Tuesday, August 24, 2010

Mimpi Yang Indah

Jika orang kaya jatuh miskin
lalu bermimpi menjadi kaya
apabila terjaga dia akan menangis
sambil berkata
mengapa aku mimpi yang seburuk itu...
*
Orang miskin tiba-tiba menjadi kaya
apabila mimpi jadi papa kedana
lalu terjaga dia akan senyum
dan berbisik
alang kah indahnya mimpi itu..

MEKAH 30 April 2005

BISNES


Semalam…
kuaturkan sebuah perjanjian
tentang bisnes
keduniaan
untung lipat candas
kau ligat datang.
*
Hari ini…
kusediakan lagi satu perjumpaan
mengenai perdagangan
akhirat
labanya berlipat ganda
tapi kau tak kunjung tiba.
*
Mana yang lebih utama
dunia atau akhirat…!


Bangau Oh Bangau


Kadang-kadang
terasa jemu
melihat bangau
bertinggiran
di mana-mana…!
kedai gunting
stesyen minyak
kedai runcit
kedai makan
malah di hujung rumput.
*
Barangkali bumi ini
manis bak madu
lalu mengaut
sebanyak mungkin
datang
sehelai sepinggang
pulang
jadi jutawan terbilang.
*
Barangkali
sudah ditakdirkan
bumi Allah ini
tempat cari makan.
*
Bangau-bangau
riang berterbangan
tidak sekurus dulu
kerana rumput
sudah dipotong.




HIJRAH


Hijrah demi hijrah silih berganti
tahun demi tahun bertukar musim
usia juga ditelan hari
yang hitam bertukar putih
wajah bulat cekong membujur sirih
jalan tegak mulai cundung berdiri
garis-garis kulit kian beralun
nafas kian mencungap
kerana hari semakin senja
untuk menutup tirai perjalanan
hijrah ke alam abadi.
*
Esok Muharram datang lagi
meninggalkan Zulhijjah
berpisah setahun lagi
menagih yang belum tertunai
sedangkan usia meniti senja.
Sebelum malam berlabuh
limparkan urusan dunia
ianya cuma sementara
kelak tiada waktu dan masa
menyesal tidak punya erti apa-apa.
*
Yang berlalu jadikan peringatan
semua itu ujian buat insani
jangan biarkan hijrah silih berganti
tanpa kesan di hati
berserah diri
relakan semua yang terjadi
kerana itu suratan Illahi.




HIKMAH



Jangan sesali andai kau terlanjur
itu adalah titik permulaan
untuk hidup berwawasan
lebih cemerlang dan beriman.
*
Kesedaran
keinsafan
kesabaran dan keyakinan
itulah hikmah
sebalik kejadian
anugerah Tuhan.



KURMA

Matanya bulat terpaku memandang beberapa biji buah kurma yang terhidang dihadapannya, secebis ruti paun dan segelas air zam-zam begitu menaiskan liur memandangnya. Bibirnya mengukir senyum, entah senyum apa kerana orang tengah berjuang jarang mau senyum.

Memang Hj Suhaili tengah berjuang sekarang, berjuang dengan hawa dan nafsu. Kalau bukan dalam perjuangan tentu buah kurma dan secebis ruti paun yang tidak sampai dua inci itu, sudah lama jadi mangsanya dan bertahta dalam perutnya. Itu pun kalaukan disukat-sukat dengan keadaannya sekarang, semuanya itu belum, malah tidak akan mencukupi. Inilah Rahmat dan Nikmat dari Allah.

Keadaan disekelilingnya riuh rendah dan bercampur baur 'babacau-bacau', maklumlah berbagai bangsa dan palbagai gelagat dari wajah-wajah dan warna-warni manusia yang berkunjung dan menjadi penghuni Rumah Allah itu. Amat beruntunglah orang-orang yang berada didalamnya, kerana barang siapa yang belum diberikan taufik dan hidayah, walau pun dia orang yang terkaya sekali pun, belum tentu akan menjadi penghuni Rumah itu. Syukurlah.

Jauh di sudut hati kecil Hj Suhaili betapa hina dirinya di sisi Allah selama ini, 'luan rakus' dan 'tabarusnya' sekian lama melayani nafsu yang tak pernah kenal kepuasan. Baru pertama kali inilah dia menghadapi rezki Allah dengan perasaan yang betul-betul penuh kesyukuran dan keinsafan.

Selama ini dia melayani nafsu dan kehendak diri serta keluarganya dengan keindahan yang bersadur dengan warni warni kecantikan makanan, bukan dengan kecantikan dan keindahan iman. Rumah Allah telah benar-benar memberikan dia keinsafan dan kesedaran serta kekuatan iman dan takwa. Mau rasanya Hj Suhaili maraung sekuat-kuat hatinya untuk menyesali perkara-perkara yang berlalu. Masjidil-Haram betul-betul menginsafkan dirinya dan betapa kerdilnya dia di sisi Allah. Alhamdulillah.

Lama Hj Suhaili melayani fikirannya yang tidak henti-hentinya mengambara jauh mengenangkan kekosongan jiwanya selama ini. Puasa di negara sendiri memang juah bezanya dengan berpuasa di Mekatul-Mukarramah. Apatah lagi berpuasa sambil beramal ibadat. Terbayang-bayang makanan di atas meja untuk sajian berbuka puasa, berbagai bentuk dan rupa juadah, semua itu adalah untuk memenuhi kehedak selera puasa semata-mata.

"Yaa...Haj..!" Hj Suhaili terkejut dari lamunan. Seorang Arab duduk disebelahnya begitu kuat dan kasar mengejutkannya. Rupa-rupanya azan Maghrib sudah dilaungkan. Begitu jauh dan lama dia mengembara mengutip sisa-sisa kenangan silamnya ketika berada di Tanah Air..

Baru saja bibirnya mencecah air zam-zam untuk berbuka puasa tiba-tiba dadanya sebak. Terkilan dihatinya betapa megahnya ketika berbuka puasa di Brunei Darussalam, dengan hidangan berbagai rupa. Ayam masak kunyit begitu nampak linang kuningnya. Cucur pisang, cucur kacang dan bermacam-macam cucur lagi. Bubur dari macam-macam bubur, cindul dengan gula anau begitu pekat, cincau, air bandung...a..b..c..semuanya ini mau disapu bersih oleh nafsu puasa. Bukan dia menangis kerana tidak dapat merasakan semuanya itu sekarang, malah hatinya terhiris betapa syahdunya berbuka di Tanah Haram, Rumah Allah yang mulia itu.

Air matanya jatuh kedalam gelas bergaul dengan air zam-zam yang penuh berkat itu. Hatinya menangis dan tangannya perlahan-lahan mengambil sebiji kurma untuk santapan jasmaninya. Sebiji demi sebiji buah kurma diratahnya dan disusuli dengan tegukan air zam-zam yang menjadi ubat segala penyakit itu.

Begitu enak dan amat bererti baginya walau tidak seenak cucur pisang dan tidak sesegar air manisan yang dihirupnya di Brunei, tapi itu sudah lebih dari cukup untuk menghilangkan dahaga dan keletihanya. Hj Suhaili tidak pula bermaksud untuk menghina dan membeza-bezakan rezaki Allah, kerana dimana-mana pun semuanya sama, cuma hikmah dan keberkatannya yang berbeza.

Bukan tidak ada makanan lain yang hendak dijamahnya, sebenarnya ada. Tapi Hj Sulaili seolah-olah tidak percaya dalam keadaan begitu. Di Rumah Allah yang suci itu pun ruti paun yang disajikan untuknya boleh dikebas orang. Apa kah ini balasan Hj Suhaili di Brunei Darussalam…? Astaghfirullah al Azim...!

Sedikit demi sedikit ketenangan dan kedamaian dapat dirasakannya. Hj Suhaili benar-benar dapat menghayati hikmah berpuasa, jiwanya yang kosong selama ini telah terisi dan dia tidak akan kesal menjejakkan kakinya di Tanah Suci itu. Mekatul-Mukarramah dan Madinatul-Munawarrah.

"Ya...Haj..! Solat..! Solat..!"

Sekali lagi Hj Suhaili dikejutkan oleh Arab Iran yang duduk disebelahnya itu. Hj Suhaili memandang wajah Arab Iran itu dengan pandangan yang kurang senang sambil berdiri bersama-sama jutaan manusia di Tanah Haram itu untuk menunaikan sembahyang fardu Isya’ berjemaah.

Mekah Disember 1999


BONUS

Kalaulah Tuan Hj Baharom orang yang bijak menilai dan merasakan gerak langkah sesuatu pergerakan dan perjalanan, tentu Tuan Haji Baharom akan tahu atau sekurang-kurangnya mendapat firasat bahawa pemergiannya kali ini akan melalui banyak onak dan durinya, kalau dibandingkan dengan yang sebelumnya. Tapi Tuan Hj Baharom adalah seorang manusia biasa yang tidak dikurniakan Allah keistimewaan untuk melihat apa-apa yang tersirat.

Memang pada awal-awal lagi Tuan Hj Baharom sudah dibebankan dengan palbagai kesukaran dan kesulitan yang tidak diduga, tapi semua itu dianggapnya sebagai satu tugas dan tanggung jawab, yang lebih tepat sebagai dugaan dan cubaan. Itu disematkan Tuan Hj Baharom dalam dadanya. Semua itu tidak dianggapnya sebagai rintangan mau pun satu alamat yang kurang baik. Ia bertawakkal kepada Allah.

Perjalanan yang memakan masa lebih dari sepuluh jam itu tidak banyak mempengaruhi fikirannya. Tapi ia merasakan suatu keanihan dalam perjalanannya kali ini. Bisikan nalurinya ada yang lain dari yang sudah-sudah. Tapi semua itu tidak dinampakkannya kepada isterinya, takut kalau-kalau isterinya nanti akan dapat mengesan kegelisahannya itu. Sesekali Tuan Hj Baharom melemparkan pandangannya keluar jendela besi ajaib yang menerbangkan ratusan jiwa didalamnya itu.

“Masya-Allah…!”

Itu saja kalimat yang dapat diungkapkannya betapa besar Kuasa Allah yang menerbangkan besi seberat itu. Tuan Hj Baharom cepat-cepat menutup jendila kapal terbang itu kerana ngeri dan gerun melihat kepulan awan putih kelabu yang seakan-akan mengikuti pesawat yang berwaran kuning putih dan hitam itu. Hatinya mula dibaluti berjuta kemungkinan yang boleh-boleh saja berlaku ketika terapong-apong di angkasa lepas yang luas itu. ‘Barang dijauhkan Allah’.

Tuan Hj Baharom terkejut bila saja bill berbunyi yang mengarahkan semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan. Ingatannya secra otomatik bersambung dengan cerita-cerita rekaan segala macam peristiwa yang berlaku dalam penerbangan seperti yang ditontonnya di kaca tv. Disamping itu nalurinya menggamit kuat dan dikaitkannya dengan kejadian-kejadian sebelum ia menaiki pesawat itu.

Cepat Tuan Hj Baharom mengambil sebuah buku kecil, buku yang tidak pernah tinggal walau kemana ia pergi. Walau bukan dengan kapal terbang buku itu pasti dibawanya bersama. Tuan Hj Baharom mula membuka buku itu dan membacanya. Isterinya yang diam sedari tadi membiarkan saja suaminya membaca buku itu. Surah Yassin.

Tenang seketika jantung Tuan Hj Baharom, ia seolah-olah duduk di kerusi empok ruang tamu rumahnya. Sedikit pun pesawat itu tidak bergoyang. Anak-anak kapal sibuk melayani penumpang. Namun ketenangan itu cuma seketika dan ia berulang kembali. Pesawat bergoyang dengan kuat dan bergegar seolah-olah menyecah bumi dan akan mengeluarkan bunyi bila-bila masa saja. Tuan Hj Baharom tidak dapat menahan gelodak perasaannya lantas ia menjerit sekuat-kuat hatinya.

“Allah hu Akbar…!”

Semua penumpang terperanjat dan pandangan mereka tertumpu ke arah Tuan Hj Baharom yang sudah berubah wajah menjadi pucat. Anak-anak kapal yang tadinya duduk diam tenang di tempat masing-masing tiba-tiba meluru mendapatkan Tuan Hj Baharom yang menjerit ketungkalan itu. Isterinya juga terkejut dan cepat mengejutkan suaminya.

Tuan Hj Baharom membuka matanya dan melihat kelilingnya. Ia merasakan tidak ada apa-apa perubahan. Cuma sedikit gegaran pesawat yang sudah selamat mendarat di bumi Arab Saudi – Jeddah. Tuan Hj Baharom senyum yang bercampur ‘awar’ kerana menjerit dalam kapal terbang itu lantaran terlelap sebentar dan bermimpi yang bukan-bukan.

Tuan Hj Baharom dan isterinya Hjh Nikmah bukan kali pertama menaiki kapal terbang. Malah lebih sepuluh kali mereka menaiki kapal terbang untuk pergi menunaikan ibadat haji dan umrah. Itu belum lagi ke tempat-tempat lain. Inilah yang menghairankan isterinya mengapa Tuan Hj Baharom seolah-olah takut pada kali ini.

“Mangapa bang Aji manarais antadi?”

“Mimpi ku…kapal kitani ani baguyang…ia tah ku manarais atu”.

“Apa inda baguyang kitani udah datang, ia linding bah tu antadi”.

“Pikir ku tah tahampas..!”

“Jangan cabul…jauh palis”. Hjh Nikmah menjeling suaminya. Tuan Hj Baharom diam. Ia memerhatikan keliling melihat kalau-kalau ada orang yang masih memandangnya.

Mekah al Mukarramah. Hari demi hari tidak terasa mereka berada di bumi suci itu. Kerinduan untuk kembali ke tanah air sudah membuak-buak memenuhi ruang benak semua jemaah ketika itu. Masing-masing sudah menyiapkan barang-barang yang hendak dibawa balik ke tanah air. Tiba-tiba timbul masaalah dan mereka tidak dapat pulang pada waktu yang dijadualkan.

“Batah udah kitani sini ani Wang Aji…bila tah kitani kan balik?”

“Balik jua kitani karang tu, sabar saja tah dulu. Bado’a saja?” Hj Abd Rahim selaku pegawai yang mengiringi mereka cuba menerangkan agar mereka bersabar.

“Inda tantu baliknya atu…ingau jua. Ampat ari udah lewatnya dangan ari ini”.

Tuan Hj Baharom makin gusar dan gelisah kerana waktu balik belum pasti bila, ia risau bukan kerana kekurangan wang. Insya-Allah wang masih ada. Tuan Hj Baharom berusaha untuk melupakan semua itu dengan membanyakkan amalan-amalan sunat seperti tawaf dan ummrah. Takaduhong berada di Tanah Suci itu Tuan Hj Baharom dan isterinya tidak mensia-siakan waktu yang ada sebagai tambahan.

“Apa tah gayanya kitani ani Wang Aji?”

“Inda tah jua kan ulahnya Pa Aji. Balum lagi ada usul-usulnya kitani kan balik”. Hj Abd Rahim menerangkan sesuatu.

“Lima ari udah kitani lewat ani. Cuti pun limpas jua udah”.

“Pasal cuti atu jangan tah diingaukan banar tu Pa Aji, dangan sendirinya tu karang dapat diuruskan oleh bisdia”.

“Macam-macam udah kan didangar abar ani, inda batantu”.

“Jangan tah luan kan didangar abar-abar atu Pa Aji, ingau saja karang bahamal ibadat”.

“Ada tah kitani ani tidur di kaki lima, bajual pakaian tah, inda cukup makan tah…macam-macam”.

“Ia tah kitani ani Pa Aji…inda memilih tampat mun kan membuat abar atu. Di Mekah udah ni…sapatutnya bahamal ibadat, ani membuat mulut tah pulang”.

“Sapatutnya Wang Aji ah…tolong pulang bah kalau kawan-kawan kitani mendapat gundala macam miani ani”.

“Ia tah yang sebanar-banarnya macam miatu Pa Aji. Kalau kawan atu bamasaalah dangani, jangan dibiarkan…ani ditambah-tambahai tia pulang”.

Tuan Hj Baharom cuba menanangkan hatinya, walau pun pada hakikatnya ia belum mendapat ketenangan dan kepastian bila mereka akan berangkat pulang ke Tanah Air. Siapa juga tidak risau apabila menunggu sesuatu yang belum pasti. Hari demi hari para jemaah menunggu dengan penuh debaran, namun kapal terbang yang ditunggu belum juga tiba.

“Bisai tah turun…sembahyang hajat, tawaf sunat. Jangan dibawa-bawai luan, jadi panyakit payah pulang karang”.

“Inda ku apa-apa ni Bang Aji nyangan tah diingau-ingaukan”.

“Insya-Allah balik jua kitani ni karang, sabar saja”.

Satu hari Tuan Hj Baharom cuba menyamankan hati isterinya. Hjh Nikmah tiba-tiba ‘ketungkalan’ apa bila mendengar kapal terbang yang membawa mereka balik belum datang-datang lagi. Timbul uri Hjh Nikmah. Tuan Hj Baharom tambah bimbang.

“Andangnya bahamal ibadat macam miani ani, banyak dugaan dan cubaannya.
Kitani harus tabah jangan lupa bedo’a moga kitani semua dalam peliharaan Allah”.

“Mengapa kapal inda mengaga kitani ani kan bang Aji. Pada hal tambang kitani bayar jua sudah, apa lagi salahnya atu kan. Luan jua abis diorang atu”.

“Bukan pasal tambang babayar atau pun inda, cuma ada tah kesilapan tu sadikit, kitani mana jua tau. Kitani di sini bisdia di sana. Ada tu karang”.

“Auu…lima hari udah kitani macam miani ani, inda jua pakah bisdia di Brunei atu inda kan memaduli kitani ah, bukan kitani makan angin di sini ani”.

“Dada pulang sampai miatu…”.

Dalam hati Tuan Hj Baharom memang bersarang berbagai-bagai kemungkinan yang akan timbul dan boleh-boleh saja berlaku. Tapi dia tidak menampakkan kepada isterinya, takut nanti akan menambah lagi uri isterinya yang sedia ada.

Kalau kan difikir-fikirkan memang perkara begini tidak boleh berlaku. Bukan sekali atau dua kali, malah sudah banyak kali dia menunaikan ibadat umrah seumpama ini. Barulah ini kali pertama dia mengelami kejadian seumpama ini. Tuan Hj Baharom berharap janganlah lagi hendaknya perkara seumpama ini berlaku dimasa-masa yang akan datang.

“Semua ini sudah ditakdirkan, ada hikmah disabalik kejadian ini”.

Tuan Hj Baharom cuba menasihati kawan-kawannya yang cuba bertindak sendirian. Rakan-rakan sejemaah Tuan Hj Baharom sudah tidak sabar lagi, mereka sudah mulai gelisah dan cuba-cuba berbuat sesuatu. Mereka lupa di mana mereka berada sekarang. Kerana terlalu lama menunggu dan khabar berita sama ada balik atau tidak, belum lagi dapat dipestikan. Bila…esok…lusa dan…(jangan cabul).

Hari ini sudah masuk hari keenam mereka terlewat untuk pulang. Mereka masih berada di Kota Mekah. Perasaan yang memungkinkan palbagai kejadian makin bermaharaja lela. Kesabaran dalam diri mereka masing-masing sudah sampai kekemuncak. Tiada wajah ceria dan rasa syukur kerana dapat tinggal lama di Kota Suci seperti yang sepatutnya. Mereka dijadualkan berada di Mekah tidak kurang dari enam hari. Tapi sekarang sudah sekali lipat, dua belas hari penuh. Inilah namanya kehendak Allah tiada siapa yang dapat menghalang. Itu adalah ketentuan-Nya.

“Kitani sepatutnya bersyukur kerana dapat tinggal lama di Mekah ini dari yang dijadualkan”. Hj Abd Rahim cuba menerangkan kelebihan hari-hari yang terlewat itu.

“Banar pulang tu Wang Aji…nganya ingau bah, inda tantu atu”.

“Ani tah namanya ‘bonos’ untuk kitani Pa Aji”.

“Pikir tah gaji nganya babonos Wang Aji”.

“Pari saja kitani indakan tau, baumur maka baumur kan mandapat paluang macam miani ani”.

“Banar tu Wang Aji…bisai tah dirabut takaduhung di sini ani”.

Takungan sebuah penantian kini sudah pecah terburai. Berita yang mengembirakan semua jemaah sudah menjadi kenyataan. Kapal terbang yang akan membawa mereka pulang ke Tanah Air sedang dalam perjalanan ke Jeddah dan ini bererti mereka akan kembali ke Brunei Darussalam. Mudah-mudahan.

Tuan Hj Baharom dan isterinya Hjh Nikmah baru saja selesai mengerjakan tawaf widak. Mereka terharu dan begitu sedih untuk meninggalkan Kota Suci itu. Kalau dulu hati mereka bagai digamit-gamit untuk pulang ke Tanah Air, tapi sekarang sudah menjadi lain. Hati mereka bagai dihiris untuk meninggalkan Mekah al Mukarramah. Itulah hikmah kota yang tiada duanya di dunia ini.

“Ya Allah ya Tuhan ku…janganlah Engkau jadikan ini kali terakhir untuk kami menziarahi Rumah Mu…”.

Tuan Hj Baharom tidak dapat meneruskan kata-katanya. Ia melangkah begitu perlahan dengan diikuti oleh Hjh Nikmah meninggalkan Rumah Allah yang seakan-akan tidak mau ditinggalkan itu. Diruang mata mereka terbayang kapal terbang RBA tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah sedang menunggu mereka.




MAT JININ (2)

ULANG CERITA MAT JININ ( 1 )

Mat Jinin dengan sekuat tenaganya mengayuh basikalnya sambil menoleh kebelakang. Takutnya lebih dari ratusan kali ganda apabila rumah itu sudah hilang yang cuma nampak rumput rampai yang terbiar dan samar-samar dilihatnya terpacak beberapa batang batu nisan di kawasan itu.

Satu dentuman kedengaran setibanya Mat Jinin di simpang jalan besar itu. Basikal Mat Jinin melayang macam kertas. Mat Jinin jatuh tergolek lalu masuk ke dalam longkang kecil jalan itu yang airnya sudah bercampur dengan warna merah.

S.I.C.U. HOSPITAL RIPAS : MAT JININ KOMA…!

Dang Kasom ibu Mat Jinin sudah lebih tiga minggu tidur makan di hospital, segala-galanya di Hospital menunggu Mat Jinin yang luka parah dalam satu kemalangan jalan

raya. Cuma sesekali Dang Kasom pulang ke rumahnya menumpang bas warna merah bercampur biru yang lapar penumpang itu bagi memastikan tidak ada barang-barangnya yang dicuri orang.

Haji Pudin tauke sayur itu pula geleng-geleng kepala apabila mengetahui musibah yang menimpa ke atas Mat Jinin. Haji Pudin sudah pasti kehilangan pengedar dan sekaligus pelanggan tetapnya yang sangat gigih dan rajin berkerja. Tidak ada duanya pemuda seperti Mat Jinin dalam kampung itu. Iktiraf Haji Pudin seakan P.B.B. memberikan pengiktirafan kepada negara-negara yang disukainya.

Mat Jinin terlentang macam mayat di atas katil. Di sisinya Dang Kasom sedang menangis terisek-isek, menangisi nasib yang menimpa anaknya yang satu-satunya itu. Menurut sang doktor Mat Jinin punya lima puluh…lima puluh untuk hidup. Itu kata doktor, tapi ketentuan Allah tidak siapa yang tahu.

“Jangan berangan-angan tinggi Mat...” Dang Kasom.

“Bukan berangan-angan mak, Mat cintakan Milah. Mat akan mati jika tidak dapat kawin dengan Milah…!” Mat Jinin.

Masih teriang-iang di telinga Dang Kasom kata-kata Mat Jinin beberapa hari sebelum kemalangan itu berlaku. Dang Kasom merasa bimbang setiap kali Mat Jinin berjualan

dengan mengayuh basikal di sekeliling kampung itu dan juga kampung-kampung yang berdekatan.

Tapi bagaimana pula Dang Kasom nak melarangnya, sedangkan Mat Jinin berusaha mencari sedikit rezeki untuk mereka berdua dan sekaligus melatih Mat Jinin supaya pandai cari makan sendiri seandainya dia pergi menghadap ILLAHI nanti.

Dang Kasom menunggu masa dan ketikanya saja lagi untuk menyaksikan anaknya berlepas pergi buat selama-lamanya. Itu penyudah kata yang diberikan oleh sang doktor yang cuma ambil jalan pintas dan singkat, tidak ingin berusaha untuk menyamankan walau sedikit pun hati orang tua yang bernama Dang Kasom itu.

Namun Dang Kasom tidak pernah putus asa, dia tahu jika Allah belum kehendaknya, Mat Jinin akan pasti selamat dan pulih seperti sediakala. Dang Kasom berdoa agar anaknya cepat sembuh dan jika boleh biarlah nyawanya menjadi tukar gantinya. ‘Itulah cinta seorang ibu terhadap anaknya.’

“Saya Munah mak cik…Munah tak sempat nak berbuat apa-apa…” Lembut dan sayu alunan suara Munah. Wajahnya sedikit pucat…ketakutan, siapa tahu kalau-kalau sang ibu itu menyerangnya nanti. Bukan saja sakit malah malu jika perkara itu berlaku.

“Semua itu sudah takdir nak, terima kasih kerana membawa anak mak cik ke sini.” Nada lembut seorang tua yang dalam kesedihan.

“Munah minta maaf pada mak cik, dan Munah berjanji akan membantu mak cik seadanya.” Janji seorang yang terasa bersalah walaupun Munah tahu bukan dia yang bersalah.

Dang Kasom teringatkan sesuatu ketika Mat Jinin sedang berangan-angan nak kahwin, Mat Jinin ada menyebut nama seorang gadis bernama Milah. Apakah Munah ini yang disebut-sebut anaknya itu…? Dang Kasom merenung seratus peratus seluruh tubuh Munah. Gadis itu memang ayu dan cantik serta berbudi bahasa.

“Mengapa mak cik pandang Munah macam itu…?” Munah jadi gelisah.

“Sebelum ini pernah kah Munah jumpa anak mak cik ini…?” Dang Kasom pula yang bertanya, sedangkan pertanyaan Munah sendiri belum terjawab.

“Ketika kemalangan itulah kali pertama Munah melihatnya. Ada apa mak cik tanya Munah macam itu…?” Munah bertanya lagi walaupun pertanyaannya yang pertama belum mendapat jawaban.

“Mak cik cuma nak mengucapkan terima kasih kerana membawa anak mak cik ke hospital, jika tidak…mak cik pun tidak tahu apa jadinya.” Dang Kasom menoktah pertanyaannya.

Munah adalah seorang jururawat di hospital itu. Jika kebetulan Munah bertugas dia akan membawa Dang Kasom ke hospital sesuai dengan apa yang dijanjikannya. Inilah barangkali anugerah dari Allah kepada hamba-Nya yang sabar dan redha pada apa yang telah diberikan kepadanya.

Atas keakraban Munah dengan Dang Kasom itu maka Munah pun di gosipkan dengan Dang Kasom bakal menjadi ibu mertuanya nanti. Itu cakap-cakap orang muda seperti kawan-kawan Munah yang tidak pernah menyelam ke dasar hati seseorang yang ditimpa kesedihan.

Sang doktor dengan tugas dan kewajibannya itu memberikan waktu dua hari saja lagi untuk Mat Jinin berada di S.I.C.U. itu, jika tidak ada apa-apa perubahan maka nafas Mat Jinin yang cuma bergantung kepada mesin ‘sokongan hayat itu’ akan ditamatkan. Begitu mudah sang doktor yang berkulit gelap dan berkacamata putih itu mengambil keputusan, macam menamatkan perjanjian kontrek dengan orang gajinya.

Sebak dada Dang Kasom menerima pernyataan itu yang seolah-olahnya nyawa seseorang itu dengan mudah diputus-putus macam benang kikik yang tersangkut atas pokok mangga. Munah berusaha memberikan walau sedikit kekuatan dan keyakinan pada Dang Kasom bahawa Allah itu Maha Mengetahui dari pengetahuan yang ada pada seorang doktor yang cuma manusia biasa.

“Abang datang untuk menepati janji-janji abang dulu.” Mat Jinin bangga.

“Tapi mengapa terlalu cepat bang, lihat badan abang berlumuran darah.” Milah menyapu darah yang mengalir di kepala Mat Jinin dengan jarinya yang lembut itu.

“Abang terjatuh dari basikal tadi, tapi tak mengapa abang sudah dapat berjumpa Milah, itu lebih penting.” Mat Jinin menyatakan kepuasannya pada kekasihnya itu.

“Tidak kah abang kesian melihat mak abang yang sedang menangis itu…?” Milah menudingkan jarinya ke arah Dang Kasom.

“Bukan abang tidak kesian, orang tua memang macam itu selalu menangis jika berjauhan dengan anaknya.” Elak Mat Jinin yang sudah diselimuti kegembiraan itu.

“Pergilah abang balik dulu…!” Wajah Milah seakan marah.

“Abang tak mahu berpisah dengan Milah lagi, abang ingin bersama dengan Milah sampai mati.” Mat Jinin terlalu mementingkan keinginannya sendiri.

“Tak boleh bang…mak abang sedang menunggu abang, baliklah…!” Paksa Milah sambil menahan marahnya.

“Mengapa Milah cepat berubah, abang macam orang gila jika sehari tidak bertemu dengan Milah…” Mat Jinin pula yang melepaskan kemarahannya.

“Abang tidak faham dengan keadaan kita masa ini, kita berlainan alam bang...!”

“Kita sedang berada di alam yang sama, bersusah payah abang mencari Milah, mana mungkin abang akan meninggalkan Milah lagi…!”

“Masanya belum sampai lagi bang, antara kita berdua masih ada garis pemisah...” Milah sudah tidak tahan dengan kedegilan Mat Jinin yang cuma mau syiok sendiri itu.

“Abang berjanji akan kerja keras dan kumpul wang banyak-banyak untuk meminang Milah. Sesudah kawin nanti kita akan membuka ladang yang luas dan tanam sayur banyak-banyak.” Mat Jinin mengulangi kata-katanya yang pernah diucapkannya dahulu, walaupun dalam bentuk sebuah angan-angan.

Tapi sayangnya Milah tidak mengindahkan kata-kata Mat Jinin yang seakan orang sasau itu. Milah melarikan diri dan tinggal Mat Jinin keseorangan. Mat Jinin menjerit.

“Jangan tinggalkan abang Milah…! Milah…Mii…laaahhh…!”

Berguguran daun-daun rimbun di tempat sunyi itu kerana tidak tahan mendengar teriakan kuat dari Mat Jinin. Burung-burung terperanjat lalu terbang tidak tentu arah ke mana hendak di tuju, ada juga yang jatuh tidak sempat nak terbang lalu mati serta-merta kerana menghidap sakit jantung. (Betulkah burung-burung juga menghidap sakit jantung…)

Dang Kasom memegang tangan Mat Jinin dan terlelap seketika itu merasakan tangan Mat Jinin bergerak. Dang Kasom pula menjerit memanggil jururawat dan mengatakan tangan Mat Jinin sudah boleh bergerak.

Malangnya dalam keadaan seperti itu tidak ada seorang pun yang tahu sebagaimana tahunya naluri seorang ibu terhadap setiap detik pernafasan anaknya sendiri. Paling-paling Dang Kasom dianggap bermimpi atau berkhayal tanpa mengira semua itu kehendak Allah dan tidak mustahil boleh terjadi.

“Mat…jangan tinggalkan mak lama-lama…” Ayah Mat Jinin bersuara.

“Mengapa ayah berada di sini…?” Tanya Mat Jinin.

“Ini tempat ayah dan juga tempat semua orang nanti…” Jelas ayah Mat Jinin.

“Ayah lama tak pulang-pulang mengapa ayah…?”

“Mat balik dulu, jangan tinggalkan mak sorang-sorang.”

“Mat tunggu Milah bakal isteri Mat dan juga bakal menantu ayah…”

“Ayah tahu…tapi Mat balik dulu dan katakan pada mak, ayah tunggu…!”

“Kalau Mat pergi nanti Milah akan melarikan diri.” Mat Jinin merasa ragu.

“Tidak…Milah akan tetap tunggu Mat nanti. Tengok tu mak sedang menangis, tak kesiankah tengok mak macam itu…” Pujuk ayah Mat Jinin yang berpakaian serba putih dengan seutas tasbih bermain di hujung jejarinya.

Saat dan ketika yang dijanjikan oleh sang doktor berkulit gelap itu untuk membuka segala tali temali mesin ‘sokongan hayat’ Mat Jinin sudah bersedia untuk melakukannya. Seolahnya macam Malaikat Maut yang diutus untuk mencabut nyawa seseorang.

Dang Kasom meraung menangisi saat-saat kematian anaknya sebentar lagi. Tapi bagi penghuni di S.I.C.U. itu tidak ada apa-apa pun garis kesedihan mahupun keperitan yang terukir di wajah-wajah mereka. Mungkin setiap kematian di atas katil S.I.C.U. itu sudah menjadi perkara biasa dan lumrah dalam pandangan harian mereka.

Entah kekuatan yang bagaimana dengan mudahnya Dang Kasom terlepas dari pintalan beberapa orang jururawat yang cuba menahan Dang Kasom dari menghalang kerja-kerja sang doktor yang sudah ghairah untuk membuka mesin ‘sokongan hayat’ Mat Jinin itu.

Semacam bionic women Dang Kasom menolak sang doktor yang baru saja menjamah badan Mat Jinin, sang doktor terpelanting ke dinding dan kaca matanya jatuh lalu pecah menyebabkan pandangan sang doktor menjadi kabur. Dang Kasom mendakap tubuh anaknya yang kaku itu dan berteriak menyebut nama Allah sambil meraung dalam-dalam.

“Milah…! Jangan buat abang macam ini.” Sambil mengejar Milah.

“Jangan kejar Milah bang…!” Milah berlari semakin pantas.

Mat Jinin dengan kuasa tenaga originalnya berlari dengan sepantas-pantasnya untuk mendapatkan Milah sambil memanggil-manggil nama Milah. Longkang…parit,

lobang, lopak-lopak…batang-bantang kayu dan batu-bata begitu mudah dilompatinya. Tapi malang tidak berbau kaki Mat Jinin tersangkut pada akar kayu ara yang berjuntaian di dalam hutan itu. Mat Jinin terjatuh, kepalanya terhentuk ke batu dan berlumuran darah.

Mat Jinin terkejut dalam dakapan maknya. Mat Jinin bangun sambil memelok maknya erat-erat. Lama Dang Kasom berada dalam pelukan anaknya. Mat Jinin tercengang melihat orang-orang dalam S.I.C.U. itu yang juga kaku sekaku Dang Kasom dalam pelukan Mat Jinin apabila melihat kejadian anih di depan mata mereka sendiri itu.

Pandangan Mat Jinin yang masih kabur itu tiba-tiba terhenti dan tertumpu kepada salah seorang jururawat di situ yang juga sedang bimbang berdepan dengan kejadian anih itu. Dalam kekaburan pandangannya itu, Mat Jinin masih dapat mengenali bahawa itulah Milah gadis pujaan hatinya yang sedang dikejarnya itu.

“Milah…!” Panggilan Mat Jinin itu membuatkan mereka semakin bingung.

Mat Jinin ingin bangun dan melepaskan maknya dari pelukannya untuk mendapatkan Munah jururawat yang berkebetulan wajahnya seiras dengan wajah Milah kekasihnya itu. Tiba-tiba Mat Jinin merasakan sesuatu, maknya sudah tidak bernafas lagi dan longlai dalam pelukannya di atas katil yang telah menjanjikan akan ada jasad yang kaku baring di atasnya nanti.

Mat Jinin teringat akan pertemuannya dengan Milah dan ayahnya sebentar tadi. Dan sekarang maknya sudah pergi untuk menemui ayahnya. Dan sekarang juga Milah dalam mimpinya itu juga datang dan ujud di hadapannya. Mat Jinin jadi bingung kerana dia tidak tahu di dunia mana dia berada sekarang.

Mat Jinin masih memandang Munah yang disangkanya Milah itu dengan pandangan yang tajam dan membuatkan Munah merasa seram. Bulu roma Munah itu naik sebaik-baik saja Mat Jinin menyebut nama-nama orang yang sudah meninggal dunia dan diikuti pula dengan ketawa dan pandangannya yang menakutkan.

“Ayah…! Mak…! Mii…laahhh…!” Mat Jinin terus ketawa berpanjangan sehingga dihadiahkan satu cucukan.








 

blogger templates 3 columns | Make Money Online