Saturday, August 27, 2011

AKU BUKAN MONICA

Lama juga Darul terhinggut-hinggut hendak keluar dari Masjid Nabawi setelah selesai mengerjakan sembahyang fardhu Zohor berjemaah. Semua itu disebabkan ada segelintir jemaah yang seperti senghaja sembahyang sunat di lorong laluan keluar dalam masjid itu dan tidak kurang juga ada yang sembahyang tidak jauh dari pintu keluar. Itulah sedikit sebanyak penyumbang berlakunya kesesakan untuk keluar dari Masjid Nabawi itu.

Darul tidak terus balik ke hotel tempat dia menginap, dia lebih dahulu ke kedai buku untuk melihat buku-buku berbahasa Melayu. Biasanya buku-buku yang dijual itu adalah dari terjemahan bahasa-bahasa lain ke dalam bahasa Melayu.
Alhamdulillah…Darul dapat juga membeli beberapa buah buku yang dikehendakinya seperti buku-buku ‘Sejarah Mekah al Mukarramah dan Sejarah Madinah al Munawwarah’ dan juga buku-buku lain yang menceritakan palbagai kisah mahupun sejarah di kedua-dua tanah suci itu.

Sampai di hotel Darul meluru masuk ke ruang Loby Hotel itu, tapi malangnya Darul terujuh tepi pintu menyebabkan buku-buku yang dipegangnya itu jatuh berselerak di muka pintu masuk itu. Darul sedikit cemas kalau-kalau ada orang yang nampak apa yang telah berlaku, mujurlah tidak ramai orang berada di Loby Hotel itu, yang ada cuma orang-orang Arab yang tidak mahu pusing tentang hal orang lain.

Sebenarnya Darul tidak menyedari ada orang yang mengenalinya dan terus memerhatikan gerak gerinya itu. Seorang wanita berumur pertengahan lima puluhan yang sedang memerhati itu lantas menyapa Darul dengan lembut. Darul masih kenal suara itu walaupun belum melihat wajahnya, tapi tidak dapat meneka siapa dia.
“Assalamualaikum…!” Salam wanita itu lembut dan bersofan.
“Waalaikumssalam…” Darul menjawab, dia terpinga-pinga seketika.

“Kau tidak kenal aku lagi Darul…?” Wanita itu yakin dia tidak salah orang.

“Monica…!” Darul yang juga berumur hampir sebaya dengan wanita yang dipanggilnya Monica itu hampir tidak percaya semuanya itu ujud di hadapannya sekarang.

“Kalau aku Monica sudah pasti aku tidak akan berada di sini…di Kota Madinah ini.” Suara wanita bernama Monica itu masih lembut dan manja, walaupun sudah dimakan usianya.

“Maafkan aku Monica…aku tidak menyangka…” Darul seperti berada di zaman remajanya yang mudah gementar bila berhadapan dengan wanita yang pernah mengusik jiwanya.

“Barangkali kau terlalu gembira…?” Monica seolah tahu apa yang sedang dirasakan oleh Darul.
“Mungkin juga, kerana sudah terlalu lama kita tidak ketemu.” Darul mengiakan.

“Buat apa kau di sini…?” Soalan yang membazir tanpa disedari oleh Monica.

“Kau sudah lupa…” Sebelum Monica menjawab mereka duduk di sofa yang tersedia di ruang Loby Hotel itu. Darul meletakkan buku-bukunya di atas meja kecil di hadapannya. Monica juga meletakkan begnya di atas meja yang sama.

“Sepatutnya aku tidak tanya macam itu…” Monica menyedari kesilapannya.

“Tidak mengapa…kita manusia biasa sering lupa, apa lagi dalam keadaan yang seperti ini.” Darul menjaga perasaan Monica agar tidak tersinggung.

“Aku sama sekali tidak menduga bahawa kita akan bertemu di sini”. Monica membetulkan tudungnya walaupun sudah kemas dan rapi.

“Siapapun tidak dapat menduga semua itu kecuali Allah, di Brunei kita seolahnya terlalu jauh dan di sini pula jauh tapi ternyata kita dekat”. Darul juga macam sikambuyutan membetulkan topi putihnya.

“Sebentar tadi aku bagaikan bermimpi…aku ingin menolong kau tapi aku tidak berani”. Monica tunduk tapi matanya sempat menjeling manja pada Darul. Sebuah jelingan yang mendebarkan dada Darul suatu ketika dahulu.
“Hati kecilku memaksa aku agar cepat ke sini, rupa-rupanya ada seseorang sedang menunggu kedatanganku.” Darul sempat menyindir, macam waktu mereka muda-muda dahulu, tanpa menyedari semua itu sudah menjadi nostalgia masing-masing.

“Kau ke sini bersama siapa…?” Monica mula bertanya soal peribadi, kerana dia tidak tahu apa lagi yang harus ditanyakan. Sebenarnya Monica gugup, tapi didorong oleh kegembiraan membuatkan Monica sedikit berani.
“Isteriku…kau…?” Pendek jawaban dan sekaligus pertanyaan Darul sambil memandang wajah Monica yang sekian lama menghilang dan kini muncul semula tanpa diundang.

Monica tunduk lagi, dia merasa malu dan tidak berani memandang wajah lelaki di hadapanya yang bernama Darul itu. Monica pula merasakan dirinya seakan dimusim remajanya dahulu, gelora di dadanya mulai berombak.

Darul faham mengapa Monica tidak berani memandang wajahnya yang sudah tidak sekacak dahulu itu lagi, Darul juga mengerti mengapa Monica tidak sanggup memandang tubuh badannya yang sudah kering kontang dimakan anai usia itu.

Dalam diri Darul dan Monica sama-sama berbicara. Mereka serentak memandang manusia yang keluar masuk serta mundur mandir di ruang Loby Hotel itu dengan pandangan yang kosong. Mata mereka memandang tapi hati mereka jauh mengambara. Biarkan mereka terbang jauh melimpasi alam nyata dan biar mereka berpesta dalam kenangan manis di masa silam mereka masing-masing.

Darul adalah teman Monica ketika mereka sama-sama remaja terang tang-tang tiga puluh lima tahun dahulu. Darul berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan di ibu kota, Monica pula berkhidmat di sebuah syarikat swasta sambil belajar.

Pada mulanya memang persahabatan mereka itu cuma kawan biasa, tapi setelah lama mengenali hati dan budi masing-masing, maka timbullah satu perasaan halus dan hening dalam diri mereka yang digelar cinta.

Harapan ayah Monica untuk menjadikan Monica sebagai seorang peguam hampir terkandas sebagaimana yang dikehendaki oleh ayahnya yang juga seorang peguam. Monica mengejar cinta yang ada pada jejaka Melayu bernama Darul ini menyebabkan pelajarannya sedikit terabai.

Belumpun sempat kuntum yang dinamakan cinta itu mekar dan berputik, bangsa dan pegangan hidup masing-masing telah menjadi penghalang bagi mereka untuk meneruskan bancuhan aneka rasa cinta mereka itu. Inilah juga yang menyalakan api kemarahan ayahnya yang menyebabkan mereka terputus hubungan.

Monica dipaksa dan terpaksa belajar di luar negeri demi memenuhi kehendak ayahnya, ini paling menyeksakan zahir dan batin Monica. Walaupun Monica tahu apa yang dilakukan oleh ayahnya itu adalah untuk masa depan Monica sendiri. Hidup tanpa ilmu bagaikan sampah di permukaan air, apabila air surut ia akan ke muara dan manakala pasang pula ia akan ke hulu.

Bertahun-tahun Monica di luar negeri menimba ilmu untuk bekalan hidup masa depan walaupun dengan hati dan perasaannya yang tercalar. Akhirnya Monica kembali dengan memperolehi kejayaan sebagaimana yang diharapkan oleh ayahnya.

Tapi kegembiran itu bertukar menjadi kedukaan apabila ayahnya meninggal akibat serangan jantung, ketika sedang bertugas dalam mahkamah belum pun sampai tiga hari ayahnya menimang kejayaannya itu. Monica merasakan pengorbanannya untuk ayahnya selama ini tidak punya erti apa-apa.

Monica cuba mengubati luka hatinya itu dengan mengharapkan kehadiran Darul di sisinya, tapi malangnya Darul juga menghilang hingga tiada meninggalkan kesan untuk dicari. Satu jalan terakhir bagi Monica, dia nekad hendak menamatkan hidupnya dengan membunuh diri.

Robert pula muncul sebagai penyelamat sesuai dengan pesanan ayah Monica. Diam-diam Monica telah ditunangkan oleh ayahnya dengan Robert tanpa pengetahuan Monica sendiri. Monica mesti kawin dengan Robert dan itu harus terjadi.

“Kau belum menjawab pertanyaanku Monica”. Setelah mereka kembali dari memamah nostalgia masing-masing yang sudah berkubur tanpa nisan itu.

“Maafkan aku Darul…” Pendek jawab Monica. Darul nampak Monica menyapu air matanya yang melilih dengan kain talkungnya yang putih, seputih hati nurani dan setulus jiwanya yang membawakan kakinya berpijak Tanah Haram itu.

“Kau menangis Monica…?” Macam dialog drama. Darul tunjuk simpati.

“Entah…apakah aku menangis kerana sedih bertemu denganmu di sini, atau gembira kerana aku berada di tempat ini.” Monica masih menyapu air matanya yang terus-terusan melilih itu.

Darul menatap wajah Monica yang dibungkus dengan tudung itu masih tidak berubah, malah bertambah manis dan ayu. Maklumlah Monica orang pertama dalam hidupnya. Dan jika silap-silap pandang orang akan menyangka Monica seorang wanita Melayu seratus persen.

“Inilah rahmat yang diberikan Allah kepada hamba-hamba-Nya seperti kita ini. Walau pahit untuk ditelan tapi semua itu ada nikmatnya”. Darus berusaha meredakan gelora di hati Monica.

“Tiga bulan selepas aku bersara, aku memelok agama Islam dan menghadirkan diri di sini.” Monica berhenti menangis.

“Kau bersama suamimu ke sini…?” Darus senghaja menebak untung-untung mengenai sasaran.

“Adik lelakiku…dia jua memelok agama Islam bersama-sama dengan aku.”

“Suamimu…?” Darus masih dengan pertanyaan yang sama. Itulah orang lelaki selalu mementingkan diri sendiri, belum dapat apa yang diinginkan sampai kiamat pun akan tetap mengajukan pertanyaan yang serupa.
“Setelah ayahku meninggal aku kawin dengan Robert.” Monica berhenti seketika, dia memandang Darul yang mulai gelisah apabila Monica menyebut perkataan kawin itu.

“Kenapa dia tidak bersamamu…?” Alunan pertanyaan Darul sudah berubah, kerana sekarang Darul sedang berbual dengan isteri orang.

“Usia perkahwinan kami teramat singkat, suamiku meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya, keretanya terbabas di sebuah jambatan lalu jatuh ke dalam sungai”. Monica berhenti lalu memicit hidungnya dengan tisu bagi menghalang air pekat dalam hidungnya yang sudah julung-julung hendak keluar itu.

Darul diam, barangkali sudah mendapat kepuasan atas penjelasan Monica itu.

Robert adalah seorang suami yang baik, bagaimana pun kebaikan Robert itu tidak dapat menakluki hati Monica walaupun sudah bergelar isteri. Tapi sayang perkahwinan mereka cuma di atas kertas, Robert tidak memperolehi apa-apa dari Monica walaupun sudah menjadi isterinya. Kerana cinta Monica terhadap jejaka Melayu itu amat mendalam hingga berjaya menutupi hatinya untuk jejaka lain walau dari bangsanya sendiri.

“Maafkan aku Monica…aku tidak bermaksud untuk mengguris lukamu itu”.
“Tidak mengapa Darul, adakalanya kita menghendaki luka lama itu biar berdarah kembali”. Monica mengeluh sambil memandang wajah Darul, wajah yang dulunya menjanjikan ada sinar bahagia untuk hidupnya sepanjang hayat.

“Namamu sekarang…?” Senghaja Darul mengalihkan persoalan, dia faham apa yang tersirat dari luahan kata-kata Monica itu. Sesekali Darul terasa panas walaupun ruang Loby Hotel itu berhawa dingin.

“Siti Aminah…”. Pendek jawab Monica. Darul diam kerana dia tahu Monica dan Siti Aminah adalah orang yang sama. Apapun namanya dan bagaimana pun sebutannya, tapi yang penting Monica sudahpun menjadi seorang muslimah, Darul merasa bangga.

Darul ingin meneruskan lagi perbualan dengan Monica kerana dia belum merasa puas berbual dengan orang yang dicari-carinya selama ini. Tapi semuanya itu terbantut disebabkan kehadiran isterinya di hadapan mereka.

Darul mengenalkan Monica (Siti Aminah) kepada isterinya seperti yang pernah diceritakannya sebelum mereka menjadi suami isteri dahulu. Darul tidak pernah menyimpan apa-apa rahsia terhadap isterinya.
“Assalamualaikum…”. Isteri Darul memberi salam, jujur dan ikhlas.

“Waalaikumssalam…”. Monica menjawab sambil menghulur tangan kepada isteri Darul. Isteri Darul memelok Monica dengan erat.

Jauh di sudut hati sekali lagi perasaan Monica terhiris. Apapun Monica akan tetap menahan hirisan luka itu hingga ke akhir hayatnya, walau berdarah suai-suai.






0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online