Sang Tiger (Raja Belukar) jiran sempadan Sang lion yang dulunya pernah bermusuhan begitu lama juga tidak berkata apa-apa. Bersedih tidak bergembira pun tidak. Sang Tiger lebih senang duduk dan diam. Pandang dan dengar. Kerana Sang Tiger sudah merasakan perit dan getirnya berjiran sempadan dengan Sang Lion yang suka bercakar dan berungkup itu.
Bagaimana pun kata manusia ‘cubit peha kanan yang kiri pun akan terasa juga’ begitulah Sang Tiger, dia juga merasa sedih dan kesal atas kejatuhan Sang Lion itu yang banyak di bantu oleh rakyatnya sendiri. Sang Lion memang banyak musuh yang sanggup menjadi pengkhianat asalkan Sang Lion jatuh dan hilang kuasa.
Pengkhianatan dari dalam inilah yang membuka luas dan lebar mulut musuh-musuhnya yang seperti cendawan itu mengambil kesempatan yang diketuai oleh Sang Serigala pepat di luar tetapi rencung di dalam. Sang Serigala menabur janji manis kepada musuh-musuh dalaman Sang Lion, akan membebaskan mereka dari cengkaman Sang Lion seandainya kerjasama diberikan kepada Sang Serigala.
Sang Serigala yang berwajah talam dua muka dan punya lidah bercabang itu masih mencatat Sang Lion dalam black listnya yang mustahil akan terhapus walau sampai hari kiamat itu, akan tetap membikin Sang Lion menjadi kojol dan menjadikan Belantaranya banjir dengan darah yang menghanyutkan bangkai-bangkai yang tidak berharga.
Selama kuasanya Sang Lion memang tidak boleh duduk diam. Dia gemar bersengketa. Jiran-jirannya tidak banyak bergaul dengannya kerana takut dengan resminya yang suka dengan perkelahian itu. Sang Lion sering dibayangi oleh musuh-musuh dalam Belantaranya, kerana itu Sang Lion diam-diam menghapuskan musuh-musuh dalam Belantaranya sendiri kerana tidak mau Belantaranya itu jatuh kepada musuh-musuh lamanya.
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib Sang Lion yang tidak menyangka rakan-rakannya sendiri, sahabat-sahabatnya yang paling rapat dan dekat dengannya ‘bagaikan kuku dengan isi’ sanggup berpaling tadah dan membuka jalan yang mudah kepada musuh-musuhnya sehingga dia jatuh tersungkur tanpa disambut oleh siapa-siapa.
Sang Tiger tidak mau ‘melepaskan anjing tersepit’ kerana selama ini dia kenal siapa Sang Lion yang sebenarnya. Sang Tiger juga tidak ingin menuai hasil yang disemainya atas kejatuhan Sang Lion itu, kerana Sang Tiger juga termasuk dalam black list Sang Serigala yang terpahat sebagai musuh-musuhnya yang wajib disingkirkan.
Sudahnya Sang Lion hilang kuasa. Sekarang Sang Lion tidak dapat lagi membentuk itu dan ini. Sang Lion kehilangan kuku dan taring, dia benar-benar hilang semuanya yang tinggal cuma jasad dan nyawa yang sudah tidak punya nafas lagi.
Sementara musuh-musuhnya pula begitu girang dan bersemangat menyambut kejatuhan Sang Lion itu ‘kata bersahut gayung bersambut’ terutama Sang Serigala yang menjadi kepala dan pernah menjadi kawan Sang Lion pada satu ketika dahulu semasa Sang Lion bersengketa dengan Sang Tiger.
Sang Serigala tidak boleh dipermainkan apalagi dimain-mainkan. Dengan suara yang nyaring dan lantang sambil menampakkan taringnya, Sang Serigala dengan bangganya melaungkan lagu kemenangannya setelah menumpaskan musuhnya yang lecek seperti Sang Lion itu.
Kini Belantara yang dulunya aman damai dan indah dengan dedaun tumbuhanya yang menghijau menjadi kucar-kacir. Sang Serigala dengan sewenang-wenangnya memasukkan kuncu-kuncunya yang dua kali lima itu berpijak dan berlari-lari girang di tanah Belantara yang bukan miliknya tapi sudah ditaklukinya walau belum diijab-kabulkan.
Penghuni Belantara yang mabuk dan dahagakan kedamaian dan keamanan yang semacam apa mereka inginkan itu, tidak sedar yang mereka sudah ditipu dan tertipu. Mereka juga tidak mengetahui apa maksud sebenar Sang Serigala memberikan pertolongan dan bantuan kepada mereka.
Hari demi hari dan tahun bertukar silih berganti, namun apa yang dijanjikan oleh Sang Serigala untuk mendamaikan Belantara yang semakin hancur itu belum terlakasana. Apa yang jelas dan nampak Sang Serigala dengan kuasa betonya telah berjaya mengalih hasil mahsul dan kekayaan Belantara ke tempat kediamannya nun jauh di daratan sana.
Tanah Belantara semakin hancur. Setiap masa dan waktu ada-ada saja nyawa melayang dan bangkai-bangkai busuk berserakan. Namun tanda-tanda Belantara akan pulih masih terlalu jauh. Jauh dan sejauh-jauhnya. Penghuni-penghuni yang berharap selama ini akan melihat Belantara akan lebih aman dari era kuasa Sang Lion akan menjadi kenyataan. Tapi semua itu cuma mimpi dan igauan di siang hari.
Kekesalan semakin terbayang pada wajah-wajah penghuni Belantara atas tindak tanduk Sang Serigala yang menjadikan mereka batu luncatan dan menambahkan lagi sengsara mereka. Mereka mula bercekaran sesama sendiri dan menyalahkan yang lain. Ini yang Sang Serigala suka dan inilah strategi yang sering diamalkan oleh Sang Serigala terhadap musuh-musuhnya.
Sang Serigala sudah mendapat apa yang diidam-idamkannya sekian lama. Dia berhasil meminum air anggur hitam yang dikatakannya satu ketika dahulu tidak boleh dimakan kerana rasanya masam. Sang Serigala semakin naik tocang tidak mengindahkan segala macam kehendak apalagi bantahan penghuni setempat, walaupun telah menjanjikan sebuah tahta kepada mereka.
Penghuni Belantara mulai sedar dengan permainan Sang Serigala yang dianggap mereka hero kerana berjaya menjatuhkan Sang Lion, tapi malang semuanya itu tinggal janji yang tidak dapat menjelmakan kedamain sebagaimana yang mereka inginkan. Malah lebih kejam dan zalim dari Sang Lion sendiri. ‘Nasi sudah menjadi bubur.’
Sang Rusa maupun Sang Kuda Belang yang nyata-nyata menjadi bahaman Sang Lion semasa era kekuasaannya juga terbayang kesedihan dan kehampaan dengan keadaan sekarang dan cuba membanding-bandingkan dengan kekejaman Sang Serigala yang gila kuasa itu. Mereka mula teringatkan Sang lion. Tapi sayang mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka takut diratah bulat-bulat oleh Sang Serigala.
Terlajak perahu dapat diundur tapi hadirnya Sang Serigala dengan kuncu-kuncunya di tanah Belatara itu memang sukar diundur sebelum mereka berhasil menghancurkan Belantara yang dulunya subur dan indah itu menjadi padang jarak padang tekukur.
Sang Lion selama dia berkuasa memang hidup dalam ketakutan, walaupun dia berhasil membena sebuah empayar yang berpuluh tahun dapat dikecapinya hasilnya. Kerana tanah Belantara yang dikuasainya itu adalah juga hasil dari rampasan kuasa melalui sebuah perkelahian. Akhirnya Sang Lion menang dan berkuasa.
Sang lion tidak suka kepada kawan-kawan dan juga jiran-jirannya yang bersekungkul dengan Sang Serigala. Kerana itu dia sering bermusuhan dengan kawan-kawanya yang bersikap begitu. Kerana itu juga kawan-kawannya harus hati-hati apabila bersalaman dengan Sang Lion ini.
Kini musuh-musuhnya begitu geram melihat Sang Lion walaupun Sang Lion berada di dalam kurungan. Sang Lion pula tidak gentar walaupun berdepan dengan Sang Serigala sendiri. Nasib hidup atau mati Sang Lion tergantung kepada kawan dan teman yang dulu sebulu denganya, tapi mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana nasib mereka juga sama.
Kini Belantara cuma menunggu waktu dan detik untuk menjadi hamparan bagi sebuah perkuburan yang menjadi tugu peringatan tentang kehancuran sebuah empayar Sang Lion. Tanah Belantara belum tahu milik siapa, apakah dia akan menjadi milik Sang Serigala yang bongkak itu ataukah akan kembali menjadi milik peribumi Belantara yang sudah dirobotkan oleh Sang Serigala itu.
Tanah Belantara semakin hancur. Sedikit demi sedikit dirobak rabekkan oleh kuncu-kuncu Sang Serigala yang semakin ganas dan mengganas itu. Alam seolah-olah tidak tahu apa yang terjadi kepada Belantara gara-gara kegilaan dan kerakusan Sang Serigala memamah sesuka hati setiap inci isi Belantara yang bukan miliknya itu.
Penghuni Belantara sudah hilang sabar, mereka berani mati menentang tali barut dan kuncu-kuncu Sang Serigala dan mengusir keluar dari tanah Belantara mereka. Sang Serigala yang tidak suka ditentang seperti itu semakin marah dan membuatkan tanah Belantara bermandikan darah berlipat ganda.
Sang Serigala semakin benci pada Sang Lion walaupun sudah terkurung tidak dapat berbuat apa-apa. Sang Serigala mau Sang Lion cepat mati dan messinya untuk menghancurkan Belantara berhasil. Kerana itu nanti namanya akan dijulang ke seluruh alam kerana dapat menjatuhkan Sang Lion yang terkenal garang dan kuat itu. Inilah impian Sang Serigala dan inilah juga cita-citanya setelah messi bapanya dulu tidak berhasil.
Sang Lion menikmati cebisan hidupnya yang cuma tinggal sedikit. Tidak perlu banyak fikir untuk itu dan ini seperti ketika era kekuasaannya dahulu. Tidak usah menghitung kira hari-hari esok siapa akan menjadi mangsa kerana cuba menentangnya. Kerana sudah nyata mustahil Sang Lion akan dapat berkuasa kembali.
Dengan tabah Sang Lion terpaksa akur menjalani hidup sebagaimana yang ditajanya dan sekarang dia akan menuainya sendiri walau dengan penuh kekesalan. Terbayang di ruang matanya lukisan kehidupan maupun kematian yang bagaimana akan berlaku ke atasnya nanti.
Dalam perjuangan berani mati penghuni Belantara untuk merebut kembali hak milik mereka dari cengkaman Sang Serigala yang semakin ganas itu, mereka tidak sedar bahawa hero yang satu ketika dahulu membela nasib mereka telah mati tergantung dalam kurungannya.
Berakhirlah nafas Sang Lion yang pernah mengharumkan tanah Belantara di mata alam walau dengan noda dan dosa tanpa iringan titisan air mata. Perginya tidak teriring dan jatuhnya juga tidak bersambut. <>
0 Comments:
Post a Comment