Tuesday, May 19, 2009

mata

07 Julai 2005 : 03.45 petang

Akmal baru saja selesai menaburkan beberapa bungkus bijiran kepada burung-burung merpati yang berselerak begitu jinak di kawasan Masjidil Haram itu, dia pun mula melangkah untuk pulang ke hotel tempat dia menginap. Tiba-tiba dia terperanjat apa bila seorang perempuan tua sambil mengindong anak yang masih kecil menghulurkan tangan kepadanya. Akmal faham perempuan itu menghendakkan sesuatu darinya walau cuma satu riyal.

Begitulah senario biasa di Kota Mekah yang sentiasa dibanjiri oleh manusia berbagai bangsa dan warna kulit dari segenap pelusuk dunia sepanjang musim tidak kira musim haji atau pun bukan. Akmal tidak terkecuali dari menerima tadahan tangan dari seseorang yang juga bergelar hamba Allah, yang tidak ada rasa segan silu untuk meminta sesuatu yang pada saat akhirnya kita sendiri yang perlu berfikir sama ada mau beri atau tidak.

Memang rezeki perempuan tua itu ada pada Akmal. Tanpa banyak karinah Akmal memberikan dua riyal. Perempuan tua itu senyum tapi hambar. Dia tau senyumannya itu tidak disenangi oleh Akmal, kerana itu dia cuma menganggok-anggokkan kepalanya tanda berterima kasih sebelum hilang dicelah-celah sisipan jutaan manusia di perut kota yang penuh hikmah dan berkah itu. Mekah al-Mukarramah.

“Aku memang suka pada gadis yang bertudung, sopan dan menarik”.

“Walau cuma untuk menutup sesuatu..?”

“Iyah…menutup aurat adalah dituntut oleh Islam”.

Gadis itu nampak ayu dan cantik. Walau pun Akmal belum melihat wajah sebenar gadis itu yang sentiasa berselindung di balik purdah hitamnya. Tapi dari rautan alis keningnya yang lentik dan lorekan bola matanya yang sayu itu, sudah cukup untuk menggambarkan dia adalah seorang gadis yang jelita.

“Saya Raftah dari Pattani”. Dia fasih berbahasa Melayu.

“Akmal…saya Akmal dari Brunei Darussalam”.

“Macamana Akmal tau Raftah ini cantik atau…” Raftah terhenti apabila Akmal cepat mencelah.

“Raftah mempunyai sepasang mata yang cantik”.

“Apa kah cuma itu sudah dapat membayangkan kecantikan wajah seseorang..?”

“Sudah tentu. Akmal tertarik dengan renongan mata Raftah yang lembut itu”.

“Akmal memang pandai menggoda”. Raftah memancing sesuatu.

“Akmal belum pernah menggoda apa lagi tergoda”.

“Raftah tak percaya…”. Raftah cuba menyangkal.

“Di sini mana boleh cakap bohong. Raftah memang cantik”.

“Raftah tidak berani menerima pujian itu”.

“Mengapa..?” Akmal pula cuba memancing sesuatu.

“Kerana Raftah tidak cantik sebagaimana yang Akmal bayangkan itu”.

“Kenapa cantik atau hodoh yang sering dipersoalkan, sedangkan itu adalah pemberian Tuhan”. Akmal meminjam kata-kata ustaz.

“Nabi kita ada menyebut. Pilihlah wanita kerana agamanya, kecantikannya dan keturunannya”. Raftah pula menggunakan kata-kata ustazah.

“Semua itu sudah ada pada Raftah”. Akmal cuba meyakinkan Raftah.

“Tidak…Raftah masih kurang satu”. Raftah menyangkal lagi.

“Apa yang kurang..?” Akmal saja-saja bertanya begitu.

“Kecantikan wajah. Raftah tidak memilikinya..!”

Akmal terjaga. Seorang Arab berteriak dan bertengkar kerana tidak dapat masuk ke dalam lift yang sudah penuh di hotel itu. Itulah mereka, mereka dengan keangkuhan masing-masing, siapa tinggi suara besar kemungkinan akan menang walau pun perkara itu diperibahasakan sebagai ‘kacang’ saja.

Akmal masih duduk menunggu kawannya di Loby Hotel sambil memerhati gelagat dan telatah berbagai bangsa yang menjadi penghuni hotel itu yang mundar mandir dan keluar masuk dengan urusan masing-masing. Tidak perlu tegur menegur cuma pandang, jika perlu sesekali main anggok itu sudah cukup.

Akmal ternampak seorang wanita berselubong hitam masuk terus menuju ke kaunter sambil membuka big tangannya. Tanpa disedari oleh wanita itu big kecilnya terjatuh. Akmal nampak dan segera mendapatkan wanita itu lalu memberikan big itu kepadanya. Akmal sekali lagi terperanjat kerana wanita itu adalah Raftah, gadis yang ujud dalam mimpinya sebentar tadi.

“Kau jangan heran semua itu Mal, di sini tidak ada yang mustahil jika sesuatu perkara hendak berlaku”. Kawan sejemaahnya Ajid cuba menenangkan Akmal.

“Apa kah aku ini mimpi atau tidak”. Akmal masih sangsi atas kejadian yang dialaminya itu.

“Jangan fikirkan semua itu, mari kita ke masjid sembahyang dan tawaf. Kita berdoa moga Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita”. Ajid mengajak Akmal agar benda-benda anih begitu tidak lagi menganggu dirinya.

Akmal memperkuatkan dirinya untuk menghadapi kejadian yang sering menganggu itu. Dia masih tercari-cari kenyataan dan kebenaran. Mengapa semua itu harus terjadi padanya. Sebelum ini Akmal juga pernah mendengar cerita dari kawan-kawannya palbagai kejadian yang anih boleh berlaku di Tanah Suci itu. Mekah al-Mukarramah.

Akmal duduk bertafakur di depan pintu Ka’bah sambil bertasbih dan berzikir. Kemudian Akmal bangkit dan beredar hendak balik ke hotel. Tapi sejurus tiba di tangga masjid dia langsung duduk dan bersandar disebuah tiang dekat tangga itu sambil merenung Ka’bah dari kejauhan. Dia mengharapkan pahalanya akan bertambah.

“Yang penting adalah cinta..!” Akmal memulakan perbualan mereka.

“Tapi cinta itu kadang-kadang diperelokkan oleh syaitan”.

“Ibu ku tidak cantik tapi ayah menyintainya dan aku lahir”.

“Cinta yang begitu susah hendak diperolehi pada zaman sekarang ini. Seperti juga iman dan taqwa, terlalu jauh jika dibandingkan dengan zaman Nabi kita dulu”.

“Kau siapa..?”

Akmal baru menyedari dengan siapa dia berkata-kata, dia tidak pernah berjumpa atau melihat orang itu sebelum ini. Seorang wanita terpacak dihadapannya. Wajah wanita itu sangat hodoh membuatkan Akmal begitu ngeri dan tak kuasa untuk memandangnya.

“Masya-Allah..!” Cuma itu yang keluar dari mulut Akmal.

“Akmal..! Kau tidak kenal aku lagi..?” Wanita itu memanggil Akmal.

“Aku tidak pernah jumpa kau..!”

“Itulah telatah manusia mudah saja lupa, kita sering berjumpa dan berbincang tentang cinta dan kecantikan”. Wanita itu cuba mengembalikan ingatan Akmal.

“Kau jangan cuba nak mengelirukan aku, di sini tempat suci jangan cakap yang bukan-bukan”. Akmal seratus persen malah lebih dari itu tetap menyangkal yang dia tidak kenal pada wanita itu.

“Aku tau…tapi aku perlu berterus terang pada mu. Aku Raftah..!”

“Tapi Raftah yang aku kenal bukan begini..!”.

“Kerana Raftah di depan mu sekarang hodoh…”

“Mustahil..!”

“Atau disebabkan wajah aku cacat. Tapi kau telah memuji aku cantik..!”

“Barangkali kau salah orang..?”

“Aku tidak salah orang Akmal. Kau renonglah mataku..!” Raftah menutup wajahnya seketika, cuma matanya saja yang kelihatan untuk memestikan dia adalah Raftah yang sebenarnya.

“Jangan tambahkan lagi kebingungan ku..!” Akmal yakin sekarang didepannya itu betul-betul Raftah yang dia kenal. Tapi bagaimana boleh terjadi demikian..?

“Kau pernah berkata, kau suka dan cinta pada mata ku..!”

“Lalu apa maksud mu..?”

“Aku datang untuk memberikan kedua belah mata ku pada mu”.

“Astaghfirullah al azim..! Jangan kau lakukan perkara yang sia-sia itu”.

“Kau cuma menyintai kecantikan mataku dan bukan wajah ku. Itu bermakna kau cuma menghendaki mata ku”.

“Aku tidak menghendakinya. Pergilah kau dari sini..!”

“Tapi aku harus memberikan mata ku pada mu. Aku tidak mau kau terseksa dengan perasaan mu itu..!”

Wanita itu mencungkil kedua biji matanya dan memberikannya kepada Akmal dengan berlumuran darah. Akmal menjerit ketakutan dan cuba hendak lari, tapi kakinya tergelincir lalu terjatuh. Akmal terjaga dari mimpinya yang menakutkan itu. Mujurlah keriuhan dari jutaan manusia diwaktu itu dapat menenggelamkan jeritan Akmal.

Akmal berdialog lagi dengan Raftah, gadis yang sering muncul dalam mimpi-mimpinya yang nyata. Tapi kali ini Akmal benar-benar bersua dengan wajah Raftah yang sebenarnya. Wajah Raftah tidak secantik seperti yang dibayangkannya. Apa kah dia betul-betul bermimpi atau cuma melakar sebuah khayalan..? Badan Akmal mengigil ketakutan. Cepat-cepat dia bangkit dan terus balik ke hotel.

Malam itu Akmal tidak dapat tidur. Wajah Raftah masih menghantui dirinya. Palbagai usaha telah dilakukan namun wajah itu masih berbingkai dimatanya. Ajid juga telah banyak menolong berbuat sesuatu. Namun kurang berhasil.

“Kau harus sabar. Hadirkan diri mu betul-betul kepada Allah”. Ajid memberikan perangsang pada Akmal. Kerana itu sajalah satu-satunya usaha yang tinggal yang dapat dilakukan oleh Akmal.

Akmal melakukan tawaf sunat selepas waktu Subuh dan duduk berzikir di Hijir Ismail sambil memohon petunjuk dan berdoa minta dijauhkan dari segala fitnah yang datang dari palbagai penjuru. Lama Akmal bertafakur. Hatinya senang dan perasaannya lapang kerana wajah yang sering memburu dirinya itu tidak muncul lagi.

Dalam kesesakan jutaan manusia di Kota Suci yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri yang telah dikurniakan oleh Allah itu, Akmal begitu ligat mencari lubang-lubang kecil dan menyusup lalu untuk mempercepatkan perjalanannya balik ke hotel. Tiba di hotel Akmal terus masuk ke dalam lift yang kebetulan terbuka tanpa menghiraukan ada orang lain dalam lift itu. Dia mau cepat-cepat sampai ke biliknya.

Pintu lift tertutup dan bergerak naik. Tiba-tiba lift terhenti tapi pintunya tidak terbuka. Akmal melihat seorang perempuan bersamanya dalam lift itu. Belum sempat dia melakukan sesuatu tiba-tiba perempuan itu berpaling dan memandang tepat ke wajahnya. Akmal memandang wajah perempuan itu.

“Aku sudah menunaikan kehendak mu dan sekarang aku telah buta..!”

Perempuan itu adalah Raftah. Wajahnya sayu walau tanpa memiliki kedua belah mata. Akmal cuba bergerak tapi badannya terasa berat. Tiba-tiba pintu lift terbuka dan seorang perempuan arab gemok pendek terhinggut-hinggut masuk. Pintu lift tertutup lagi dan bergerak. Akmal melihat keliling dalam lift itu dengan perasaan seram sejuk, dia seolah-olah berada di dalam gua. Bulu romanya mulai tegak apabila dilihatnya Raftah sudah tidak ada.

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online