Sunday, April 19, 2009

rindu masih berbunga

23 Mei 2007 : 02.05 petang

Ubid baru saja keluar dari bilik doktor yang merawat Nila. Doktor India. Mereka berbincang mengenai penyakit Nila, mujurlah doktor India itu pandai berbahasa Melayu walau cuma ‘pacah-pacah bigi’ .

Ubid perlahan-lahan duduk atas kursi dekat katil Nila, katil yang telah mencatat entah berapa orang yang sudah meninggal dunia di ribaannya. Ubid tidak mahu Nila yang sedang tidur itu terbangun. Tapi deria urat saraf Nila amat tajam mengesan kehadiran Ubid walaupun cuba disembunyiakannya

Sinar mata Nila yang sayu itu jelas melukiskan garis-garis duka di wajahnya yang mengguris hiris perasaan Ubid. Tidak ada sesuatu pun yang menggembirakan setiap kali dia berbincang dengan doktor mengenai penyakit isterinya melainkan kematian.

“Pasti doktor itu kata saya akan mati…!”

“Semua itu cuma pendapat doktor…”

“Tapi doktor tak boleh berbohongkan…?”

“Tapi semua itu tidak boleh dipercaya.”

Semua doktor kata begitu. Semua doktor berpendapat seperti itu dan semua doktor akan kata macam itu, mau menghitung kira umur seseorang walau cuma kerana satu penyakit. Kanser yang terkenal bernoktahkan maut itu.

Pendapat doktor semuanya sama, kerana mereka mempelajari bidang yang sama.

“Abang...!” Nila memanggil suaminya. Ubid terkejut lalu memandang wajah isterinya, tapi apa yang dapat dilakukan oleh seorang lelaki tua seperti Ubid untuk menolong meringankan kesakitan isterinya. Bola mata Ubid berair.

“Hampir setahun saya di sini bang, saya banyak menyusahkan abang.” Nila tunduk dan matanya pula yang berair.

“Kenapa cakap macam itu…?”

“Saya akan mati bang…saya tidak mau masuk neraka…!”

“Apa yang kamu cakap ni…?”

“Kerana itulah saya hendakkan sesuatu dari abang.”

“Apa dia katakanlah…”

“Saya mau masuk ke dalam Ka’bah…!”

Permintaan isterinya kali ini teramat berat. Ubid tau malah Nila pun tau orang-orang yang pergi ke Mekah itu adalah orang-orang yang beragama Islam, sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa pegangan.

Ubid terpaksa memanggil jururawat untuk berbuat sesuatu bagi menenangkan isterinya yang sedang meracau itu. Tapi Nila tidak mahu disuntik kerana dia bukan membebel yang tidak-tidak. Nila berkata benar dalam sedar dan waras, dia cuma menghidap kanser tapi bukan sakit jiwa

“Mengapa kamu minta yang tidak-tidak…?”

“Jika kita di sana nanti penyakit saya akan sembuh.”

“Dari mana kamu dengar semuanya ini…?”

“Orang sebelah yang cakap macam itu bang.”

Ubid diam. Ubid juga pernah mendengar begitu. Tapi untuk ke sana wajib menjadi orang Muslim terlebih dahulu. Kalau cuma memelok agama Islam itu tidak ada masaalah, tapi bagaimana pula hendak masuk ke dalam Ka’bah…?

Nila memang sudah lama bertarung dengan maut. Keazaman wanita yang berumur lebih enam puluh tahun untuk hidup itu dapat membantu sedikit meringankan sakit yang ditanggungnya.

Nila sudah bosan jadi penghuni hospital. Apa yang dia nampak cuma wajah-wajah yang sedang menderita. Jasad-jasad mereka cuma menunggu waktu untuk di humbankan ke dalam kereta jenazah. Senyuman manis dari setiap jururawat juga sudah tidak punya erti lagi, semua itu cuma hiasan bibir mereka yang sedang bertugas.

“Abang tak payah tunggu saya. Jika abang sakit nanti siapa pula yang nak tunggu abang.” Ubid terharu mendengar keluhan isterinya itu.

Inilah satu-satunya pengorbanan dari seorang yang bergelar suami untuk sang isteri. Ubid tidak tergamak meninggalkan isterinya terlantar bergelut dengan kesakitan yang bila-bila saja akan meninggalkan dirinya.

“Kita bukan orang Islam macam mana hendak pergi ke Mekah.”

“Kita memeluk agama Islam…boleh kan bang…?”

Ubid mengalihkan pandanganya ke sudut lain. Sekarang Nila perlukan simpati dan sokongan apa saja untuk terus hidup. Kerana itu Ubid harus bijak memilih keputusan jangan sampai mengecewakan isterinya.

“Isteri kita punya hajat besar untuk ke sana.” Kata ustaz Hj Mail seorang pencaramah dari Pusat Da’wah Islamiah, apabila Ubid meminta nasihat sebelum dia membuat apa-apa keputusan.

“Tapi ustaz isteri saya juga ingin masuk ke dalam Ka’bah…”

“Semua itu kita serahkan kepada Allah, yang wajibnya abis kita memeluk agama Islam terlebih dahulu.” Ubid mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

“Jangan fikir terlalu lama, ini adalah satu hidayah dari Allah.” Jelas ustaz Hj Mail lagi sambil mengurak senyum dakwahnya sebagai pemanis wajah. Nampak barisan giginya yang cantik dan sekubit janggut di bawah bibirnya.

“Tapi isteri saya tu sakit ustaz…”

“Kita bertawakal saja kepada Allah…” Sambung ustaz Hj Mail sambil membetulkan kupiah hitamnnya yang hampir mencecah kirai itu.

NILA DIBENARKAN KELUAR DARI WAD ATAS KEHENDAK SENDIRI…


Enam minggu sebelum pemergian mereka ke Mekah untuk mengerjakan umrah, Ubid dan Nila telah menjadi keluarga Islam. Dengan kebesaran Allah berserta kekuatan fizikal yang ada pada Nila, dia sudah boleh bangun sendiri. Ubid dikenali dengan nama Umar bin Abdullah dan Nila memilih nama Nisa binti Abdullah.

Dengan berbekalkan niat yang suci dan keyakinan kepada Allah yang akan menganugerahkan mereka kekuatan serta kelapangan. Mereka telah mejadi tetamu Allah yang berada di Bumi Haram yang penuh dengan kesejahteraan itu.

“Kita sedang berdepan dengan Ka’bah bang.”

“Inilah kuasa Allah dan harapan kita terlaksana.”

Dengan suara terputus-putus Umar (Ubid) cuba mententeramkan hati isterinya Nisa (Nila). Nisa memandang wajah suaminya, nampak butir-butir air jernih dikelopak mata suaminya yang cengkung itu. Nisa terharu.

“Syukurlah bang…jika saya mati di sini pun saya tidak akan kesal lagi.” Nisa memegang tangan suaminya lalu menciumnya.

“Jangan cakap macam tu kita tidak akan berpisah.”

Umar dan Nisa berada di tengah-tangah kerumunan manusia yang sama-sama mengerja ibadah tawaf itu. Umar begitu tenang mendorong isterinya dengan kerusi rodanya yang sesekali melanggar kaki orang. Umar juga tidak terkecuali jadi mangsa kerusi roda orang lain.

“Kenapa abang sedih…saya banyak menyusahkan abang.”

“Abang bukan sedih pasal itu, cuma abang rasa tidak dapat menunaikan satu permintaan kamu itu.” Umar mengingatkan sesuatu selepas mereka selesai tawaf.

“Tak mengapa bang, saya faham apa sebenarnya yang saya inginkan itu tidak mudah untuk ditunaikan.”

“Maafkan abang jika kali ini abang menghampakan keinginan kamu.”

“Saya rasa bersyukur kerana sudah menjejakkan kaki di bumi suci ini bang.” Bagaikan kapas Umar merasakan badanya kerana terlepas dari sebuah tuntutan isterinya yang begitu berat dirasakannya.

“Bawa saya ke Hijir Ismail bang…!” Pinta Nisa selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah. Umar bingung.

“Semalam saya bermimpi seorang wanita mengatakan, jika hendak masuk ke dalam Ka’bah masuk saja ke dalam Hijir Ismail.”

“Tapi itu cuma mimpi…”

“Saya mimpi di Tanah Suci bang.”

“Nanti abang akan tanyakan pada ustaz dulu…”

Sebagai orang baru dalam keluarga Islam tentu masih banyak lagi yang belum diketahui oleh Umar dan kerana itu dia tidak mau berbuat sesuatu yang belum pasti betulnya. Umar meminta kepestian dari seorang ustaz yang sejemaah dengan mereka.

“Alhamdulillah…mimpi isteri pak cik itu adalah benar.” Kata ustaz. Umar merasa lega, dia akan menunaikan kehendak isterinya itu.

Dengan tenang Umar membelah kesesakan di tengah orang ramai yang sedang mengerjakan ibadah tawaf waktu itu. Mereka dengan mudah memberikan laluan kepada orang-orang yang berkerusi roda seperti Nisa, walau dengan perasaan yang sepertinya tidak ikhlas.


“Allah hu Akbar…!”

Cuma itu yang terkeluar dari mulut Umar apabila melihat isterinya turun dari kerusi roda terus berjalan masuk ke dalam Hijir Ismail tanpa dipapahnya. Umar tergamam seketika dan perasaannya semacam melayang-layang.

Begitulah namanya setiap tetamu yang bertandang, di penghujungnya pasti akan pulang juga. Umar dan isterinya Nisa mengakhiri hari-hari bahagia itu yang tidak pernah mereka rasakan sebelum ini.

Selepas tawaf wida’ Umar dan isterinya bersembahyang sunat tawaf. Tangan ditadahkan memohon doa agar kedatangan mereka itu bukan kali pertama dan terakhir. Belum lagi kaki mereka melangkah untuk pulang ke Brunei Darussalam, namun kerinduan untuk datang lagi ke tempat mulia itu sudah bertapak dan berbunga dalam hati mereka.

Langkah demi langkah Umar dan Nisa meninggalkan Ka’bah dengan perasaan sayu bercampur hiba dan sedih, umpama meninggalkan kekasih yang belum puas bermesra dan belum tentu bertemu lagi atau tidak.

Tiba-tiba talkong Nisa di pegang orang dari belakang. Nisa terperanjat lalu menoleh. Seorang wanita entah berbangsa apa bermuka bujur agak cekung, berbadan gempal dan pendek yang kira-kira seumur dengannya menadah tangan hendakkan sesuatu. Nila menghulurkan wang lima riyal. Wanita itu senyum tanda berterima kasih.

Baru saja Nisa melangkahkan kakinya, spontan dia teringat itulah wanita dalam mimpinya yang mengatakan bahawa Hijir Ismail itu adalah sebahagian daripada Ka’bah. Nisa menoleh mahu memestikan lagi wajah wanita itu, tapi wanita itu sudah hilang dalam arus kepadatan manusia di Bumi Berkah yang tidak pernah lengang sepanjang musim itu.

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online