Sunday, April 19, 2009

merpati putih terbang lagi

07 Julai 2007 : 07.00 pagi

Merpati putih terbang lagi

menghala kiblat.

*

Hinggap di lantai Ka’bah

sujud di Bumi Haram

bertawaf di Rumah Allah.

*

Merpati putih menangis hiba

menyerah diri

kepada Allah Yang Maha Esa.

*

Merpati putih berhenti menangis

sujud buat selamanya

di depan Tuhannya.


air mata

09 Mei 2004 : 02.50 pagi

Lapang dada Tuan Hj Abu Bakar. Alhamdulillah. Pekerjaannya selesai dengan selamat dan sempurna. Cuma menunggu waktu untuk kembali ketanah air bersama kemenangan sebagai Umat Islam yang telah menyempurnakan Rukun Islam yang kelima.

Bola matanya kaku menerkam wajah Kaabah. Ini bukan lakaran dalam gambar, bukan wajah dalam tv, tapi ini wajah asli secara langsung depan mata. Sayu hatinya memandang Rumah Allah yang tersergam tenang itu dengan rasa rendah diri. Kesedaran dan keinsfan seorang insan yang da’if dan hina di sisi Allah membuatkan air matanya mengalir lesu.

Sebetulnya dia tidak mau menangis lagi. Kerana sudah banyak air matnya tumpah di Padang Arafah ketika ukuf beberapa hari lalu. Tapi dia tidak dapat mengelak dan menahan. Hatinya yang menangis bukan dirinya.

Dalam khemah itu dipenuhi oleh puji-pujian kepada Allah dan salawat ke atas
Rasulullah. Dengan penoh keinsafan dan kekesalan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan, menyebabkan diri mereka teramat kecil berdepan dengan Allah. Memang mereka kecil, sekecil-kecilnya di mata Allah dan terlalu da’if yang cuma dua helai kain putih penutup badan. Mereka seolah-olah sudah menjadi mayat.

Dalam diri Abu Bakar berfikir ada kah dia sudah menjadi mayat..! Dia teringat ceramah ugama dulu. Apa bila saudara mara yang menghantar seseorang dalam rangka menunaikan fardhu haji, adalah umpama menghantar janazah. Manakala berada di dalam pesawat seolah-olah karanda berisi mayat untuk dikebumikan. Apa kah sekarang dia sudah berada di Alam Barzakh..!

Sedu dan tangis dalam perkhemahan di tengah-tengah padang yang luas itu amat mengharukan. Tidak kedengaran sedikit pun bunyi-bunyian selain zikir kepada Allah. Tengahari selepas sembahyang fardhu zuhur berjemaah. Tertulislah haji dan hajjah kepada Umat Mohammad yang berukuf di Padang Arafah waktu itu yang dikatakan jelmaan Padang Mahsyar di Hari Kandila nanti.

Di luar udara sangat panas…panas sekali. Angin bertiup juga tersangat panas. Apa lagi di tengah padang yang kering kontang seluas mata memandang itu. Dengan diritan bukit bukau…barisan gunung-ganang yang berbatu-bata menambahkan lagi cuaca yang sedia panas semakin panas. Laksana matahari sejengkal dari kepala.

Hiruk-pikok dalam khemah itu sudah tidak terkawal, bercampur baur inda tantu lumihnya. Tangisan bersahut-sahutan, tapi apa yang mereka tangiskan di tengah-tangah padang pasir itu..! Siapa yang meninggal mau diraung panjang-panjang..! Siapa yang pergi maka hendak ditangisi dalam-dalam. Dengan kata kasarnya siapa yang mati..!

Hj Abu Bakar adalah salah seorang Jemaah Haji yang berada di Padang Arafah dan tengah membilang dosa-dosa yang mohon diampunkan. Bukan senang hendak pergi ke Tanah Suci, jika harta setimbun gunung pun jika belum digerakkan Allah, biar harta itu lesap begitu saja ditempat lain.

Ada kemampuan dan kesihatan mengizinkan, tapi tidak juga tergerak hati untuk menjadi tetamu Allah. Maka tunggulah matinya nanti akan menjadi Yahudi atau Nasrani. Itu kata ustaz dan ustazah dalam ceramah-ceramah mereka. Barang dijauhkan Allah.

Hj Abu Bakar tidak lupa berdoa moga Allah akan menjadikan hajinya ‘HAJI MABRUR’ dan akan termasuk salah seorang yang diberikan rahmat oleh Allah. Mudah-mudahan. Semua kata-kata ustaz itu betul belaka. Ustaz mana boleh cakap yang tak betul.

Orang tua atau orang muda malah kanak-kanak pun menangis, riuh ringsak sambil berpelukan dengan air mata bercucuran. Seolah-olah baru berjumpa setelah berpisah bertahun-tahun lamanya. Tidak siapa pun tau mengapa mereka menangis. Pada hal mereka baru berkenalan atau pun bertemu kurang dari dua minggu.

Barangkali inilah rahmat yang diturunkan oleh Allah sebagaimana yang didengar oleh Haji Bakar semasa ceramah haji di Hotel tempat mereka menginap di Makkah sebelum mereka berangkat ke Padang Arafah untuk berukuf. Hj Abu Bakar merasa malu, kerana setua-tuanya menangis macam kanak-kanak. Ini baru di Padang Arafah apa lagi di Padang Mahsyar nanti.

Betapa besarnya nilai gelaran haji yang diperolehinya sebentar tadi. Bukan saja mengorbankan harta benda, malah jiwa dan raga. Jika Allah mengizinkan kita pulang ke Tanah Air maka kita akan pulang, jika tidak kita akan bersemadi di Tanah Suci.

Sebelas jam atau kurang RBA sudah menyadai di Lapangan terbang King Abdul Aziz Jeddah. Cuma tidak lebih tiga puluh hari dan tidak kurang dari dua puluh tujuh hari kita berada di Makkah dan Madinah, jika dibandingkan dengan lebih tiga puluh tahun dulu dengan menggunakan kapal laut, memakan waktu sampai empat atau lima bulan baru balik ke Tanah Air. Itu pun jika panjang umur sebaliknya jasad kita akan menjadi peghuni dasar lautan.

Haji Abu Bakar belum merasa tenang, kerana satu lagi pekerjaan yang belum terlaksana. Melontar tiga jumrah di Mina. Baginya pekerjaan ini sangat berat apa tah lagi sekarang usianya sudah lebih lima puluh enam tahun. Baru pencen dan inilah ganjaran dari perkhidmatnya lebih tiga puluh lapan tahun. Mudah-mudahan Allah akan memberkatinya. Amin..!

Di Mina tempat Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya Nabi Ismail. Hj Abu Bakar akan melontar tiga jumrah. Gambaran tiga syaitan yang cuba mematahkan semangat dan ketaatan Nabi Ibrahim kepada Allah berjaya ditumpaskan oleh kecintaan dan keimanan yang tidak berbanding kepada Allah. Nabi Ismail rela disembelih oleh ayahnya juga kerana Allah.

Inilah yang dilakukan oleh Jemaah Haji sebagai syarat rukun haji. Ramai jemaah terkorban akibat bersesak-sesak dalam melontar jumrah. Ini yang mengguris dan menggisil urat saraf darahnya supaya naik sekali ganda. Hj Abu Bakar bukan takut mati, kalau pun dia dimatikan biarlah mati yang bisai, bukan dengan mati tapihit atau pun tasapit. Mudah-mudahan tidak.

Saat-saat yang mencemaskan itu sering kali tergendala. Beberapa kali pengumuman tidak dibenarkan untuk melontar kerana tidak selamat untuk berbuat demikian. Sejuk ulu hatinya bagaikan digaul dengan ketulan ais, badannya menggigil dan menggelatar.

Hj Abu Bakar sudah dapat membayangkan padatnya manusia bagaikan giuk dalam gantang itu apa bila terinjak atau tindih menindih. Apa tah lagi orang-orang Arab dan bangsa-bangsa lain disekitarnya memang besar-besar dan gelujuh. Tidak memperdulikan orang lain, apa tah lagi orang-orang dari sebelah timor yang kecil-kecil saisnya. Macam samut penantangan bisdia.

Hj Abu Bakar pagi itu setelah selesai sembahyang fardhu subuh, masih tertanya-tanya bilakah mereka akan melontar. Bola matanya masih tidak mengerdip melihat berjuta-juta manusia berduyun-duyun berjalan menuju ke kawasan jumrah. Hatinya semakin berdebar.

“Batawakal katani…mudah-mudahan Allah membarikan katani jalan yang mudah dan salamat”. Kawannya Hj Omar cuba menenangkan Hj Abu Bakar.

“Mandangar Tuan Aji orang mati tapihit subuh antadi atu..!”.

“Jangan tah didangarkan banar bisikan syaitan atu…Allah karang menyelamatkan katani semua”.

“Ketungkalan ku timbul dugalku”. Hj Abu Bakar menekan perutnya guna menguatkan lagi percakapannya.

“Bawa beristighafar banyak-banyak, kuatkan hati dan berserah kepada Allah”. Hj Omar pun merasa bimbang dengan peristewa itu. Cuma tidak dinampakkannya kepada orang lain. Dia seolah-olah seperti orang yang paling berani.

“Katani nyangan tah takut kepada siapa-siapa…malainkan pada Allah”. Hj Omar cuba menguatkan lagi semangat dan ketabahan hati Hj Abu Bakar dan juga dirinya sendiri.

Dengan kebesaran Allah dan pertolongan dari Nya jua selesai juga pekerjaan melontar tiga jumrah yang dilakukan oleh Hj Abu Bakar dengan begitu mudah sekali. Tidak serumit dan sepayah yang dibayangkannya. Inilah berkat doa dan ketabahan hatinya. Doa itu adalah senjata mukmin.

“Haj..! Haj..! Solat…solat…!” Hj Abu Bakar dikejutkan dengan satu
panggilan. Ia kenal suara itu.

“Jauh jua melayang atu…ke Brunei udah..!” Kawan setianya Hj Omar mengusik.

“Talalai ku sakajap…perasaan ku lakat lagi katani di Arafah”.

“Jangan tah dikanang-kanang lagi yang udah atu. Syukurtah..!”.

“Auu…mun dada aral gundalanya esok lusa mulih tah katani ni”.

“Insya-Allah. Bah mari tah katani minum aing jamjam daulu”.

“Baik jua…udhu’ ku pun batal jua udah”.

Di ruang benak mereka sudah terpeta wajah Brunei Darussalam yang kecil comel itu dari pandangan udara. Mereka juga membayangkan betapa ringsaknya saudara mara yang menyambut kepulangan mereka nanti dan berebut-rebut untuk memeloknya guna mengambil sedikit berkah dari Tanah Suci.

lagu sepanjang lorong - mekah

05 Julai 2007 : 09.20 pagi

Lagunya amat menyayukan

iramanya begitu memilukan

telatahnya sangat mengharukan

wajahnya sungguh menyedihkan.

*

Sepanjang lorong Dar As Salam

menuju ke Rumah Allah

berbaris anak-anak diperalatkan

pamir kecatatan

apapun kekurangan

berpanas kekeringan

meraih simpati

dari insan yang lalu-lalang

sebagai alat

mencari makan

walau berbentuk paksaan.


siti hajar

20 Mac 2007 : 06.10 pagi

Dari Safa ke Marwah…satu. Dari Marwah ke Safa…dua. Dari Safa ke Marwah…tiga. Dari Marwah ke Safa…empat. Dari Safa ke Marwah…lima. Dari Marwah ke Safa…enam. Tinggal satu perjalanan lagi untuk menyempurnakan saienya. Mirna merasakan sudah tidak larat lagi untuk meneruskannya dan memaksa dia berehat. Nira temannya juga ikut sama berehat.

Mirna naik ke atas susunan batu-batu besar di Bukit Safa itu bersama dengan jemaah-jemaah yang lain untuk berehat sebelum meneruskan pekerjaan saienya yang belum sempurna itu. Nira ikut naik ke atas batu itu tapi tidak setinggi Mirna. Nira memberikan segelas air zam-zam untuk diteguk di atas batu itu sambil melepaskan lelah dan dahaga mereka.

Menurut ceramah-ceramah yang didengarnya sama ada melalui radio ataupun televesyen atau yang tertulis dalam buku-buku agama, bahawa bukit tempat mereka duduk sekarang itu adalah Bukit Safa yang asal. Antara Bukit Safa dan Bukit Marwah itu adalah jalan lalu lintas orang ramai yang hendak pergi ke pasar pada waktu itu. Yang kini jelas sudah dielok bisaikan oleh pemerintah mengikut keadaan semasa yang dapat memberikan keselesaan kepada jemaah-jemaah yang mengerjakan saie.

Selain dari berehat Mirna dan Nira juga ingin mengambil jika ada sedikit keberkatan bukit itu. Mirna dan Nira merasa lapang apabila berada di atas batu Bukit Safa yang tersusun rapi itu walau agak sedikit lecen dan tajam.

Mirna memerhatikan gelagat dan kaulahan jemaah yang berbagai bangsa dan warna kulit masing-masing begitu bersemangat mengerjakan saie yang bercampur baur dengan bacaan masing-masing memuji keagungan Allah.

Yang lebih ketara keriuhannya ialah jemaah lelaki berkejaran apabila berada di dalam kawasan lampu hijau yang menjadi garis pandu, di situlah bagi jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak seperti yang dilakukan oleh Siti Hajar sewaktu berlari-lari mencari air pada suatu ketika ribuan tahun dahulu.

Perlahan-lahan Mirna menyandarkan badannya pada batu besar itu untuk menyamankan ruang duduknya. Nira yang sedari tadi melihat Mirna keletihan itu membiarkan saja Mirna bersandar dan kemudiannya dia juga ikut bersandar pada batu di bukit yang punya sejarah yang tidak akan lenyap hingga ke akhir zaman itu.

Keriuhan semakin kuat dan bergema memenuhi kawasan Bukit Safa itu hingga menenggelamkan apa-apa perkataan pun selain dari puji-pujian kepada Allah. Itulah bumi Mekah yang sejehtera, sentiasa limpah dengan puji-pujian dan kesyukuran dari manusia-manusia yang beriman kepada Allah.

Kawasan Bukit Safa dan Bukit Marwah itu seolahnya sudah tidak dapat menampung jemaah untuk berulang alik dengan tugas dan ibadat masing-masing. Uniknya masih juga boleh mengerjakan seperti banyak kekosongan. Inilah ketentuan Allah. Ada juga sebahagian jemaah yang bersaie di bahagia tingkat atas.

Mirna dan Nira masih berada diatas Bukit Safa itu bersama-sama dengan jemaah lain yang berbilang bangsa. Mirna menggunakan ketinggian bukit itu untuk meninjau sambil memandang di kejauhan dan merasakan jemaah yang ramai mengerjakan saei itu seakan kerumunan ‘giuk dalam gantang.’ Mirna kagum.

Masih ramai lagi orang-orang yang beriman dan akan terus beriman kepada Allah hingga ke hari kiamat nanti. Bisik hati kecil Mirna. Nira juga merasakan seperti apa yang dirasakan oleh Mirna.

Akibat pantulan cahaya putih dari pakaian jemaah-jemaah yang bersaie itu, pandangan Mirna menjadi kabur dan berpinar-pinar apabila ternampak seorang perempuan yang agak-agak berumur dalam lingkungan lima puluhan tahun sedang berlari sekejap ke sana dan sekejap ke sini dengan tidak tentu arah ke mana hendak ditujunya. Perempuan itu nampaknya amat gelisah.

Pandangan Mirna semakin kabur lantaran panahan panas matahari yang terik seolahnya mau membakar padang pasir dan gunung-ganang yang gondol di sekitarnya itu. Namun perempuan itu jelas pada pandangan Mirna.
Dalam keriuhan yang belum ada tanda-tanda mau reda itu Mirna terdengar jelas suara kanak-kanak menangis seakan kehausan. Bagaimana pula seorang anak kecil seperti itu boleh berada di sini…? Di tempat yang cuma dikelilingi dengan batu-batu kerikil yang keras dan merah yang seakan tidak pernah dicecah oleh walau setitik air pun.

Mirna cuba mencari dari mana datangnya suara kanak-kanak kecil yang sedang menangis itu, tapi pandanganya amat terbatas kerana pantulan teriknya panas matahari waktu itu yang menyebabkan pandangannya tidak sampai di mana suara tangisan kanak-kanak itu berada.

Perempuan yang berlari ke hulu dan ke hilir itu seolahnya mencari sesuatu. Naluri Mirna sebagai seorang ibu juga turut merasakan perempuan itu pasti mencari sesuatu untuk si anak kecil yang sedang menangis itu. Mungkin dia tengah kehausan dan perempuan itu mencari air untuk anak kecilnya itu. Tapi mengapa perempuan itu tidak menyusukan susu dadanya…?

Mungkin juga susu perempuan itu sudah tidak mengeluarkan air lagi. Walaupun perempuan itu nampak sehat dan bertenaga. Itu cuma andaian Mirna yang punya rasa simpati pada perempuan dan anak kecil yang menangis itu.

Kerana itu Mirna spontan teringatkan kisah Siti Hajar yang berlari-lari mencari air untuk anaknya Nabi Ismail ketika kecil yang sedang kehausan seperti yang didengarnya dalam ceramah-caramah agama maupun yang dibacanya dalam buku kisah nabi-nabi.
Tapi mustahil pula semua itu menjelma di depan matanya seperti sekarang ini. Semua kisah itu berlaku pada zaman Nabi Ibrahim dan sekarang ini dia berada dalam zaman internet atau pun zaman ICT.

Apakah kita-kita ini sebenarnya sudah kembali semula ke zaman dulu-dulu…?

Mirna tambah bingung dan semakin bingung. Lalu perasaannya ingin menolong perempuan yang masih berulang alik berlari dan terus berlari mencari sesuatu untuk anaknya itu. Tapi dia tidak tau pertolongan bagaimana yang hendak diberikannya. Dia cuma dapat melihat perlakuan perempuan itu tanpa dapat berbuat apa-apa. Pergerakan Mirna sebenarnya terbatas.

Apa kah perempuan itu benar-benar Siti Hajar…?

Tapi sekarang dia berada di bulan Zulhijah empat belas dua puluh tujuh hijrah, Januari tahun dua ribu tujuh masihi. Mirna berbisik sendirian. Mirna juga mendengar dunia Islam heboh atas hukuman gantung sampai mati ke atas ‘Saddam Hussein’ ketika Umat Islam sedang mengerjakan ibadat haji.

Jangan cuba membayangkan Siti Hajar menjelma di depan mata kamu Mirna…! Itu satu lagi bisikan hati Mirna yang cuba mencari penentu segala apa yang dirakam oleh mata kepalanya sendiri.

Apakah semua itu bisikan busuk syaitan…?

Mirna merasakan mula hendak menangis apabila melihat kesungguhan perempuan itu berlari tidak henti-hentinya untuk mencari walau cuma setitik air. Tangisan si anak kecil itu semakin kuat menambahkan lagi kesedihan yang sudah menumpati dirinya.

Perempuan itu tidak kenal putus asa. Dia berlari dan terus berlari untuk mencari air walaupun apa yang dicarinya itu tidak mungkin diketemukannya. Mirna sempat melihat perempuan itu akhirnya terduduk seakan orang yang berputus asa. Di kawasan yang kering kontang itu mana ada air, yang ada cuma butiran pasir-pasir berterbangan ditiup angin.

Itu adalah kata-kata manusia biasa, tapi kehendak Allah tidak siapa yang tahu…!

Mirna menjerit apabila segelas air zamzam yang masih ditanganya tumpah memercik ke mukanya apabila seorang wanita arab gemuk tergelincir dan bergolek ke arahnya ketika wanita arab itu cuba hendak naik ke atas batu itu.

Sejenak dalam keriuhan yang amat sangat itu, rupa-rupanya Mirna sempat mengambara jauh ke zaman silam ribuan tahun dahulu. Semua ini mungkin pengaruh ataupun penghayatan dari palbagai cerita dalam buku-buku agama yang dibacanya bagi menambah sedikit pengelamannya. Mirna cuma sempat meneguk sedikit lebihan air zam-zam yang hendak di minumnya semasa dia berehat di atas Bukit Safa itu.

Nira cuba untuk menolong wanita arab yang tergelincir itu, tapi tidak sempat kerana jaraknya agak jauh darinya. Nira memandang wajah Mirna yang berubah dan ada tanda-tanda marah atas kejadian itu.

Siapa tidak akan merasa geram dan marah jika pakaian sudah basah kerana kecuaian wanita arab itu. Nira memberi isyarat agar Mirna tidak berbuat sesuatu kerana mereka masih dalam ihram. Mirna akur lalu beristighfar.

Mirna mengumpul semula tenaganya yang sudah hilang apalagi diganggu dalam keadaan tengah bermimpi yang mungkin tidak akan dapat dinikmatinya lagi walau sampai hari kiamat itu. Mirna juga bersyukur kerana tidak terjatuh apabila dipintal oleh wanita arab itu.

Dengan tenaga baru Mirna dan Nira bangkit memulakan langkah untuk satu perjalanan lagi sebagai penyudah saei mereka yang akan berakhir di Bukit Marwah nanti. Insya-Allah.

Dalam perjalanan dari Bukit Safa yang cuma tinggal beberapa langkah lagi untuk sampai di Bukit Marwah, Mirna sudah tidak sabar lagi untuk menceritakan apa yang dilihatnya ketika mereka berehat di atas Bukit Safa sebelum wanita arab itu bergolek ke arahnya.

“Aku bermimpi melihat Siti Hajar berlari-lari tadi.”

“Kita selesaikan saei dulu lepas itu baru kau bercerita.”

Mirna memandang tepat ke wajah Nira yang dalam hatinya dapat merasakan, pasti kawannya ini tidak akan mempercayai apa yang dikatakannya tadi. Bagaimanapun dalam hati Mirna. ‘Hanya Allah Yang Maha Mengetahuinya.’

senja di uhud

19 Mac 2006 : 01.40 petang

Uhud berwajah muram

pada garis-garis kemerahan

seakan aliran darah

kerakusan manusia tamak

pada harta yang ditinggalkan

membuatkan Uhud menangis.

*

Diritan Uhud yang bersambung

seolahnya ingin meneruskan

perjuangan para syuhada

yang semakin dicabar

oleh musuh-musuh Islam

*

Sinar senja kian garang

membungkus Uhud semerah darah

semacam mau membakar hangus

jasad-jasad musuh Allah.

*

Kiranya Hamzah bangun kembali

dari istirehat yang panjang

mengatur langkah perang

jihad fisabilillah

pastinya Uhud

akan berwajah ceria

walau di tabir senja.


rindu masih berbunga

23 Mei 2007 : 02.05 petang

Ubid baru saja keluar dari bilik doktor yang merawat Nila. Doktor India. Mereka berbincang mengenai penyakit Nila, mujurlah doktor India itu pandai berbahasa Melayu walau cuma ‘pacah-pacah bigi’ .

Ubid perlahan-lahan duduk atas kursi dekat katil Nila, katil yang telah mencatat entah berapa orang yang sudah meninggal dunia di ribaannya. Ubid tidak mahu Nila yang sedang tidur itu terbangun. Tapi deria urat saraf Nila amat tajam mengesan kehadiran Ubid walaupun cuba disembunyiakannya

Sinar mata Nila yang sayu itu jelas melukiskan garis-garis duka di wajahnya yang mengguris hiris perasaan Ubid. Tidak ada sesuatu pun yang menggembirakan setiap kali dia berbincang dengan doktor mengenai penyakit isterinya melainkan kematian.

“Pasti doktor itu kata saya akan mati…!”

“Semua itu cuma pendapat doktor…”

“Tapi doktor tak boleh berbohongkan…?”

“Tapi semua itu tidak boleh dipercaya.”

Semua doktor kata begitu. Semua doktor berpendapat seperti itu dan semua doktor akan kata macam itu, mau menghitung kira umur seseorang walau cuma kerana satu penyakit. Kanser yang terkenal bernoktahkan maut itu.

Pendapat doktor semuanya sama, kerana mereka mempelajari bidang yang sama.

“Abang...!” Nila memanggil suaminya. Ubid terkejut lalu memandang wajah isterinya, tapi apa yang dapat dilakukan oleh seorang lelaki tua seperti Ubid untuk menolong meringankan kesakitan isterinya. Bola mata Ubid berair.

“Hampir setahun saya di sini bang, saya banyak menyusahkan abang.” Nila tunduk dan matanya pula yang berair.

“Kenapa cakap macam itu…?”

“Saya akan mati bang…saya tidak mau masuk neraka…!”

“Apa yang kamu cakap ni…?”

“Kerana itulah saya hendakkan sesuatu dari abang.”

“Apa dia katakanlah…”

“Saya mau masuk ke dalam Ka’bah…!”

Permintaan isterinya kali ini teramat berat. Ubid tau malah Nila pun tau orang-orang yang pergi ke Mekah itu adalah orang-orang yang beragama Islam, sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa pegangan.

Ubid terpaksa memanggil jururawat untuk berbuat sesuatu bagi menenangkan isterinya yang sedang meracau itu. Tapi Nila tidak mahu disuntik kerana dia bukan membebel yang tidak-tidak. Nila berkata benar dalam sedar dan waras, dia cuma menghidap kanser tapi bukan sakit jiwa

“Mengapa kamu minta yang tidak-tidak…?”

“Jika kita di sana nanti penyakit saya akan sembuh.”

“Dari mana kamu dengar semuanya ini…?”

“Orang sebelah yang cakap macam itu bang.”

Ubid diam. Ubid juga pernah mendengar begitu. Tapi untuk ke sana wajib menjadi orang Muslim terlebih dahulu. Kalau cuma memelok agama Islam itu tidak ada masaalah, tapi bagaimana pula hendak masuk ke dalam Ka’bah…?

Nila memang sudah lama bertarung dengan maut. Keazaman wanita yang berumur lebih enam puluh tahun untuk hidup itu dapat membantu sedikit meringankan sakit yang ditanggungnya.

Nila sudah bosan jadi penghuni hospital. Apa yang dia nampak cuma wajah-wajah yang sedang menderita. Jasad-jasad mereka cuma menunggu waktu untuk di humbankan ke dalam kereta jenazah. Senyuman manis dari setiap jururawat juga sudah tidak punya erti lagi, semua itu cuma hiasan bibir mereka yang sedang bertugas.

“Abang tak payah tunggu saya. Jika abang sakit nanti siapa pula yang nak tunggu abang.” Ubid terharu mendengar keluhan isterinya itu.

Inilah satu-satunya pengorbanan dari seorang yang bergelar suami untuk sang isteri. Ubid tidak tergamak meninggalkan isterinya terlantar bergelut dengan kesakitan yang bila-bila saja akan meninggalkan dirinya.

“Kita bukan orang Islam macam mana hendak pergi ke Mekah.”

“Kita memeluk agama Islam…boleh kan bang…?”

Ubid mengalihkan pandanganya ke sudut lain. Sekarang Nila perlukan simpati dan sokongan apa saja untuk terus hidup. Kerana itu Ubid harus bijak memilih keputusan jangan sampai mengecewakan isterinya.

“Isteri kita punya hajat besar untuk ke sana.” Kata ustaz Hj Mail seorang pencaramah dari Pusat Da’wah Islamiah, apabila Ubid meminta nasihat sebelum dia membuat apa-apa keputusan.

“Tapi ustaz isteri saya juga ingin masuk ke dalam Ka’bah…”

“Semua itu kita serahkan kepada Allah, yang wajibnya abis kita memeluk agama Islam terlebih dahulu.” Ubid mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

“Jangan fikir terlalu lama, ini adalah satu hidayah dari Allah.” Jelas ustaz Hj Mail lagi sambil mengurak senyum dakwahnya sebagai pemanis wajah. Nampak barisan giginya yang cantik dan sekubit janggut di bawah bibirnya.

“Tapi isteri saya tu sakit ustaz…”

“Kita bertawakal saja kepada Allah…” Sambung ustaz Hj Mail sambil membetulkan kupiah hitamnnya yang hampir mencecah kirai itu.

NILA DIBENARKAN KELUAR DARI WAD ATAS KEHENDAK SENDIRI…


Enam minggu sebelum pemergian mereka ke Mekah untuk mengerjakan umrah, Ubid dan Nila telah menjadi keluarga Islam. Dengan kebesaran Allah berserta kekuatan fizikal yang ada pada Nila, dia sudah boleh bangun sendiri. Ubid dikenali dengan nama Umar bin Abdullah dan Nila memilih nama Nisa binti Abdullah.

Dengan berbekalkan niat yang suci dan keyakinan kepada Allah yang akan menganugerahkan mereka kekuatan serta kelapangan. Mereka telah mejadi tetamu Allah yang berada di Bumi Haram yang penuh dengan kesejahteraan itu.

“Kita sedang berdepan dengan Ka’bah bang.”

“Inilah kuasa Allah dan harapan kita terlaksana.”

Dengan suara terputus-putus Umar (Ubid) cuba mententeramkan hati isterinya Nisa (Nila). Nisa memandang wajah suaminya, nampak butir-butir air jernih dikelopak mata suaminya yang cengkung itu. Nisa terharu.

“Syukurlah bang…jika saya mati di sini pun saya tidak akan kesal lagi.” Nisa memegang tangan suaminya lalu menciumnya.

“Jangan cakap macam tu kita tidak akan berpisah.”

Umar dan Nisa berada di tengah-tangah kerumunan manusia yang sama-sama mengerja ibadah tawaf itu. Umar begitu tenang mendorong isterinya dengan kerusi rodanya yang sesekali melanggar kaki orang. Umar juga tidak terkecuali jadi mangsa kerusi roda orang lain.

“Kenapa abang sedih…saya banyak menyusahkan abang.”

“Abang bukan sedih pasal itu, cuma abang rasa tidak dapat menunaikan satu permintaan kamu itu.” Umar mengingatkan sesuatu selepas mereka selesai tawaf.

“Tak mengapa bang, saya faham apa sebenarnya yang saya inginkan itu tidak mudah untuk ditunaikan.”

“Maafkan abang jika kali ini abang menghampakan keinginan kamu.”

“Saya rasa bersyukur kerana sudah menjejakkan kaki di bumi suci ini bang.” Bagaikan kapas Umar merasakan badanya kerana terlepas dari sebuah tuntutan isterinya yang begitu berat dirasakannya.

“Bawa saya ke Hijir Ismail bang…!” Pinta Nisa selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah. Umar bingung.

“Semalam saya bermimpi seorang wanita mengatakan, jika hendak masuk ke dalam Ka’bah masuk saja ke dalam Hijir Ismail.”

“Tapi itu cuma mimpi…”

“Saya mimpi di Tanah Suci bang.”

“Nanti abang akan tanyakan pada ustaz dulu…”

Sebagai orang baru dalam keluarga Islam tentu masih banyak lagi yang belum diketahui oleh Umar dan kerana itu dia tidak mau berbuat sesuatu yang belum pasti betulnya. Umar meminta kepestian dari seorang ustaz yang sejemaah dengan mereka.

“Alhamdulillah…mimpi isteri pak cik itu adalah benar.” Kata ustaz. Umar merasa lega, dia akan menunaikan kehendak isterinya itu.

Dengan tenang Umar membelah kesesakan di tengah orang ramai yang sedang mengerjakan ibadah tawaf waktu itu. Mereka dengan mudah memberikan laluan kepada orang-orang yang berkerusi roda seperti Nisa, walau dengan perasaan yang sepertinya tidak ikhlas.


“Allah hu Akbar…!”

Cuma itu yang terkeluar dari mulut Umar apabila melihat isterinya turun dari kerusi roda terus berjalan masuk ke dalam Hijir Ismail tanpa dipapahnya. Umar tergamam seketika dan perasaannya semacam melayang-layang.

Begitulah namanya setiap tetamu yang bertandang, di penghujungnya pasti akan pulang juga. Umar dan isterinya Nisa mengakhiri hari-hari bahagia itu yang tidak pernah mereka rasakan sebelum ini.

Selepas tawaf wida’ Umar dan isterinya bersembahyang sunat tawaf. Tangan ditadahkan memohon doa agar kedatangan mereka itu bukan kali pertama dan terakhir. Belum lagi kaki mereka melangkah untuk pulang ke Brunei Darussalam, namun kerinduan untuk datang lagi ke tempat mulia itu sudah bertapak dan berbunga dalam hati mereka.

Langkah demi langkah Umar dan Nisa meninggalkan Ka’bah dengan perasaan sayu bercampur hiba dan sedih, umpama meninggalkan kekasih yang belum puas bermesra dan belum tentu bertemu lagi atau tidak.

Tiba-tiba talkong Nisa di pegang orang dari belakang. Nisa terperanjat lalu menoleh. Seorang wanita entah berbangsa apa bermuka bujur agak cekung, berbadan gempal dan pendek yang kira-kira seumur dengannya menadah tangan hendakkan sesuatu. Nila menghulurkan wang lima riyal. Wanita itu senyum tanda berterima kasih.

Baru saja Nisa melangkahkan kakinya, spontan dia teringat itulah wanita dalam mimpinya yang mengatakan bahawa Hijir Ismail itu adalah sebahagian daripada Ka’bah. Nisa menoleh mahu memestikan lagi wajah wanita itu, tapi wanita itu sudah hilang dalam arus kepadatan manusia di Bumi Berkah yang tidak pernah lengang sepanjang musim itu.

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online