Tuesday, August 24, 2010

KURMA

Matanya bulat terpaku memandang beberapa biji buah kurma yang terhidang dihadapannya, secebis ruti paun dan segelas air zam-zam begitu menaiskan liur memandangnya. Bibirnya mengukir senyum, entah senyum apa kerana orang tengah berjuang jarang mau senyum.

Memang Hj Suhaili tengah berjuang sekarang, berjuang dengan hawa dan nafsu. Kalau bukan dalam perjuangan tentu buah kurma dan secebis ruti paun yang tidak sampai dua inci itu, sudah lama jadi mangsanya dan bertahta dalam perutnya. Itu pun kalaukan disukat-sukat dengan keadaannya sekarang, semuanya itu belum, malah tidak akan mencukupi. Inilah Rahmat dan Nikmat dari Allah.

Keadaan disekelilingnya riuh rendah dan bercampur baur 'babacau-bacau', maklumlah berbagai bangsa dan palbagai gelagat dari wajah-wajah dan warna-warni manusia yang berkunjung dan menjadi penghuni Rumah Allah itu. Amat beruntunglah orang-orang yang berada didalamnya, kerana barang siapa yang belum diberikan taufik dan hidayah, walau pun dia orang yang terkaya sekali pun, belum tentu akan menjadi penghuni Rumah itu. Syukurlah.

Jauh di sudut hati kecil Hj Suhaili betapa hina dirinya di sisi Allah selama ini, 'luan rakus' dan 'tabarusnya' sekian lama melayani nafsu yang tak pernah kenal kepuasan. Baru pertama kali inilah dia menghadapi rezki Allah dengan perasaan yang betul-betul penuh kesyukuran dan keinsafan.

Selama ini dia melayani nafsu dan kehendak diri serta keluarganya dengan keindahan yang bersadur dengan warni warni kecantikan makanan, bukan dengan kecantikan dan keindahan iman. Rumah Allah telah benar-benar memberikan dia keinsafan dan kesedaran serta kekuatan iman dan takwa. Mau rasanya Hj Suhaili maraung sekuat-kuat hatinya untuk menyesali perkara-perkara yang berlalu. Masjidil-Haram betul-betul menginsafkan dirinya dan betapa kerdilnya dia di sisi Allah. Alhamdulillah.

Lama Hj Suhaili melayani fikirannya yang tidak henti-hentinya mengambara jauh mengenangkan kekosongan jiwanya selama ini. Puasa di negara sendiri memang juah bezanya dengan berpuasa di Mekatul-Mukarramah. Apatah lagi berpuasa sambil beramal ibadat. Terbayang-bayang makanan di atas meja untuk sajian berbuka puasa, berbagai bentuk dan rupa juadah, semua itu adalah untuk memenuhi kehedak selera puasa semata-mata.

"Yaa...Haj..!" Hj Suhaili terkejut dari lamunan. Seorang Arab duduk disebelahnya begitu kuat dan kasar mengejutkannya. Rupa-rupanya azan Maghrib sudah dilaungkan. Begitu jauh dan lama dia mengembara mengutip sisa-sisa kenangan silamnya ketika berada di Tanah Air..

Baru saja bibirnya mencecah air zam-zam untuk berbuka puasa tiba-tiba dadanya sebak. Terkilan dihatinya betapa megahnya ketika berbuka puasa di Brunei Darussalam, dengan hidangan berbagai rupa. Ayam masak kunyit begitu nampak linang kuningnya. Cucur pisang, cucur kacang dan bermacam-macam cucur lagi. Bubur dari macam-macam bubur, cindul dengan gula anau begitu pekat, cincau, air bandung...a..b..c..semuanya ini mau disapu bersih oleh nafsu puasa. Bukan dia menangis kerana tidak dapat merasakan semuanya itu sekarang, malah hatinya terhiris betapa syahdunya berbuka di Tanah Haram, Rumah Allah yang mulia itu.

Air matanya jatuh kedalam gelas bergaul dengan air zam-zam yang penuh berkat itu. Hatinya menangis dan tangannya perlahan-lahan mengambil sebiji kurma untuk santapan jasmaninya. Sebiji demi sebiji buah kurma diratahnya dan disusuli dengan tegukan air zam-zam yang menjadi ubat segala penyakit itu.

Begitu enak dan amat bererti baginya walau tidak seenak cucur pisang dan tidak sesegar air manisan yang dihirupnya di Brunei, tapi itu sudah lebih dari cukup untuk menghilangkan dahaga dan keletihanya. Hj Suhaili tidak pula bermaksud untuk menghina dan membeza-bezakan rezaki Allah, kerana dimana-mana pun semuanya sama, cuma hikmah dan keberkatannya yang berbeza.

Bukan tidak ada makanan lain yang hendak dijamahnya, sebenarnya ada. Tapi Hj Sulaili seolah-olah tidak percaya dalam keadaan begitu. Di Rumah Allah yang suci itu pun ruti paun yang disajikan untuknya boleh dikebas orang. Apa kah ini balasan Hj Suhaili di Brunei Darussalam…? Astaghfirullah al Azim...!

Sedikit demi sedikit ketenangan dan kedamaian dapat dirasakannya. Hj Suhaili benar-benar dapat menghayati hikmah berpuasa, jiwanya yang kosong selama ini telah terisi dan dia tidak akan kesal menjejakkan kakinya di Tanah Suci itu. Mekatul-Mukarramah dan Madinatul-Munawarrah.

"Ya...Haj..! Solat..! Solat..!"

Sekali lagi Hj Suhaili dikejutkan oleh Arab Iran yang duduk disebelahnya itu. Hj Suhaili memandang wajah Arab Iran itu dengan pandangan yang kurang senang sambil berdiri bersama-sama jutaan manusia di Tanah Haram itu untuk menunaikan sembahyang fardu Isya’ berjemaah.

Mekah Disember 1999


0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online