Tuesday, May 19, 2009

perjalanan pulang di aidilfitri

PEREMPUAN

Detik-detik masa berlalu pergi

maju terus ke depan

tidak ada kompromi

mau tunggu apa dan siapa

tanpa lihat kiri ataupun kanan

apalagi toleh kebelakang

pepatah mengatakan

masa itu adalah emas

masa itu amat berharga yang harus ditanai

wajib dihitung kira

nilai dan habuannya

sesekali alpa

umpama pedang

ia akan memotong diri

jika lalai kecundang jadinya

oleh itu hargailah masa

setelah ia berlalu walau seindah mana

pun apa bentuknya

tidak akan kembali lagi

mengisi ruang kosong

yang cuma tinggal kesalan

akan meniti seiring usia

jika jauh dari keinsafan.

Memang tersurat selaku insan

ciptaan Tuhan itu tidak akan luput

dari setiap kesalahan

pada dosa yang tidak terpisahkan

dari yang bernama manusia

apatah lagi sudah tercatat

walau belum lahir ke dunia

‘demi masa…sesungguhnya manusia itu

…sentiasa di dalam kerugian…’


LELAKI

Aku nampak…!

remaja lelaki itu telah lama mengembara

sepertinya mencari sesuatu

yang berharga buat dirinya

yang pasti sudah hilang

atau tercicir di dalam perjalanan

remaja itu menyusuri bibir pantai

dengan pandangan sayu

melihat apakah ada biduk yang terdampar

atau serpihan bueh di gigi air.

Remaja itu kemudiannya mengharungi lautan

barangkali ada carikan layar hanyut

di atas golongan ombak

ataukah cakaran batu karang yang keras

memecahkan biduk yang damai

akhirnya remaja itu

menjelajah padang pasir

yang luas terhampar

beralun bagaikan ombak lautan

dihembus ribut pasir yang kencang

umpama lorekan awan di dada langit

di celah-celah ombak pasir itu

ada tulang temulang yang sudah kering

sisa-sisa bahaman Serigala yang lapar

kerana di tempat itu

ada rezekinya yang ditentukan

dulunya remaja itu tersalah langkah

dari langkah-langkah enaknya melodi cinta

kerana cinta itu adalah yang termahal

yang bisa menggadai bangsa

mahupun maruah

kiranya cinta itu berkecai

tidak akan ada ertinya

malah akan membuat orang

jadi gila atau paling tidak

hidup akan tidak punya erti apa-apa.


PEREMPUAN

Aku juga nampak…!

remaja itu terhuyung hayang

tapi bukan gila bayang

apalagi mabuk kuasa

kerana remaja itu

tidak punya apa-apa

cuma jasad dan deraian air mata

sesekali remaja itu mendongak

kemudian tunduk memandang bumi

dengan pandangan yang gelap

kerana kuatnya pancaran matahari

akhirnya remaja itu jatuh tertiarap.

Aku yakin remaja itu ada wawasan

tapi perlukan bantuan

perlu bimbingan

walau remaja itu meracau sambil berjalan

remaja itu masih punya iman

remaja itu fasih menyebut nama Tuhan

syahdu mengucap syahadah

lunak berselawat ke atas Junjungan

tanda menginsafi diri

dengan rendah hati

ingin kembali ke pangkal jalan

meniti jalur-jalur yang lurus dan betul

kerana remaja itu tahu

masa depannya masih cerah

walau remaja itu berulit dengan dosa

kerana Tuhan itu

Maha Pengampun dan Bijaksana….


LELAKI

Biarkan remaja lelaki itu

bersama dengan keangkuhannya

biar remaja itu merasakan

bahawa itulah hasil mahsul

samaian ladangnya

hingga subur berbuah ranum

dan remaja itu sendiri memetik hasilnya

di iringi linangan airmata

dari seorang insan yang bernama ibu

menghitung-hitung hari dan waktu

di setiap denyutan jantungnya

menginginkan dadanya didakap

oleh remaja yang lama menghilang

melepaskan rindu yang terpendam

di hari berkat dan nikmat

Aidilfitri anugerah Illahi

selaku penawar rindu

pelepas dahaga

namun tenang dalam dinginnya

kelimat membesarkan Tuhan

Allah hu Akbar…!


PEREMPUAN

Aku sedikit protes…!

jangan jadikan remaja itu

seperti hidupnya Nakhoda Manis

yang menderita berabad-abad lamanya

akibat merajuknya seorang ibu

rela menyumpah anak menjadi batu

kiranya si ibu itu ujud sekarang

pasti si ibu itu akan memohon

kepada Tuhan pencipta maya ini

agar anaknya dihidupkan kembali

supaya bertobat menginsafi diri

si ibu rela mengampunkan

walau dosa-dosa anaknya

sebanyak bueh di lautan

tapi itulah akibat sombong tidak bertempat

dalam menjalani hidup yang nyata

kalau sekadar wajah si ibu yang comot

cuma dengan berpakaian compang-camping

tidak perlu malu pada sang isteri

biar secantik apa

waima anak seorang raja

kerana semua itu merugikan diri sendiri

tercatat dalam sejarah zaman berzaman

yang tidak akan hapus

selama sejarah masih bernafas

akan tetap dalam ristaan

oleh penghuni zaman

Nakhoda Manis anak derhaka…!

apakah remaja itu membunuh…?

apakah remaja itu merompak…?

ataukah remaja itu merogol…?


LELAKI

Aku nampak dalam gelapnya malam

si ibu itu menadah tangan

tapi bukan ibu Nakhoda Manis

yang telah ditinggalkan zaman

zaman berzaman

memohon sesuatu dari Illahi

buat kesejehteraan remaja dalam dilema

kembali ke pengkal jalan

walau berada di Gurun Sahara

untuk sebuah kehidupan

dengan warna warni perjalanan

yang masih jauh dan panjang.

Bumi mana yang tidak di timpa hujan

lautan mana yang tidak bergelombang

apalagi hidup yang punya nafas

berbaur dengan nafsu dan keimanan

percayalah esok atau lusa

bulan mulia datang lagi

memberi ruang dan waktu

untuk beribadah sebanyak mungkin

penawar lukanya rohani

yang tidak dapat

dibayar dengan wang ringgit

itulah Bulan Ramadhan mulia

walau cuma setahun sekali

tapi cukup menginsafi diri…!


PEREMPUAN

Aku nampak remaja itu bangun

seolahnya terkejut

dari sebuah mimpi yang amat panjang

tentunya mengerikan…!

ataukah mengasyikkan…!

mungkin juga menginsafkan...!

walau sugul tidak bermaya

tapi tampak berwibawa

aku yakin doa ibu remaja itu

di perkenankan Tuhan

redhanya ibu…itulah redha Allah.

Kini remaja bingkas

dengan semangat baru

tidak gentar pada alam keliling

tidak takut hiruk-pikuk syaitan

yang memekik…menjerit…

meronta-ronta…merangkak…dan berlari…

kini remaja terus melangkah

dengan ‘gah’ dan tentunya waspada

menyusur hutan belukar

meredah belantara dengan tekad satu

sambil berzikir memuji Illahi

dengan langkah yang semakin langkau

mengejar sebelum senja berlabuh

kerana remaja itu tahu

Maghirb akan menjelma

remaja itu ingin memperkukuh diri

menjadi manusia yang tahu bersyukur

mengenal Pencipta Berkuasa…

berserah diri sebelum ajal menerpa.

LELAKI

Remaja itu bersimpuh

di bawah kubah rumah mulia

kemudian sujud

dengan sebak di dada

lalu membesarkan Illahi

dengan kelimat suci

bertahmit…!

bertasbih…!

dan bertakbir…!

di hadapan Illahi

dengan linangan dan cucuran air mata

jatuh di atas sejadah nana setia

bak butiran mutiara

yang tiada ternilai harganya

itulah sebuah keinsafan

yang tidak dapat dijual beli

apalagi ditukar ganti

tiada bandingan apa-apa

malainkan keampunan

dari Yang Maha Pencipta

Allah Yang Maha Esa…!


PEREMPUAN

Di bawah kubah rumah mulia

lembutnya hati yang keras membatu

dirinjis bulan mulia

dengan keinsafan

menggigit urat saraf

menggisil tulang sum-sum

terpancar sinar keampunan

untuk remaja khusuk berzikir

di hadapannya ada Pencipta

Yang Pengampun lagi Penyayang

untuk hamba-hamba-Nya

yang tergelincir walau sedalam mana

kecuali menduakan-Nya.

LELAKI

Barang dijauhkan Allah…!

remaja itu masih khusuk berdoa

menginsafi segalanya

sujud menyerahkan diri

kepada Illahi

di bawah kubah yang suci

memohon ianya dimatikan

jika mati itu labih baik dari hidupnya

dan memohon usianya dilanjutkan

jika hidup itu lebih baik daripada matinya

titis-titis air jernih bercucuran lagi

bak ketulan manik-manik terburai

dari susunan ikatan bulatnya rantai

beralun bergisilan sesama sendiri.


PEREMPUAN

Hari demi hari silih berganti

Ramadhan kian ke hujung

dan fajar Syawal menampakkan diri

si remaja muncul dengan wajah berseri

khusuk di Rumah Allah

bertakbir di pagi mulia nan syahdu

tanda kembali bersatu

sekeping hati yang robek

berseri dan bercahaya

seganding iman dan taqwa

yang sekian lama tidak mengenal

antara dosa dan pahala

kerana hanyut oleh geloranya dunia

walhal cuma hiasan luaran semata

yang lebih kilaunya kaca dari permata.

LELAKI

Alhamdulillah…!

perjalanan remaja itu ada hujungnya

keriuhan takbir di pagi raya

menambah cerah ceria wajahnya

walau belum pernah dirasakannya

detik-detik semurni ini

yang sekian lama dicarinya

kini telah diketemukannya

walau menyusuri ribut pasir

doa dan redha seorang ibu

yang sentiasa basah lidahnya

dengan zikir dan takbir

buat si anak remaja

dalam sepanjang perjalanan

pulang ke pangkal jalan.


PEREMPUAN

Di bawah kubah rumah mulia

remaja khusuk menadah tangan

dengan airmata bercucuran

di antara dua khutbah Aidilfitri

aku nampak remaja tersungkur

sujud begitu lama

berkata-kata dengan Tuhannya

memohon kematiannya.

Itulah hakikat sebuah sujud

di hadapan Illahi

Yang Amat Perkasa

Berkuasa lagi Bijaksana

remaja itu sujud…buat selamaya…!


Terbitan Nasional FM Radio Brunei
Sempena Aidilfitri 1430H/2009M

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online