Saturday, August 27, 2011

AIR MATA DARAH

‘…paa…tah tumm…buh…hii…lang bergan…tii…i…’

Itu lagu P. Ramlee. Tapi yang tumbuh nyata tidak sama dengan yang patah, demikian juga yang hilang, tidak akan pernah serupa dengan pengganti. Cuma peribahasa yang mengatakan demikian, agar kita tidak berputus asa dan merasa kecewa.

“Apa yang Pak Cik cari…?” Alunan suara Saiful kedengaran sedikit marah, tapi masih boleh dikawalnya, dia tidak mahu dikatakan kurang hajar, kerana tidak ada rasa hormat terhadap orang tua.

Ketika kita asyik menjalani kehidupan bersama tugas-tugas mahupun kewajiban yang terpikul di atas bahu kita, sepertinya kita tidak ada masa untuk memperdulikan apa yang berlaku di sekeliling kita, selain hal-hal keluarga dan tanggung jawab harian kita.

Bagaimana pun ada masa dan waktunya kita merindukan seseorang yang sebelumnya kita tidak perlukan kehadirannya di hadapan kita, apa lagi untuk bertemu atau berjumpa dengannya, kerana perjumpaan itu amat menjemukan mungkin juga terlalu menyakitkan, walaupun belum sampai ketahap yang disebut benci. Tidak kira dia lelaki…perempuan, orang tua…orang muda, remaja atau pun dewasa, waima pun dia seekor kucing kurap yang menjejekkan.

“Kebahagiaan Pak Cik yang telah hilang.” Sahut Pak Man dengan nada perlahan tapi membayangkan kekesalan, raut wajahnya juga berubah menambahkan lagi garis-garis ketuaannya yang semakin terserlah. Nama sebenar orang tua itu Sulaiman Ahmad Ghani, lagi dua tiga hari angka usianya genap enam puluh tujuh tahun.

“Bagaimana boleh terjadi macam itu?” Saiful bertanya lagi namun dalam hatinya masih marah.

“Saiful sudah berkeluarga?” Tanpa menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Saiful, sebaliknya Pak Man pula yang bertanya.

Orang bijak pandai mengatakan kawan hari ini mungkin akan menjadi musuh pada esok hari, demikian juga sebaliknya musuh hari ini tidak mustahil pula akan menjadi kawan yang rapat dan setia hari esok. Itu yang dikatakan landasan perjalanan hidup bagi setiap orang dengan perasaan sayang atau pun benci. Namanya manusia tidak mustahil semua itu boleh berlaku.

Begitu yang terjadi pada Saiful, sudah lama dia tidak berjumpa dengan Pak Man yang selama ini banyak mengganggu ketenteraman hidupnya, sedangkan Saiful tidak punya apa-apa hubungan dengan Pak Man kecuali terserampak beberapa kali di tempat-tempat yang tertentu. Saiful yakin Pak Man mempunyai sebuah nostalgia, pastinya yang manis-manis dan tidak boleh dilupakan begitu saja.

“Alhamdulillah…saya mempunyai tiga orang anak disamping seorang isteri yang saya cintai, isteri saya cantik macam Maya Karin…!” Pak Man senyum kerana dia tahu Saiful bulat-bulat menyindirnya.

“Jagalah isteri dan anak-anak dengan baik, kerana mereka semua itu adalah fitrah dari Allah.” Pak Man tunduk seperti teringatkan sesuatu. Tempat jatuh lagikan dikenang…!

“Mengapa Pak Cik menangis…?” Macam pertanyaan dalam sebuah drama radio mahupun tv. Timbul pula rasa kesal dalam hati Saiful kerana mempersendakan Pak Man yang bertanya dengan jujur dan ikhlas itu.

“Pak Cik juga seorang suami dan ayah yang baik serta bertanggung jawab terhadap keluarga satu ketika dahulu, tapi kebaikan Pak Cik itu telah memakan diri Pak Cik sendiri yang akhirnya Pak Cik kehilangan semuanya.” Pak Man menelan air liurnya yang basi dan pahit itu, sesekali dia menyiruk cecair dalam hidungnya yang sudah terjulung-julung hendak keluar itu.
“Apakah Pak Cik akan terus mencarinya hingga ketemu?”

Pak Man sebenarnya dalam pencarian…dia mencari dirinya yang telah lama hilang dan sekarang sedang menghitung kira segala kerugiannya untuk ditebus kembali, kerana manusia itu sememangnya sentiasa berada dalam kerugian. Rugi yang bagaimana…?

Saiful tidak mengerti mengapa sekarang wajah Pak Man musim terdekat ini sering mundar-mandir dalam fikirannya. Saiful dibebani dengan masalah yang bukan masalahnya. Mengapa Pak Man dan bukan orang lain…?

Berkemungkinan Pak Man sekarang sudahpun menemukan apa yang dicarinya selama ini dan mendapat keuntungan dari kerugiannya yang telah lalu. Kerana itu dia tidak perlu lagi mengembara ke kota dan merayau ke desa atau meredah hutan belukar untuk mengutip semula harga dirinya yang tercicir itu, walaupun tidak seindah dan semurni sebelum ini namun maruah dirinya wajib ditebus walau terpaksa merangkak sekalipun.

“Sampai mati Pak Cik akan mencarinya…!”

Teringat saja perkataan mati itu Saiful keluar dari melayari skrin kenangannya. Wajah orang tua yang bergelar Pak Man itu kian dekat bukan saja di matanya malah dalam hati kecilnya. Kalau dahulu Saiful merasa jemu dan bosan jika berjumpa dengan Pak Man, tapi sekarang sudah lain ceritanya.

Saiful merasakan bahawa nasihat Pak Man itu ada benarnya, walaupun dia cuma mendengar dengan indah tak indah sahaja. Saiful terpinga-pinga seperti dipanggil oleh Pak Man, gegendang telinganya sering diusik bisikan halus suara hati Pak Man.

Pak Man harus dicari sampai dapat, itu tekad Saiful untuk bertemu dengan Pak Man, perasaan bosannya pada Pak Man selama ini telah bertukar dengan serta-merta menjadi simpati. Anak sungai lagikan berubah…!

Saiful merasakan dirinya berdosa terhadap Pak Man, dia ingin meminta ampun dan maaf kerana selama ini menyimpan satu perasaan yang kurang elok terhadap Pak Man. Di mana Pak Man…?

Sebenarnya Pak Man tergelincir sedikit dari landasan dalam menjalani liku-liku hidupnya yang sudah dekat ke hujung itu. Seperti orang lain Pak Man juga punya keluarga yang bahagia…isteri yang jelita salin tak tumpah macam Maria Menado, serta anak-anak yang pintar, juga cucu-cucu yang manja, pendek kata Pak Man punya apa yang ada pada orang lain.

Cuma Pak Man kurang pakar untuk mengawal apa yang diinginkan oleh yang bernama nafsu, itu yang menjebak Pak Man dan tidak mustahil pula akan berlaku pada orang lain. Selaku manusia biasa yang tidak pernah lengkap, begitulah juga Pak Man dengan kesudahannya dari apa yang diperuntukkan padanya. Itu dikatakan suratan takdir…!
Lebih sedikit separuh dekad Pak Man menikmati hari-hari persaraannya, Pak Man telah menerima lamaran cinta dari seorang wanita yang lima belas tahun lebih muda dari dirinya. Entah macamana Pak Man begitu mudah menerima cinta murah wanita itu dalam masa yang begitu singkat sahaja. Pak Man tidak berupaya untuk menangkisnya.

Apa yang ada pada Pak Man yang sudah berusia itu dalam pandangan mata wanita itu, yang nyatanya Pak Man sudah tidak punya kekuatan apalagi tenaga seperti di zaman muda terunanya dahulu, terlalu banyak kekurangan apalagi kelemahannya. Namanya juga orang tua…!

Harus ataupun mungkin saja wanita itu menganggap Pak Man umpama besi buruk yang tetap punya nilai walau setebal mana karatnya, apa lagi diwaktu itu Pak Man punya banyak wang…tahu-tahu sajalah orang sudah pencen. Wanita itu pula belum sampai setahun ditinggal mati oleh suaminya yang menjadi mangsa kekejaman jalan raya. Jalan raya kejam atau pemandu yang pejam…!

Nyata wanita itu tumpang bergayut hidup pada Pak Man walau sudah punya isteri dan tahu berapa lama dan panjangnya lagi perjalanan hidup yang akan mereka lalui dan nikmati, yang penting pastinya wanita itu ingin bergayut di dahan yang utuh dan bukan pada dahan yang rapuh. Wanita itu ada wawasan…!


Apa yang menjadi racun bagi sang isteri adalah madu, walau jelas manis pada nama tapi akan tetap pahit pada rasanya. Maka disebabkan itu isteri pertamanya bermohon diri kerana tidak rela berkongsi suami dengan orang lain. Ramaikah perempuan yang mahu berkongsi suami…?

Spontan Saiful teringat dan merasakan dia pernah berjumpa Pak Man kira-kira tiga minggu lepas. Hari Ahad…ketika Saiful sedang minum pagi di sebuah restoran mamak di Jerudong sebelum dia meneruskan perjalanannya ke Kuala Belait untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara sepupu isterinya.

Saiful yakin itulah orangnya, pada ketika itu Saiful cuba mengelakkan diri dari dilihat oleh Pak Man, kerana Saiful percaya Pak Man pasti akan berceramah jika dia ternampak Saiful dengan tidak mengira masa dan tempat di mana sahaja. Ingatan Saiful semakin jelas.

Perjalanan masa mahupun putaran waktu yang dilalui tidak akan pernah menoleh kebelakang apa lagi untuk menunggu sesiapa, kerana itu masa yang sudah berlalu mustahil akan kembali lagi menyapa kita. Setiap detik berlalu pinjaman umur yang dihadkan semakin kurang dan semakin dekat ke penghujungnya, di sana pasti akan ada malaikat yang ditugaskan untuk menghentikan turun naiknya nafas seseorang itu apabila sampai serunya nanti.

Baik jodoh pertemuan mahupun ajal dan maut…semua orang tahu di tangan Tuhan. Ikatan perkahwinan Pak Man tidak bertahan lama yang pada kesudahannya putus ranting…bingkas terburai, kerana perkongsian hidup tanpa cinta suci yang seakan dipaksa itu tidak akan sampai kemana.

Begitulah nasib yang menimpa Pak Man dalam perkongsian hidupnya dengan isteri barunya yang cuma berusia sececah sira itu. Demikian itulah bancuhan asam garam cinta yang diberikan isteri barunya kepada Pak Man yang pada mulanya jelas melebihi cinta yang diperolehi Pak Man dari isteri pertamanya dahulu. Namun semua itu adalah lakonan cinta klon yang ingin menikmati manisnya cinta walau cuma sebentar.

Sesal dahulu adalah langkah bijaksana dan tentunya sesal kemudian itu tidak akan memperolehi apa-apa melainkan kehampaan dan kekecewaan yang hasilnya akan dituai seumur hidup. Akhirnya Pak Man kehilangan segala-galanya dan membuatkan dia sentiasa berada dalam pencarian sepanjang hayatnya.

Saiful juga seperti Pak Man mencari dan terus mencari walaupun yang dicarinya itu tidak seperti apa yang dicari oleh Pak Man, namun pencarian mereka tetap sama walau tidak serupa. Pak Man mencari kebahagiannya yang telah sirna dimakan oleh anai-anai kehidupan yang ditajanya sendiri, manakala Saiful pula mencari Pak Man kerana Saiful punya hutang dalaman khuatir kalau-kalau tidak terampunkan jika Pak Man sudah berpindah ke alam berzakh.

Saiful nekad untuk mencari Pak Man sampai ketemu. Berbatang-batang jalan dilaluinya, jalan kampung…jalan bandar namun usahanya itu tetap zero. Fikiran negatifnya mulai menari-nari memenuhi ruang otak kepalanya dengan palbagai telahan, ini menambahkan lagi berat timbangan kepalanya yang terasa hendak tercabut. Saiful bukan waris penanggalan…!

Pandangan Saiful terpaku pada sekumpulan orang ramai di jalan Lebuh Raya yang bertentangan sebelah kanannya. Naluri ingin mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku memaksakan Saiful berhenti. Saiful berjalan mendapatkan kumpulan orang ramai itu dan mencelah masuk untuk melihat lebih dekat lagi.

Alangkah terperanjatnya Saiful orang yang sedang dicarinya selama ini terbaring di atas jalan Lebuh Raya dengan berlumuran darah dikelilingi oleh orang ramai yang sedang dalam kebingungan. Pak Man bergerak semacam memanggil Saiful agar dekat padanya walau dalam situasi yang bergelut dengan maut itu.

Tanpa berlengah Saiful mendapatkan Pak Man dan meletakkan kepala Pak Man di atas pahanya. Saiful sudah ketemu dengan orang yang dicarinya walau dalam keadaan yang tidak diinginkan seperti sekarang ini. Pak Man sampat senyum sambil memandang Saiful dengan bola matanya yang digenangi air bercampur darah, Pak Man seolah mengetahui Saiful sudah memperolehi apa yang dihajatinya, walaupun Pak Man sendiri belum menemukan apa yang dicarinya selama ini.

Buat pertama kalinya Saiful mengeluarkan air mata, Pak Man mengeleng-gelengkan kepalanya tanda melarang Saiful agar jangan menangis, walhal Pak Man sendiri pernah menangis suatu ketika dahulu.

Saiful mengangkat kepala Pak Man yang berlumuran darah itu dan membisikkan sesuatu ke telinga Pak Man, bibir Pak Man yang kering dan pecah-pecah itu bergerak-gerak layu sambil mengangguk yang punya erti dan makna.

Dari mulut Pak Man keluar darah berwarna merah kehitaman, kemudian anggukan kepala Pak Man berhenti buat selamanya. Dua hati yang masing-masing dalam pencarian itu berbisik sama. Pak Man memaafkan Saiful dan Saiful pula berharap agar Pak Man akan menemukan apa yang dicarinya di alam yang abadi nanti.

Sejurus kemudian sayup-sayup kedengaran bunyi siren ambulans semakin dekat menghampiri tempat kejadian yang cuma akan membawa jasad Pak Man yang sudah kaku itu ke Hospital untuk dibedah siasat.







0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online