Memang pada awal-awal lagi Tuan Hj Baharom sudah dibebankan dengan palbagai kesukaran dan kesulitan yang tidak diduga, tapi semua itu dianggapnya sebagai satu tugas dan tanggung jawab, yang lebih tepat sebagai dugaan dan cubaan. Itu disematkan Tuan Hj Baharom dalam dadanya. Semua itu tidak dianggapnya sebagai rintangan mau pun satu alamat yang kurang baik. Ia bertawakkal kepada Allah.
Perjalanan yang memakan masa lebih dari sepuluh jam itu tidak banyak mempengaruhi fikirannya. Tapi ia merasakan suatu keanihan dalam perjalanannya kali ini. Bisikan nalurinya ada yang lain dari yang sudah-sudah. Tapi semua itu tidak dinampakkannya kepada isterinya, takut kalau-kalau isterinya nanti akan dapat mengesan kegelisahannya itu. Sesekali Tuan Hj Baharom melemparkan pandangannya keluar jendela besi ajaib yang menerbangkan ratusan jiwa didalamnya itu.
“Masya-Allah…!”
Itu saja kalimat yang dapat diungkapkannya betapa besar Kuasa Allah yang menerbangkan besi seberat itu. Tuan Hj Baharom cepat-cepat menutup jendila kapal terbang itu kerana ngeri dan gerun melihat kepulan awan putih kelabu yang seakan-akan mengikuti pesawat yang berwaran kuning putih dan hitam itu. Hatinya mula dibaluti berjuta kemungkinan yang boleh-boleh saja berlaku ketika terapong-apong di angkasa lepas yang luas itu. ‘Barang dijauhkan Allah’.
Tuan Hj Baharom terkejut bila saja bill berbunyi yang mengarahkan semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan. Ingatannya secra otomatik bersambung dengan cerita-cerita rekaan segala macam peristiwa yang berlaku dalam penerbangan seperti yang ditontonnya di kaca tv. Disamping itu nalurinya menggamit kuat dan dikaitkannya dengan kejadian-kejadian sebelum ia menaiki pesawat itu.
Cepat Tuan Hj Baharom mengambil sebuah buku kecil, buku yang tidak pernah tinggal walau kemana ia pergi. Walau bukan dengan kapal terbang buku itu pasti dibawanya bersama. Tuan Hj Baharom mula membuka buku itu dan membacanya. Isterinya yang diam sedari tadi membiarkan saja suaminya membaca buku itu. Surah Yassin.
Tenang seketika jantung Tuan Hj Baharom, ia seolah-olah duduk di kerusi empok ruang tamu rumahnya. Sedikit pun pesawat itu tidak bergoyang. Anak-anak kapal sibuk melayani penumpang. Namun ketenangan itu cuma seketika dan ia berulang kembali. Pesawat bergoyang dengan kuat dan bergegar seolah-olah menyecah bumi dan akan mengeluarkan bunyi bila-bila masa saja. Tuan Hj Baharom tidak dapat menahan gelodak perasaannya lantas ia menjerit sekuat-kuat hatinya.
“Allah hu Akbar…!”
Semua penumpang terperanjat dan pandangan mereka tertumpu ke arah Tuan Hj Baharom yang sudah berubah wajah menjadi pucat. Anak-anak kapal yang tadinya duduk diam tenang di tempat masing-masing tiba-tiba meluru mendapatkan Tuan Hj Baharom yang menjerit ketungkalan itu. Isterinya juga terkejut dan cepat mengejutkan suaminya.
Tuan Hj Baharom membuka matanya dan melihat kelilingnya. Ia merasakan tidak ada apa-apa perubahan. Cuma sedikit gegaran pesawat yang sudah selamat mendarat di bumi Arab Saudi – Jeddah. Tuan Hj Baharom senyum yang bercampur ‘awar’ kerana menjerit dalam kapal terbang itu lantaran terlelap sebentar dan bermimpi yang bukan-bukan.
Tuan Hj Baharom dan isterinya Hjh Nikmah bukan kali pertama menaiki kapal terbang. Malah lebih sepuluh kali mereka menaiki kapal terbang untuk pergi menunaikan ibadat haji dan umrah. Itu belum lagi ke tempat-tempat lain. Inilah yang menghairankan isterinya mengapa Tuan Hj Baharom seolah-olah takut pada kali ini.
“Mangapa bang Aji manarais antadi?”
“Mimpi ku…kapal kitani ani baguyang…ia tah ku manarais atu”.
“Apa inda baguyang kitani udah datang, ia linding bah tu antadi”.
“Pikir ku tah tahampas..!”
“Jangan cabul…jauh palis”. Hjh Nikmah menjeling suaminya. Tuan Hj Baharom diam. Ia memerhatikan keliling melihat kalau-kalau ada orang yang masih memandangnya.
Mekah al Mukarramah. Hari demi hari tidak terasa mereka berada di bumi suci itu. Kerinduan untuk kembali ke tanah air sudah membuak-buak memenuhi ruang benak semua jemaah ketika itu. Masing-masing sudah menyiapkan barang-barang yang hendak dibawa balik ke tanah air. Tiba-tiba timbul masaalah dan mereka tidak dapat pulang pada waktu yang dijadualkan.
“Batah udah kitani sini ani Wang Aji…bila tah kitani kan balik?”
“Balik jua kitani karang tu, sabar saja tah dulu. Bado’a saja?” Hj Abd Rahim selaku pegawai yang mengiringi mereka cuba menerangkan agar mereka bersabar.
“Inda tantu baliknya atu…ingau jua. Ampat ari udah lewatnya dangan ari ini”.
Tuan Hj Baharom makin gusar dan gelisah kerana waktu balik belum pasti bila, ia risau bukan kerana kekurangan wang. Insya-Allah wang masih ada. Tuan Hj Baharom berusaha untuk melupakan semua itu dengan membanyakkan amalan-amalan sunat seperti tawaf dan ummrah. Takaduhong berada di Tanah Suci itu Tuan Hj Baharom dan isterinya tidak mensia-siakan waktu yang ada sebagai tambahan.
“Apa tah gayanya kitani ani Wang Aji?”
“Inda tah jua kan ulahnya Pa Aji. Balum lagi ada usul-usulnya kitani kan balik”. Hj Abd Rahim menerangkan sesuatu.
“Lima ari udah kitani lewat ani. Cuti pun limpas jua udah”.
“Pasal cuti atu jangan tah diingaukan banar tu Pa Aji, dangan sendirinya tu karang dapat diuruskan oleh bisdia”.
“Macam-macam udah kan didangar abar ani, inda batantu”.
“Jangan tah luan kan didangar abar-abar atu Pa Aji, ingau saja karang bahamal ibadat”.
“Ada tah kitani ani tidur di kaki lima, bajual pakaian tah, inda cukup makan tah…macam-macam”.
“Ia tah kitani ani Pa Aji…inda memilih tampat mun kan membuat abar atu. Di Mekah udah ni…sapatutnya bahamal ibadat, ani membuat mulut tah pulang”.
“Sapatutnya Wang Aji ah…tolong pulang bah kalau kawan-kawan kitani mendapat gundala macam miani ani”.
“Ia tah yang sebanar-banarnya macam miatu Pa Aji. Kalau kawan atu bamasaalah dangani, jangan dibiarkan…ani ditambah-tambahai tia pulang”.
Tuan Hj Baharom cuba menanangkan hatinya, walau pun pada hakikatnya ia belum mendapat ketenangan dan kepastian bila mereka akan berangkat pulang ke Tanah Air. Siapa juga tidak risau apabila menunggu sesuatu yang belum pasti. Hari demi hari para jemaah menunggu dengan penuh debaran, namun kapal terbang yang ditunggu belum juga tiba.
“Bisai tah turun…sembahyang hajat, tawaf sunat. Jangan dibawa-bawai luan, jadi panyakit payah pulang karang”.
“Inda ku apa-apa ni Bang Aji nyangan tah diingau-ingaukan”.
“Insya-Allah balik jua kitani ni karang, sabar saja”.
Satu hari Tuan Hj Baharom cuba menyamankan hati isterinya. Hjh Nikmah tiba-tiba ‘ketungkalan’ apa bila mendengar kapal terbang yang membawa mereka balik belum datang-datang lagi. Timbul uri Hjh Nikmah. Tuan Hj Baharom tambah bimbang.
“Andangnya bahamal ibadat macam miani ani, banyak dugaan dan cubaannya.
Kitani harus tabah jangan lupa bedo’a moga kitani semua dalam peliharaan Allah”.
“Mengapa kapal inda mengaga kitani ani kan bang Aji. Pada hal tambang kitani bayar jua sudah, apa lagi salahnya atu kan. Luan jua abis diorang atu”.
“Bukan pasal tambang babayar atau pun inda, cuma ada tah kesilapan tu sadikit, kitani mana jua tau. Kitani di sini bisdia di sana. Ada tu karang”.
“Auu…lima hari udah kitani macam miani ani, inda jua pakah bisdia di Brunei atu inda kan memaduli kitani ah, bukan kitani makan angin di sini ani”.
“Dada pulang sampai miatu…”.
Dalam hati Tuan Hj Baharom memang bersarang berbagai-bagai kemungkinan yang akan timbul dan boleh-boleh saja berlaku. Tapi dia tidak menampakkan kepada isterinya, takut nanti akan menambah lagi uri isterinya yang sedia ada.
Kalau kan difikir-fikirkan memang perkara begini tidak boleh berlaku. Bukan sekali atau dua kali, malah sudah banyak kali dia menunaikan ibadat umrah seumpama ini. Barulah ini kali pertama dia mengelami kejadian seumpama ini. Tuan Hj Baharom berharap janganlah lagi hendaknya perkara seumpama ini berlaku dimasa-masa yang akan datang.
“Semua ini sudah ditakdirkan, ada hikmah disabalik kejadian ini”.
Tuan Hj Baharom cuba menasihati kawan-kawannya yang cuba bertindak sendirian. Rakan-rakan sejemaah Tuan Hj Baharom sudah tidak sabar lagi, mereka sudah mulai gelisah dan cuba-cuba berbuat sesuatu. Mereka lupa di mana mereka berada sekarang. Kerana terlalu lama menunggu dan khabar berita sama ada balik atau tidak, belum lagi dapat dipestikan. Bila…esok…lusa dan…(jangan cabul).
Hari ini sudah masuk hari keenam mereka terlewat untuk pulang. Mereka masih berada di Kota Mekah. Perasaan yang memungkinkan palbagai kejadian makin bermaharaja lela. Kesabaran dalam diri mereka masing-masing sudah sampai kekemuncak. Tiada wajah ceria dan rasa syukur kerana dapat tinggal lama di Kota Suci seperti yang sepatutnya. Mereka dijadualkan berada di Mekah tidak kurang dari enam hari. Tapi sekarang sudah sekali lipat, dua belas hari penuh. Inilah namanya kehendak Allah tiada siapa yang dapat menghalang. Itu adalah ketentuan-Nya.
“Kitani sepatutnya bersyukur kerana dapat tinggal lama di Mekah ini dari yang dijadualkan”. Hj Abd Rahim cuba menerangkan kelebihan hari-hari yang terlewat itu.
“Banar pulang tu Wang Aji…nganya ingau bah, inda tantu atu”.
“Ani tah namanya ‘bonos’ untuk kitani Pa Aji”.
“Pikir tah gaji nganya babonos Wang Aji”.
“Pari saja kitani indakan tau, baumur maka baumur kan mandapat paluang macam miani ani”.
“Banar tu Wang Aji…bisai tah dirabut takaduhung di sini ani”.
Takungan sebuah penantian kini sudah pecah terburai. Berita yang mengembirakan semua jemaah sudah menjadi kenyataan. Kapal terbang yang akan membawa mereka pulang ke Tanah Air sedang dalam perjalanan ke Jeddah dan ini bererti mereka akan kembali ke Brunei Darussalam. Mudah-mudahan.
Tuan Hj Baharom dan isterinya Hjh Nikmah baru saja selesai mengerjakan tawaf widak. Mereka terharu dan begitu sedih untuk meninggalkan Kota Suci itu. Kalau dulu hati mereka bagai digamit-gamit untuk pulang ke Tanah Air, tapi sekarang sudah menjadi lain. Hati mereka bagai dihiris untuk meninggalkan Mekah al Mukarramah. Itulah hikmah kota yang tiada duanya di dunia ini.
“Ya Allah ya Tuhan ku…janganlah Engkau jadikan ini kali terakhir untuk kami menziarahi Rumah Mu…”.
Tuan Hj Baharom tidak dapat meneruskan kata-katanya. Ia melangkah begitu perlahan dengan diikuti oleh Hjh Nikmah meninggalkan Rumah Allah yang seakan-akan tidak mau ditinggalkan itu. Diruang mata mereka terbayang kapal terbang RBA tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah sedang menunggu mereka.
0 Comments:
Post a Comment