Tuesday, February 16, 2010

Akukah Lilin Itu...?

Barangkali orang yang seperti ‘aku’ inilah yang dikatakan umpama ‘sebatang lilin’ menerangi yang lain tapi membakar hangus diri sendiri.

Itu bisik hati Cikgu Sitah, kadang-kadang Cikgu Sitah merasa kesal menjadi seorang pendidik anak bangsa, sedangkan Cikgu Sitah sendiri gagal sebagai seorang ‘ibu’ untuk menjadikan anaknya sendiri menjadi harapan bangsa dan negara, walau dalam satu ruang yang lain Cikgu Sitah berjaya memberikan ilmu kepada anak-anak watan yang bakal mengungkayahkan negara dalam erti kata menjadikannya ‘aset negara’.

Bola mata Cikgu Sitah berlinang lagi, walaupun dia tahu hidup ini sudah ditentukan oleh Tuhan dengan acuan masing-masing yang dinamakan takdir, tapi di ruang hati Cikgu Sitah merasa sedih kerana tidak dapat memberikan kepada anak-anaknya sendiri apa yang telah diberikannya kepada anak-anak didiknya.

Sebagai seorang ibu yang juga sekali gus seorang pendidik yang memberikan ilmu sudah merasakan cukup pada apa yang telah diberikannya kepada anak-anaknya selama ini, untuk menjadikan diri mereka orang yang berguna dalam masyarakat dan negara.

Apa yang dilakukan Cikgu Sitah dengan jujur dan ikhlas selama ini bukanlah kerana bayaran bulanan sebagai upah semata-mata, malah sudah menjadi tugas dan kewajibannya mencurahkan segala ilmu yang ada padanya kepada murid-muridnya. Dari satu sudut yang lain sudah terbukti anak-anak didik Cikgu Sitah berjaya menjadi orang-orang penting dalam mengendalikan jentera negara, walaupun belum sampai mencapai ke tahap menjadi menteri.

Apapun selaku orang yang percaya pada qada dan qadar semua itu datangnya dari Allah, manusia cuma merancang sedangkan Allah yang menentukannya. Maka dengan rendah hati Cikgu Sitah redha menerimanya kerana semua itu adalah ketentuan Allah dan mengharap akan ada hikmah di sebaliknya nanti.




0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online