yang tidak begitu senang diperlakukan
semacam itu, akan mudah mengundang rasa marah, kalau tidak ada rasa hendak
marah pun kita terpaksa marah juga dengan tujuan agar mereka takut dan tidak akan
berlebih-lebihan memaksa kita.
Tapi sebaliknya
apa yang kita lakukan itu seolahnya mendorong mereka untuk memujuk kita pula. Itu baru bab pujukan dalam berjualan, menghulurkan
tangan meminta sesuatu itu lain cerita.
Keadaan seumpama
itu sudah tidak asing lagi, baik orang-orang yang berjualan mahupun orang-orang
yang ditugaskan untuk menghalau mereka kelihatannya sama saja. Petugas-petugas itu menghalau penjual-penjual
umpama menghalau kucing-kucing liar agar tidak berkeliaran di hadapan rumah,
atau dengan kata lain…macam menghalau lalat-lalat yang hinggap di atas makanan
yang dijual di Pasar Malam, Gadong. Kan
contoh…!
Bagi penjual-penjual
yang dihalau itu pula cuba berlari dengan derasnya seolah pelari yang baru
berlepas dari garisan permulaan sambil ketawa dan berteriak-teriak. Tapi tidak
lama lepas itu mereka akan kembali lagi dan meletakkan semula barang-barang dagangan
mereka itu di tempat yang sama.
“Kami dari Palestin…” Sahut remaja Palestin pertama dengan ramah, Eman
masih ingat dengan jelas wajah kedua-dua remaja Palestin itu.
Remaja Palestin
pertama itu menjawab dalam bahasa Inggeris, oleh itu tidak payahlah ustaz Zali menterjemahkannya
untuk Eman. Uztaz Zali seorang Guru Ugama
yang boleh berbahasa Arab, baru saja menamatkan tempoh perkhidmatnnya setahun
yang lalu. Sekarang ustaz Zali menjadi
pendakwah bebas yang berwibawa untuk menarik saudara-saudara baru ke dalam
Islam.
Eman semakin
bersemangat bertanya hinggakan kedua-dua remaja Palestin itu berebut-rebut
untuk menjawabnya, apatah lagi apabila remaja Palestin itu mengetahui mereka berdua
datang dari Negara Brunei Darussalam yang cuma mereka dengar mengenai kekayaan
dan keamanannya, tapi langsung tidak tahu di mana letaknya bumi Brunei
Darussalam.
“Syukurlah tuan-tuan sudah merdeka,
apalagi kemerdekaan itu diperolehi dengan aman.” Remaja Palestin kedua pula bersuara dan
berhenti sebentar kerana membetulkan sahalnya walaupun lilitannya masih kuat.
Mengusai sahal seumpama
itu sudah menjadi kebiasaan ataupun tabiat bagi mereka walaupun lilitan sahal
mereka itu belum kendur tapi mereka akan membukanya dan melilitnya semula. Kemudian remaja Palestin kedua itu menyambung
kata-katanya.
“Tidak
seperti kami yang terus berjuang tapi hasilnya tidak tahu bagaimana.” Remaja Palestin kedua itu melepaskan rintihan
yang selama ini cuma tersimpan dalam dadanya.
“Kami sudah merdeka 25 tahun…” Ustaz Zali mencelah.
Ustaz Zali memang
pendiam dan jarang bercakap…namanya ustaz.
Kerana dia tahu banyak bercakap itu akan banyak pula silapnya, banyak
silap tentunya banyak dosa dan seterusnya banyak dosa itu akan pergi ke
N****a. Barang dijauhkan Allah…
“Kami tidak tahu bila akan menikmati
kemerdekaan itu.” Remaja Palestin pertama
pula melepaskan kelohannya. Pengelaman
perang membuatkan mereka lebih dewasa dalam percakapan dari usia mereka yang
sebenarnya.
“Nyawa orang-orang Yahudi lebih
berharga dari nyawa kami, satu nyawa orang Yahudi melayang akan ditebus dengan
seratus nyawa kami orang-orang Palestin, itupun masih belum mencukupi.” Luahan hati remaja Palestin kedua sambil
menarik nafas panjang, dan nafas itu bila-bila masa saja akan berhenti jika
mereka berada di Palestin sekarang.
“Kami
akan terus berjuang walau cuma dengan beberapa ketul batu yang dapat kami lemparkan
ke kereta kebal mereka.” Sambung remaja
Palestin pertama.
Apa yang
dikatakan oleh remaja Palestin pertama itu memang terbukti, mereka cuma melempar
dengan batu atau apa saja kepada musuh mereka walaupun lemparan itu tidak
memberi bekas apa-apa kepada objek yang dilempar, malah sebaliknya anggota
tubuh badan mereka pula yang akan berkecai apabila lemparan itu dibalas dengan
logam berapi dari senjata musuh yang tidak pernah kenal apa-apa sama seperti
tuannya juga.
“Entah-entah kami cuma akan
menikmati kemerdekaan apabila kami mati nanti.”
Celah remaja Palestin kedua yang sepertinya berputus asa dengan senyuman
yang hambar, sehambar cita-cita dan perjuangan mereka selama ini.
Perbualan Eman dan
ustaz Zali dengan ke dua remaja Palestin itu terhenti kerana laungan azan Isya’
sudah berkumandang. Begitu sayu dan
syahdu seruan Allah…bergema di ruang angkasa Masjid Nabawi yang mulia itu, meresap
ke dalam urat saraf setiap muslim yang mendengarnya. Itulah Madinah…Kota Nabi, di mana Jasad
Kekasih Allah itu bersemadi di dalamnya.
Eman dan ustaz Zali bersalaman sebelum mereka
berpisah, kedua remaja Palestin itu juga beredar dan seterusnya menghilang di
celah-celah orang ramai di kawasan Masjid Nabawi yang luas…indah dan tenteram itu.
Sedang Eman melayari
ulang tayang rakaman perbualan mereka dalam benaknya, tiba-tiba isyarat mesej mobilenya
berbunyi lagi. Kantung imbas kembalinya pecah
terburai dengan sertamerta, cepat Eman menyambarnya tanpa menunggu bunyinya
berhenti. Mesej itu datangnya dari ustaz
Zali.
“Ada sudah gambar yang aku kirim
tadi…?” Cuma itu yang tertulis.
Eman sepertinya
tidak percaya pada gambar yang dikirimkan oleh ustaz Zali itu ialah wajah salah
seorang dari dua remaja Palestin yang baru sebentar tertera di skrin ingatannya. Wajah remaja Palestin itu nampak tenang dalam
menghadapi kematiannya walau seluruh tubuhnya berlumuran darah.
Tentunya itu darah
perjuangan yang ingin bebas dan merdeka.
Eman pasti semua itu adalah habuan selaku terima-balas dari sisa-sisa
beberapa ketul batu yang telah mereka lemparkan kepada manusia yang bernama Yahudi
yang bukan lagi bergelar manusia itu.
Sepatutnya Eman
tidak menangis apabila melihat wajah dalam gambar itu, kerana wajah dalam
gambar itu bukan miliknya dan bukan keluarganya, dengan kata-kata lain bukan
apa-apa pada Eman. Tetapi mengapa Eman
merasa sebak dan terdorong hendak menangis…?
Eman menatap
wajah remaja Palestin itu yang seakan tidur dengan nyenyaknya dalam sebuah
kedamaian. Benar dan tepat sebagaimana yang dikatakan oleh remaja Palestin itu,
ketika berada di Bumi Madinah al Munawwarah.
Dan sekarang dia sudahpun menikmati kemerdekaan dalam kematiannya, apa
yang diungkapkannya benar-benar menjadi kenyataan.
Eman tidak mahu
menatap wajah remaja Palestin yang menyayat hati itu lebih lama. Eman cuma dapat mendoakan remaja Palestin itu
agar damai di atas ranjangnya yang abadi dan menghadiahkan al fatihah ke atas
rohnya. Amin…!
Posted by Maya Brunei at 7:42 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment