Dari Safa ke Marwah…satu. Dari Marwah ke Safa…dua. Dari Safa ke Marwah…tiga. Dari Marwah ke Safa…empat. Dari Safa ke Marwah…lima. Dari Marwah ke Safa…enam. Tinggal satu perjalanan lagi untuk menyempurnakan saienya. Mirna merasakan sudah tidak larat lagi untuk meneruskannya dan memaksa dia berehat. Nira temannya juga ikut sama berehat.
Mirna naik ke atas susunan batu-batu besar di Bukit Safa itu bersama dengan jemaah-jemaah yang lain untuk berehat sebelum meneruskan pekerjaan saienya yang belum sempurna itu. Nira ikut naik ke atas batu itu tapi tidak setinggi Mirna. Nira memberikan segelas air zam-zam untuk diteguk di atas batu itu sambil melepaskan lelah dan dahaga mereka.
Menurut ceramah-ceramah yang didengarnya sama ada melalui radio ataupun televesyen atau yang tertulis dalam buku-buku agama, bahawa bukit tempat mereka duduk sekarang itu adalah Bukit Safa yang asal. Antara Bukit Safa dan Bukit Marwah itu adalah jalan lalu lintas orang ramai yang hendak pergi ke pasar pada waktu itu. Yang kini jelas sudah dielok bisaikan oleh pemerintah mengikut keadaan semasa yang dapat memberikan keselesaan kepada jemaah-jemaah yang mengerjakan saie.
Selain dari berehat Mirna dan Nira juga ingin mengambil jika ada sedikit keberkatan bukit itu. Mirna dan Nira merasa lapang apabila berada di atas batu Bukit Safa yang tersusun rapi itu walau agak sedikit lecen dan tajam.
Mirna memerhatikan gelagat dan kaulahan jemaah yang berbagai bangsa dan warna kulit masing-masing begitu bersemangat mengerjakan saie yang bercampur baur dengan bacaan masing-masing memuji keagungan Allah.
Yang lebih ketara keriuhannya ialah jemaah lelaki berkejaran apabila berada di dalam kawasan lampu hijau yang menjadi garis pandu, di situlah bagi jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak seperti yang dilakukan oleh Siti Hajar sewaktu berlari-lari mencari air pada suatu ketika ribuan tahun dahulu.
Perlahan-lahan Mirna menyandarkan badannya pada batu besar itu untuk menyamankan ruang duduknya. Nira yang sedari tadi melihat Mirna keletihan itu membiarkan saja Mirna bersandar dan kemudiannya dia juga ikut bersandar pada batu di bukit yang punya sejarah yang tidak akan lenyap hingga ke akhir zaman itu.
Keriuhan semakin kuat dan bergema memenuhi kawasan Bukit Safa itu hingga menenggelamkan apa-apa perkataan pun selain dari puji-pujian kepada Allah. Itulah bumi Mekah yang sejehtera, sentiasa limpah dengan puji-pujian dan kesyukuran dari manusia-manusia yang beriman kepada Allah.
Kawasan Bukit Safa dan Bukit Marwah itu seolahnya sudah tidak dapat menampung jemaah untuk berulang alik dengan tugas dan ibadat masing-masing. Uniknya masih juga boleh mengerjakan seperti banyak kekosongan. Inilah ketentuan Allah. Ada juga sebahagian jemaah yang bersaie di bahagia tingkat atas.
Mirna dan Nira masih berada diatas Bukit Safa itu bersama-sama dengan jemaah lain yang berbilang bangsa. Mirna menggunakan ketinggian bukit itu untuk meninjau sambil memandang di kejauhan dan merasakan jemaah yang ramai mengerjakan saei itu seakan kerumunan ‘giuk dalam gantang.’ Mirna kagum.
Masih ramai lagi orang-orang yang beriman dan akan terus beriman kepada Allah hingga ke hari kiamat nanti. Bisik hati kecil Mirna. Nira juga merasakan seperti apa yang dirasakan oleh Mirna.
Akibat pantulan cahaya putih dari pakaian jemaah-jemaah yang bersaie itu, pandangan Mirna menjadi kabur dan berpinar-pinar apabila ternampak seorang perempuan yang agak-agak berumur dalam lingkungan lima puluhan tahun sedang berlari sekejap ke sana dan sekejap ke sini dengan tidak tentu arah ke mana hendak ditujunya. Perempuan itu nampaknya amat gelisah.
Pandangan Mirna semakin kabur lantaran panahan panas matahari yang terik seolahnya mau membakar padang pasir dan gunung-ganang yang gondol di sekitarnya itu. Namun perempuan itu jelas pada pandangan Mirna.
Dalam keriuhan yang belum ada tanda-tanda mau reda itu Mirna terdengar jelas suara kanak-kanak menangis seakan kehausan. Bagaimana pula seorang anak kecil seperti itu boleh berada di sini…? Di tempat yang cuma dikelilingi dengan batu-batu kerikil yang keras dan merah yang seakan tidak pernah dicecah oleh walau setitik air pun.
Mirna cuba mencari dari mana datangnya suara kanak-kanak kecil yang sedang menangis itu, tapi pandanganya amat terbatas kerana pantulan teriknya panas matahari waktu itu yang menyebabkan pandangannya tidak sampai di mana suara tangisan kanak-kanak itu berada.
Perempuan yang berlari ke hulu dan ke hilir itu seolahnya mencari sesuatu. Naluri Mirna sebagai seorang ibu juga turut merasakan perempuan itu pasti mencari sesuatu untuk si anak kecil yang sedang menangis itu. Mungkin dia tengah kehausan dan perempuan itu mencari air untuk anak kecilnya itu. Tapi mengapa perempuan itu tidak menyusukan susu dadanya…?
Mungkin juga susu perempuan itu sudah tidak mengeluarkan air lagi. Walaupun perempuan itu nampak sehat dan bertenaga. Itu cuma andaian Mirna yang punya rasa simpati pada perempuan dan anak kecil yang menangis itu.
Kerana itu Mirna spontan teringatkan kisah Siti Hajar yang berlari-lari mencari air untuk anaknya Nabi Ismail ketika kecil yang sedang kehausan seperti yang didengarnya dalam ceramah-caramah agama maupun yang dibacanya dalam buku kisah nabi-nabi.
Tapi mustahil pula semua itu menjelma di depan matanya seperti sekarang ini. Semua kisah itu berlaku pada zaman Nabi Ibrahim dan sekarang ini dia berada dalam zaman internet atau pun zaman ICT.
Apakah kita-kita ini sebenarnya sudah kembali semula ke zaman dulu-dulu…?
Mirna tambah bingung dan semakin bingung. Lalu perasaannya ingin menolong perempuan yang masih berulang alik berlari dan terus berlari mencari sesuatu untuk anaknya itu. Tapi dia tidak tau pertolongan bagaimana yang hendak diberikannya. Dia cuma dapat melihat perlakuan perempuan itu tanpa dapat berbuat apa-apa. Pergerakan Mirna sebenarnya terbatas.
Apa kah perempuan itu benar-benar Siti Hajar…?
Tapi sekarang dia berada di bulan Zulhijah empat belas dua puluh tujuh hijrah, Januari tahun dua ribu tujuh masihi. Mirna berbisik sendirian. Mirna juga mendengar dunia Islam heboh atas hukuman gantung sampai mati ke atas ‘Saddam Hussein’ ketika Umat Islam sedang mengerjakan ibadat haji.
Jangan cuba membayangkan Siti Hajar menjelma di depan mata kamu Mirna…! Itu satu lagi bisikan hati Mirna yang cuba mencari penentu segala apa yang dirakam oleh mata kepalanya sendiri.
Apakah semua itu bisikan busuk syaitan…?
Mirna merasakan mula hendak menangis apabila melihat kesungguhan perempuan itu berlari tidak henti-hentinya untuk mencari walau cuma setitik air. Tangisan si anak kecil itu semakin kuat menambahkan lagi kesedihan yang sudah menumpati dirinya.
Perempuan itu tidak kenal putus asa. Dia berlari dan terus berlari untuk mencari air walaupun apa yang dicarinya itu tidak mungkin diketemukannya. Mirna sempat melihat perempuan itu akhirnya terduduk seakan orang yang berputus asa. Di kawasan yang kering kontang itu mana ada air, yang ada cuma butiran pasir-pasir berterbangan ditiup angin.
Itu adalah kata-kata manusia biasa, tapi kehendak Allah tidak siapa yang tahu…!
Mirna menjerit apabila segelas air zamzam yang masih ditanganya tumpah memercik ke mukanya apabila seorang wanita arab gemuk tergelincir dan bergolek ke arahnya ketika wanita arab itu cuba hendak naik ke atas batu itu.
Sejenak dalam keriuhan yang amat sangat itu, rupa-rupanya Mirna sempat mengambara jauh ke zaman silam ribuan tahun dahulu. Semua ini mungkin pengaruh ataupun penghayatan dari palbagai cerita dalam buku-buku agama yang dibacanya bagi menambah sedikit pengelamannya. Mirna cuma sempat meneguk sedikit lebihan air zam-zam yang hendak di minumnya semasa dia berehat di atas Bukit Safa itu.
Nira cuba untuk menolong wanita arab yang tergelincir itu, tapi tidak sempat kerana jaraknya agak jauh darinya. Nira memandang wajah Mirna yang berubah dan ada tanda-tanda marah atas kejadian itu.
Siapa tidak akan merasa geram dan marah jika pakaian sudah basah kerana kecuaian wanita arab itu. Nira memberi isyarat agar Mirna tidak berbuat sesuatu kerana mereka masih dalam ihram. Mirna akur lalu beristighfar.
Mirna mengumpul semula tenaganya yang sudah hilang apalagi diganggu dalam keadaan tengah bermimpi yang mungkin tidak akan dapat dinikmatinya lagi walau sampai hari kiamat itu. Mirna juga bersyukur kerana tidak terjatuh apabila dipintal oleh wanita arab itu.
Dengan tenaga baru Mirna dan Nira bangkit memulakan langkah untuk satu perjalanan lagi sebagai penyudah saei mereka yang akan berakhir di Bukit Marwah nanti. Insya-Allah.
Dalam perjalanan dari Bukit Safa yang cuma tinggal beberapa langkah lagi untuk sampai di Bukit Marwah, Mirna sudah tidak sabar lagi untuk menceritakan apa yang dilihatnya ketika mereka berehat di atas Bukit Safa sebelum wanita arab itu bergolek ke arahnya.
“Aku bermimpi melihat Siti Hajar berlari-lari tadi.”
“Kita selesaikan saei dulu lepas itu baru kau bercerita.”
Mirna memandang tepat ke wajah Nira yang dalam hatinya dapat merasakan, pasti kawannya ini tidak akan mempercayai apa yang dikatakannya tadi. Bagaimanapun dalam hati Mirna. ‘Hanya Allah Yang Maha Mengetahuinya.’
0 Comments:
Post a Comment