Abdul Jabar langsung tidak punya formula dalam bidang ini, yang satu ini baginya amat kritis. Sebelum ini bermacam-macam masalah dan palbagai persoalan dapat diatasinya dengan begitu mudah. Tetapi dalam perkara seumpama ini Abd Jabar betul-betul tidak mempunyai kemahiran.
Abdul Jabar tidak bermaksud negatif apalagi pada objek yang berat dan wajib ditanainya sebagai pertanggung jawabannya sekarang ini. Kepalanya bertambah sakit seolah-olah hendak pecah dan otaknya mendidih. Menggelegak…berasap…!
Malam sudah lebih dari tua, tapi matanya yang tidak pernah memilih tempat dan waktu untuk pejam itu waima di hadapan komputernya sekali pun, tapi kini seolah-olah mogok. Jangan katakan pejam untuk membawakan dirinya ke alam impian yang serba boleh dicapai, malah tidur-tidur ayam pun terlalu susah. Kalaulah Abdul Jabar baring bersama ayam, pasti ayam itu pula yang akan berdengkur terlebih dahulu sebelum berkokok nanti pagi.
“Kau boleh tolak aku ke sana…ambit ke sini, letak di atas…simpan di bawah, sorok ke tepi ikut kehendak seleramu.” Saira Banu melepaskan wapnya yang sudah melebihi hadnya itu. Kalaulah dahinya yang luas itu ditembak pasti suhu panas badannya cukup untuk melayakkan Saira Banu dikurantinkan kerana gara-gara H1N1 yang menyibukkan manusia sekarang ini.
“Apa yang kau cakap ni…?” Abdul Jabar tidak faham.
“Kau jangan buat apa-apa alasan.” Balas Saira Banu setelah tercium bau tidak kesetiaan Abdul Jabar.
“Kau harus faham...kau itu Saira Banu dan aku ini adalah…” Kata-kata Abdul Jabar terputus apabila dipotong tajam oleh Saira Banu.
“Aku mempunyai perasaan, aku tidak mau terus-terusan dijadikan wanita permainan.” Berontak Saira Banu sambil menahan gelombang dadanya yang menonjol seakan mahu keluar dan menghempas tubuh badan Abdul Jabar.
“Kau tidak berhak memaksa aku untuk menjelmakan dirimu itu menjadi seperti apa yang kau inginkan.” Abdul Jabar membantah dengan berani.
“Aku cuma hendak menuntut hakku, aku inginkan sebuah kehidupan yang nyata dan sempurna…!” Saira Banu berkeras agar kemahuannya itu dituruti.
“Lalu apa yang kau hendak aku buat…?” Abdul Jabar mencabar Saira Banu.
“Kita kawin…!” Jelas jawaban Saira Banu, lantak mati walau pendek tapi sangat merbahaya. Bagaikan sumpitan beracun menembusi lobang telinga Abdul Jabar yang lebar sebelah itu,
“Kau gila hendak kawin dengan aku…?” Tubuh badan Abdul Jabar yang tegap sasa itu seolahnya kecil dan lembik apabila mendengar perkataan kahwin dari Saira Banu.
“Mengapa…? Kau takut pada isterimu…?” Saira Banu semakin garang dan tambah berani apabila melihat Abdul Jabar tidak lebih dari seekor ular penalan yang kekenyangan itu.
“Bolehkah kau bersabar sikit…aku hendak jodohkan kau dengan seorang pemuda yang kacak lagi kaya raya, punya hotel yang banyak bintang…” Pujuk Abdul Jabar dengan nada yang rendah, nasib-nasib Saira Banu mahu mengalah.
“Aku bukan mata duitan…!” Bentak Saira Banu, matanya yang bulat…sebulat mata Azizah P. Ramlee itu merah macam saga.
“Aku tidak pula bermaksud macam itu.” Abdul Jabar masih berlembut.
“Aku punya cinta yang tidak ternilai harganya…tau…!” Saira Banu semakin melingas…garang.
“Aku merasa hairan dan pelik…mengapa kau tiba-tiba muncul menganggu aku dengan kerja-kerja aku seperti ini.” Otak Abdul Jabar mengembara untuk mencari punca mengapa semuanya itu boleh berlaku.
“Dulu kau janji hendak kawinkan aku dengan Dilip Kumar, tapi kau bunuh dia dalam kemalangan jalan raya.” Saira Banu menerkam wajah Abdul Jabar. Kalaulah pancaran mata Saira Banu itu punya laser, pasti wajah gelap Abdul Jabar itu sudah cair macam ambuyat.
Mengapa Saira Banu beria-ia hendakkan Abdul Jabar mengahwininya…? Apakah mereka berdua ini sudah terlanjur…? Ataupun cuma sebuah lakonan dari Saira Banu untuk menjebak Abdul Jabar yang sudah mula mengisi ruang hatinya itu.
Saira Banu memang seorang gadis yang cantik, manis dan ayu macam kejelitaan seorang puteri dalam cerita dongeng dahulukala. Baru lepas ulang tahunnya yang ke sembilan belas tahun. Tapi Saira Banu sering dirundung malang, Abdul Jabar selalu mengula-gulakan dirinya dengan kata-kata dan janji-janji yang manis mengalahkan manisnya kurma.
Saira Banu sudah muak malah muntah dengan janji-janji seperti itu, kerana itu Saira Banu tidak mahu lagi dipermain-mainkan oleh lelaki yang bernama Abdul Jabar itu. Sebetulnya Abdul Jabar bukan hendak menyeret Saira Banu dan menyuruhnya bernafas dalam lumpur, malah Abdul Jabar hendak meletakkan Saira Banu di puncak menara gading sebagaimana yang dijanjikannya, tapi belum tiba masa dan ketikanya lagi untuk Abdul Jabar berbuat demikian.
Abdul Jabar seorang lelaki yang baik, jujur dan bertanggung jawab membimbing keluarganya. Berumur empat puluh tujuh tahun, punya mata tapi bukan mata keranjang, punya lidah tapi bukan lidah bercabang, punya isteri cuma seorang dan tidak mempunyai cita-cinta langsung untuk menambah bilangannya.
Tapi sekarang Abdul Jabar dicabar oleh seorang gadis yang dua pulun lapan tahun lebih muda darinya agar berkahwin dengannya. Ini tidak mungkin akan berlaku, sebaliknya kalaulah ini sampai kepengetahuan isterinya, pasti rumah tangga mereka akan kiamat terlebih dahulu dari kiamat sebenarnya.
Abdul Jabar harus segera berusaha dan mencari jalan untuk menghalang kerja gila yang hendak dilakukan oleh Saira Banu itu. Abdul Jabar menganggap Saira Banu macam anaknya sendiri, bagaimana pula hendak dijadikannya isteri. Berdiri bulu roma Abdul Jabar apabila dia sempat membayangkan sebentar andai Saira Banu itu menjadi isterinya. Abdul Jabar bekirik macam orang makan ‘asam jelayan’.
Abdul Jabar cuba mencari lelaki yang sepadan dengan Saira Banu, kalau perlu Abdul Jabar akan menyara makan pakai lelaki itu seumur hidup asalkan dia terlepas dari cengkaman maut Saira Banu yang masih mentah untuk mengenal dan menjalani corak serta warna-warni kehidupan yang sebenarnya itu.
“Aku bukan barang mainan, aku punya hati dan perasaan juga cinta yang mendalam terhadapmu.” Kesungguhan Saira Banu membuatkan perut Abdul Jabar menjadi kecut, gundah dan tidak berwibawa. Perutnya yang sedikit maju kedepan itu terasa kosong bagaikan sebiji belon, dan paling mutahir dunia ini dirasakan oleh Abdul Jabar umpamanya tidak ada cahaya matahari.
“Tapi apa yang kau minta ini terlalu berat dan aku tidak berupaya untuk menunaikannya…” Jawab Abdul Jabar jujur. Abdul Jabar tidak sanggup menatap wajah Saira Banu, dia kesihan melihatnya.
“Atau kau takut pada isterimu…? Dan kerana itu kau mencari helah untuk menolak cintaku…!” Tebak Saira Banu macam seorang gadis yang sudah matang.
“Umur kita jauh berbeza…” Satu alasan tipis yang dibuat-buat Abdul Jabar.
“Ada wanita yang berumur lebih dari seratus tahun dan berkahwin dengan lelaki berumur dua puluhan. Itu tidak mustahil jika terjadi pada diri kita berdua…!”
“Aku hairan mengapa kau jadi begini Saira…?”
“Kerana aku sudah bosan pada apa yang telah kau berikan padaku, semua itu cuma janji kosong yang tidak lebih dari sebuah mimpi mahupun angan-angan...!”
“Jadi sekarang kau mau apa …?” Abdul Jabar memberanikan diri walau pada hakikatnya dia masih seratus persen takut.
“Aku sudah jemu dengan alam fantasi…aku inginkan dunia realiti yang ada bumi terbentang luas, di mana nanti kaki aku ini boleh berpijak…” Saira Banu.
“Lebih baik kau hentikan keinginanmu yang mustahil itu…!” Abdul Jabar.
“Aku bosan bermain dalam fikiranmu yang terlalu banyak imaginasi itu, sehingga kini aku masih berada di awang-awangan dan tidak mampu berdikari.” Saira Banu kesal kerana selama ini menurut dan mengikuti arahan Abdul Jabar.
Abdul Jabar masih dibayangi ugutan Saira Banu. Bagaimana pun Saira Banu harus disingkirkan dengan serta merta, jika terlambat walau sesaat pasti rumah tangganya akan hancur dan musnah. Ini bukan satu gurauan…ini kesungguhan malah kepestian. Saira Banu benar-benar menginginkan Abdul Jabar menjadi suaminya.
Terlintas juga difikiran Abdul Jabar untuk berjumpa dukun, agar Saira Banu tidak tergila-gilakan dirinya. Tapi nalurinya membantah kuat supaya jangan berbuat perkara yang karut marut dan sia-sia itu. Abdul Jabar tidak mahu menambah dosa lagi, cukuplah dengan dosa-dosanya yang telah lalu.
Abdul Jabar habis fikir, sebelum terlambat dia akan bertindak dan berbuat sesuatu kepada Saira Banu. Tapi Abdul Jabar tidak tergamak memperlakukan Saira Banu sedemikian yang sudah dianggapnya macam anaknya sendiri itu. Kiranya pun bukan pada Saira Banu, Abdul Jabar juga tidak akan sanggup melakukannya.
“Kalau kau hendak bunuh aku…silakan…!” Saira Banu mencabar, nekad.
“Bagaimana kau tau semua ini…?” Abdul Jabar bingung.
“Kau adalah aku dan aku adalah kau...!” Saira Banu ketawa macam anak pontianak sambil memandang wajah Abdul Jabar. Bola matanya yang bulat ‘menjeranang’ itu sungguh menyeramkan Abdul Jabar.
“Jangan buat aku jadi gila…” Abdul Jabar tergamam, dia baru berniat tapi sudah diketahui oleh Saira Banu apa yang ada dalam kepala otaknya yang tengah berserabut itu.
“Kalau kau bunuh aku…aku akan mati, selepas itu kau pula yang akan mati di tali gantung macam cicak kering kerana membunuh aku…!” Ketawa Saira Banu kali ini semakin kuat ‘salahbida’ cucu cicit pontianak. Abdul Jabar semakin seram.
Otak kepala Abdul Jabar seakan berkecai digelek oleh lori membawa kontena. Sudah banyak manusia yang ditemuinya dengan palbagai watak dan kerinah, tapi tidak sama dengan yang satu ini, tidak mudah dilentur untuk dijadikan apa-apa seperti yang dikehendakinya.
Saira Banu mesti dihapuskan, Saira Banu tetap dibunuh. Saira Banu wajib mati dengan menghalalkan apa jua cara, asalkan Saira Banu sah menjadi mayat. Itu adalah jalan terakhir yang akan diambil oleh Abdul Jabar. Abdul Jabar terpaksa menjadi orang gila, dan bertindak gila walaupun sebenarnya Abdul Jabar tidak gila.
Abdul Jabar memandu kereta dengan laju menyebabkan isterinya menjerit ketakutan. Biasanya Abdul Jabar tidak pernah memandu selaju itu, Abdul Jabar adalah salah seorang pengguna jalan raya yang bertemadun.
Abdul Jabar nekad untuk membunuh Saira Banu yang sekarang duduk di sebelah kirinya itu. Tapi Abdul Jabar tidak sedar orang yang bersamanya di dalam kereta itu ialah isterinya dan bukan Saira Banu yang hendak dibunuhnya itu.
Abdul Jabar benar-benar sudah separuh gila, dia nekad hendak membunuh Saira Banu walaupun dia sendiri yang akan turut terkorban. Abdul Jabar sudah tidak tahan lagi dengan ugutan dan paksaan Saira Banu yang tidak tahu diri itu. Jalan terbaik dan terakhir adalah membunuh Saira Banu dalam satu kemalangan jalan raya, seperti yang hendak dilakukannya sebentar lagi.
Abdul Jabar tidak mahu mengkhianati isterinya, kerana itu dia rela jadi pembunuh daripada berlaku serong terhadap isterinya. Isterinya semakin panik dan cuba membuka pintu kereta hendak terjun keluar, tapi Abdul Jabar cepat menarik tangan isterinya yang disangkanya Saira Banu itu.
Malang itu sememangnya tidak berbau, sebiji batu besar bergolek betul-betul di tengah jalan hadapan laluan Abdul Jabar. Abdul Jabar cuba mengelak tapi sudahnya kereta yang dipandunya terbabas melanggar penghadang jalan dan jatuh menjunam ke dalam gaung.
Isterinya menjerit diikuti oleh Abdul Jabar setelah kereta mereka melayang-layang macam kertas di udara. Abdul Jabar sempat melihat wajah isterinya yang disangkanya Saira Banu itu, memegang kuat tangannya sebelum kereta mereka meletup dan akan terbakar bersama-sama mereka.
“Allah hu akbar…!” Jeritan terakhir Abdul Jabar.
Abdul Jabar jatuh dari kerusi depan komputernya. Sinopsis dramanya bertaburan di atas lantai bilik kerjanya itu. Abdul Jabar terlelap seketika kerana terlalu letih. Peluang itu dimanfaatkan oleh Saira Banu watak utama dalam dramanya itu keluar dan berdialog langsung dengan Abdul Jabar.