Itulah orang-orang arab di zaman terkini yang tidak terpisahkan dari fikiran negatif yang tak sudah-sudahnya dengan prasangka buruk pada semua orang walaupun di bumi haram yang dijamin oleh Allah akan kesejehteraannya. Bagaimanapun orang tua itu tidak perasan dia diperhatikan kerana dia sedang berhadapan dengan Allah.
Orang tengah khusu’ mana ada waktu untuk melihat orang lain berbanding dengan polis yang cuma berjalan ke hulu ke hilir berkawal di situ yang memangnya sentiasa mematai-matai keselamatan orang banyak walaupun agak berlebihan. Orang tua itu menadah tangan berdoa dengan linangan air matanya.
Munawar masih berdiri tegak kerana belum mendapat tempat di Raudhah itu untuk bersembahyang. Seperti juga orang lain yang sama saisnya dengan Munawar terhuyung hayang dilanggar oleh orang bersais besar yang cuba menyelitkan badanya untuk bersembahyang di kawasan itu. Munawar sedih melihat orang tua itu menangis dan tanpa disedarinya air matanya pula yang mengalir.
Orang tua itu berbaju Melayu dan berkain batik. Jika dilihat cara berpakaiannya kemungkinan dia orang Indonesia, tapi pada raut wajahnya dan juga dari topi putihnya jelas dia orang Brunei.
“Hajj…!” Suara keras orang arab Turki itu membuatkan Munawar terkejut. Orang arab Turki itu memegangnya dan menyuruh mengambil tempatnya untuk Munawar sembahyang. Orang arab Turki tidak sukar untuk dikenali, dengan sais tubuh badan mereka yang gemok dan membongkok serta gaya mereka berjalan.
“Syukran…!” Itu saja yang Munawar tahu.
“Affuan…” Jawab arab Turki itu dengan senyum.
Munawar tidak melepaskan peluang yang diberikan itu untuk bersembahyang sunat di Raudhah tanpa menoleh orang tua itu kerana khuatir nanti tampatnya akan dirampas oleh orang lain.
“Aduh…!” Tidak senghaja Munawar bersuara kerana kepalanya terpijak oleh orang hitam Afrika ketika dia sedang sujud. Itu senario biasa sama ada di Madinah mahu pun Mekah, sebiji kepala itu tidak punya nilai apa-apa di mata dan hati mereka.
Itulah yang bernama Raudhah ‘taman dari taman-taman syurga’ seperti yang di sabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Betapa pula halnya yang masih hidup ini tidak teringin mengambil kesampatan untuk memasuki taman dari taman-taman syurga itu, alangkah ruginya jika tidak merebut peluang itu sebentar awal. Hidup-hidup sudah menjejakkan kaki di taman Syurga. Masya-Allah…!
Lama Munawar berzikir dan berdoa yang kemudiannya memberikan tempat duduknya itu kepada orang lain yang juga memerlukannya. Sebelum Munawar beredar dari tempat itu sempat dia menoleh di mana orang tua itu berada, tapi malangnya orang tua itu sudah tidak ada lagi di situ. Akhirnya Munawar menyisipkan tubuhnya dicelah-celah orang ramai itu hingga lulus keluar.
Waktu di Kota Madinah memang terlalu singkat, cuma tiga hari dan dua malam. Munawar sangat kagum dengan pembangunan Kota Madinah dewasa ini, begitu cepat dan teratur. Banyak bangunan-bangunan lama yang tidak menjamin keselamatan penghuninya sudah dirobohkan.
Begitu juga halnya dengan Masjid Nabawi dan sekitarnya yang sering diperbesarkan dan diperluaskan kawasannya demi untuk keselesaan jemaah yang datang dari palbagai pelusuk dunia untuk menziarahi makan Baginda Rasulullah dalam rangka mengerjakan ibadat haji mahu pun umrah.
“Ayah ingin mencari ketenangan di sana. Ayah sudah tidak terdaya lagi untuk membentuk adik kamu jadi baik.”
“Atiqah akan membantu ayah percayalah adik akan berubah.”
“Ayah kecewa kerana tidak dapat membentuk adik dengan sempurna.” Kekesalan nampak di raut wajah ayah Atiqah yang sudah berusia enam puluh lapan tahun itu.
“Bagi Atiqah ayah sudah cukup baik tapi semua itu sudah takdir ayah.”
“Ayah redha jika Allah hendak menghukum ayah.”
“Jangan tinggalkan kami ayah…” Atiqah sudah hendak menangis.
“Ketiadaan ayah nanti moga akan dapat menunjukkan jalan pada adik...”
“Adik cuma dipenjara dua tahun ayah, pulangnya nanti akan berubah”
“Walau cuma sehari itu sudah cukup memalukan ayah, anak bekas seorang imam dipenjarakan kerana pecah amanah. Ayah malu…!”
Itulah rintihan hati seorang tua yang sudah terguris oleh perlakuan anaknya yang tidak tahu menghargai perasaan apa lagi jasa orang tua mereka. Bagi Atiqah selaku kakak yang diamanahkan oleh ayahnya, apapun adanya ikhlas atau tidak terpaksa juga menggalas tugas yang amat berat itu.
Tanggung jawab itu amat besar, Atiqah seakan tidak sanggup untuk memikul beban itu dan mahu saja menempatkan adiknya dalam penjara untuk seumur hidup. Tapi dia tidak tergamak hendak mengkhianati amanat ayahnya yang mungkin sudah mendapat ketenangan di sana.
“Kalau nak ikut rasa kakak biar adik dalam penjara seumur hidup…!”
“Maafkan adik kak, adik telah melakukan kesilapan, adik terikut-ikut dengan kawan-kawan.”
“Adik jangan salahkan orang lain, adik kena fikir benda tu elok atau tidak…!”
“Adik akan bertaubat kak, biar adik mati sekali pun namun adik tidak akan menyentuh benda haram itu lagi.”
“Adik jangan main-main sumpah nanti memakan diri sendiri tau…!”
“Adik rela dimakan sumpah kak dari memakan najis itu kembali.”
“Kalau dua tahun dahulu adik sedar seperti ini kita tidak akan kehilangan ayah.”
“Mengapa dengan ayah kak…?”
“Ayah telah meninggal di Mekah…!” Ungkapan pertama dari seorang kakak kepada adiknya yang baru saja keluar dari penjara.
Atiqah menghitung hari-hari mendatang yang bakal dilalui adiknya yang mungkin sudah dianggap tidak mempunyai tempat lagi di sisi masyarakat. Sebak hati seorang kakak mengenangkan nasib masa depan adiknya yang sudah nampak gelapnya itu..
“Aaa…yaaahhh…! Akhirnya Atiqah meraung sekuat-kuatnya.
Hari terakhir Munawar berada di kota Mekah yang cuma enam hari itu terasa tidak cukup untuk berzikir, bertasbih dan bertakbir. Adat burung pulang ke sarang, ikan akan pulang ke lubuk dan begitu juga adat tetamu Allah selama mana dia bertandang akan ada juga harinya pulang ke tanah air walau terasa berat kaki untuk melangkah pergi.
Berpisah dengan Rumah Allah…Ka’bah, amat sedih dan terharu yang tidak terungkapkan melalui lisan mahupun tulisan. Dengan bola mata yang berkaca dan perasaan sayu hiba, Munawar berpaling untuk pulang ke hotel yang kemudiannya nanti akan meninggalkan Bumi Berkah yang belum tahu bila akan datangnya lagi.
“Asaalamualaikum…!” Lembut dan lantang suara itu.
“Waalaikumusaalam…” Munawar segera menoleh. Seorang lelaki tua.
Spontan Munawar teringat pada orang tua di Raudhah ketika dia berada di Kota Madinah beberapa hari yang lepas, sebelum ini Munawar juga pernah berjumpa orang tua itu bersembahyang di Hijir Ismail tapi oleh kerana kesesakan di tempat itu Munawar tidak dapat menjumpai orang tua itu. Tapi sekarang tanpa dicari orang tua itu berada di hadapannya sendiri.
“Pak Aji sering menunggu anak di sini dan sekarang baru berjumpa…”
“Ada apa Pak Aji nak jumpa saya…?”
“Tolong berikan bungkusan ini kepada anak Pak Aji di Brunei.”
Orang tua itu memberikan bungkusan kepada Munawar. Oleh kerana masa Munawar terlalu terhad untuk berbual panjang lebar dengan orang tua itu, Munawar terus mengambil saja bungkusan kecil itu sebaik-baik saja orang tua itu memberikan kepadanya. Munawar bersalaman dengan orang tua itu dan terus beredar.
Dalam penerbangan pulang ke tanah air ketika pesawat dialun gelombang awan, Munawar teringat dengan bungkusan yang diberikan oleh orang tua itu. Dia lupa bertanyakan siapa nama dan juga alamat anaknya itu. Yang menghairankan juga bagaimana orang tua itu tahu dia orang Brunei.
Munawar ingin mengenal siapa orang tua itu, siapa tahu pernah terjumpa di Brunei. Tapi dalam keadaan letih dan lesu begitu Munawar tidak mampu untuk melayari semula ingatannya yang telah lalu. Dia mahu relix sepanjang penerbangan itu dan cuba untuk melupakan semua masaalah yang menganggu fikirannya buat sementara waktu.
“Macaman Pak Aji kenal saya dari Brunei…?
“Pak Aji juga orang Brunei tentu tidak sukar untuk mengenalinya.”
“Maafkan saya Pak Aji, pagi ini kami hendak berangkat ke Jeddah.”
“Tolong berikan ini kepada anak saya…”
“Saya tidak kenal anak Pak Aji.”
“Di dalam bungkusan itu ada nama dan alamatnya, anak boleh buka nanti jika sudah sampai di Brunei.” Orang tua itu sangat berharap.
“Pak Aji bila pula nak balik ke Brunei…?”
Belum sempat orang tua itu menjawab Munawar terkejut dari lelapnya yang terasa baru sebenatar itu kerana dikejutkan oleh pemberitahuan untuk memakai tali pinggang keselamatan kerana cuaca kurang elok. Waktu itu pesawat berada di ruang angkasa India, semua penumpang mematuhinya demi untuk keselamatan bersama.
Munawar berat hati untuk percaya bahawa dia telah berdialog dengan orang tua itu di dalam mimpi. Apakah betul ada nama dan alamat anak orang tua itu dalam bungkusan seperti yang dikatakannya itu. Mahu saja Munawar membuka bungkusan itu untuk memestikan semuanya itu juga bukan mimpi, tapi dia harus jujur sebagaimana yang diamanatkan oleh orang tua itu.
“Ini rumah Atiqah binti Hj Hasbullah…?” Setelah Munawar pasti bahawa itulah rumah anak orang tua itu.
“Saya Atiqah…ada apa…?” Wanita yang bernama Atiqah itu terkejut dan diselobongi dengan bermacam andaian. Apatah lagi dia belum pernah berjumpa dengan Munawar yang senang-senang mendatangai rumahnya itu.
“Saya baru pulang dari Mekah semalam dan ini ada kiriman dari ayah Atiqah…”
“Dari ayah…?” Atiqah terkejut bercampur hairan. Munawar jadi serba salah dengan perlakuan Atiqah bila dia menyebut ayahnya itu. Apakah Munawar salah alamat…? Ataukah Munawar juga sedang bermimpi…?
“Kamu jumpa ayah saya di Mekah…?” Atiqah belum mahu menerima kenyataan itu walaupun sudah nyata di hadapan batang tubuhnya sendiri.
“Katanya dia mempunyai seorang anak lelaki, dan dia setiap waktu berdoa agar anak lelakinya itu berubah serta taat kepada suruhan Allah…”
“Tentunya kamu tidak membawa cerita dongeng yang tidak masuk akal…?”
“Saya tidak mempunya banyak masa…mana anak lelakinya itu…?”
Atiqah memanggil adiknya lalu memberikan bungkusan itu. Kemudian adiknya membukanya tanpa mengetahui bungkusan itu datangnya dari siapa. Adiknya tercengang dan kebingungan. Seutas tasbih sehelai sejadah baunya seharum kasturi.
“Dari mana semua ini kak…?”
“Dari ayah…” Pendek jawaban Atiqah sambil menundukkan kepalanya. Atiqah saat itu tidak dapat menahan air matanya dari terburai. Melihat itu adiknya tambah bingung. Kalau kakaknya menangis cuma kerana hadirnya se orang lelaki yang belum dikenalinya itu adiknya pasti tidak yakin.
“Saya berjumpa ayah kamu di Mekah sebaik-baik saja saya hendak pulang, dan dia menyuruh saya memberikan semua itu kepada kamu…”
Macam sebuah cerita misteri yang terpampang di halaman akhbar Media Permata pada setiap hari Sabtu. Tapi bagaimana harus dielakkannya kerana semua itu sudah menjadi kenyataan. Mereka sendiri tidak kenal dengan Munawar tapi boleh berjumpa dengan ayahnya di Mekah dan memberikan benda itu pada mereka.
“Yakinkah kamu jika saya katakan sesuatu…?” Atiqah bersuara dengan nada perlahan dan terputus-putus. Hingusnya yang sedari tadi terjulung-julung hendak keluar tidak mampu disiruknya lagi yang akhirnya melilih keluar dan terpaksa disapunya dengan belakang tangannya.
“Jika apa yang kamu katakan itu ketentuan Allah mengapa pula tidak…”
“Tahukah kamu bahawa ayah saya itu telah meninggal dunia di Mekah setahun yang lalu…”
Munawar pula merasakan dirinya berada di alam fantasia. Dia berjumpa dengan orang tua itu bukan dalam mimpi atau khayalan. Tapi di alam nyata yang ada bulan dan matahari serta bintang-bintang yang berkerdipan.
Apakah ketika Munawar berdepan dengan Atiqah dan adiknya yang membuka bungkusan dari ayahnya itu juga sebuah mimpi dan bukannya realiti…? Maha Suci Allah yang mengetahui atas segala sesuatu…!
0 Comments:
Post a Comment